33

Romance Completed 28229

Alyssa membuka matanya perlahan apabila dirinya dikejutkan dari tidur. Wajah Izham yang tersenyum menyapa pandangannya.

“Kita dah sampai rumah Nek Wan ke?” soalnya dengan suara yang masih serak.

“Iya sayang, bangunlah. Nek Wan dan Tok Wan dah tunggu kita tu”

Alyssa menggeliat kecil seraya membuka pintu kereta. Alyssa menghirup udara segar dengan wajah yang ceria. Sudah lama dia tidak merasakan suasana yang penuh keheningan dan kedamaian sebegini.

Alyssa membuang pandang ke persekitaran rumah Nek Wan yang hanya dikelilingi oleh tumbuhan hijau dan taman berlandskap indah. Cantik! Rumah Nek Wan pula sangat besar dan reka bentuk rumah itu pula mengikut rumah kampung Melayu tradisional. Klasik dan nampak elegan kerana digabungkan dengan reka bentuk moden.

“Rumah Nek Wan dekat dengan sungai ke?” soal Alyssa apabila dia terdengar bunyi deruan air sungai.

Izham yang sedang mengeluarkan bagasi itu mengangguk kecil. “Iya sayang, dekat belakang rumah Nek Wan ada anak sungai. Nanti abang bawa sayang pergi sana”

“Jom” ajak Izham lantas memaut pinggang Alyssa. Mujur mood Alyssa baik pada hari itu, kalau tak sudah lama tangannya ditepis.

“Assalamualaikum Nek Wan! Iz dah sampai ni”

“Waalaikumussalam! Ha dah sampai pun cucu dan cucu menantu Nek Wan ni. Masuklah” muncul seorang wanita yang sudah lanjut usianya dengan senyuman yang melebar.

“Nek Wan sihat? Maaflah, dah lama Iz tak datang jenguk Nek Wan dan Tok Wan kat sini” Izham menyalami tangan tua itu.

“Alhamdulillah Iz, sihat orang tua. Tak apa, kami faham yang kamu tu sibuk” balas Nek Wan ceria. Matanya menjeling ke arah seorang wanita yang berdiri di tepi Izham.

“Kenalkan Alyssa, isteri Iz. Nek Wan tak pernah jumpa lagi kan?”

Nek Wan menggeleng. Dia tersenyum ke arah Alyssa dan membawa gadis itu ke dalam pelukan. Terkebil-kebil Alyssa jadinya.

“Cantik isteri Iz, pandai Iz pilih” puji Nek Wan. Izham tersenyum bangga.

“Maaf Nek Wan, Lyssa tak pernah jumpa Nek Wan dan keluarga sebelah ayah abang Iz. Kekok pula rasanya” Alyssa tersengih canggung.

“Tak apa, nanti lama-lama dah biasalah. Kamu kan nak duduk lama dekat sini”

Alyssa mengiyakan. Memang Izham awal-awal lagi pesan bahawa mereka akan bercuti lama di kampung Nek Wan ini. Alyssa ikut sahajalah, Izham kan bos besar. Tak ada masalah pun nak cuti panjang.

“Tok Wan mana? Selalu kalau Iz sampai, dia dah ready nak sambut Iz depan pintu” soal Izham tercari-cari kelibat datuknya.

“Ada kat belakang tu. Dia dengar yang Iz nak bawa isteri kamu datang sini, terus dikaitkan buah mangga dekat belakang tu. Orang mengandungkan biasanya suka makan mangga ringan” Nek Wan menoleh memandang Alyssa.

“Wah ada pokok mangga ke dekat sini? Bolehlah Lyssa makan puas-puas, tak pernah lagi merasa mangga ringan. Kecur juga air liur Lyssa” wajah Alyssa sudah beriak teruja.

Nek Wan tergelak kecil. “Betul kan Nek Wan cakap? Orang mengandung ni suka sangat makan mangga ringan. Lyssa jangan risau, bukan setakat pokok mangga je ada. Banyak lagi buah-buahan dekat dusun Tok Wan tu. Boleh tahan pilih. Rezeki kamu berdua datang sini waktu musim buah-buahan”

Perbualan mereka terhenti apabila ada suara garau menegur.

“Iz dah sampai? Tok Wan tak dengar pula bunyi kereta kamu tadi” muncul lelaki tua yang masih nampak tegap dan gagah perkasa. Sudah macam pahlawan Melayu pada zaman dahulu sahaja Tok Wan itu dengan pakaian lusuhnya yang berwarna putih. Kain pelikat pula disilangkan di bahunya.

“Tok Wan! Amboi, Iz tengok makin segak pula Tok Wan sejak makin berumur ni!” usik Izham
seraya mencium tangan yang sudah berkedut itu.

“Orang lelaki makin berumur memang makin segak Iz. Ha, mana cucu menantu Tok yang kamu nak kenalkan tu?” soal Tok Wan yang sudah teruja mahu melihat isteri cucunya itu.

“Pastilah yang duduk dekat sebelah Iz ni. Mesti berkilau sangat isteri Iz sampaikan Tok Wan pun tak perasan ya” Izham memeluk bahu Alyssa sambil tersenyum bangga. Alyssa pula sudah tersengih malu.

“Kamu isteri Iz ya? Cantik, manis je Tok Wan tengok. Tapi Tok Wan tak faham apa yang kamu nampak dekat Iz tu sampai sanggup pilih dia jadi suami. Iz tu dahlah hodoh, nakal pun nakal. Tak padan dengan kamu” Tok Wan sudah menarik senyuman lebar memandang Alyssa.

“Tok Wan dah melebih tu. Ada ke patut cakap yang buruk-buruk saja pasal Iz” tegur Izham sambil tergelak.

“Dah memang kamu hodoh pun waktu kecil-kecil dulu. Tak sentuh bab kenakalan kamu lagi, pening Tok Wan nak melayan. Semoga cicit Tok Wan yang kat dalam perut tu tak terikut perangai bapak dia” ujar Tok Wan selamba.

Izham sudah menayangkan wajah cemberutnya. Alyssa pula hanya tergelak kecil. Tidak menyangka yang Izham cukup rapat dan manja dengan datuknya ini.

Dalam keriuhan itu, Nek Wan menggamit seseorang pula.“Mia, salam dengan Abang Iz dan Kak Lyssa kamu ni”

Alyssa menoleh ke belakang. Kelihatan seorang remaja perempuan yang kelihatan malu-malu itu sedang mengintai di sebalik pintu biliknya.

“Siapa tu Nek Wan?” soal Izham perlahan. Dia sudah lama tidak pulang ke Janda Baik dan bertemu keluarga sebelah ayahnya, jadi dia tidak dapat mengenali remaja perempuan itu.

“Mia, anak Pa Ngah kamu. Kan, sejak dari kecil lagi dia tinggal dengan Nek Wan dan Tok Wan”

Izham mengangguk kecil. Patutlah dia tidak dapat mengecam Mia. Sudah besar panjang rupanya. Dahulu dia hanya mengenali Mia yang masih berhingus dan kecil.

“Mia, ingat lagi tak abang Iz?” soal Izham mesra ketika remaja perempuan itu menyalami tangannya.

“Ingat, dulu abang Iz kan selalu main dengan Mia” ucap gadis itu sudah tersipu malu apabila Izham memandangnya.

“Dah besar rupanya Mia. Abang Iz ingatkan siapalah tadi. Ni, kenalkan isteri abang Iz. Kak Lyssa namanya” Izham memeluk pinggang Alyssa.

“Oh, abang Iz dah kahwin ke?” soal Mia. Entah kenapa Alyssa merasakan ada nada kecewa pada soalan Mia itu.

“Mestilah, dah enam bulan pun. Dalam perut Kak Lyssa pun dah ada isi tau” Izham menarik senyum.
Mia ikut tarik senyum walaupun dia nampak canggung mahu memaniskan muka. Nak tak nak, Mia tunduk menyalami tangan Alyssa apabila Tok Wan sudah merenungnya semacam.

“Mia tingkatan berapa? Kak Lyssa tengok Mia macam dah matured saja. Macam bukan budak tingkatan” tanya Alyssa cuba untuk bermesra dengan sepupu Izham itu.

“Tingkatan empat” pendek sahaja Mia menjawab.

“Oh” Alyssa turut kematian kata untuk bertanya lebih lanjut apabila dirinya hanya menerima respon yang dingin dari Mia.

“Mia ni Lyssa, susah sikit nak bermesra dengan orang yang baru dia kenal” terang Nek Wan yang perasan akan perubahan riak muka Alyssa itu.

“Tak apa Nek Wan, biasalah budak-budak. Tak biasa lagi dengan Lyssa” Alyssa memaniskan mukanya.

“Iz pergilah bawa isteri kamu berehat kat dalam bilik tu dulu. Nanti Tok Wan panggil untuk makan malam. Hari ni Lyssa berehat dulu. Betulkan sikit urat-urat tu. Lama duduk dalam kereta kan?” sampuk Tok Wan pula. Terbit rasa kasihan melihat Alyssa dari tadi asyik memegang belakang pinggangnya.

“Yalah Tok Wan. Iz bawa masuk Lyssa berehat dulu ya” pamit Izham lantas menarik tangan Alyssa supaya mengikutinya ke bilik yang sentiasa dihuninya sewaktu bertandang ke sini.

Membulat mata Alyssa apabila dia melangkah masuk ke dalam bilik yang sangatlah luas itu. Lebih luas dari biliknya dengan Izham di rumah lelaki itu. Terbit rasa kagum melihat interior design bilik itu yang berkonsepkan Melayu tradisional. Cuma bilik ini diperbuat daripada kayu-kaya yang bersatu dengan cermin yang luas, membolehkan dia menikmati keindahan flora dengan bebas.

“Sebenarnya sebahagian rumah Nek Wan ni terletak dekat lereng bukit. Bilik yang abang selalu duduk ni pula terletak pada ketinggian 2000 kaki dari aras laut. Sebab tu Lyssa dapat menikmati open view macam ni” terang Izham.

Dia merapati Alyssa yang menikmati pemandangan di beranda bilik itu lalu memeluk belakang isterinya. Dagunya direhatkan di atas bahu Alyssa.

“Sayang suka?” soal Izham.

“Suka” Alyssa menggangguk kecil sambil tersenyum manis. Dia masih kagum lagi dengan pemandangan yang terhidang di hadapan matanya.

“Abang rindu isteri abang” luah Izham. Sudah lama dia tidak duduk serapat ini dengan Alyssa.

Alyssa pula terus meregangkan rangkulan Izham di perutnya. “Lyssa nak baringlah kejap. Sakit pinggang” dia mencipta alasan mahu melarikan diri dari Izham.

“Nak abang urutkan tak?”

Alyssa menggeleng laju. “Tak apalah, abang pun rehatlah juga” tolak Alyssa.

Izham hanya mengeluh perlahan apabila Alyssa terus bergerak menuju ke katil. Sedikit terasa dengan Alyssa yang masih melayaninya dengan dingin.

“Sayang rehatlah dulu. Abang nak keluar jap” ucap Izham mengusap perlahan kepala Alyssa yang sudah pun memejamkan matanya. Selepas itu, dia terus keluar dari bilik itu meninggalkan Alyssa keseorangan.

Alyssa buka matanya perlahan bila mendengar bunyi pintu sudah ditutup Izham. Terbit rasa bersalah pula kerana menolak suaminya untuk bermanja tadi.

‘Abang marah Lyssa ke?’ soal hati Alyssa.

****

“Mia nak ke mana tu?” soal Izham apabila matanya menangkap kelibat Mia sedang menuntun basikalnya.

“Eh Abang Iz! Mia nak pergi ke gerai depan simpang tu. Abang Iz nak ikut?” ajak Mia.

“Boleh juga. Biar abang Iz yang bawa basikal tu, Mia duduk kat belakang” Izham berjalan merapati Mia yang sudah pun tersenyum lebar.

“Kak Lyssa tahu tak abang Iz keluar ni?”

“Tak. Kak Lyssa dah tidur, penat agaknya. Abang Iz tak nak ganggu dia lah”

Mia mengangguk faham. Apabila Izham memberi isyarat untuk naik, Mia terus melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk belakang. Sudah lama rasanya dia tidak menjadi pembonceng. Mia sudah teruja.

“Mia nak buat apa dekat gerai sana? Selalu ke pergi sana petang-petang?” soal Izham tidak mahu keheningan menemani mereka.

“Mia nak makan mi celup dan ais batu campur dekat sana. Tak adalah setiap petang pun, tapi bolehlah dikatakan Mia ni regular customer gerai Abang Umar tu. Makanan dia sedap sangat”

Sampai sahaja di gerai yang dipenuhi dengan penduduk kampung itu, Mia terus menolak badan Izham ke dalam gerai tersebut.

“Abang Umar, Mia nak macam biasa tau!” laung Mia ke arah pemuda yang sedang sibuk mengisar ais.

“Abang Iz nak pesan apa?” Mia menoleh ke arah Izham pula.

“Erm, abang Iz nak teh o ais je la. Kejap lagi kan nak dinner”

Kemudian Mia menjerit lagi ke arah Umar, “Abang Umar, tambah teh o ais satu!”

Tergeleng-geleng kepala Izham mendengar jeritan Mia yang lantang itu. Padahal tadi Mia nampak macam seorang yang pemalu sahaja.

“Mia dah biasa jerit-jerit macam tu dekat Abang Umar” ujar Mia sambil tersengih. Dia faham apa yang difikirkan Izham itu.

“Mia selalu datang sini seorang je ke?” tanya Izham sambil matanya meliar ke arah gerai tersebut. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada remaja-remaja lelaki sahaja. Biasalah, melepak stail lelaki kan.

“Haah, Mia tak ramai kawan sangat pun dekat sini” Mia sudah membuat muka sedih.

“Bukan tak ramai kawan. Tapi yang lain takut nak berkawan dengan cucu kesayangan Tok Wan ni” sampuk seseorang sambil menghidangkan pesanan yang diminta Mia tadi.

“Siapa ni Mia? Tak pernah nampak pula” tanyanya lagi dan menunjukkan jarinya ke arah Izham. Dia menarik kerusi lalu duduk di sebelah Mia.

“Ish Abang Umar ni, selalu nak menyibuk dekat Mia” Mia sudah buat muka cemberut. Memang kalau dia datang sini, Umar selalu menemaninya makan.

“Kenalkan Abang Iz, sepupu Mia. Dia dah lama tak datang sini, sebab tu lah abang Umar tak kenal” sambung Mia.

“Oh, ingatkan boyfriend Mia” Umar sudah tersengih. Dia mengangkat tangan ke arah Izham yang juga sudah tersenyum memandangnya.

“Dah lama ke buka gerai ni? Abang tengok macam dah maju saja” tegur Izham mesra.

“Tak adalah bang. Baru je lima enam bulan lepas. Lepas tamat belajar, terus buka gerai. Tak ada rezeki nak dapat kerja lagi. Berniaga macam ni je lah” Umar tersenyum senget.

“Tak apa, berniaga pun salah satu usaha nak cari rezeki. InsyaAllah, nanti ada lah tu peluang pekerjaan untuk Umar. Boleh abang tahu Umar graduan daripada mana?”

“Kalau abang Iz nak tahu, abang Umar ni first class degree bidang architecture dari Universiti Malaya tau” sampuk Mia dengan mulut yang penuh dengan makanan.

“Ish budak kecik ni, menyampuk orang tua bercakap! Kalau ya pun, habiskanlah makanan dekat dalam mulut tu dulu barulah bercakap” Umar menampar perlahan lengan Mia. Mia hanya menjelirkan lidahnya. Izham pula sudah ketawa kecil. Nampak sangat kedua-duanya amat rapat dan mesra.

“Wow, bukan calang-calang juga ya Umar ni!” puji Izham.

Umar tersengih malu. “Saya biasa-biasa je bang. Kalau hebat mesti dah lama saya dapat kerja. Tapi tu la, semua nak yang dah ada pengalaman. Tak nak bagi peluang pun untuk fresh graduate” kata Umar.

Memang betul pun kenyataan yang keluar dari mulut Umar. Fresh graduate susah sangat nak dapat kerja kerana kebanyakan majikan suka memilih orang yang sudah mempunyai pengalaman kerja.

“Umar pernah dengar tak Ilham Empire? Rasanya abang Iz pernah dengar yang syarikat tu memang tengah cari fresh graduate. Umar bolehlah cuba”

“Betul ke bang? Nanti saya try apply kerja dekat sana. Thank you bang!” mata Umar sudah bersinar-sinar.

Izham mengangguk kecil. Mia yang berada di hadapan Izham itu pula sudah tergelak. Ingat dia tak tahu ke siapa pengarah Ilham Empire tu? Itukan syarikat keluarga Pak Su nya, Uncle Ilham.
Izham membagi isyarat mata supaya Mia tidak memberitahu perkara sebenar kepada Umar. Mia mengangkat jari tanda ‘okay’.

“Eh Mia, selalu cikgu nampak muka awak je kat sini” tiba-tiba Mia didatangi oleh seorang wanita yang ayu bertudung pula.

“Cikgu Seri! Mana ada, baru hari ni Mia datang sini. Sudah sebulan tau Mia boikot kedai Abang Umar sebab berat badan Mia naik” Mia sudah tersenyum lebar ke arah cikgu sekolahnya itu. Umar pula sudah mengetap bibir kerana namanya turut dikaitkan.

“Yalah tu. Cakap sahajalah yang Mia dah kemaruk sangat dengan mi celup Umar ni” Cikgu Seri sudah tersengih. Kemudian dia mengerling ke arah Izham.

“Oh kenalkan, ni sepupu Mia. Abang Izham namanya. Orang KL” Mia memperkenalkan Izham.
Cikgu Seri pula sudah tersipu malu bila Izham melemparkan senyuman kepadanya. Tak sangka Mia ada sepupu yang sangat kacak.

“Abang Iz, ni Cikgu Seri. Guru kelas Mia. Cikgu Seri pun selalu je datang rumah Nek Wan. Nek Wan kan suka sangat buat kek dan kuih-muih. Nek Wan berguru dengan Cikgu Seri lah” cerita Mia.

“Oh tadi yang cream puff Nek Wan buat tu, resepi Cikgu Seri lah ya? Sedap” puji Izham ikhlas.

“Terima kasih. Saya pun belajar dari Cik Google juga” Cikgu Seri masih lagi dengan senyuman melebar di bibirnya. Sudah tentulah hatinya senang jika dipuji sebegitu. Lebih-lebih lagi dari lelaki yang kacak itu.

“Kak Seri datang gerai Umar ni kenapa? Nak pesan macam biasa ke?” tanya Umar mematikan renungan Cikgu Seri ke arah Izham.

“Haah macam biasa lah Umar. Mak Kak Seri suka sangat makan mi celup Umar. Entah apa lah yang Umar letak dalam tu sampai semua orang dah ketagih” ujar Cikgu Seri. Tanpa rasa segan, dia menarik kerusi di sebelah Izham lalu dilabuhkan punggungnya.

“Yalah Kak Seri. Tunggu jap ya”

Baru sahaja Umar mahu bangun meninggalkan mereka, Izham bersuara dan mematikan langkah Umar.

“Umar kira yang Mia makan dulu ni boleh tak? Abang Iz nak gerak balik lah, sudah lewat petang ni” pinta Izham. Sebenarnya dia risaukan Alyssa di rumah Nek Wan.

“Haah abang Umar, kira yang Mia punya dulu ni. Abang Iz dah tak senang duduk tu. Tak sabar nak balik rumah” Mia sudah tersengih. Nasib baik dia dah siap makan.

“Awal lah bang nak balik. Ingatkan boleh lepak lama lagi. Ada bini kat rumah ke?” usik Umar bersahaja. Dia memaklumkan jumlah bayaran kepada Izham.

“Haah Umar. Nanti bini abang tercari-cari pula. Keluar tak cakap tadi” Izham sudah ketawa. Dia menyerahkan wang kertas kepada Umar.

“La abang dah kahwin rupanya. Tak apalah, nanti bawalah isteri abang makan dekat sini. Saya belanja” balas Umar terkejut. Dia ingatkan Izham masih seorang bujang.

Cikgu Seri pula sudah beriak kecewa mendengar berita itu. Baru sahaja dia berniat nak masuk line.
“InsyaAllah. Terima kasih lah Umar. Abang dan Mia balik dulu ya” pamit Izham dan mengajak Mia pulang.

“Bye abang Umar, Cikgu Seri” Mia melambaikan tangannya dan bergegas mengikuti langkah Izham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience