“Sue, jom? Dah masuk waktu lunch ni” terjegul wajah Alyssa yang sudah tersengih di hadapan meja Suzana.
“Hari ni pun aku kena lunch dengan kau lagi ke?” Suzana sudah buat muka bosan. Bukan apa, sudah hampir seminggu Alyssa mengajaknya keluar lunch. Biasanya gadis itu akan lunch dengan Izham. Entah apa yang tak kena dengan pasangan itu, asyik lunch asing-asing je.
“Mestilah. Hari ni aku mengidam cendol durian! Kita pergi lunch dekat warung depan tu nak? Laksa Penang pun ada tau!” mata Alyssa sudah bersinar-sinar membayangkan makanan itu. Kecur air liurnya.
“Kenapa tak ajak bos je? Kau tahu tak, bos tu sudah merajuk dengan aku sebab aku asyik culik bini dia je waktu lunch”
Alyssa sudah mencebik bibir apabila nama Izham dibangkitkan Suzana. “Tak nak teman aku sudah. Aku pergi lunch sorang je!” rajuk Alyssa dan ingin beredar dari situ.
“Yalah, aku temankan kau. Ish, mak buyung ni! Sikit-sikit nak merajuk” Suzana mengalah jua.
“Yeay! Thank you Su. Nanti aku belanja kau lunch” tidak jadi mahu beredar sebaliknya Alyssa sudah tersenyum lebar.
“Kau tunggu aku dekat bawah. Aku nak settle minit mesyuarat ni jap. Nanti aku turun”
“Okay! Jangan lama sangat tau? Baby aku dah tak sabar nak merasa cendol durian” Alyssa menayangkan giginya yang tersusun rapi sambil mengusap perutnya.
Tergeleng-geleng kepala Suzana. Nasib baik sikap mengada-ngada Alyssa ni comel. Kalau tak dia memang malas melayan. Menyampah!
“Okay mak buyung! Dah shuh shuh! Lagi cepat aku settle, lagi cepat kau boleh makan” halau Suzana.
Alyssa hanya tergelak kecil sebelum dia berpamitan dengan Suzana. Dia terus menuruni lift ke tingkat bawah dan mengambil tempat di sofa di hadapan kaunter reception itu.
“Puan Alyssa, semakin berseri saya tengok sejak berbadan dua ni. Berapa bulan dah kandungan Puan?” tegur Fina mesra. Sejak pertama kali berjumpa dengan Alyssa lagi, dia sudah tertarik dengan personaliti dan penampilannya. Tidak menyangka yang Alyssa akan menjadi isteri bos besar mereka.
“Hai Fina! Seri ibu mengandung ni lain macam sikit kan? Alhamdulillah, sudah masuk empat bulan” Alyssa tersenyum senang sambil mengusap perutnya.
“Wah, mesti bos pun dah tak sabar menunggu anaknya dilahirkan! Sejak bos kahwin dengan Puan and bakal bergelar daddy, senyum memanjang je dia. Rezeki pun tak putus-putus”
Alyssa hanya tersengih lebar. Dia masih terasa sebal dengan Izham. Jadi dia tidak mahu membahas tentang suaminya.
“Fina tak keluar lunch ke?” soal Alyssa.
“Hari ni saya ada bawa bekal. Puan pula tak keluar lunch ke? Atau sedang tunggu boss ni?” serkap Fina sambil tersenyum nakal.
“Tak adalah. Saya tunggu Su..”
“Jom!”
“Boss” Fina menundukkan badannya tanda hormat akan kedatangan Izham.
Alyssa pula sudah mengerutkan keningnya bila bukan Suzana yang muncul malah suaminya pula. Tak lain tak bukan, ini mesti kerja Suzana!
“Sayang nak makan cendol durian kan? Jom, abang bawa sayang pergi makan dekat kedai yang best” Izham membangunkan Alyssa dan memeluk bahu isterinya.
“Siapa yang nak lunch dengan abang?” gumam Alyssa perlahan.
Fina yang berdiri di tepi Alyssa itu tersengih dan terus meminta diri untuk beredar. Bagi ruang dan privasi untuk pasangan itu. “Have a happy lunch Boss, Puan” katanya dan terus berlalu pergi.
“Lyssa nak lunch dengan Su. Bukan abang” Alyssa pantas menepis perlahan tangan Izham di bahunya bila bayang Fina sudah menjauh.
Izham memandang wajah Alyssa seketika lalu menaikkan keningnya sebelah. “Sama ada lunch dengan abang atau sayang tak boleh keluar lunch langsung? Pilih yang mana satu”
Wajah Alyssa sudah cemberut. “Mana aci guna kuasa veto” ujar Alyssa tidak berpuas hati.
“Terpaksa sayang. Kalau tak, sayang terus merajuk dengan abang” hidung Alyssa dicuitnya.
“Yalah, Lyssa lunch dengan abang. Kalau bukan sebab Lyssa betul-betul mengidam cendol durian, jangan harap Lyssa nak keluar lunch!” rungutnya.
Handbag di tepi sofa dicapai sebelum dia bergerak ke hadapan meninggalkan Izham.
“Nak ke mana tu sayang? Hari ni abang park kereta dekat basement lah” laung Izham.
Terhenti langkah Alyssa. Dia berpusing dan berjalan menuju ke lift. Sempat satu jelingan dihadiahkan kepada Izham.
“Huh!”
Izham tersenyum kecil. Boleh tahan keras juga hati Alyssa Irdina ni!
******
Firash menjejakkan kaki di aras yang menjadi tempat kerja Sara. Dia baru sahaja selesai sesi kaunseling dengan Doktor Arif. Bersyukur apabila Doktor Arif memaklumkan yang dia menunjukkan perubahan yang positif. Sungguh Firash rasa berterima kasih terhadap Sara kerana gadis itu lah yang mencadangkan dia berjumpa dengan pakar kesihatan mental. Kalau tak, mungkin sekarang dia masih dengan dunianya sendiri.
Nama Doktor Sara Adlina di setiap pintu bilik dicarinya dengan teliti. Tadi Sara ada menghantar pesanan yang sesi on callnya akan tamat pada pukul 5 petang. Lagi 15 minit!
Setelah menemui bilik kerja Sara, Firash mengetuk pintu dahulu sebelum tangannya memulas tombol pintu bilik. Matanya meliar ke dalam bilik Sara yang masih kosong itu. Pasti Sara masih berada di wad. Nasib baik Sara sudah memesan awal-awal supaya menunggunya di bilik kerjanya sahaja.
“Wangi” ujar Firash tanpa sedar. Dia menikmati bau bilik Sara yang sedikit segar dan harum dengan bauan vanilla dari air humidifier. Dia perasan, Sara suka bau-bauan yang manis dan segar.
Firash terus berpaling ke arah pintu apabila dikuak dari luar. Muncul wajah Sara yang sedang bergelak ketawa di sisi seorang lelaki. Firash mula rasa tidak senang.
“Eh Firash! Sorry buat kau tunggu aku. Ada discussion dengan specialist jap tadi” tegur Sara sudah tersenyum memandang Firash.
“Tak apa. Aku pun baru je sampai. Tak adalah lama menunggu”
Sara mengangguk kecil. “Kenalkan, ni Doktor Fendi. Doktor Fendi, ni kawan saya. Firash namanya” Sara memperkenalkan kedua-dua lelaki itu.
‘Oh ini ke Doktor Fendi yang selalu call Sara tu?’ gumam Firash perlahan. Dia merenung Fendi atas bawah.
Fendi tersenyum lebar dan menghulurkan tangannya. “Selamat berkenalan Encik Firash. Saya Fendi, teman sekerja Sara”
“Nice to meet you too, Doktor Fendi” Firash tarik senyuman tipis di bibirnya dan menyambut huluran tangan Fendi. Terserlah kedinginan dari aura Firash itu.
Sara pula sudah tersengih. Entah kenapalah kedua-dua lelaki di hadapannya ini saling merenung pula? Sara berdehem kecil.
“Kau tunggu jap eh Firash. Aku nak siapkan report ni dengan Doktor Fendi dulu” ujar Sara sambil menunjukkan fail di tangannya.
Firash hanya mengangguk faham dan membiarkan dua orang itu berbincang sesama sendiri. Nak menyampuk pun, dia bukannya tahu istilah perubatan. Bukan bidangnya. Rasa tidak senang hati ditepis jauh-jauh, tidak mahu menidakkan nilai profesional apabila melibatkan hal kerja.
“It’s okay, Doktor Fendi. Tak perlu susah-susah. Actually, saya akan pulang dengan Firash” tolak Sara apabila Fendi menawarkan diri untuk menghantarnya pulang.
Tersentak Firash yang sedari tadi asyik termenung apabila Sara mendekatkan diri disisinya. Dia mengerling Sara yang sudah tersenyum simpul.
“Oh ya ke? Memang tak ada lagi lah rezeki saya nak hantarkan awak. Saya baru berniat nak ajak awak makan dinner sama-sama. Tak pernah lagi kan kita makan dekat luar” Fendi sudah beriak kecewa.
“Maaflah Doktor Fendi ya? InsyaAllah lain kali, kalau tak ada aral” serba salah pula Sara dibuatnya melihat wajah Fendi yang jelas berubah.
“Tak apa. Tak ada rezeki kan? Okaylah, saya pun nak gerak pulang dah. Take care Sara. See you when I see you” Fendi berura-ura mahu pulang. Kemudian dia menoleh ke arah Firash dan menepuk perlahan bahu itu.
“Hati-hati drive. Jaga Sara baik-baik” pesannya tersenyum kelat.
Firash mengangguk faham. “Don’t worry Doktor Fendi. Doktor pun, selamat pulang”
Keluar sahaja Fendi dari bilik Sara, Firash terus memusingkan badannya menghadap Sara. Dia mengerutkan dahinya.
“Any explanation about that? Sejak bila kau balik dengan aku? Tak ada cakap pun” Terkejut Firash apabila Sara mengatakan yang dia akan dihantar pulang olehnya.
“Hehe sorry main cakap je. Kereta aku, adik aku pakai bawa pergi Johor. Aku datang kerja dengan grab semalam. Doktor Fendi dapat tahu, so dia offer nak hantar aku. Tapi kau kan dah pesan, jangan...” Sara terjeda. Dia menutup mulutnya. Alamak!
“Tapi aku pesan apa?” Firash soal Sara. Keningnya dijongketkan. Dia rasa dia tahu apa yang Sara mahu cakap.
Sara melarikan pandangannya dari renungan Firash. Baru sahaja mahu melarikan diri ke mejanya, tangan Firash lebih pantas memaut lengannya.
“Kau tak jawab lagi soalan aku” Sara menelan air liurnya apabila Firash masih menagih jawapan darinya.
“Err tak ada apa-apa pun” nafi Sara. Takkan lah dia mahu mengaku yang dia masih ingat pesanan Firash supaya tidak menerima apa-apa pelawaan dari Doktor Fendi kerana lelaki itu tidak suka dia berbuat demikian?
“Tapi kalau kau tak boleh hantar aku pulang, tak apa. Aku naik grab je” sambung Sara lagi masih mahu mengelak.
Firash pula sudah menyembunyikan senyuman melihat Sara masih cuba mahu mengelak dari menjawab soalannya. Tak apalah, kali ini dia akan membiarkan Sara lepas.
“Siapa kata aku tak boleh hantar kau pulang? Lain kali, kalau tak ada kenderaan or nak minta tolong something, just cakap dekat aku je. Untuk kau, aku tak kisah” ujar Firash dan melepaskan pautan di lengan Sara.
Sara pula sudah termangu-mangu dengan ayat terakhir yang keluar dari mulut Firash. Ayat itu mempunyai makna tersirat ke?
“Termenung pula. Tadi kau cakap nak kirimkan sesuatu untu Ana kan? Mana barangnya?” tanya Firash. Memang itu pun tujuannya untuk berjumpa dengan Sara. Sara kata dia ada belikan sesuatu untuk adiknya. Kebetulan dia pergi ke hospital tempat Sara bertugas, jadi Sara mahu mengirim kepadanya sahajalah.
“Oh, ada. Kejap aku ambil” Sara bergegas ke mejanya dan mengambil sebuah paper bag besar di bawah mejanya.
“Besarnya bag. Barang apa dalam tu?”
“Hehe, adalah. Barang orang perempuan. Kau tak perlu tahu” Sara tersengih. Dia tak nak Firash mengetahui yang dia telah membeli sepasang kasut sneakers dan sebiji Ipad untuk Syazana yang cemerlang dalam peperiksaan. Pasti Firash akan membantah habis-habisan.
“Kau jangan nak manjakan sangatlah Ana tu” ujar Firash tidak berapa suka jika Sara terlalu mengikut sahaja segala yang diminta oleh Syazana.
“Tak apa. Aku dah anggap Ana macam adik sendiri. Aku tak kisah pun”
“Tapi aku kisah”
Sara pandang Firash. “Why?” ujarnya tidak berpuas hati.
“Sebab kau bukan siapa-siapa untuk Ana. Kau just orang luar”
Sara tergamam. Sedikit terasa dengan kata-kata Firash.
“But don’t worry. Aku akan jadikan kau bukan orang luar untuk Ana”
Share this novel