Itu kisah 7 tahun lepas. Sampai sekarang hubungannya dengan Izham masih dingin. Ya, dia berjaya pergi dari hidup mereka. Bukan pergi sebenarnya, menghilangkan diri dari pandangan mereka untuk seketika .
Berkat keputusan PT3 yang cemerlang, dia ditawarkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Jauh ya memang jauh dari Kuala Lumpur. Sengaja dia pilih tempat yang jauh agar hanya pulang apabila tiba cuti yang memang tidak boleh dielak .
Datin Salmah memang berat hati untuk melepaskannya. Tapi dia meyakinkan Datin Salmah bahawa dia pergi hanya 2 tahun dan sudah tentu untuk belajar. Duit memang tidak menjadi masalah untuknya kerana setiap bulan Datin Salmah memasukkan untuknya. Dia pergi dengan kapal terbang dan dia pulang pun dengan kapal terbang. Memang dia banyak berhutang budi dengan Datin Salmah. Budi? Tiba-tiba dia teringat Izham .
Reaksi Izham pula apabila dia bersuara untuk ke MRSM memang menyebalkan hati.
"Ha baguslah pergi MRSM! Jauh daripada ibu, senang sikit nak bercinta”.
Masih terngiang-ngiang kata Izham kepadanya dulu. Tapi dia berjaya menutup mulut Izham kerana hampir setiap semester dia mendapat 4 flat. Dan alhamdulillah, dia mendapat straight A dalam SPM. Kini, dia mengikuti pengajian di salah satu universiti tempatan yang terkemuka dalam bidang Engineering. Dah masuk tahun keempat dia di sini. Tapi dia ada satu masalah yang menyebabkan dia kurang selesa berada di sini.
"Hai Dina" si dia menyapa. Yup si dia ialah masalahnya. Alyssa terus berjalan tanpa menghiraukannya.
"Dina tunggulah! Tak kesian dekat saya ke asyik kejar awak hari-hari?”
Kata-katanya membuatkan Alyssa berhenti melangkah. Terus Alyssa berpaling menghadap si dia yang tersengih .
"Buat apa nak kesian? Sendiri buat sendiri merasa lah. Kan saya dah kata jangan ganggu saya" kata Alyssa sebal.
Baru sahaja hendak melangkah pergi, si dia menarik tangannya membuatkan dia terkebelakang dan hampir memeluknya. Alyssa mendengus geram .
"Sorry, tak bermaksud nak buat macam ini" katanya.
"Lepaskan tangan saya atau awak nak suruh saya pijak kaki awak ?” ugut Alyssa. Cepat-cepat si dia melepaskan tangan Alyssa.
'Kau masih tak berubah Dina! Berlagak kasar' desisnya.
"Kalau setakat nak pandang saya, baik saya pergi dulu" suara Alyssa mematikan renungannya.
"Ikut saya " arahnya. Dengan berat hati, Alyssa mengikutnya menuju ke bangku yang berdekatan.
"Saya bagi awak 5 minit je untuk cakap. Saya ada hal pula" putus Alyssa.
"Awak tak rindu saya ke ?" tanyanya. Alyssa menjegilkan matanya. Lelaki itu ketawa kecil.
"Tak adalah. Saya kan tak datang kelas dua hari lepas, so saya tak ada pair untuk assignment Sir Ikmal. Bila saya pergi jumpa Sir, Sir jadikan awak sebagai pair saya memandangkan awak seorang sahaja tak serah nama lagi" katanya.
" Tu je ? Saya dah tahulah . Sir Ikmal dah bagitahu. Dahla saya nak balik" ujar Alyssa seraya berdiri. Tapi sekali lagi tangannya ditarik si dia.
"Awak nak apa lagi Firash?" marah Alyssa. Kan dah terkeluar nama si dia.
"Awak masih marahkan saya?” soal Firash.
Tangan Alyssa tidak dilepaskan malah dia genggam erat. Alyssa meronta-ronta untuk melepaskan genggamannya, tapi siapalah dia untuk melawan kudrat seorang lelaki. Akhirnya dia mengalah dan kembali duduk di sisi Firash .
"Awak dah berubah Dina. Dulu awak tak keras hati sebegini" luah Firash .
"Awak yang buat saya jadi macam ini " balas Alyssa.
Firash terdiam, sedar semua ini berpunca darinya . Tapi itu kisah 6 tahun lepas, takkan Dina masih menyimpan marah kepadanya. Dia merenung Alyssa.
"Awak semakin cantik" puji Firash. Wajah Alyssa memang sempurna. Wajahnya bujur sirih dan dikurniakan sepasang mata bundar yang sangat menawan. Alis matanya hitam dan lebat ditambah pula dengan bulu matanya yang melentik semula jadi. Bibir mungilnya berwarna kemerahan. Sekali lihat Alyssa ada mix Arab. Memang dia terpukau.
"Tapi wajah ni yang awak caci dulu. Awak hanya pentingkan paras rupa" kata-kata Alyssa merobek hati Firash dan betul lah, luka lama Alyssa masih lagi berdarah .
"Maaf, itu memang silap terbesar saya. Tapi saya buat semua tu ada sebab” Firash membela diri .
Alyssa tersenyum sinis. "Sebab? Kalau dah benci tak payahlah dekati saya dari awal lagi" luah Alyssa. Firash pandang Alyssa yang menundukkan mukanya .
"Saya tahu awak masih sukakan saya. Saya pun suka awak. Orang kata love at the first sight" ucap Firash. Alyssa memandangnya tidak beriak.
"Saya tak tipu. Itu memang lahir dari hati saya sendiri" sambung Firash lagi .
"Dahla Firash. Saya nak balik. Nanti saya text awak bila kita nak discuss pasal assignment tu” kata Alyssa.
Kali ini Firash hanya membiarkan gadis itu pergi. Tiada guna kalau dia berterusan mendesak Alyssa. Dia yakin lambat laun Alyssa pasti terimanya semula .
***
"Ibu, Lysa dah balik!" laung Alyssa. Dia mencari Datin Salmah di kebun bunga kesayangannya, tapi kelibatnya tidak kelihatan.
'Mana pula ibu pergi ni?' soalnya. Dilihat kereta BMW milik ibunya tersadai di garaj menandakan ibunya berada di rumah. Alyssa berjalan menuju ke dapur.
"La ibu dekat dapur ke. Ibu buat apa ni?” tegur Alyssa sewaktu ternampak ibunya sedang menguli tepung .
"Ha Lysa ! Baguslah dah balik. Tolong ibu buat donut" arah Datin Salmah. Alyssa terus duduk bertentangan dengan Datin Salmah.
"Siapa nak datang ni ibu sampai buat banyak-banyak?" soal Alyssa.
"Haih kamu ni. Masih muda lagi dah nyanyuk ya? Kan Abang Chad kamu balik hari ni"
"Ha'a la. Lysa lupa" dia tersengih .
Apa khabar agaknya lelaki itu ? Sudah 5 tahun dia tidak pulang ke tanah air kerana melanjutkan pengajian di Ireland dalam bidang Business Management. Entah reaksi macam mana harus dia tunjukkan bila lelaki itu ada depan mata dia nanti.
" Lysa oo Lysa, mengelamun pula" tegur Datin Salmah.
"Eh sorry ibu, tak perasan ibu panggil. Kenapa bu?” soalnya.
"Ni , Abang Chad kamu mesej nak makan nasi lemak tapi ibu tak menang tangan la. Lysa tolong masak nasi lemak boleh? Lagipun nasi lemak Lysa sedap" pinta Datin Salmah .
"Yalah, Lysa buatkan. Tapi Lysa nak naik solat zohor kejap” katanya tidak mampu menolak permintaan Datin Salmah yang penuh dengan wajah mengharap.
***
Sambal ikan bilis yang siap dimasak, Alyssa masukkan ke dalam pinggan. Kemudian dia mencedok nasi ke dalam mangkuk. Setelah berpuas hati dengan air tangannya, dia mencapai jag untuk membuat air pula.
"Hmm sedapnya bau! Pandai anak ibu masak” muncul Datin Salmah. Alyssa hanya tersenyum bangga.
"Ni dah boleh jadi isteri orang" usik Datin Salmah. Alyssa jegilkan matanya .
"Ish ibu ke situ pula. Lysa muda lagi lah. Banyak lagi cabaran Lysa kat luar sana. Belajar lagi kerjaya lagi" ujar Alyssa tidak mahu isu nikah dibangkitkan.
Datin Salmah hanya tersengih. Faham benar dengan Alyssa yang tidak menyukai isu itu dibangkitkan.
"Ibu, Lysa dah siap prepare makanan. Tinggal makan je. So Lysa naik dulu eh? " pinta Alyssa.
"Eh, tak nak makan sekali ke? Kejap lagi Abang Chad kamu sampai” tanya Datin Salmah.
Alyssa menggelengkan kepalanya. "Tak kut bu. Lysa dah janji dengan mama nak skype lepas siap masak" tolak Alyssa lembut .
"Hmm ya lah. Jangan lupa kirim salam dekat mama kamu” pesan Datin Salmah. Dia memandang Alyssa berlalu dari dapur .
‘Sampai bila kau nak lari dari Abang Chad kamu , Lysa? ' soal hati tuanya.
Memanglah Lysa dan Izham tidak pernah bercerita tentang masalah mereka, tetapi dia seorang ibu. Dia dapat mengesan kedinginan antara mereka sejak 7 tahun lepas. Memang selama ini mereka berdua dingin, tapi kedinginan mereka kali ini lain macam. Sampai masing-masing pergi membawa diri!
***
Baru sahaja Alyssa hendak mendaki tangga, dia nampak Si Tom sedang tidur terlentang di hadapan pintu.
'Ish kucing gemok ni!' Tiba-tiba idea nakalnya muncul. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah Si Tom.
"1 , 2 , 3 ...hahhh !" sergahnya.
"Waaa!" okay ini jeritan Alyssa. Dia yang terkejut bukan Si Tom yang masih nyenyak tidur. Wajah yang tiba-tiba terjegul di hadapan pintu memang mengejutkan dia.
Izham pandang Alyssa pelik. Takkan terkejut sangat tengok dia sudah pulang?
Alyssa melopong. Dia pandang Izham yang sudah semakin segak dan handsome? Errk. Izham memang nampak berkarisma. Aura Izham yang kuat tu buat Alyssa tidak jemu memandangnya.
"Dah puas tenung?" suara Izham mematikan renungan Alyssa.
"Mana ada lah. Cuma pelik je abang Chad nampak makin gemuk” serentak itu dia berlari meninggalkan Izham yang terkulat-kulat.
'Aku gemuk? Muka yang tiap-tiap hari pergi gym ni dikatakan gemuk?’ Izham membulatkan matanya. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi .
"Eh Iz, dah sampai ya anak ibu? Semakin segak ibu tengok Iz ni" tegur Datin Salmah yang baru muncul. Izham terus menyalami tangan ibunya dan terus memeluknya untuk melepaskan rindu .
"Ibu sihat ? Rindunya Iz dekat ibu"
"Ibu sihat je. Ni anak ibu nampak semakin segak dan berseri-seri ni kenapa? Sudah ada buah hati eh?" usik Datin Salmah .
" Iz tak ada orang minatlah ibu" Izham ketawa kecil.
"Tapi bu, betul ke Iz nampak makin gemuk?" tanyanya cuak.
"Siapa berani kata Iz gemuk? Tak nampak ke anak ibu ini dah semakin handsome dan segak" kata-kata ibunya melegakan Izham. Sahlah, Alyssa permainkan aku tadi. Dia tersenyum.
"Haih Iz, tak sampai satu jam balik dah tersengih-sengih . Betullah anak ibu dah jumpa someone ni?" tegur Datin Salmah.
" Tadi baru jumpa. Ala bu, Iz tak cari buah hati yang jauh-jauh. Iz dah ada buah hati yang dekat dah" Izham berkias. Datin Salmah tersenyum .
"Yalah. Dah, jom makan. Buah hati Iz yang masak. Sedap tau!” ajak Datin Salmah yang masih melayan gurau anaknya. Izham ketawa kecil .
Share this novel