BAB 6

Romance Completed 21965

“AKAK!” panggil Isaac tersengih-sengih sambil memasuki bilik Yana lantas melabuhkan punggung di sisi katil kakaknya itu. Yana memandang adiknya penuh curiga. Dia tahu niat adiknya datang ke biliknya, mahu mempersendakannyalah tu! Dia tahu sangat topik yang bakal diutarakan oleh adiknya.

“Zek dan lama tahu Adam tu suka kat akak” Isaac memulakan mukaddimah. Isaac ketawa mengekek. Membuat gaya monyet yang menggaru-garu dada dan ketawa seperti seekor monyet. Geram Yana dibuatnya! “Tak sangka pulak dia berani sangat datang merisik,” sekali lagi Isaac membuat gaya monyet itu. Adiknya ini memang nak kena!

“Kenapa tak bagitahu dia nak datang? Kelam kabut tadi. Nasib baik akak dah plan nak masak apa hari ni. Nasib baik ada barang mentah kat dapur tu kalau tak, buat malu je. Dan, nasib baik jugak mak dan ayah ada kat rumah. Kalau tak, siapa nak layan diorang semua tu? Lain kali, fikir panjang sikit,” Yana sangat tidak puas hati dengan adiknya itu sehingga banyak sangat frasa ‘nasib baik’ keluar dari mulutnya. Adiknya berahsia perkara yang sepatutnya dihebahkan.

“Zek sendiri pun tak tau dia nak datang. Baru dua kali jumpa dia, tiba-tiba dia dah tercegat depan rumah bawa keluarga sekali. Wei, lelaki gentleman tu kak, susah nak cari. Jaid, jangan lepaskan. Kalau Zek, lebih senang terjun bangunan daripada kumpulkan semua ahli keluarga nak datang merisik. Takut!” Isaac menyokong tindakan berani yang dilakukan oleh Adam. Kalau dia sendiri pun kecut perut! Memang berani betullah bakal abang iparnya itu.

Erk, akak aku nak ke dengan dia? Arghh, takde-takde. Aku akan tolong Adam, tekadnya.

“Akak tahu. Kau suka kat dia sebab kau gay, kan?” Yana mengekek ketawa. Isaac mencebik, tidak suka apabila kakaknya salah tafsir apa yang dimaksudkannya.

“Hish, akak ni! Kalau Zek betul-betul jadi gay karang, akak tak mengaku adik pulak.”

“Tau takpe!” Yana mencubit kuat lengan adiknya, bagi rasa sikit. Isaac mengaduh panjang. Kakaknya memang suka mencubit. Dari kecil hingga besar panjang macam ni, dan mangsa cubitannya adalah dia.

“Tapi Adam tu memang gentlemanlah kak, terima jelah dia. Akak kena let go, dah berbulan dia pergi.”

“Shh! Keluar. Kalau kau nak cakap pasal benda tu, baik kau keluar,” huh! Adiknya kembali mengingatkannya kepada seseorang yang telah pergi. Seseorang yang pernah menyuntingnya menjadi isteri melalui mesej di malam hari. Berbeza betul dengan Adam yang terus bertandang ke rumahnya meskipun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Dalam diam, dia berasa dihormati. Err, apa aku sedang buat ni? Membandingkan ke? Dia cepat-cepat membuang fikiran yang sedang bermain dalam mindanya itu. Dia tidak mahu bercakap tentang perkara itu, let the past in the past.

“Lepaskan yang dah pergi, akak...”

“Dah, dah. Keluar. Akak tak nak dengar nasihat kau tu. Kau tu pun apa kurangnya. Bukannya pernah ada makwe nak nasihat-nasihat akak dalam hal macam ni. Pergi dapatkan seorang makwe supaya kau tak asyik nak cakap apa-apa problem kau dengan akak,” Yana menarik tangan adiknya keluar. Terasa seperti menarik pemberat yang beratnya adalah dua kali ganda dari beratnya. Pemberat yang tinggi pulak tu, memang ikut gene ayah betul. Tak aci! Sesuatu perkara yang dia tidak suka dengan adiknya, tinggi! Jealous. Yana tidak pernah berpuas hati dengan ketinggiannya meski banyak lagi rakannya yang lebih pendek dari dirinya.

Manusia memang tidak pernah bersyukur. Entah hendak makan apa untuk meningkatkan ketinggian dia sendiri tidak ada idea. Tetapi yang pastinya, dia ketinggiannya tidak akan bertambah lagi, dah dua puluh tujuh tahun kot! Mimpilah nak tinggi lagi. Isaac berdiri membatu melihat kakaknya menolak dirinya. Belum sempat dia memberi nasihat, sudah ditolak. Meskipun ditolak, Isaac hanya beranjak dua, tiga sentimeter. Lama-kelamaan, Yana berhenti daripada berbuat demikian. Dia mengeluh penat.

“Zek harap akak terimalah dia tu. Bila lelaki dah datang rumah, tu maknanya dia serius dan takkan ada orang yang akan buat begitu lagi selain dia. Hari tu Zek nampak dia asyik pandang akak dari dalam kereta masa akak tengah susun buku. Zek faham pandangan tu meskipun Zek sendiri belum pernah bercinta. Zek tau pandangan orang yang dilamun cinta ni,” Isaac berubah serius.

“Pandailah kau. Cuba buat pandangan orang yang dilamun cinta. Akak nak tengok juga kehebatan doktor cinta yang tak pernah bercinta ni,” Yana bercekak pinggang, matanya ditajamkan memandang Isaac seraya mengangkat keningk kirinya. Isaac mengecilkan mata memandang kakaknya. Kepalanya diangkat ke atas dan hidungnya dikerutkan hampir berjaya. sebelum kakaknya gelakk kuat. Yana mengalah. Pecah ketawanya melihat adiknya membuat pandangan begitu. Sudahlah dengan muka yang cengkung seperti tidak cukup makan, memang akan membuat sesiapa sahaja ketawa yang melihatnya.

“Akak tak patut ketawa. Zek dah hampir berjaya dah tadi,” Isaac mendengus. Berpura-pura rasa tidak seronok bermain dengan orang yang cepat tergelak dengan wajahnya itu. Dia tahu, setiap orang akan mentertawakannya apabila dia berbuat demikian. Apatahlagi, rakan-rakannya.

“Zek tak sangka niat dia hantar Zek hari tu sebenarnya nak cari akak tinggal kat mana. Dia betul-betul gunakan tracking device dia,” Isaac menganggukkan kepalanya beberapa kali sambil bertepuk tangan lantas duduk semula di sisi katil kakaknya. Yana turut sama duduk, tiba-tiba rasa ingin tahunya melonjak naik. Dia mahu mendengar cerita daripada adiknya dengan lebih mendalam.

“Apa maksud Zek ni? Trakcing device apa?” soal Yana tidak faham.

“Takdelah. Zek cakap je tu. Takde maksud apa pun. Tapi...” Isaac berhenti dan dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu yang sangat penting.

“Apa?”

“Zek rasa pelik sebenarnya sebab dia tiba-tiba berhenti depan kedai. Bila dia keluar dari kereta, Zek nampak dia macam dalam kesakitan yang amat sangat. Dia pegang dada dan terus duduk. Zek pergilah dekat dia, papah ke kerusi dan berikan segelas air. Lepas tu, bila Zek nak balik, dia offer nak tumpangkan. Dalam kereta tu, dia siap tanya samada kedai tu milik Zek atau tak. Zek bagitahulah, kedai tu milik akak. Tiba-tiba esoknya, Zek jumpa dia nak masuk dalam kereta berdekatan kedai. Dia kata dia cuma singgah beli buku. Waktu nilah, Zek tangkap dia curi pandang dekat akak. Tup-tup hari ni, dia datang rumah merisik akak pula. Zek rasalah, dia memang dah kemaruk gila dengan akak. Dia nak buat semuanya macam destiny,” cerita Isaac panjang lebar.

Isaac kemudiannya menggosok dagunya perlahan menggunakan tangan kanan. Berlagak seperti seorang Detektif terhebat Sherlock Holmes yang tengah berusaha memikirkan jalan penyelesaian suatu kes jenayah yang komplikated. Yana yang mendengar hanya terdiam. Dia tidak menyangka adiknya menceritakan sesuatu kisah cinta seperti seperti yang terdapat dalam filem cinta tipikal. Perbezaannya cuma dia, adiknya dan watak utama, Adam adalah watak-watak dalam filem tak berskrip tersebut.

“Pelik dan menyeramkan pula akak dengar.”

“Takde yang pelik dan menyeramkan pun, kak. Biasalah tu bila lelaki dah mula serius mencari pasangannya,” Isaac ketawa lagi.

“Geli akak dengar kau cakap begitu. Eeee...” Yana berpura-pura menjarakkan diri dari adiknya. Badannya ditarikan seperti jeli. Pandangan Isaac jatuh di atas kotak baldu yang terletak baik di atas meja solek kakaknya. Dia lantas berdiri dan mengeluarkan isi kotak baldu tersebut, sebuah cincin berlian oval satu karat.

“Akak tak berkenan dengan cincin tu, simpan balik. Esok akak nak pulangkan. Kalau hilang, kau jadi hamba akak seumur hidup,” ugut Yana. Adiknya ini tidak boleh dipercayai. Disimpannya cincin tersebut diam-diam dan dia nanti yang kena cakap ‘I do’ kerana tidak dapat mengembalikan cincin tersebut. Isaac meluru ke arah Yana dan memberikan cincin itu kepadanya.

“Akak belum try, kan? Try dulu. Zek janji Zek keluar kalau akak pakai cincin tu.”

See? Adiknya penuh dengan agenda nakal. Yana memandangnya tidak percaya.

“Zek janji Zek keluar kalau akak cuba cincin ni.”

“Janji?”

“Selama Zek hidup, pernah ke Zek tak kotakan janji Zek kat akak?”

“Banyak kali.”

“Yelah, yelah. Banyak kali. Cuba jelah,” Isaac mengalah akhirnya. Dia akui sendiri, banyak kali dia tidak kotakan janji kepada kakaknya . Tetapi kebiasaannya, dia akan cuba kotakan janji tersebut, seperti kali ini. Yana mengambil cincin itu lambat-lambat. Dia tahu adiknya akan mengotakan apa yang dikatakannya tetapi, dia perlu lakukan sesuatu sebagai balasan kepada apa yang bakal dikotakan adiknya. Everything has price! Kata si adik. Memang begitu sikap adiknya sejak mereka kecil lagi. Akhirnya, dia sarungkan juga cincin itu di jari manisnya. Isaac berteriak kegembiraan sambil melompat-lompat. Menyakitkan telinga betul!

“Wow, what a perfect fit!” bilik itu dipenuhi oleh ketawa keterujaan Isaac. Yana tidak menjangkakan bahawa cincin tersebut betul-betul muat dengan jari manisnya. Cepat-cepat dia menarik keluar cincin tersebut dan menyimpan kembali dalam kotak baldu. Dia sendiri terkejut. Tetapi, reaksi adiknya ini melebih-lebih!

“Dahlah. Keluarlah, Zek. Akak nak rehat,” Yana menolak perlahan adiknya. Kali ini Isaac betul-betul mengikut tolakan kakaknya.

“Nak bersendirian eh? Nak fikirkan masa depan dengan Adam ke?”

“Hmph! Takde kaitan.”

“Zek setuju sangat dia jadi abang ipar Zek!” Isaac berteriak agar boleh didengari oleh kakaknya. Sempat Isaac berseloroh sebelum daun pintu betul-betul ditutup pada batang hidungnya. Yana hanya menggeleng. Adiknya tidak akan pernah habis-habis mengenakannya selagi dia tidak memberi kata putus. Namun keputusan sudah dibuat. Dalam keputusannya itu dia telah membuat rancangan untuk berjumpa dengan Adam. Dia tekad.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience