“Aku terima nikahnya Sara Adlina binti Asri dengan mas kawinnya sebanyak lapan ribu ringgit tunai”
Hanya dengan sekali lafaz, Sara sudah sah menjadi milik mutlak Firash. Masing-masing memanjatkan kesyukuran atas kelancaran majlis akad nikah pada hari itu.
“Tahniah sayang. Umi doakan Sara menjadi isteri yang solehah untuk suami Sara. Ingat, syurga Sara sekarang dekat Firash” Puan Safiah memeluk erat Sara yang anggun dalam busana pengantinnya.
Datin Huda pula merapati Sara lalu mencium kedua-dua belah pipi Sara. Akhirnya, selepas hampir lima bulan menjadi tunang anaknya, Sara sudah sah menjadi menantunya.
“Cantik menantu mummy hari ni. Sara, janganlah menangis. Hari ini kan hari bahagia Sara” pesan Datin Huda sambil mengesat air mata Sara.
Kemudian dia memberi ruang kepada Firash untuk upacara pembatalan air sembahyang.
Firash duduk berlutut di hadapan Sara yang sedang tertunduk malu. Sungguh, dia terpukau melihat Sara yang sangat ayu bertudung. Terbit rasa bangga kerana Sara kini menjadi miliknya.
“Dah dah lah renung isteri kamu tu. Tahulah adik along cantik hari ini! Cepat sarung cincin, photographer dah lenguh tu standby camera dari tadi” usik Safwan.
Firash tersengih. Dengan lembut, dia mencapai tangan kanan Sara dan menyarungkan cincin ke jari manisnya.
“Sejuknya tangan” bisik Firash sewaktu Sara menyalami dan mencium tangannya.
“Eh, sekejap sangat tu Sara! Photographer tak sempat snap gambar lagi. Tunduk dan cium balik tangan suami tu” arah Safwan pula. Suka sangat dia tengok wajah adiknya yang merah padam.
Firash tergelak melihat cebikan di mulut Sara. Sempat lagi isterinya itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada Safwan.
“Okay, now giliran suami pula cium dahi isteri” arah photographer pula.
“Erk, perlu ke?” soal Sara. Takkan aksi Firash mencium dahinya mahu diambil gambar pula? Depan orang ramai macam ni?
“Tak payah banyak soal. Kamu ikut je apa yang photographer tu suruh. Mummy dah bayar dia mahal-mahal” sampuk Datin Huda. Yang lain pula sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat wajah segan Sara.
Tanpa menghiraukan pandangan orang sekeliling, Firash menarik hujung dagu Sara lalu merapatkan dahi isterinya ke bibirnya. Lama, barulah dia melepaskan kucupannya. Hati Sara memang tak usah kata lah, berdegup kencang pastinya.
“Ana, bawa Kak Sara kamu tukar pakaian untuk majlis resepsi pula” arah Datin Huda. Firash pula dibawa oleh Safwan ke bilik lain.
“Kak Sara nervous ke?” tegur Syazana sebaik mereka memasuki bilik.
“Mestilah nervous, Ana. Jantung Kak Sara ni macam mahu meletup je”
Syazana gelak. “Tapi, Kak Sara dah selamat jadi isteri abang Firash pun. Tak payahlah nervous” Dia membantu Sara untuk membuka zip baju akad nikah.
Sara mengangguk lemah. Dia lagi nervous apabila terfikirkan yang dia sekarang sudah sah menjadi milik Firash lah! Masih segar di ingatannya pandangan nakal Firash sewaktu lelaki itu mencium dahinya. Seram! Lagi seram bila dia fikirkan bisikan Firash tadi sebelum mereka berpisah.
“You’re mine now. Mujur sekarang kita still dalam majlis, kalau tak dah lama aku ngap kau!”
‘Umi! Tolong Sara!’ jerit Sara takut.
Syazana yang sedang membetulkan solekan Sara sedikit terganggu apabila pintu bilik diketuk dari luar.
“Masuklah!”
Terjegul wajah Alyssa yang tersenyum lebar dengan perutnya yang memboyot. “Selamat pengantin baru Sara!”
“Lyssa, sampai juga kau ke majlis aku! Sedih tau kau tak ada dekat majlis akad nikah tadi” Sara menarik Alyssa ke dalam pelukannya.
“Maaflah Sara, tak sengaja terlewat sampai. Suami aku lah, konon nak ikut jalan lain. Sekali jammed jalan tu, ada accident. Benda tak dijangka kan” Alyssa tergelak kecil teringatkan wajah cemberut Izham yang terpaksa menadah telinga mendengar bebelannya.
“Huh, aku nak hempuk laki kau jap lagi. Aku sanggup tau buat majlis ni sebelum due date beranak kau sebab nak bagi kau tengok akad nikah dan makan nasi minyak aku!” Sara mendengus geram.
Selain daripada cutinya tidak diluluskan kerana sudah banyak dia cuti tahun lepas, Sara sengaja memilih tarikh tiga hari sebelum due date Alyssa kerana mahu sahabatnya ikut turut serta dalam majlisnya. Susah pula kalau Alyssa mula berpantang.
Kemudian bilik persalinan Sara itu pula semakin meriah dengan kehadiran Mia dan Seri. Merah padam muka Sara asyik diusik oleh mereka.
“Alamak, blusher Kak Sara pudar sebelah lah” tegur Syazana.
“Tak apa, biar Seri touch up sikit” Seri mengambil berus blusher lalu menyapu perlahan ke pipi mulus Sara.
“Thanks Seri sebab sponsor kek kahwin Sara. Semua orang puji cakap kek Seri tu cantik. Sayang pula nak potong nanti” ujar Sara.
“Tak adalah, nasib baik menjadi je kek tu. Tak pernah lagi Seri buat kek bertingkat-tingkat. Harap-harap rasa pun sedaplah” Seri tersengih.
Tiba-tiba Alyssa menampar paha Seri. “Lyssa pun tunggu masa nak bersalin je, Sara pun dah selamat jadi isteri Firash, Seri pula? Takkan masih tak ada someone? Tak teringin nak naik pelamin ke?” usik Alyssa.
“Tipulah kalau Seri kata tak teringin. Tapi nak buat macam mana, jodoh Seri tak sampai lagi” Seri tersenyum kelat.
“Tak apa Kak Seri. Allah dah susun cantik soal jodoh kita. InsyaAllah lepas ni turn Kak Seri pula. Kak Seri kan cantik, confirm ramai yang terpikat. Kak Seri pilih mana yang terbaik je” sampuk Mia pula yang sudah membiasakan diri memanggil Seri tanpa panggilan cikgu.
“Amboi, Mia! Cakap macam orang dewasa saja. Awak tu baru tujuh belas tahun, pandai eh?” perli Alyssa.
“Entahlah dia ni. Tengok-tengok Mia yang kahwin dulu nanti. Maklumlah, dah ada orang menunggu” Syazana turut tidak ketinggalan mengusik Mia.
Mia mencebik. “Siapa entah yang nak kahwin dengan abang Umar? Mia nak sambung belajar dulu la”
“Ana tak ada pula mention nama Umar. Nampak sangat Mia yang berangan nak kahwin dengan Umar” Sara tersenyum senget memandang gadis itu.
“Ish, Kak Sara!” jerit Mia geram. Tergelak semuanya melihat wajah Mia yang sudah kemerah-merahan.
“Ya Allah, budak-budak ni. Boleh pula ajak pengantin perempuan bersembang! Sara dah siap ke belum? Firash dah tunggu tu, tetamu pun dah ramai” muncul Nek Wan sudah bercekak pinggang.
Patutlah lama sangat Sara menyalin pakaiannya. Rupa-rupanya buka meja bulat di dalam bilik ini. Alahai, cucu-cucunya!
“Hehe, jap Seri pasang veil dulu” cepat-cepat Seri bangun dan memakai veil ke atas kepala Sara.
“Dah, jom! Ana, pengapit Kak Sara kan? Pimpin Kak Sara kamu tu” arah Nek Wan sudah memandang Syazana.
“Alamak! Ana sakit perutlah pula. Mesti terlebih makan maggi dengan Mia semalam” Syazana memegang perutnya.
“Pulak dah? Habis tu, siapa nak jadi pengapit Kak Sara?’
Syazana pantas menolak badan Seri mendekati Nek Wan. “Kak Seri, Nek Wan! Tadi Kak Seri cakap nak ganti Ana”
“Eh, tapi..” Seri terjeda bila Nek Wan sudah memberikan kipas tangan dan jambangan bunga kepadanya.
“Dah, jom! Orang dah menunggu dari tadi” ajak Nek Wan tanpa mempedulikan wajah bingung Seri.
“Jom Seri, awak jadi pengapit saya. Angah saya jadi pengapit Firash tau, mana tahu angah saya tersangkut dengan awak” Sara menarik tangan Seri supaya mengikuti langkahnya.
Mia dan Syazana pula terus melakukan high five apabila plan mereka berjaya. Tergeleng-geleng kepala Alyssa dengan kenakalan dua gadis remaja itu.
“Mia dan Ana nak tolong Kak Seri jumpa jodoh je okay?”
“Yalah tu! Baik sangat niat kamu berdua. Dah, sekarang pimpin Kak Lyssa pergi dewan” suruh Alyssa.
“Aip aip captain!” pantas Mia dan Syazana memaut lengan Alyssa dan memimpinnya ke dewan.
**********
“Tahniah Sara, Firash. Saya doakan awak berdua bahagia sampai ke syurga” ucap Fendi sambil tangannya bersalaman dengan Firash.
“Terima kasih Fendi sudi datang ke majlis saya” Sara menghadiahkan senyumannya.
“Mestilah saya datang, teman sekerja kahwin kan?” Fendi tersenyum walaupun dia tahu senyumannya sedikit canggung. Yalah, gadis pujaannya telah menjadi milik orang. Sedikit cemburu dengan Firash yang dari tadi asyik memeluk pinggang Sara.
“Jemputlah makan Fendi, jangan segan-segan. Kawan-kawan hospital Sara pun dah ada kat meja sana” dengan sopan Firash menunjukkan ke arah meja makan yang terletak di hujung sana.
“Yalah! Selamat pengantin baru sekali lagi ya?” pamit Fendi dah terus berlalu pergi.
“Kesian pula aku tengok muka dia”
Sara berpaling memandang Firash. “Kenapa pula nak kesian?”
Firash mengangkat bahunya. “Saja, tiba-tiba rasa kesian.” Takkan dia nak cakap yang dia kesiankan Fendi sebab lelaki itu kecewa tidak dapat memiliki Sara pula kan?
Sara tergelak kecil. Macam-macamlah Firash ni. Dengan senang hati, Sara melentokkan kepalanya ke bahu Firash. “Thanks sudi jadikan aku sebagai isteri kau”
“I’m more thankful to you that you chose me as your soulmate. I love you, Sara” bisik Firash dan mengemaskan pelukan di pinggang Sara. Memang kalau bukan sebab majlis ini, sudah lama dia mengheret Sara masuk ke dalam bilik!
Sementara itu, Safiq yang baru dapat merehatkan diri dari menjadi pengapit pengantin lelaki mula melangkah ke meja yang dipenuhi makanan. Tadi, dia hanya menjamah sikit sahaja makanan sewaktu makan beradab.
Matanya menangkap seorang wanita tua yang berkerusi roda sedang cuba mengambil kuih dari atas meja. Terangkat sedikit tubuh tua itu cuba mencapai kuih. Pantas Safiq membawa langkah kakinya ke sana.
“Mak Cik nak kuih apa? Saya boleh tolong ambilkan”
Wanita tua itu terus tersenyum melihat kedatangan Safiq. “Boleh tolong ambilkan kuih tepung pelita dan kuih lapis untuk mak cik tak? Teringin nak makan”
“Boleh! Kejap, saya ambilkan” laju sahaja tangan Safiq meletakkan kuih itu ke atas pinggan kecil sebelum dia menyerahkan kepada wanita itu.
“Terima kasih nak”
Safiq menganggukkan kepalaya. “Mak Cik nak pergi mana? Biar saya yang tolak mak cik” pelawa Safiq bila wanita itu cuba menolak kerusi rodanya sendiri.
“Tak susahkan kamu ke?”
Safiq menggeleng. Tak menyusahkan dia pun. Lagi senang kalau dapat bantu orang.
“Kalau macam tu, boleh tak tolak mak cik dekat meja hujung sana? Tadi mak cik janji dengan anak mak cik nak duduk sana je, harap-harap dia tak membebel lah tengok mak dia sudah menghilang” dia tergelak sendiri.
“Kenapa? Anak mak cik tinggalkan mak cik kat situ ke?” soal Safiq tidak senang dengan sikap lepas tangan anak wanita itu.
“Dia ada kerja nak buat kejap. Terpaksa tinggalkan mak cik sorang-sorang”
Safiq hanya mengangguk faham. Dia menolak kerusi roda itu ke meja berkenaan. Dia mengunci roda kerusi itu supaya tidak bergerak.
“Mak cik nak apa-apa lagi tak? Saya boleh ambilkan”
“Tak apalah, ma….”
“Mak, puas Seri cari mak tau! Seri ingatkan mak dah hilang. Risau Seri bila datang sini tengok mak dah tak ada” muncul Seri dengan wajah yang cemas. Dia duduk melutut memegang tangan emaknya.
“Maaf dah buat Seri risau. Mak pergi ambil kuih je Seri. Teringin nak makan. Nasib baik ada lelaki ni tolong ambilkan untuk mak tadi” Mak Puteh menunjukkan Safiq yang masih terpacak di tepinya.
Berubah muka Seri bila dia terpandangkan wajah lelaki itu. Cepat-cepat Seri bangun dan membetulkan baju kurungnya.
“Err, maaflah kalau mak saya ada susahkan encik tadi. Terima kasih sebab tolong mak saya ambilkan kuih” ucap Seri dan menundukkan sedikit wajahnya tanda mengucapkan terima kasih.
“It’s okay, tak menyusahkan pun. Benda senang je” jawab Safiq sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Tidak jadi pula dia mahu mengutuk anak Mak Puteh setelah wajah itu muncul tadi. Tak sangka wanita tua itu merupakan ibu kepada pengapit Sara.
Safiq berdehem kecil. ‘Oh hati, kenapa laju sangat kau berdegup ni?’ gumamnya. Sejak pertama kali dia terpandangkan wajah Seri di sisi Sara tadi, rentak jantungnya memang sukar dikawal. Wajah jelita Seri selalu dia curi pandang sewaktu di atas pelamin tadi.
“Encik tak nak beredar lagi ke?” soal Seri.
“Hah?”
“Err, encik nak terus terpacak kat sini ke?” Seri pandang Safiq. Bukan niat mahu menghalau, tapi dari tadi lagi lelaki itu merenungnya. Naik segan pula dia jadinya.
“Oh, hah! Nak duduk sini. Eh, bukan! Nak pergi lah ni” ingin sahaja Safiq menampar mulutnya. Cakap merapu sahaja!
Seri tergelak kecil melihat kekalutan lelaki di hadapannya. Terpana Safiq melihat lesung pipit menghiasi wajah jelita Seri. Oh, dia rasa tak nak pergi pula. Mahu terus menatap wajah Seri. Boleh tak?
“Tak apalah Cik…” Safiq menjongketkan keningnya.
“Seri Imanina. Panggil saya Seri je”
Safiq tersenyum. Cantik nama, secantik tuannya!
“Okeylah Cik Seri, adik saya dah panggil tu. Kalau ada jodoh, dapat kita jumpa lagi” pamit Safiq bila matanya menangkap kelibat Sara memanggilnya untuk menangkap gambar. ‘Huh, Sara! Kau ganggu angah nak berkenalan dengan jodoh’
Seri hanya menghantar kepergian Safiq dengan pandangan matanya. Senyuman masih mekar di bibirnya. ‘Alamak! Aku lupa nak tanya nama dia’
“Amboi anak mak, senyum sampai ke telinga nampak. Dah berkenan ke?” tegur Mak Puteh tersenyum senget. Dari tadi lagi dia bagaikan tunggul antara Seri dan Safiq.
“Eh mak, mana ada! Mak tunggu sini jap, Seri nak ambil makanan. Seri tak sempat makan lagi” pantas Seri melarikan diri dari emaknya. Bahaya kalau dibiarkan emaknya terus mengusik!
Share this novel