Panggilan masuk daripada Alyssa terus diangkatnya.
“Hello, Assalamualaikum“ ucap Sara dengan suara yang sedikit serak.
“Amboi Sara Adlina, mesti kau tidur je kan dalam kereta” sindir Alyssa selepas menjawab salam. Sara terus ketawa kecil.
“Takkan kau tak kenal aku Lyssa“ jawab Sara mengiyakan sindiran Alyssa.
“Mesti Firash tak ada kat sebelah kau kan sampaikan keluar perangai tiga suku kau ni” serkap Alyssa lagi.
“Pandai mak buyung ni teka. Dia keluar pergi beli snek sekejap. Eh kau tak bertolak balik lagi ke?”
“Erm, baru nak bertolak balik la ni. Mama, Ibu dan Ana fuhhh, trio shopaholics! Semua benda nak dibeli mereka. Lelah aku dengan Iz asyik ikut kaki mereka je” cerita Alyssa. Tergelak lagi Sara dibuatnya.
“Biarlah mereka. Bukan selalu dapat peluang macam tu. Haish, kesian kat Iz malam nanti. Kena jadi tukang urut kaki kau“ gurau Sara.
“Haha, semestinya. Aku sakit belakang kalau nak bongkokkan badan“ luah Alyssa.
“Kau kan mengandung. Biasalah for the first time. Nanti lama-lama dah terbiasalah“ balas Sara cuba menenangkan Alyssa.
“Oit Sara, kau okey tak sebenarnya balik dengan Firash berdua je?“ tanya Alyssa. Memang itu niatnya semasa menelefon Sara.
“Erm okey aje. Why?“ Sara pelik.
“Hihi, aku bukannya apa. Dari semalam lagi korang nampak macam tegang sikit. Betul lah ni korang tak gaduh?“ soal Alyssa ingin tahu.
“Ish tak adalah, aku dengan dia okey je” nafi Sara. Terdiam Alyssa dengan reaksi Sara.
“Orait la kalau macam tu. Tapi aku nak pesan sikit, kalau ada misunderstanding, cepat-cepat selesaikan. Jangan biarkan melarat, nanti makin complicated“ pesan Alyssa ikhlas.
“Haha iya lah mak buyung! Terima kasih kerana mengingatkan” perli Sara yang pelik dengan pesanan daripada Alyssa itu.
“Nanti kalau dah sampai KL, inform aku tau” pesan Alyssa lagi.
“Iya iya, aku tahu lah. Tak usah risaukan aku, ingat aku ni still budak kecil lagi ke?“ perli Sara. Alyssa pula dah tertawa kecil.
“Kau kan bff aku. Mestilah aku risau”
“Oit, kau tu yang perlu dirisaukan. Jangan kuat melantak makanan sangat, tak bagus untuk kandungan“
“Kau ni macam tahu-tahu je aku sedang melantak keropok lekor cheese” ujar Alyssa. Sara pula hanya ketawa.
Sara membetulkan duduknya apabila Firash yang baru selesai membeli snek sudah masuk ke dalam kereta.
“Tak apalah Lyssa, aku letak dulu eh? Pesan dekat Iz tu bawa kereta elok-elok“
“Orait Sara. Kau tu pun jangan asyik tidur je! Teman Firash yang sedang memandu tu” usik Alyssa. Sara ketawa kecil.
“Aku tahulah! Ish, kau ni! Dah dah, chauu dulu. Assalamualaikum“ ucap Sara sebelum menamatkan panggilannya. Dia berpaling ke arah Firash yang sedikit basah akibat terkena tempias hujan.
Lantas dia mengambil sepaket tisu di dalam handbagnya lalu diserahkan kepada Firash. “Nah, ambil ni. Kenapalah kau tak bawa payung? Kan dah basah“
Firash terus mengambil tisu itu daripada Sara.
“Thank you“ Sara hanya mengangguk. Kerisauan di wajahnya jelas terpancar kerana baju yang dipakai Firash masih lagi basah.
“Kau ambil balik lah sweater ni. Basah sangat baju kau ni, nanti kau pula yang kesejukan. Boleh demam tau“ kata Sara lalu bersedia untuk menanggalkan sweater Firash daripada tubuhnya.
“Eh, tak usah. Aku ada baju lebih. Kalau tak tahan sejuk sangat, aku tukar” halang Firash sambil memegang lengan Sara. Terhenti seketika perbuatan Sara.
“Ermm, okey“
“Nah“ kata Firash sambil menghulurkan hot Caramel Cappucino kepada Sara.
“Nasib baik ada Mc Cafe dekat sini. Dapatlah kurangkan sikit kesejukan tu kalau minum kopi panas ni. Aku tak tahu kau suka apa, so aku beli je” sambung Firash lagi.
Sara tersenyum tanpa sedar. “Thank you“ ucapnya sambil mengambil kopi dari tangan Firash.
********
Pukul 11 malam, baru lah kereta Izham memasuki pintu pagar rumahnya.
Izham mengangkat handbrake sebelum dia mematikan enjin kereta. Dia berpusing ke belakang lalu mengejutkan Datin Salmah, Syazana dan Mama yang sedang nyenyak tidur di kerusi belakang.
“Ana tidur sini dulu eh malam ni? Esok Abang Iz hantar pulang. Abang Iz pun dah cakap dekat papa yang Ana tidur sini dulu malam ni” kata Izham setelah Syazana terjaga dari lenanya.
“Okey, Abang Iz. Terima kasih“ ucap Syazana sebelum mengikuti Datin Salmah dan Mama melangkah masuk ke dalam rumah.
Setelah memastikan hanya dia dan Alyssa sahaja yang tinggal di dalam kereta, Izham terus menatap wajah Alyssa yang masih lena. Dia mengelus lembut wajah Alyssa yang masih lagi kemerahan akibat menangis teruk tadi.
Izham mengeluh kecil. Kesian pula Alyssa yang teruk dimarahinya tadi.
“Sorry sayang, abang bukan marah sayang. Abang takut sangat tadi, abang hampir kehilangan sayang dan baby tadi” bisik Izham sayu.
Kejadian di rehat dan rawat tadi kembali berlayar di ingatan Izham. Mereka singgah sekejap di sana untuk mengisi perut dan berehat seketika.
Baru sahaja mereka menyeberangi jalan untuk ke kedai, Alyssa terus melonggarkan genggaman tangannya.
“Abang, Lyssa rasa dompet Lyssa tercicir dekat pintu kereta la. Lyssa nak pergi ambil jap” kata Alyssa dan terus berpusing untuk melintasi jalan.
‘Pponnn!‘ panjang hon yang dibunyikan oleh sebuah kereta kerana terkejut Alyssa tiba-tiba muncul di jalan.
Sekelip mata sahaja tangan Alyssa ditarik dan jatuh ke dalam dakapan Izham.
“Ya Allah Lyssa!“ jerit Mama yang masih lagi terkejut dengan kejadian tadi. Hampir-hampir sahaja Alyssa dilanggar oleh kereta yang sedang dipandu laju.
Izham terus sahaja melonggarkan pelukan dan memegang bahu Alyssa. Matanya memandang tepat ke arah Alyssa.
“Lyssa memang tak pandang kiri kanan dulu kan sebelum nak lintas jalan?“ marah Izham. Alyssa diam tidak berkutik.
“Bukan hari ni je tau, dulu pun macam ni jugak. Kalau abang tak bertindak pantas, tak tahu lah apa nak jadi“ kata Izham sambil meraup mukanya.
“Ma..af bang“ ucap Lyssa yang masih lagi terkejut. Takut dia melihat mata suaminya yang mencerlung tajam.
“Alyssa tu mengandung! Keselamatan Lyssa keselamatan baby jugak! Ingat sikit yang dalam perut Lyssa tu ada nyawa” tengking Izham lagi.
Datin Salmah dan Mama mula merapati Alyssa.
“Dah la tu Iz, Lyssa pun masih terkejut lagi tu” ucap Datin Salmah cuba menenangkan emosi Izham.
“Lyssa boleh je cakap kat abang yang dompet Lyssa jatuh. Abang boleh tolong ambilkan“ sambung Izham lagi sambil mendengus kasar.
Alyssa cuba meraih tangan Izham tapi suaminya lagi pantas menepis.
“Lyssa fikir balik apa kesalahan Lyssa. Abang nak Lyssa sedar so that, this incident will not happen again in future” pesan Izham keras sebelum berlalu pergi.
Alyssa terus meluru ke arah Mama dan memeluknya. “Mama, abang marah Lyssa. Dia tak sayang Lyssa” tersedu-sedan dia di dalam pelukan Mamanya.
Alyssa yang bergerak-gerak dalam tidurnya itu menyedarkan Izham dari lamunan. Rasa kasihan menjengah hatinya melihat Alyssa meringkuk kesejukan.
Izham keluar dari kereta dan menuju ke arah pintu Alyssa. Tidak sampai hati mahu mengejutkan lena isterinya, Izham berniat untuk menggendong Alyssa sahaja. Baru sahaja tangan Izham menyentuh bahu Alyssa, isterinya itu sudah tersedar dari tidur.
“Abang baru nak angkat sayang” ujar Izham sambil tersenyum.
“Kenapa tak kejut Lyssa je? Lyssa boleh jalan sendirilah” dingin sahaja Alyssa membalas.
Berubah riak muka Izham bila Alyssa sudah menepis perlahan tangannya. Pasti Alyssa sudah merajuk dengannya.
Melihat Alyssa yang terkial-kial hendak bangun, Izham lantas membantu isterinya.
“Lyssa boleh buat sendiri” tepis Alyssa lagi.
“Okay, sorry for that. Abang cuba nak tolong sayang je” Izham menjauhkan dirinya bagi memberikan ruang kepada Alyssa.
Alyssa hanya berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan suaminya terkulat-kulat. Biar Izham je yang angkut beg seorang diri!
Alyssa melangkah ke dapur untuk menghilangkan rasa dahaganya. Perutnya yang sudah kelihatan membukit itu diusap perlahan.
“Kesian baby mummy. Baby lapar pisang goreng tapi daddy tak berhenti pun dekat gerai tepi jalan tadi” ujar Alyssa masih dengan rajuknya.
Tadi Alyssa meminta Izham untuk berhenti di mana-mana gerai yang ada jual pisang goreng. Tapi disebabkan Izham masih marah dengannya, lelaki itu hanya buat derk sahaja dengan permintaannya. Sedih tau bila tak dapat makan pisang goreng!
Izham yang sebenarnya turut mengikuti langkah Alyssa ke dapur itu sudah tersenyum kecil mendengar luahan hati Alyssa. Isterinya itu merajuk kerana tidak dapat makan pisang goreng rupanya.
“Ala sorry baby. Nanti esok daddy belikan pisang goreng yang baby nak ya” Izham merapati Alyssa dan menyentuh perut isterinya.
Alyssa mendengus kecil. Pantas saja dia melarikan diri dari Izham. Tapi tangan Izham lagi laju menarik tangannya.
“Stay here first. Abang nak buatkan susu. Jangan bantah, ini demi kesihatan baby dalam kandungan sayang tu” pesan Izham awal-awal. Dia tahu, kalau tak disebut anak dalam perut Alyssa, pasti isterinya itu menolak untuk minum.
“Cepat sikit buat tu. Lyssa dah mengantuk” lambat-lambat Alyssa melabuhkan punggungnya di kerusi.
“Iya. Bancuh susu ni sekejap je lah sayang” Izham tersenyum. Tangannya ligat mengacau susu di dalam gelas.
“Nah! Minum sampai habis” arah Izham.
Nak tak nak, Alyssa yang tidak suka minum susu itu terpaksa juga meneguk sampai habis. Dia rasa Izham sengaja bancuh susu dalam gelas panjang malam ini. Biasanya dia diberikan susu di dalam gelas pendek saja.
“Good girl” puji Izham bila Alyssa menyerahkan gelas kosong sahaja kepadanya.
“Lain kali janganlah buat susu dalam gelas panjang macam ni. Loya tekak Lyssa nak teguk sampai habis” adu Alyssa geram.
“Untuk hari ni saja, jangan risau. Tadi kan sayang tak makan apa-apa”
“Dah abang yang tak nak bagi Lyssa makan. Lyssa merajuklah”
“Sayang yang request nak makan maggi kari. Mesti lah abang tak bagi. Tak baik untuk kesihatan lah. Bukan untuk sayang je tapi untuk baby juga” Izham mencubit geram pipi montel Alyssa.
“Huh, asyik-asyik untuk baby. Memang abang dah tak sayangkan Lyssa” rajuk Alyssa lagi.
Sedih apabila Izham asyik berkata demi bayi di dalam kandungannya sahaja. Tidak mahu menunjukkan wajah sedih di hadapan Izham, Alyssa terus berlalu ke bilik tidur mereka.
“Sayang…” panggil Izham bila Alyssa dah salah faham. Bila Alyssa tidak menyahut, Izham sudah tergeleng-geleng.
Memang merajuk sangat isterinya itu. Terpaksalah dia mengadakan sesi pujuk memujuk Alyssa selepas ini.
Share this novel