40

Romance Completed 28229

“Aaa Lyssa, tolong aku! Tak boleh buka mata, pedih!” jerit Sara menahan kepedihan. Air mata pula mengalir laju di pipi mulus Sara.

Alyssa sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat Sara. Tak terlintas pun di hatinya untuk membantu sahabatnya itu.

“Mia, tolong Kak Sara” rengek Sara lagi. Tapi Alyssa menahan Mia dari bertindak.

“Ya Allah budak-budak ni! Kesian Sara korang buli dia. Mia, bawa Kak Sara kamu tu basuh muka” Nek Wan sudah bercekak pinggang sambil menggelengkan kepalanya perlahan.

“Jom Kak Sara” Mia memimpin tangan Sara yang masih memejamkan mata itu.

“Ala Nek Wan, masa ni lah kita nak latih Doktor Sara tu memasak. Nak jadi isteri mithali kan? Takkan potong bawang pun dah menangis macam tu” Alyssa mencebik. Dia masih lagi senang hati melihat kesengsaraan Sara.

“Tahulah nak latih. Tapi kalau dah buat anak orang sampai sengsara, tu dah mendera namanya! Haish, makin pening Nek Wan nak layan kamu Lyssa” Nek Wan sambung mengacau gulai ayam kampung di atas dapur. Tak kuasa dia nak melayan Alyssa yang semakin nakal.

Sara kembali ke meja dengan mata yang kemerahan. Satu pandangan tajam diberikan kepada Alyssa. “Huh, hampeh lah kau ni Lyssa! Bergembira atas kesengsaraan orang lain. Kau tunggu, nanti aku balas dendam!” ujar Sara geram.

Ada ke patut Alyssa membulinya untuk mengupas seguni bawang merah! Matanya dah lah cepat berair kalau hidu bau bawang merah. Bawang putih dia boleh lah tahan lagi. Ini seguni bawang merah. Kau rasa?

“Eleh, tu baru aku suruh kupas bawang. Bukannya masak. Ha, kalau aku suruh kau masak, confirm kebulur orang rumah ni sebab nak tunggu kau siap masak” perli Alyssa.

“Ish, aku bukannya tak pandai masak. Kurang mahir je! Nanti lepas kahwin, aku asah lah skill memasak aku. Apa susah?”

“Kita ni Sara, orang perempuan. Kena tahu juga memasak. Jangan nak ditunggu kahwin baru nak belajar memasak. Nanti dapat suami yang jenis tak boleh bertimbang rasa, ha berputih mata lah Sara” sampuk Nek Wan.

“Dengar tu! Nanti dah kahwin, kita ikat suami dengan masakan kita je. Confirm tak cari lain” Alyssa sudah tersenyum kemenangan memandang Sara.

Sara mencebik. Tak ada benda lagi mahu diperkatakan kerana dia memang dah kalah dalam isu ini. Tiada alasan untuk memperjuangkan lagi haknya sebagai orang yang tidak pandai memasak!

“Kenapa Nek Wan masak banyak sangat hari ni? Ada orang nak datang ke?” soal Mia pelik bila Nek Wan menggunakan periuk besar. Biasanya periuk itu digunakan sewaktu ingin memasak juadah raya sahaja.

“Kak Lyssa kamu tak bagitahu ke? Hari ni ibu abang Iz dan mama Kak Lyssa nak datang. Makin meriahlah rumah Nek Wan ni nanti” Nek Wan sudah senyum lebar.

“Wah ya ke? Mia pun excited! Dah lama rumah ni tak terisi. Family Mia pun dah 2 tahun tak balik Malaysia! Bestnya, macam hari raya pula” Mia menepuk tangannya teruja.

Sara pandang Mia pelik. “Sebenarnya family Mia dekat mana sekarang ni?”

“Family Mia dekat Switzerland. Dah lama dia orang duduk sana, sebelum Mia lahir lagi. Tapi sebab Mia selalu sakit-sakit dekat sana, mama Mia minta tolong Nek Wan jagakan” cerita Mia.

“Mia tak rindu dekat family ke?”

“Mestilah Mia rindu. Mama ada ajak Mia tinggal di sana sewaktu Mia umur 12 tahun. Tapi Mia tolak, Mia lagi selesa dekat sini. Mia pun tak sanggup nak tinggalkan Nek Wan dan Tok Wan kat kampung ni”

Sara pegang tangan Mia cuba menyalurkan ketenangan. Terbit rasa kagum di hati Sara melihat Mia yang masih mentah itu sudah boleh berfikiran matang.

“Family Mia tu selalu je datang jenguk. Cuma dua tahun terakhir ni tak sempat pulang. Katanya ada banyak projek. Biasalah orang bisnes kan” sambung Nek Wan bersahaja.

Alyssa menyelak rambut panjang Mia. “Tak apa, tak kisah Mia duduk mana. Yang penting, orang sekeliling Mia sayang sangat dekat Mia dan selalu ada untuk Mia. Kalau Mia nak apa-apa, minta je dengan Kak Lyssa dan Kak Sara. Kami dah anggap Mia macam adik kandung sendiri”

Mia pula sudah terharu. Tangannya memaut leher Alyssa dan Sara lalu ditarik merapatinya. “Thank you! Mia pun sayang sangat dekat Kak Lyssa dan Kak Sara”

“Amboi, Nek Wan pun nak peluk juga!”

“Jom! Jom kita peluk beramai-ramai” Mia mendepakan tangannya seluas mungkin. Maka riuhlah dapur itu dengan tawa masing-masing.

“Ya Allah, drama apa pula ni kat dapur?” muncul Izham sudah menggelengkan kepalanya melihat mereka berempat sedang berpeluk.

“Drama kasih sayang” balas Alyssa selamba. Ish, suaminya itu kacau daun sebenarnya!

“Buat apa datang dapur ni Iz? Tadi kan Nek Wan dah pesan jangan ganggu orang perempuan nak buat kerja” sudip periuk Nek Wan halakan ke arah Izham. Bersedia untuk menghempuk cucunya itu kalau datang nak mencari Alyssa. Tak boleh berenggang langsung!

“Nak panggil semua ke luar lah. Ada tetamu! Tetamu yang tak disangka tapi Iz yakin semua orang akan happy” Izham tersenyum senget.

“Siapa?”

“Pergilah luar. Tinggalkan dulu dapur ni, sambung nanti” arah Izham.

“Yalah!” Nek Wan tutup api dapur. Bila Nek Wan sudah bergerak, yang lain pula ikut.

“Siapa datang bang? Rasanya ibu dan mama baru nak bertolak” soal Alyssa ingin tahu.

Izham tidak menjawab sebaliknya dia merangkul pinggang Alyssa untuk ke depan. Rindu nak bermanja! Dari pagi lagi Alyssa kena culik dengan Nek Wan, Sara dan Mia! Huh!

“Ilham dan Huda rupanya. Eh, Ana pun ada! Rindunya Nek Wan dekat anak cucu ni” senyuman Nek Wan makin bertambah lebar melihat anak bongsunya itu turut pulang ke kampung dengan keluarganya.

“Sihat Mak? Lama Ilham tak jenguk mak” Dato’ Ilham tunduk mencium tangan emaknya.

“Mak..” Datin Huda juga turut merapati ibu mentuanya. Dah lama mereka tidak pulang menjenguk Nek Wan dan Tok Wan di kampung.

“Nek Wan!” Syazana berlari memeluk Nek Wan. Kemudian dia beralih memeluk Mia pula. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan adik sepupunya.

Sara mengerutkan dahinya melihat kehadiran keluarga itu. Eh, kenapa keluarga Firash boleh datang ke kampung Izham?

“Kak Lyssa! Kak Sara!” Syazana melambaikan tangannya dengan teruja.

“Hai Ana! Makin tembam lepas habis SPM ni. Bahagia lah tu dah tak payah hadap buku” Alyssa tersengih memandang pipi montel Syazana.

Izham pula merapati Dato’ Ilham dan Datin Huda lalu bersalaman. Walaupun dahulu dia tidak berapa berkenan dengan keluarga papanya ini, mereka tetap darah dagingnya juga. Tetap kena hormat!

“Sara, kau okay tak?” tegur Alyssa melihat wajah bingung Sara.

Sara menggeleng. “Kenapa keluarga lelaki tu datang sini? Mereka kenal ke kampung Iz?”

Alyssa tergelak. Sara memang bengap! Nampak sangat yang Sara ingatkan ini kampung keluarga Izham dari sebelah Datin Salmah!

“Sorry la Sara. Actually kau salah pilih tempat nak sembunyi ni. Ini kampung Izham dari sebelah papa dia. Maknanya kampung Firash juga lah!” Alyssa senyum mengejek.

Sara membuntangkan matanya. ‘Ini kampung Firash? Maknanya Nek Wan tu, nenek Firash lah ya?’

“Firash tak ikut ke?” tanya Nek Wan.

“Ada, dia lah yang beria nak datang sini. Tadi ikut Tok Wan ke belakang jap. Lepas ni nampaklah batang hidung dia”

Terdengarkan itu, Sara makin tak keruan. ‘Firash pun ada? Alamak!’

Mata Sara sudah meliar ke persekitaran. Bimbang kalau wajah Firash benar-benar muncul.

“Haa tu pun dia. Firash! Salam Nek Wan ni dulu, dari tadi lagi tanyakan kamu!” laung Dato’ Ilham.

Firash yang segak dengan pakaian kasualnya itu sudah tersenyum dan bergerak ke arah Nek Wan. Sara tertelan air liur bila matanya bertembung dengan mata Firash. Cepat-cepat Sara melarikan diri masuk ke dalam. Apa nak jadi, jadilah! Yang penting dia kena selamatkan diri dahulu.

‘Umi! Sara salah masuk kandang!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience