BAB 36

Romance Completed 21965

“ADAM Reza Aryan, ada pelawat!” Adam meletak buku yang sedang dibacanya. Itu adalah buku yang diminta daripada pengawal tersebut untuk menghabiskan masa di dalam lokap. Daripada tidak melakukan apa-apa, lebih baik dia membaca, fikirnya. Sekurang-kurangnya, fikiran dan perasaannya tidak akan terarah kepada Yana atau bayi mereka yang bakal lahir. Meskipun begitu, dia tidak dapat lari daripada tidak memikirkan tentang mereka berdua. Dia takut sesuatu yang buruk berlaku sementelah dia tidak ada bersama mereka dan itu adalah perkara yang paling tidak diingininya berlaku. Tidak sekarang atau tidak di di masa hadapan.

Adam berdiri, dia tahu pelawat itu adalah Ab. Hanya Ab sahaja pelawat tetapnya di lokap itu dan kali ini merupakan lawatan yang kesepuluh sejak dia menyerah diri. Adam menghargai kesungguhan lawatan Ab meski dia tahu Ab seorang yang sibuk; dengan keluarga dan kerjayanya. Sebab itu, dia kena keluar juga untuk menjenguk Ab. Dia mahu mendengar berita perkembangan Yana dan bayi mereka.

Pengawal penjara itu melakukan prosedur keselamatan, menggari tangannya dan berjalan di belakang Adam. Adam hanya menundukkan kepala sepanjang berjalan di lorong tersebut, mengira langkah kakinya. Dia terlalu rindukan keluarganya terutama Yana. Sebelah hatinya hendak berjumpa Yana kerana sekeping gambar tidak mencukupi. Tetapi sebelah hatinya lagi tidak mahu berjumpa dengan isterinya. Dia tidak mahu Yana melihatnya dalam keadaan begitu, teruk.

Adam duduk dan menunggu Ab untuk memberitahu perihal keluarganya tetapi Ab hanya berdiam diri. Beberapa ketika kemudian, dia mendengar tangisan teresak-esak yang tidak dapat dikawal, juga seperti seseorang sedang menyeka airmata. Adam mengangkat muka, Yana! Individu yang sedang duduk dihadapannya ini ialah Yana dan bukannya Ab. Yana, isterinya yang dirindui! Dia dapat melihat tudung Yana yang telah lencun kerana airmatanya. Mereka hanya berpandangan antara satu sama lain tanpa sebarang suara, tanpa sebarang pergerakan, membiarkan kesenyapan bercakap bagi pihak masing-masing. Adam rasakan seperti punggungnya sudah digam pada kerusi tersebut. Dia tidak dapat bergerak meski dia hendak sangat melakukannya.

Adam berpaling. Tidak mahu Yana melihat keadaannya yang begitu teruk sekali.

“Abang” Yana mendekati dalam tangisan dan pantas memeluk Adam. Tangannya yang bergari menyebabkannya sukar untuk bergerak. Adam tidak dapat melarikan diri daripada dipeluk. Akhirnya, dia hanya membiarkan kerana dia turut merindui Yana juga. Sekurang-kurangnya dia dapat menghilangkan semua kerinduan itu.

Yana mengusap pipi Adam. Ia terasa kasar dengan misai dan janggut yang tumbuh. Rambutnya juga tidak terurus. Dilihatnya Adam dari atas ke bawah. Tubuh itu sudah semakin kurus, mukanya juga semain cengkung. Pakaiannya pula ialah pakaian penjara yang tidak sepatutnya Adam pakai. Adam tak sesuai dengan baju tersebut. Yana rasa berdosa membiarkan Adam keseorangan dalam kesusahan. Hanya isteri yang tidak tahu bersykur sahaja yang akan melakukan begitu, dan isteri itu adalah dia.

“Ampunkan Yana” tangisnya lagi seraya mencium pipi Adam.

“Abang tak perlu buat begini. Sanggup abang tinggalkan Yana dengan baby aje? Sanggup abang...” airmata Yana merembes turun. Dia bertanyakan soalan tersebut mengetahui dia yang mengatakannya dahulu. Adam mencebik, terasa. Letak tepi dahulu kerinduan yang menggunung ini. Dia perlukan Yana mengakui kesalahannya dan untuk pengetahuan Yana, dia tidak akan sesekali mengalah, sekurang-kurangnya, buat masa ini. Mereka berdua punya ego tetapi egonya lebih besar berbanding Yana. Dia mahu dipujuk hingga ke satu masa, dia sendiri yang akan mengalah.

“Ampunkan Yana, Yana berdosa. Yana tak sepatutnya cakap macam tu. Yana mengaku, Yana salah. Yan rindukan abang, Yana cintakan abang. Yana perlukan abang, baby juga perlukan abang. Kami tak sempurna tak abang. Abang, please, come home. Maafkan Yana” Yana menangis, merayu. Dia perlukan kemaafan Adam. Kehidupannya tidak bermakna tanpa keampunan Adam dan dia takutkan hal tersebut. Banyak fikiran dan imaginasi negatif muncul dalam fikirannya apabila hidup tanpa kemaafan Adam.

Adam hanya duduk di kerusinya, tidak berkutik. Dia enggan berkata apa-apa. Dia masih belum mahu mengalah teringatkan posisinya sebagai suami dan Yana sebagai isteri. Dia mahu Yana akui perkara tersebut. Tangisan, pujukan, pelukan atau ciuman tidak akan membuatnya ragu-ragu tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu dia telah kalah, meski sebelum kedatangan Yana. Tetapi dia tidak akan sesekali tunjukkannya kepada Yana, dia suka keadaan dan situasi yang sedang berlaku antara mereka berdua ketika ini.

“Abang, please. Say something” Yana memujuk. Dia mahu mendengar suara Adam. Dia rindukannya.

“Baby nak dengar suara ayah dia...” ujarnya lagi. Adam mencebik. Bait perkataan yang pernah katakan dahulu terngiang kembali di telinganya. Yana harapkan anak itu adalah anaknya dengan Adien, bukan dengan dia. Damn it! Sakit dadanya datang lagi memaksa Adam cepat-cepat menunduk, menyusun nafas dan wajahnya memerah. Yana cepat mengurut dada Adam. Kali terakhir dia melihat keadaan begitu adalah sewaktu Adam bergurau dengannya. Gurauan yang tidak sepatutnya dibuat gurauan. Dia betul-betul ingat Adam akan tinggalkannya waktu itu!

“Abang sakit ke? Takde sesiapa yang tengok dan jagakan abang kat sini. Abang tak patut ada kat sini. Sini bukan tempat abang... Pulang dengan Yana, please” Yana menangis sambil mengurut dada Adam. Rasa bersalah dan berdosa menyelubungi dirinya. Terbayang di matanya Adam berseorangan menempuhi kesakitan saban malam dan hari dengan nyamuk dan serangga yang menakutkan, dia hanya tidak mahu membayangkannya, ia membuat dia rasa lebih bersalah. Adam tak pernah hidup dalam kehidupan begitu. Meskipun keluagrnya hanya sederhana namun, dia adalah anak tunggal. Segala kemahuan dan kata-katanya dituruti oleh kedua ibu bapanya. Terbayang kembali saat Adam tidur di lantai rumah ibu bapanya yang telah disita oleh pihak bank. Bagaimana dia hidup dalam lokap pula? Yana menggeleng, dia yang menyebabkan Adam melalui semua kesengsaraan itu. Jikalau ibu mertuanya mengetahui perkara tersebut, mesti dia akan dibenci. Sangat!

Ya Allah! Lembutkan hati suamiku agar memaafkan aku, doa Yana dalam hati. Hatinya sedih melihat suami sendiri dalam keadaan begitu. Dia isteri yang teruk. Dia teruk!

“Lima minit, Adam” laung pengawal itu.

Yana cemas! Dia mahu mendengar suara Adam. Dia tidak mahu Adam kembali ke dalam sana. Dia tidak mahu! Dia tahu dia yang menjadi penyebab Adam menyerah diri. Dia yang menyuruh Adam masuk ke dalam lokap. Adam kembali mengangkat muka dan mengeluh perlahan. Yana menjadi sedikit tenang melihat perubahan muka Adam. Kakinya dirasakan sakit kerana terlalu lama berdiri memaksanya berjalan perlahan menarik kerusi yang didudukinya tadi dan meletakkannya bersebelahan Adam. Pergerakannya terbatas dengan perut yang memboyot.

Adam simpati melihat kesungguhan Yana. Dia mahu membantu tetapi egonya menghalang. Dia melarikan pandangan daripada melihat Yana yang sedang menarik kerusi itu.

Untuk apa tarik kerusi tu? Yana boleh je duduk atas riba abang ni, gumam Adam.

Namun, kata-kata itu hanya berlegar di kerongkongnya sahaja. Dia tidak dapat membunyikannya. Dia marah dengan diri sendiri kerana membiarkan isterinya berbuat demikian dengan perut yang memboyot. Argh! Jangan jadi lemah! Adam mengingatkan dirinya. Yana perlahan-lahan mengusap tangan Adam yang bergari. Sedih melihat gari tersebut pada pergelangan tangan suaminya. Adam bukan penjenayah.

“Yana minta maaf” dia menundukkan kepala mencium tangan Adam. Adam hanya membiarkan Yana memperlakukan tangannya begitu. Kasihan melihat Yana berusaha menundukkan kepala dengan perut yang besar. Mesti sangat sukar.

“Yana berdosa dekat abang. Tempat abang bukan kat sini, abang kena balik rumah” luah Yana lagi. Masih mencium tangan Adam.

“Abang penjenayah. Ni tempat terbaik buat abang!” Akhirnya Adam bersuara, sengaja ditekan perkataan penjenayah. Biar isterinya ingat apa yang pernah diucapkannya dahulu. Yana mengangkat muka. Adam sudah mahu bercakap dengan dirinya. Dia tersentuh sekali.

“Abang memang penjenayah. Tapi, kesalahan abang cuma curi hati Yana. Abang kena kembalikan semula hati Yana yang abang dah curi. Hukumannya, balik semula kat rumah kita” luah Yana. Adam pura-pura mencebik. Dalam hatinya ingin sahaja ketawa mendengar kata-kata isterinya. Dia tidak pernah menyangka Yana sudah pandai berkata sedemikian rupa. Ditahan mukanya daripada memberikan sebarang reaksi. Pura-pura membuang pandangan ke arah lain apabila Yana memandangnya penuh kasih sayang. Bergetar jantungnya melihat pandangan Yana. Adam menjadi tidak keruan dengan pandangan kasih sayang daripada Yana yang sangat dia rindui. Dia lemah seketika. Tidak! Dia mahu tunjukkan kepada Yana bahawa dia tidak akan menjadi lemah lagi. Tidak!

“Kesalahan abang lebih dari tu. Yana tak ingat ke? Abang langgar lari bakal suami kesayangan Yana? Kalau abang tak lari dan hantar dia ke hospital, mungkin dia masih hidup dan Yana kahwin dengan dia. Mengandungkan anak dia” Adam mengembalikan semula semua perkataan yang pernah isterinya ucapkan padanya. Senada sahaja suara Adam. Yana tahu dia pernah mengatakan semua itu kepada Adam.

“Kalau dia masih hidup pun, Yana tak nak kahwin dengan dia. Yana nak abang sebab memang Yana dah tertulis untuk abang. Abang suami Yana, Yana tak nak orang lain even dia. Yana cintakan abang...” Yana kembali memeluk Adam. Tangisnya kembali lagi. Terasa dengan kata-kata Adam. Memang patut aku terasa! Aku yang menyatakan dulu! Bisik hati Yana.

“Mana Yana tahu akan kahwin dan cintakan abang kalau dia masih hidup?” Adam sengaja bertanyakan soalan perangkap.

“Yana tahu sebab Yana cintakan abang lebih daripada Yana sayangkan Adien. Yana boleh hidup tanpa dia tapi Yana tak boleh hidup tanpa abang. Yana tak lengkap tanpa abang. Yana cuma sayangkan Adien tapi Yana cintakan abang” Yana memandang ke dalam anak mata suaminya apabila mengatakan perkara tersebut. Dia mahu Adam yakin dengan kata-katanya. Dia akan memikat hati suaminya kalau itu yang diperlukan untuk Adam kembali kepadanya. Dia akan memikat Adam seperti Adam memikatnya dahulu. Dia pasti dengan apa yang dikatakannya. Dia menjadi pasti dengan perasaannya selama dua bulan tanpa Adam disisi. Dia milik Adam bukan Adien! Dia isteri Adam bukan Adien!

Adam menguntum senyum dalam hati. Mukanya masih ditahan daripada membuat sebarang reaksi. Buat pertama kalinya dia berasa sangat gembira. Gembira kerana mengetahui bahawa dia menang bersaing dengan bayang-bayang Adien. Juga gembira kerana tahu Yana mencintainya. Hendak melompat pun ada juga. Tetapi, fikirannya mengingatkannya untuk tidak terus lemah dengan kata-kata cinta daripada Yana. Dia perlukan banyak masa agar Yana terus-terusan mengatakan cinta kepadanya.

“Dua minit” teriak pengawal itu sekali lagi. Adam tidak peduli dengan teriakan itu.

“No! You are confused. You never loved me” Yana menggeleng. Lantas, dia memeluk tangan Adam.

“I was confused. But I know my feeling. I know I love you... I love you so much!” luah Yana sungguh-sungguh. Adam suka sendiri dalam hati. Buat pertama kali dalam hidupnya, Yana tidak habis-habis menyatakan bahawa dia cintakan dirinya. Dia lelaki paling gembira dalam dunia. Namun permainan belum tamat! Dia tidak akan sekali-kali lemah! Dia menarik tangannya daripada dipeluk oleh Yana. Yana melepaskan pelukannya, terkejut dengan penolakan Adam. Tidak sangka Adam tidak terkesan dengan usahanya.

“Yana sedih tengok abang macam ni. Abang dah makin kurus. Esok Yana bawakan makanan favorite abang”

“Tak payah datang sini lagi” Adam lantas bangun apabila penjaga itu sudah berdiri bersebelahan dirinya. Mulutnya kata lain, hatinya kata lain. Dia mahu Yana menjenguknya tiap hari! Kalau boleh, ingin sahaja dia lari dari lokap itu dan balik semula ke rumah mereka. Yana cepat-cepat menarik tangan Adam dan menciumnya.

“Assalamualaikum, abang. Yana akan datang esok. Abang tunggu Yana ye” Adam menarik tangannya dan melangkah keluar dari bilik pelawat itu. Tidak disangka lokap boleh menjadi tempat yang sangat indah. Dia hanya senyum sepanjang perjalanan kembali ke lokap. Dia akan bermimpi indah malam ni. Tidak sabar menunggu hari esok. Esok, cepatlah datang! Isteri aku nak datang lagi! Teriak Adam dalam hati.

YANA mengangkat keluar barang dan tupperware berisi makanan dari dalam kereta. Selepas bertemu suaminya semalam, dia cepat-cepat ke pasaraya dan membeli bahan mentah untuk memasak makanan kegemaran suaminya; Ikan Tenggiri Masak Cili Api, Sambal Belacan dan Sayur Campur Sos Tiram. Gembira rasanya apabila dapat memasak semula untuk suami sendiri. Dia tahu suaminya akan terliur sebaik sahaja dia melihat dan terbau masakan tersebut. Sengaja dia masak banyak sedikit kerana berniat mahu menaikkan berat suaminya. Suaminya perlu berisi semula, risau melihat suaminya yang semakin kurus cengkung.

Setelah melalui pemeriksaan dan menunggu selama lima minit di dalam bilik pelawat, Adam muncul dengan tangan yang masih digari. Yana cepat-cepat mengambil tangan Adam, menyalam dan menciumnya.

“Assalamualaikum, abang...” luahnya dengan nada yang lebih gembira kali ini. Adam hanya menjawab perlahan dalam hati. Masih merancang tidak mahu tunduk dengan pujukan Yana. Hatinya melonjak riang apabila namanya dipanggil sebentar tadi. Dia tidak dapat tidur semalaman kerana asyik teringatkan Yana. Dia mahu mengusap kandungan Yana dan berkomunikasi dengan si bayi namun ditahan niatnya. Adam duduk di kerusi yang didudukinya semalam. Lantas, Yana mengambil tangan Adam, menyalam dan menciumnya.

“Yana masakkan makanan kegemaran abang. Abang kena makan tau, Yana suapkan abang ye” Yana membuka kontena itu satu persatu. Hilang rajuk Adam apabila terhidu wangi masakan isterinya. Wangi betul! Puji Adam dalam hati. Sudah lama dia tidak makan masakan isterinya. Dia rindu. Dia tidak menjamah apa-apa makanan sejak lawatan Yana kerana dia mahu menyediakan perutnya dengan masakan isterinya.

“Bismillahirrahmanirrahim” ucap Yana seraya menyuapkan nasi berserta lauk kepada Adam. Adam pura-pura menggeleng sedangkan perutnya berkeroncong. Kantoi!

“Abang betul taknak? Kalau abang taknak, Yana bagi dekat pengawal tu” ugut Yana dengan senyuman mengejek mendengarkan perut Adam yang mendendangkan lagu.

“Cepat! Suapkan abang” perintah Adam. Rancangan tarik talinya tidak menjadi. Apa-apalah! Yang penting aku dapat makan, gerutu Adam. Dia membuka mulut dan menjamah makanan tersebut.

Ya Allah, sedapnya! Aku rindu rasa ni sangat-sangat.

“Abang nak kuah tu” pinta Adam lalu Yana menyendukkannya dan memberikannya kepada Adam. Yana gembira melihat Adam menjamah masakannya dengan laju. Sekejap sahaja semuanya menjadi licin.

“Sambal tu tak berapa nak pedas. Lain kali, pedaskan lagi. Bagi umph!” komen Adam setelah meneguk air yang dituang oleh Yana. Dia mengucap syukur. Betapa dia merindui masakan Yana, isterinya itu memang dilahirkan dengan kemahiran memasak yang terbaik. Tidak semua orang mempunyai kemahiran itu.

“Tak pedas ke? Yana rasa dah pedas sangat tu” Yana merasa sambal itu sekali lagi. Biar betul suaminya ni. Ni dah pedas tahap gaban dah ni. Dia tahu Adam sukakan pedas tapi sambal yang dibuatnya itu memang pedas. Kalau ditambah pedas lagi, alamatnya berasaplah telinga! Yana cepat-cepat minum air, tidak tahan dengan pedas sambal tersebut.

“Kalau abang, pedas tu kira okeylah. Kalau tambah pedas lagi, lagi best!” Adam senyum nipis melihat Yana yang menyambar air dan meneguknya selaju mungkin. Dia tidak mahu Yana melihatnya senyum. Hei, tak tahan aku nak berperang dingin kalau hari-hari dia datang bawa makanan! Adam menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tak boleh jadi! Rancangannya mesti berjaya. Dia mesti mengenakan Yana seperti Yana mengenakannya dahulu.

“Abang masuk dulu. Thanks!” Yana terkejut dengan pengunduran diri suaminya. Begitu cepat Adam hendak melarikan diri darinya. Lagipun, penjaga itu belum lagi memanggil Adam untuk masuk. Tidak! Dia kena berhentikan Adam. Yana cepat-cepat bangun dan menarik tangan Adam meskipun pergerakan terbatas. Yes! Laung Adam dalam hati. Ni mesti kes tak rela nak lepaskan aku, dia berbisik kemenangan. Kakinya pura-pura berhenti sedangkan memang itu rancangan awalnya.

“Penjaga belum pun panggil abang lagi. Yana pun belum sempat lepaskan rindu kat abang. Baby pun dah rindu kat ayah dia...” Yana menarik tangan kanan Adam dan meletakkannya pada perutnya. Tangan kiri Adam pula diletakkan pada pinggangnya. Adam menjatuhkan tangan kirinya. Yana meletakkan semula. Adam menjatuhkan semula dan sekali lagi Yana meletakkan semula bersama dengan tangannya agar Adam tidak lagi menjatuhkannya. Adam ketawa dalam hati. Sukalah tu, bisiknya pula.

“Cakaplah dulu dekat baby” pinta Yana. Sebak dada Adam apabila Yana memintanya berbuat demikian. Dia rindukan Yana. Dia juga rindukan bayi mereka. Rutin harian yang dilakukannya sepanjang Yana mengandung adalah berkomunikasi dengan si bayi. Sudah dua bulan dia tidak berkomunikasi dengan bayinya itu. Adam membatu. Egonya masih tinggi tapi sayangnya pada si bayi melebihi egonya. Kasihan baby. Kerana mak dan ayah bertengkar, baby jadi mangsa... Luah Adam dalam hati. Lama dia berfikir, apakah dia mahu meneruskan permainan ini atau menjatuhkan ego dan berkomunikasi dengan anaknya? Lantas dia menolak tangan Yana dan berlalu meninggalkan Yana.

“Abang!” Yana berteriak. Dia terpempan. Suaminya masih membencinya dan kerana benci itu, bayi dalam kandungannya menjadi mangsa. Kata-kata yang diucapkan kepada Adam datang kembali. Dia menyesal. Jatuh air matanya saat melihat Adam pergi begitu sahaja. Tidak sempat dia menyalam dan mencium tangan Adam.

“Assalamualaikum, abang. Esok Yana datang lagi” katanya perlahan. Yana kemudiannya mengemas tupperware dan barang-barang yang dibawanya ke dalam bakul. Dia akan datang setiap hari sehingga suaminya memaafkannya. Dia tekad!

Adam masuk ke dalam lokap dan duduk. Dia menekup mukanya dengan kaki. Jatuh air matanya kerana sanggup berbuat begitu kepada anak sendiri. Sanggup dia mendahulukan egonya daripada anaknya sendiri. Kecewa dengan diri sendiri.

Maafkan ayah, baby. Maafkan abang, sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience