BAB 24

Romance Completed 21965

YANA menunggu Adam turun dari biliknya. Selepas mendapat hadiah telefon 3310 daripada Adam tempoh hari, dia ingin membalas sikap prihatin Adam dengan sesuatu. Orang kata, cinta memberi dan menerima, betul tidak? Sebab itu pada hari ini, dia bangun seawal subuh untuk menyediakan sarapan untuk Adam sebelum dia bertolak ke syarikat. Ini adalah perkara yang paling kurang dia dapat lakukan untuk Adam, fikirnya.

Sejak tinggal bersama dengan Adam, rutin Adam sudah berada dalam genggamannya. Adam akan keluar awal pagi untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Dia juga tahu Adam akan keluar dengan berpakaian wangi dan cantik. Malangnya, dia tidak pernah menyediakan pakaian tersebut. Adam tidak sekali-kali membenarkannya memegang bajunya untuk dicuci seperti katanya selalu, dia dah besar panjang tak perlukan orang lain untuk risaukan dan bantu mengurus dirinya.

Adam biasanya mengumpul bajunya dalam raga dan menghantarnya sendiri ke kedai dobi yang berdekatan dengan kondo tersebut. Yana geram sehingga bertanyakan dirinya sendiri, apa faedahnya dia kepada Adam? Adam menjaganya dengan baik tetapi dia? Hingga saat ini dia belum membalas apa-apa kebaikan Adam kepada dirinya atau kepada keluarganya. Takpe. Tak dapat laksanakan tugas dalam menyediakan pakaian, laksanakan tanggungjawab dalam sediakan sarapan pun boleh, fikir Yana. Dalam mengelamun itu, Yana menangkap tapak kaki Adam menuruni anak tangga, cepat-cepat dia berdiri dan mendekati Adam.

“Adam” panggil Yana. Adam menoleh sambil membetulkan tali leher. Yana ketap bibir. Adam kacak sangat dengan gaya itu. Hendak sahaja dibantunya membetulkan tali leher itu bagi pihak Adam tetapi dia malu. Dan untuk ke sekian kalinya, Yana cair lagi. Adam jungkit kening, menunggu apa yang hendak dikatakan oleh Adam.

“Jomlah sarapan dulu” pelawa Yana dengan senyuman paling ikhlas. Dia mahu Adam ingat senyumannya itu kerana itu satu-satunya senyuman yang akan tersungging pada bibirnya apabila dia bersama Adam. Hanya Adam yang mampu membuatkan dia menguntum senyuman tersebut. Adam mengerutkan dahi.

“Aku dah lambat. Jangan buat senyuman macam tu, pelik dan menakutkan aku! Jangan sekali-kali fikir nak goda aku dengan senyuman macam tu ye, Yana” Yana terkaku. Sabar, Yana, sabar. Kau paling perlukannya saat ini. Yana menyabarkan hatinya. Senyumannya mati serta merta mendapat komen maha hebat daripada Adam seawal pagi.

“Jomlah sarapan dulu. Kalau kau sarapan kat rumah, kau dah boleh jimatkan beberapa ringgit untuk sandwich atau bun berserta coffee yang kau akan beli nanti” Yana masih berusaha mengajak Adam bersarapan bersamanya.

“Thanks but no thanks! Aku dah lambat” sekali lagi Adam menolak. Dia terus berjalan ke muka pintu, berkira-kira untuk keluar. Yana ketap bibir. Adam memang selalu menolak apa-apa sahaja daripadanya namun dia sudah tekad. Penolakan Adam tidak akan dihiraukan lagi, dia dah biasa. Dia tekad untuk menjalankan misinya. Dia tahu perkara itu akan berlaku dan oleh kerana itu, dia telah menyediakan rancangan kedua. Plan B.

“Takpelah kalau kau tak nak sarapan tapi aku dah masakkan lunch untuk kau” Yana cepat-cepat menggapai beg coklat berbunga merah jambu yang berisi beberapa tupperware di dalamnya. Dia sudah sediakan semuanya untuk Adam. Dia mahu Adam makan masakan air tangannya agar hubungan diantara mereka akan bertambah erat. Orang kata, salah satu tips mengeratkan hubungan suami isteri adalah daripada air tangan isteri, betul tak? Yana sengih sendiri.

“Siapa yang kolot sangat bawa bekal kat tempat kerja sekarang ni? Memalukan aje. Aku tak nak. Aku makan kat luar je” untuk ketiga kalinya Adam menolaknya pada pagi itu. Yana pula semakin meningkatkan tahap kesabarannya berhadapan dengan Adam.

“Kau fikir kolot ke bawa bekal kat tempat kerja? Dulu, masa aku masih guru prasekolah, guru-guru kat sekolah tu kebanyakannya bawa bekal. Aku pun bawa bekal juga, tapi disebabkan aku makan makanan yang dimasak kat prasekolah tu, aku tak bawa selalu. Bekal ni membolehkan kita berkongsi dan menjimatkan, tau tak?” Yana perlahan-lahan menyelitkan beg itu ke tangan Adam dengan perasaan dan muka tidak malunya.

“Itu orang makan gaji, aku ni lain. Nah, ambil balik bekal ni. Aku tak nak” Adam meletakkan beg tersebut di atas lantai dan terus meluru keluar. Terbuntang biji mata Yana melihat kelakuan tak sopan Adam. Sanggup dia letak aje bekal tu kat atas lantai! Memang nak kena Adam ni! Yana cepat memakai tudung dan berlari keluar mengikut Adam dengan beg tersebut di genggamannya. Dia meloloskan diri masuk ke dalam lif yang dimasuki Adam. Adam hanya memandang sambil menggeleng. Tak habis-habis, entah apa lagi yang hendak dilakukannya sekarang ni? Bisiknya. Adam hanya fokus kepada jam Rolexnya. Takut tersekat dalam kesesakan trafik.

Yana bersaing dengan Adam ke Porsche sebaik keluar dari lif. Adam menekan butang unlock dan Yana mengambil kesempatan itu untuk meletakkan beg tersebut pada kerusi penumpang dengan kadar segera. Dia kemudiannya menutup pintu kereta tersebut cepat dan menghadiahkan senyuman termanis serta memberikan satu kenyitan mata kepada Adam. Adam hanya melihat perlakuan Yana dan menggeleng.

“Aku dah kata aku tak nak. Yang kau degil letak kat tempat duduk tu kenapa?” Adam sudah hilang sabar. Yana seperti sengaja melambat-lambatkannya.

“Aku tahu kau mungkin tak ingat makan sebab sebelum ni kau memang tak ingat nak makan. Sekurang-kurangnya kalau kau nampak bekas ni kat pejabat nanti, kau akan ingat untuk makan. Makan, ye?” Yana berjalan mendekati Adam. Adam melepaskan keluhan berat. Jatuhlah kredibilitinya membawa bekal makanan ke pejabat. Tak pernah dibuat orang langsung!

“Masuklah, cepat. Nanti kau makin lambat pulak. Aku tak nak rasa bersalah jadi penyebab kau lambat ke ofis” Yana menolak Adam masuk ke dalam keretanya. Tubuh Adam pula hanya menurut sahaja.

“Adam” panggil Yana. Adam menoleh. Dia menghulurkan tangannya kepada Adam. Adam memproses seketika sebelum menghulurkan tangannya pula. Yana mencium tangan Adam sebelum menutup pintu kereta itu. Dia berdiri di tepi parkir melihat Adam mengeluarkan kereta. Kacak sungguh Adam ketika memandu, bisiknya dalam hati. Serta-merta ingatannya kembali kepada peristiwa Adam mengundurkan kereta dahulu. Betapa dekatnya jarak antara mereka. Dia sengih lagi.

Tit! Adam membunyikan hon. Yana tersedar dari lamunan. Dilihatnya Adam sedang memandangnya sambil menurunkan cermin tingkap kereta.

“Jangan nak senyum macam orang gila!” teriak Adam lalu memecut laju. Yana terpempan. Aku sedang senyum ke? Adam nampak aku senyum ke? Oops, tertangkap! Cepat-cepat dia berlari ke pintu lif.

“HEI, dahlah tu buat kerja. Tak ke mana kerja tu kalau korang hilang beberapa minit pun. Makan dulu, jom” ajak Mosaba yang terkenal dengan sikap pelahapnya itu. Memang padan dengan badannya yang gempal, dan gelarannya Si Kuat Makan. Kata nak kurus, nak bersenam, nak pergi gym, angan-angan Mat Jenin sahaja. Farrah geleng.

“Farrah, jom!” Mosaba mengajak lagi. Rakan sekerja lain sudah membontotinya.

“Korang jalan dulu. Aku nak ajak bos” Farrah munculkan diri di muka pintu bilik Adam selepas mengetuk tiga kali.

“Bos, tak makan ke?” Farrah menyoal. Sahaja bertanya. Mungkin boleh dapat makan percuma macam selalu. Hee! Adam angkat kepala pandang Farrah. Soalan Farrah membuatkan ingatannya teralih kepada bekal makanan yang disediakan oleh Yana awal pagi tadi.

“Hurm, korang pergi dulu. Kalau aku nak makan, aku turun nanti” jawabnya.

“Hurm, okey. Kalau dah bos cakap macam tu” Farrah menutup kembali daun pintu dan serentak itu Adam membuang pen yang dipegangnya di atas meja. Kepalanya disandarkan pada kerusi.

Lapar! Ya, aku memang lapar tapi kenapa aku perlu ingat bekal makanan tu? Aku boleh je turun dan join diorang makan. Kenapa perlu ada perasaan, macam bersalah ni? Urgh! Tak suka. Adam mengeluh seraya mengurut perlahan perutnya yang sudah berbunyi.

Whatever!

Kakinya pantas berdiri dan jarinya menggapai kunci kereta. Perlahan-lahan, dia membuka pintu dan melihat sekeliling. Apabila telah pasti dan yakin bahwa tidak ada stafnya di sekitar pejabat itu, dia perlahan-lahan menuruni lif dan menuju ke parkir bawah tanah yang dikhaskan untuk keretanya. Dia sengaja meninggalkan bekal makanan itu di dalam kereta. Malu apabila stafnya mengejeknya membawa bekal ke syarikat.

Adam membuka pintu kereta dan berasa gembira apabila matanya menangkap beg berisi tupperware itu masih berada di tempat asalnya seperti pagi tadi, tidak berusik. Dia sebenarnya mempunyai ketakutan apabila terfikirkan sekiranya seseorang memecahkan cermin tingkap keretanya dan mengambil bekal makanan itu sebelum sempat dia berpeluang untuk menjamahnya.

Tanpa membuang masa, kakinya melangkah cepat masuk semula ke dalam bilik pejabat. Buat masa ini, dia tidak mahu sesiapa pun tahu dia membawa bekal makanan ke pejabat. Hari lain mungkin, tapi bukan hari ini. Dia hendak sembunyikan fakta bahawa CEO dan pemilik syarikat hartanah Adam Empire membawa bekal makanan ke pejabat. Lame, hatinya menggerutu. Adam mengunci pintu sebaik sahaja sampai di bilik pejabat. Dengan gerakan yang pantas, tangannya membuka penutup tupperware itu dan menyusunnya kemas-kemas di atas meja.

Haruman masakan memenuhi segenap ruang bilik pejabatnya apabila semua penutup tupperware itu dibuka. Matanya membulat melihat makanan yang disusun cantik seperti Bento. Dia terharu dengan kesungguhan Yana. Semuanya makanan kegemarannya. Mesti dia tanya mak pasal makanan kegemaran aku. Hurm, dia memang nak gemukkan aku! Bisiknya dalam hati. Kecur liur melihat dan menghidu wangian masakan itu. Tanpa berlengah, dia membaca doa makan dan terus menyuap makanan itu masuk ke dalam mulutnya. Meski makan berseorangan, Adam makan dengan penuh lahap. Dia tidak meninggalkan sisa walau sedikit pun.

Tok, tok. Pintu biliknya diketuk.

“Bos!” panggil Mosaba. Adam kaget. Erk, mana nak sembunyikan makanan ni semua?

“Ye!” sahut Adam seraya menutup dan memasukkan kembali tupperware itu ke dalam beg coklat tersebut.

“Bos!” panggil Mosaba sekali lagi apabila dia tidak pasti samada Adam menjawab panggilannya atau tidak. Haish! Tak sabar betul si Mosaba ni. Omel Adam dalam hati. Dilangkahkan juga kakinya ke pintu dan membuka pintu tersebut.

“Apa?” terjegul muka Adam. Adam hanya melihat Mosaba yang menyengih panjang tetapi riak wajahnya berubah sesaat Mosaba melihat wajahnya.

“Eh?” Mosaba mengerutkan dahi.

“Apa?”

“Bos dah makan ke?”

“Hah?” giliran Adam pula mengerutkan dahi. Tidak faham dengan soalan Mosaba. Macam mana dia boleh tahu?

“Tu, ada butir nasi melekat kat pipi bos. Bos dah makan ke? Kenapa tak bagitahu awal-awal? Ni, Farrah suruh aku naik awal untuk bagi bos makanan ni. Kami tunggu bos turun makan kat bawah, bos tak turun-turun. Ingatkan bos tak makan lagi. Kalau tak, aku nak stay lama sikit kat restoran tu” panjang lebar jawapan Mosaba. Sempat menyelitkan kekecewaannya kerana tidak dapat berlama-lama duduk di restoran sambil bercerita dengan rakannya yang lain.

Adam berdehem. Kantoi! Rancangannya untuk menyembunyikan kenyataan bahawa dia membawa bekal makanan ke pejabat tidak menjadi. Gara-gara masakan Yana yang sangat sedap! Lantas, Adam berpura-pura membersihkan mukanya dengan tisu yang diambil atas meja.

“Ehem! Aku dah makan. Isteri aku bekalkan makanan untuk aku awal pagi tadi sebab aku tak sempat sarapan” perlahan sahaja penjelasannya.

“Eh, bestlah bos. Ada orang nak bagi bekal tiap hari. Jimat” Mosaba melangkah masuk ke dalam pejabat Adam. Adam membuat kesimpulan sendiri, isterinya dah Mosaba punya pemikiran yang sama. Memang pelahap fikri macam tu ke? Fikirnya tetapi hanya didiamkan dalam hati.

“Patutlah harum mewangi je bilik bos ni” sambung Mosaba lagi sambil berjalan ke meja apabila terlihat beg coklat tersebut. Tangannya pantas sahaja membelek-belek ke dalam tupperware itu. Adam memamdang sahaja gelagat Mosaba. Memang dia tahu benar mengapa Mosaba dikatakan pelahap! Pantang terhidu wangian berunsur makanan, mukanya pasti ada.

“Lain kali kongsilah dengan kami bos. Nak juga merasa air tangan isteri bos. Tak pun, bos buat kenduri ke. Kitorang boleh datang makan. Asyik makan kat tempat sama je setiap hari, bosan juga” Mosaba menyengih.

“In Shaa Allah. Tak payahlah kau belek-belek bekas tu. Aku dah habiskan semua” Mosaba mengeluh hampa.

“Bos nak lagi ke makanan ni?” dia mengangkat plastik yang berada di tangannya.

“Kau makan jelah”

“Thanks boss!” Mosaba ketawa besar seraya meninggalkan Adam. Tanpa disedari, bibirnya menguntum senyum lebar. Rancangannya untuk tidak memberitahu stafnya tentang membawa bekal ke pejabat, tak jadi! Dalam hati dia punya rancangan baru.

ADAM mendekati Yana yang sedang memotong isi ayam kepada kepingan kecil. Kata Yana, hendak makan spaghetti carbonara, dah lama tak makan. Siap pesan untuk beli keju parmesan sebelum sampai ke rumah. Boleh-boleh isterinya itu terlupa beli bahan penting untuk masak menu tersebut? Terpaksa dia balik awal untuk membeli benda itu. Hendak mencari kat kedai pun susah! Berjam dia mencari sebelum terlihat perkataan Parmesan Cheese pada botol.

“Yana” panggil Adam perlahan. Yana menoleh. Lain benar panggilan Adam, seperti berniat hendakkan sesuatu.

“Apa?” Yana kembali memotong isi ayam itu.

“Aku ada benda nak minta tolong kat kau ni...”

Hurm... Begini gaya sebenar Adam bila nak minta sesuatu, lembut je suara dia. Aku pula yang tak dapat nak kata tidak. Dah tak ada dah ‘aku dah besar panjang, kau tak perlu risaukan aku macam mak ayah aku’. Yana berbisik.

“Apa?” Yana sekali lagi menyoal.

“Esok...”

“Esok, kenapa?”

“Esok kita buat kenduri nak?”

“Nak buat kenduri untuk apa pula?” Yana berhenti daripada memotong isi ayam itu. Dia memandang Adam, meminta kepastian.

“Takdelah. Esok tu adalah hari keramat aku. Hari aku dapat jantung baru, hari aku kena operate dulu. Aku cuma nak buat kenduri doa selamat, jadi nak minta tolong kau masak. Aku jemput staf aku datang je, boleh ke?” Mata Yana membulat. Dah lama rupanya masa itu berlalu. Kenapa pula tak boleh? Masak je, kan? Dia lebih banyak tolong aku sebelum ni.

“Boleh. Kenapa pula tak? Nak aku masak apa?” Yana senyum. Memang impiannya untuk menolong suaminya itu. Adam sahaja yang selalu menolak pertolongannya.

“Kau pilih je apa-apa menu. Aku tak reti...”

“Okey. Hurm, kenduri tu mula pukul berapa?”

“Lepas Maghrib. Esok aku balik awal sikit. Minta staf aku datang lepas Maghrib. Boleh juga aku tolong sediakan apa yang patut”

“Berapa ramai orang yang kau nak jemput ni?”

“Satu syarikat!”

“Hah?! Nak masak untuk satu syarikat? Mana nak cari tenaga pekerja?”

“Janganlah terkejut beruk sangat. Syarikat aku kecil jelah...”

“Cakaplah awal-awal. Jadi, dalam berapa orang?”

“Dalam lima puluh? Okey, ke?”

“Okeylah. Janji tolong aku esok, tau? Kena balik awal” ugut Yana. Dalam hatinya gembira kerana Adam akan balik awal esok.

“Okey!” Yana kembali meneruskan kerjanya pula.

“Yana, aku nak makan jugak eh?” pecah ketawa Yana mendengar suara Adam. Seperti kanak-kanak yang tak pernah jumpa makanan.

“Ye, jangan risau. Aku memang masak untuk kita berdua. Ingat aku ni kejam sangat ke tak bagi kau makan?” Adam ketawa.

“Panggil bila makanan dah sedia ye”

“Ye, dah sana. Kau ganggu konsentrasi aku masak”

“Ye ke? Sebab aku hensem sangat ke?” cepat-cepat Yana menjegilkan mata memandang Adam. Tidak habis-habis dengan ayat hensemnya itu! Huh!

“Ya Allah! Boleh tak jangan perasan yang kau ni hensem sangat?!”

“Tapi, aku memang hensem, kan?” Adam mengekek ketawa seraya berjalan ke ruang tamu meninggalkan Yana yang memandang dengan pandangan yang tajam. Lama-kelamaan, pandangan Yana bertukar lembut. Haihlah, badan. Kahwin dengan orang hensem yang selalu cakap diri hensem. Apa boleh buat? Nasib baik memang hensem! Yana kuntum senyum dan terus meneruskan kerjanya yang tertangguh.

“MAKAN, jangan malu-malu, ya” Yana menghampiri tetamu yang baru datang. Bersalaman sambil berborak sedikit di muka pintu sebelum mengajak tetamu untuk menjamah makanan yang sudah terhidang di atas meja. Adam yang memakai baju Selangor berwarna hitam, berkain pelikat dan bersongkok berdiri di sisinya.

“Takut...” bagitahu Yana mengalihkan pandangan ke arah Adam.

“Apasal pulak?” Adam menyoal Yana sambil memberikan senyuman kepada staffnya.

“Takut makanan tak cukup. Awak kata dalam lima puluh orang je, aku pun anggarkan sikit je”

“Jangan risau. Masih ada kat dapur, kan?”

“Adalah sikit. Tu yang merisaukan tu”

“In Shaa Allah, cukup” balas Adam selamba. Dia takut menjatuhkan air muka Adam apabila makanan tak cukup, tapi Adam selamba sahaja. Dia pula yang jadi geram.

“Bos, kami balik dulu. Anak-anak aku ni pun dah tidur” Farrah ingin beransur pulang sambil mendukung anaknya, Asyraf. Anak pertamanya Ariffin pula didukung oleh suaminya.

“Kesiannya. Mesti penat tunggu kau habis makan, ye tak? Asyik menambah je tak ingat anak yang nak tidur” Farrah ketawa mendengar seloroh Adam.

“Memang aku makan dah tak ingat dunia, bos. Sedap sangat! Untung bos!”

“Aku memang selalu untung” Adam menyengih. Berhambur ketawa dua tetamu di hadapannya. Adam bersalaman dengan Nik Azman dan Yana bersalaman dengan Farrah.

“Bos memang selalu macam tu. Suka bangga diri” Farrah berbisik sambil pura-pura menjeling kepada Adam. Yana senyum.

“Dah tabiat dia, kan?” soal Yana. Sejak tinggal dengan Adam, dia maklum dengan tabiat Adam yang satu itu.

“Tau jugaklah ni?” pecah ketawa Farrah.

“Dah tinggal dengan dia mestilah tahu” Yana sengih.

“Cakap pasal apa ni?” Adam menyampuk.

“Takde tapi kalau bos nak tahu, tanya dekat isteri bos. Okeylah, bos, Yana. Balik dulu ye, assalamualaikum” Farrah terus memakai sandal dan mengekori suaminya dari belakang.

“Waalaikumsalam” balas dua tuan rumah itu.

“Bos!” panggil pula satu suara dari arah belakang. Yana dan Adam pantas menoleh.

“Ada tak lagi sambal ni? Naklah” Mosaba membuat muka kasihan sambil mengangkat bekas sambal yang telah habis licin.

“Eh, ada. Kejap ye. Aku tambahkan” Yana terus menghilang di sebalik dapur. Lain orang yang ditanya, lain yang menjawab. Satu perkara biasa bagi tuan rumah.

“Bos, boleh bawa balik rumah tak? Tak perlulah aku makan makanan tin atau maggi esok. Panaskan je lauk pauk yang aku tapau dari sini” ujar Mosaba yang masih bertenggek di meja hidangan, menunggu sambalnya datang dari dapur.

“In Shaa Allah, kalau berbaki kau bawalah semua”

“Ni yang aku suka sangat kerja dengan bos ni. Dahlah considerate, pemurah lagi” Mosaba melebarkan senyumannya.

“Hurm, yelah tu. Jangan nak bodek aku, aku tak makan bodek-bodek orang ni” tegas Adam.

“Padan muka, Mosaba! Suka sangat nak bodek” sampuk Haliza yang sedang duduk kekenyangan. Ruang tamu itu terus dipenuhi dengan gelak ketawa. Tahu sangat dengan gaya Mosaba yang akan bermanis muka dengan senyuman melebar hingga telinga apabila meminta sesuatu. Bukan Mosaba namanya kalau bukan meminta.

“Yelah, tahulah aku ni pekerja kesayangan, bos”

“Perasan!” balas Haliza lagi. Sekali lagi pecah tawa mereka yang duduk di ruang itu. Suka dia mengenakan Mosaba yang agak-agak lembut itu. Lembut dan kedekut!

“Eh, korang tak tahu ke maksud disebalik kenduri bos ni? Sebab akulah! Aku yang request!”

“Memang kau perasanlah, Mosaba” Adam menggeleng.

“Eh, tak ke bos?” Mosaba menyengih.

“Eh, bos apa kata hujung minggu ni kita main futsal? Dah lama tak main. Aku nak satu team dengan bos”

“Boleh jugak! Aku pun dah lama tak main. Okey, set! Kau aturkan!” Mendengar persetujuan dari Adam, Mosaba terus gelak besar.

“Eh, kau dah kenapa ni, Mosaba?” Haliza menyoal lagi, berasa pelik dengan Mosaba.

“See? Bos setuju je kalau aku yang usulkan. Hujung minggu ni kita main futsal!” teriaknya. Kebanyakan tetamu lelaki yang hadir bersorak gembira.

“Ye ke, bos? Jadi, kalau tak nak join, boleh balik awal, kan?” tanya Haliza pula.

“Kalau tak nak join, buat kerja kat pejabatlah” Adam menjawab menyebabkan Mosaba sekali lagi ketawa mengekek. Mengejek.

“Ala, bos...” jawapan Adam menyebabkan beberapa pekerja perempuannya muncungkan bibir. Tak adil!

“Siapa cakap dunia ni fair?” jawapan Adam membuatkan semua staf lelaki sekali lagi bersorak seperti kelab bola sepak mereka baru sahaja menjaringkan gol terhebat abad ini.

“Kau tak nampak tu, Liza? Aku ni memang kesayangan bos” Haliza mencebik.

“Ni sambalnya” Yana muncul dari dalam dapur seraya berjalan ke arah Mosaba seraya meletakkan bekas berisi sambal itu di atas meja.

“Terima kasih” ujar Mosaba, terliur dengan aroma yang datang dari sambal tersebut.

“Makan ye. Jangan malu-malu” Adam yang sedang duduk, senyum melihat tingkah Yana melayan tetamunya. Lembut dan ramah sahaja. Lagaknya seperti seseorang yang sudah menjadi tuan rumah beribu kali. Hatinya diulit bahagia. Dalam diam dia berbisik, tidak ada apa lagi yang dimahukannya dalam dunia ini. Yana melengkapkan dunianya. Yana dunianya. Dia pasti tentang perkara itu. Tanpa sedar, Adam senyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience