Alyssa duduk termenung di beranda sambil menikmati angin malam. Suaminya pula sejak balik dari surau tadi tidak masuk lagi ke dalam bilik kerana Tok Wan ajak mereka berbual-bual.
Alyssa teringatkan ceramah kuliah maghrib yang dia dengar tadi di surau. Terasa sedikit terpukul dan takut seandainya dia sudah melakukan dosa itu.
“Hakikat perkahwinan adalah perkongsian hidup dua insan yang berlainan jantina dan latar belakang. Amat menyedihkan apabila pertentangan pendapat dan perbezaan pemikiran antara dua insan ini berlaku hingga menyebabkan tercetusnya salah faham antara keduanya. Situasi inilah yang boleh membawa kepada konflik dalam sesebuah perkahwinan”
“Nusyuz seorang isteri berlaku apabila si isteri enggan taat perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak. Dalam Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303), perkara-perkara yang termasuk dalam istilah nusyuz adalah apabila isteri menjauhkan dirinya daripada suaminya, apabila isteri meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya dan terakhir sekali adalah apabila isteri enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak”
“Firman Allah SWT yang bermaksud dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan jika mereka berdegil pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan kalau juga mereka masih degil pukullah mereka dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya. Ayat ke-34,Surah al-Nisaa”
“Tuan Puan, nusyuz seorang isteri adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar ya? Suami perlu mengatasi masalah nusyuz ini melalui pendidikan, nasihat, pengasingan tempat tidur dan pukulan yang tertakluk kepada syaratnya”
Rangkulan erat di pinggang Alyssa menyedarkan dia dari lamunan. Alyssa mendongak memandang Izham yang sudah pun tersenyum.
“Sayang termenungkan apa? Abang panggil pun tak menyahut” soal Izham sudah terasa pelik dengan tingkah isterinya itu.
“Tak adalah, Lyssa ralit tengok pokok-pokok tu. Tak perasan abang dah masuk”
Izham menggelengkan kepalanya dan menarik Alyssa masuk. “Jom masuk dalam? Angin lewat malam tak elok untuk kandungan sayang”
Alyssa hanya menurut.
“Sayang duduk dulu. Abang nak masuk toilet jap” Izham mendudukkan Alyssa ke atas katil. Baru sahaja Izham mahu pergi, tangannya dipaut Alyssa.
“Kenapa? Nak ikut abang pergi toilet juga ke?” usik Izham tersengih. Tapi muka Izham berubah risau pula bila ada manik-manik halus jatuh di pipi Alyssa. Terus dia mengambil tempat di sebelah isterinya.
“Kenapa ni sayang? Abang ada sakitkan hati sayang lagi ke?” Izham mengusap air mata Alyssa. Susah hati kalau isteri kesayangannya menangis.
Alyssa menggeleng. “Bukan. Abang tak ada buat salah pun dengan Lyssa”
“Habis tu? Janganlah nangis, sayang buat abang risau je”
Tiba-tiba Alyssa menarik tangan Izham lalu dikucupnya lembut. “Abang, Lyssa nak minta maaf dekat abang. Lyssa banyak buat salah. Lyssa selalu tak dengar cakap abang. Selalu buat tak endah apa yang abang cakap dan buat untuk Lyssa. Kadang-kadang Lyssa lari dari tanggungjawab sebagai isteri abang tanpa sebab yang munasabah”
Izham pula terkedu apabila tangisan Alyssa semakin tidak terkawal. Ditariknya Alyssa ke dalam pelukan dan belakangnya diusap perlahan.
“Lyssa banyak dosa dekat abang. Lyssa tak nak jadi isteri yang nusyuz. Lyssa sayangkan abang sangat-sangat. Maafkan Lyssa?” tersedu-sedan Alyssa dengan bicaranya. Habis basah baju Izham dengan air matanya.
“Sayang…” Izham pegang muka Alyssa supaya menatap matanya.
“Sayang tak ada buat salah pun. Abang faham kenapa sayang dingin dengan abang. Sebab sayang kan tengah kandungkan anak abang. Anak daddy ni yang meragam manja kan? Kesian mummy, mood mummy terumbang-ambing jadinya” Izham usap perut Alyssa sambil matanya masih melekat di mata isterinya.
“Tapi..”
“Shuhh! Tak nak cakap pasal ni lagi. Sayang adalah isteri terbaik yang Allah takdirkan untuk abang. Sayang cukup sempurna di mata abang. Sayang jangan risau, abang tak pernah simpan dendam kalau sayang ada buat silap. Abang anggap tu sayang minta perhatian lebih dari abang je. Abang kenal sayang sejak kecil lagi. Sayang tak akan lukakan hati orang yang Lyssa sayang tanpa sebab”
Alyssa pandang wajah ikhlas Izham. Kenapa Izham terlalu baik? Dulu, Izham bukan main garang lagi. Selalu jadi bapa singa dengan dia! Tapi sekarang?
“Sayang tengah puji abang ke kutuk abang tu?” Izham menjongketkan keningnya.
Alyssa tergelak kecil. Ish, macam tahu-tahu je! Izham tersenyum kemudian menggenggam tangan isterinya.
“Abang pun banyak juga buat silap dengan sayang. Masing-masing tak lari dari buat salah silap. Hidup berumah tangga ni bukan kisah fantasi semata-mata. Banyak pasang surutnya. Allah pilih Lyssa untuk abang bukan sebab kita sama-sama sempurna, tapi sebab kita memerlukan antara satu sama lain. Abang dan sayang saling melengkapi untuk kehidupan yang lebih baik. Kita sama-sama berusaha untuk perbaiki diri ya? Bukan untuk dunia sahaja tapi demi kebahagiaan di akhirat sana”
Alyssa menganggukkan kepalanya. Sungguh dia terharu dengan bicara tulus dari bibir Izham. Alyssa peluk tubuh tegap Izham lagi seakan tidak mahu dilepaskan.
“Lyssa sayang dan cintakan abang sangat-sangat”
“Abang pun, hari-hari abang sayangkan sayang. Tak pernah ada satu saat pun tak ada nama Alyssa Irdina berdetak dalam hati abang. I love you sayang” Izham mengucup dahi Alyssa dengan penuh syahdu.
“Eh, hari ni abang dah boleh peluk sayang waktu tidur lah kan? Akhirnya, masa abang tiba jua. Dah lama tidur peluk bantal je” bisik Izham nakal.
Alyssa menolak tubuh Izham dengan wajah yang merah. “Abang!!”
Izham tergelak kemudian dibawa lagi wajah Alyssa rapat ke dadanya. Tubuh hangat isterinya itu dipeluk erat seakan tidak mahu lepas sekali gus membawa pergi segala rasa rindu yang bersarang di hati.
“Gurau je lah, sayang. I love you so much!”
**********
“Kak Lyssa, turunlah! Nanti Abang Iz balik, Mia yang kena marah tau” Mia sudah bercekak pinggang memandang Alyssa.
“Kejap! Kak Lyssa nak ambil sikit je lagi” Alyssa tidak menghiraukan Mia.
“Dah banyak lah Kak Lyssa! Tadi pun Kak Lyssa makan banyak tau? Takkan tak cukup lagi? Mana boleh makan banyak-banyak. Meragam nanti perut Kak Lyssa”
Alyssa buat tidak dengar. Tangannya memetik lagi beberapa buah mangga ringan di pokok itu. Tak sabar nak makan dengan serbuk asam pula. Tadi cicah dengan sambal kicap tak best. Dahlah sikit je mangga yang Izham kait. Tak cukup!
“Kak Lyssa! Sudah-sudahlah tu, turunlah cepat. Mia rasa macam tak sedap hati je” Mia memandang sekitar. Terasa ada aura hitam semakin mendekati mereka sahaja.
“Yalah, tapi Kak Lyssa nak ambil satu biji lagi” Alyssa mula mengalah. Kakinya yang memijak dahan pokok itu digerakkan ke hadapan sedikit untuk mencapai mangga yang terakhir. Baru sahaja tangannya mencapai mangga itu, satu jeritan lantang bergema.
“Alyssa Irdina!”
Alamak! Alyssa menutup mulutnya. Terkantoi pula dia.
“Turun cepat! Tak sedar awak tu mak buyung, nak juga panjat pokok. Galah kan ada tu, kenapa tak guna galah?” bebel Izham risau.
Tadi dia pergi solat Jumaat dengan Tok Wan. Sebelum pergi ke masjid, sempat dia mengait buah mangga yang diidamkan Alyssa. Bila pulang dari masjid, Nek Wan cakap Alyssa masih lagi dekat belakang dengan Mia. Cepat-cepat dia mahu menemui Alyssa kerana dia ada membawa balik pisang goreng yang dipesan isterinya. Hampir terkeluar biji matanya bila melihat isterinya yang mengandung itu berada di atas dahan pokok. Ya, Alyssa panjat pokok mangga!
“Alyssa!” panggil Izham lagi. Sengaja matanya mencerlung tajam ke arah Alyssa.
“Yalah! Lyssa nak turunlah ni. Itulah siapa suruh kait tiga biji mangga je untuk Lyssa. Mana cukup! Dahlah Lyssa dan Mia tak reti guna galah” terkumat-kamit mulut Alyssa membebel.
“Ya Allah cucu menantu aku! Buat apa kat atas pokok tu Lyssa sayang oi?” mengucap panjang Nek Wan yang baru tiba itu apabila mendengar kecoh di belakang.
Tok Wan yang ikut muncul itu pula sudah menggelengkan kepalanya. Nasib baiklah pokok mangganya tu rendah sahaja. Haish, Alyssa Alyssa!
Mia pula sudah memegang perutnya menahan tawa. Lawak tengok muka sorang-sorang risau dengan Alyssa. Ha, baru tahu perasaan dia dari tadi bila Alyssa cakap nak panjat pokok!
“Boleh turun ke tak tu sayang oi?” sindir Izham bila Alyssa seakan-akan teragak-agak untuk turun dari pokok.
Alyssa menggeleng. Gerun pula mahu melompat. “Abang…” rengeknya sambil mendepakan tangan ke arah Izham.
“Panjat naik berani lah pula. Bila nak turun baru tahu kecut perut!” bebel Izham. Langkahnya tetap dibawa menuju ke arah Alyssa, bersedia mahu menyambut isterinya.
“Sorry, anak abang yang nak makan lagi” ujar Alyssa tersengih bila dia sudah selamat turun.
“Hmm salahkan anak kita pula” Izham menjegilkan biji matanya. Sungguh ragam Alyssa semenjak mengandung ini memeningkan kepalanya. Bukan apa, selalu sangat buat dia susah hati.
Mia membantu Tok Wan mengutip mangga di tanah yang berjaya dipetik Alyssa tadi. Ini kalau ditimbang memang lebih satu kilo!
“Lyssa, kenapa tak cakap dekat Nek Wan? Kan Nek Wan boleh tolong kait. Awak tu mengandung. Nanti jadi apa-apa, bahaya untuk baby dan Lyssa juga” tegur Nek Wan prihatin.
“Mia pun sama! Boleh pula dia buat senyap bila Kak Lyssa dia dah panjat pokok!” Nek Wan menepuk perlahan bahu Mia.
“Adoi! Kak Lyssa tu yang suruh Mia tutup mulut. Dia suruh Mia jaga kawasan je takut abang Iz dah pulang” Mia mempertahankan dirinya.
“Mia! Kenapa bocor rahsia?” tegur Alyssa. Tadi dia suruh Mia merahsiakan hal itu dari Izham.
“Tak jadi rahsia dah la sayang. Abang dah tangkap sayang pun. Tunggu nak denda sayang je nanti” jeling Izham masih lagi geram.
“Ala, janganlah denda Lyssa. Baby tau yang nak makan ni. Baby yang suruh Lyssa panjat pokok sebab dia tak boleh tahan sabar nak makan mangga tu” Alyssa membulatkan matanya menagih simpati.
Izham menggeleng kepalanya. “Tak ada! Sayang buat salah so memang kena denda juga” kalau dia tidak mendenda Alyssa, pasti isterinya itu akan buat lagi. Dia kenal sangatlah Alyssa tu.
Alyssa memuncungkan bibirnya. Huh! Tak ada belas kasihan langsung!
“Nek Wan, jom masuk. Lyssa nak makan mangga cicah serbuk asam pula. Nanti Nek Wan kupaskan mangga boleh tak?” Alyssa tarik tangan Nek Wan dan berjalan melepasi Izham.
Alyssa buat-buat tidak nampak jelingan tajam Izham yang bercekak pinggang itu. Dia nak merajuk lagi dengan Izham!
Share this novel