8. TUNAIKAN JANJI

Fantasy Completed 227354

“FALISHA IRDINA”

Bergema suara Fadhlan memanggil nama anak gadisnya itu di dalam rumah besar miliknya itu. Juani dan Ghadi pula menunduk seperti pesalah yang dihukum berdiri di sudut ruang tamu rumah. Sedikit pun mereka berdua tak berani nak mengangkat kepala melihat kepada Fadhlan yang sedang duduk di sofa seorang diri memandang kepada Falisha yang baru pulang.

“Pa..”

“Kamu kemana?” tegas nada yang dikeluarkan oleh Fadhlan. Tiada lagi nada lembut seperti sebelum ini.

“Pa.. Isha keluar jumpa kawan..”

“Kawan? Lelaki? Siapa nama dia?” potong Fadhlan.

“Kawan…”

“Kawan yang berikan cincin di jari manis Isha tu?” potong Fahdlan lagi.

“Ya.. Isha keluar…”

“Papa tak izinkan Isha keluar. Kenapa Isha keluar juga?” Falisha kali ini mengeluh bila Fadhlan memotong percakapannya lagi..

“Pa.. Isha keluar dengan Aryan.. Ada benda yang kami nak bincangkan bersama. Papa juga patut tahu, yang kami nak kahwin..” Falisha berterus terang.

“Kahwin? Semudah tu Isha?” tany Fadhlan.

“Kami saling mencintai papa, macam mana Isha nak terangkan kepada papa lagi. Kenapa papa tak suka dengan Aryan.. Sedangkan papa kenal dia pun tak. Bagi lah kami peluang pa…” kata Falisha. Membela buah hati yang kini telah menghuni hatinya.

“Papa tak kenal dia? Isha duduk disini” Fahdlan menunjuk kepada sofa yang ada di hadapannya. Falisha mengeluh, berat langkahnya menghampiri masuk keruangan itu. Punggungnya dihempas kasar ke atas sofa. Mata Falisha tak lepas dari memadang kepada Fadhlan dan menunjukkan rasa tak puas hatinya.

“Isha kata.. Papa tak kenal siapa Aryan. Papa takut Isha yang tak kenal dia..” Fadhlan meletakkan beberapa keping gambar di atas meja kopi yang ada di antara mereka berdua.

“Apa maksud papa?” Tanya Falisha..

“Tengok lah sendiri” Fadhlan menunjuk tangannya kearah gambar yang ada di atas meja kopi. Kemudian Fadhlan kembali menyandarkan tubuhnya ke sofa semula.

‘Apa lagi yang papa tak puas hati dengan Aryan.’ Falisha mengambil gambar-gambar yang ada di atas meja kopi. Kepingan gambar itu disatukan oleh Falisha.

‘Gambar Aryan di kelab.? Mana papa dapat ni? Selama ni papa upah penyiasat untuk intip Aryan ke? Aku dah tahu semua ni.. Jadi papa nak guna alasan ni. Sebab papa tak sukakan Aryan..?’ keluh Falisha. Sesekali dia mengangkat alis matanya melihat kepada Fadlan yang sedang merenungnya dari tadi.

“Pa..”

“Apa lagi alasan Isha? Lelaki yang macam ni, Isha nak jadikan suami? Layak ke dia nak menjadi seorang pemimpin keluarga? Orang yang macam tu..” sinis bicara Fadhlan menunjuk ke arah gambar yang dipegang oleh Falisha.

“Manusia boleh berubah pa..”

“Memang manusia boleh berubah. Contohnya ada didepan mata papa, anak papa sendiri. Tengok lah lagi gambar tu. Kenapa Isha tak tengok sampai habis.” Sindir Fadhlan lagi.

“Isha tahu Aryan macam ni. Tapi dia baik pa.. Cuma dia, hidup bebas.. Itu saja papa. Kenapa papa suka buruk sangka dengan setiap pilihan Isha? Dengan kawan-kawan Isha?” 

“Papa bukan buruk sangka. Papa tak pernah halang dengan siapa Isha nak berkawan. Tapi kenapa perlu Isha berkawan dengan orang-orang yang macam tu. Papa tak setuju lelaki tu jadi menantu papa.. Isha layak dapat yang lebih baik dari yang ini..” balas Fadhlan dengan tenang, memberitahu pendapatnya.

“Pa.. Isha cintakan dia.. Pa. Isha sayangkan dia. Sampai hati papa..” kata Falisha sayu, sedih dengan kata-kata Fadhlan tadi.

Fadhlan yang sedang duduk di sofa melihat kearah Falisha. Mata Falisha sudah pun berkaca-kaca, adakala anak mata itu naik keatas dengan rahang runcing milik Falisha begerak-gerak menahan diri, agar air matanya tak tumpah jatuh ke pipi putih gebunya.

“Isha betul-betul sayang dia? Budak lelaki tu…”

“Ya! Isha sayang dia..” Falisha menganggukkan kepalanya berulang kali dengan yakin.

“Nama dia Aryan.. Irsyad Aryan.. Papa..” tegas Falisha. 

“Hmm.. Irsyad Aryan.” Fadhlan mengangkat tubuhnya bangun dari sofa. Perlahan-lahan kaki diatur melangkah ke arah almari berlaci paras dada yang ada di ruang tamu itu. Laci yang paling atas ditarik oleh Fadhlan. 

Falisha tak lepas memandang kearah Fadhlan. Lama dia perhatikan Fadhlan yang berdiri kaku selepas laci almari ditarik.

“Papa” panggil Falisha. Kemudian Falisha melihat kepada Juani dan Ghadi yang masih sedang berdiri. Pasangan suami isteri itu saling berpandangan sesama sendiri.

“Sebelum papa, terima Aryan sebagai menantu papa.. Isha kena buat sesuatu..” Fadhlan menutup semula laci almari yang terbuka tadi dan berpaling. Tangannya kini memegang kotak kayu yang dibawanya turun sebelum Falisha pulang.

‘Hari ini. Aku akan tunaikan janji aku. Janji yang telah diikat dua puluh tujuh tahun dulu. Janji yang menyelamatkan nyawa aku. Janji yang menyatukan aku dengan Yaseera.. Janji dan amanah terakhir Yaseera..’

“Buat sesuatu? Buat apa?” Tanya Falisha dengan kepala yang sedang mengeleng, buntu.

‘Isha.. Isha akan buat apa saja, asalkan papa terima kami dan restui hubungan kami..’ nekad Falisha. Hatinya mula tertanya-tanya apa yang bakal di minta oleh papanya.

“Tangan Isha..” Fadhlan menghulurkan tangan kirinya meminta tangan Falisha yang sedang duduk di sofa.

Falisha mendongak melihat tapak tangan Fadhlan yang ada di hadapannya. Dia yang tadinya duduk mula berdiri. Fadhlan menghulurkan tangannya lebih dekat kepada Falisha. Meminta tangan Falisha sekali lagi. Lambat-lambat Falisha mengangkat tangan kanannya dan diletakkan diatas tapak tangan Fadhlan. Sebaik saja tangan Falisha melekat di atas tangannya, pegelangan tangan Falisha dipegang kemas. Fadhlan menunduk lalu meletakkan kotak kayu di atas meja kopi yang ada di hadapannya.

“Kotak apa tu papa?” Tanya Falisha. Fadhlan diam tak membalas. Sebelah tangannya membuka kotak kayu tersebut. Terserlah barangan yang ada di dalam kotak kayu tersebut.

‘Gelang? Gelang yang cantik’ secara tak langsung Falisha tertarik melihat gelang yang kini sudah dipegang oleh Fadhlan. Anak mata Falisha tak dapat lari dari terus melihat barangan yang berkilau keemasan itu.

“Papa serahkan amanah mama yang terakhir.” Fadhlan mengangkat tinggi gelang tersebut. Membuatkan Falisha spontan mendongak melihat kepada gelang emas itu. Dalam masa yang sama Fadhlan mengangkat tangan kirinya yang memegang tangan Falisha.

“Tunaikan janji yang telah diikat. Kembali semula ke Pulau Lantera..” seraya dengan itu Fadhlan menyarungkan tangan Falisha dengan gelang emas tersebut. sekelip mata semua itu berlaku. Falisha menarik tangannya dari dipengang oleh Fadhlan.

‘Kenapa tiba-tiba aku rasa merinding? Sejuk?.. Bagaikan ada sayu bayu yang meniup.. Adakah aku seorang saja yang rasa?’ Falisha melihat kepada Fadhlan. Kemudian berpaling kepada Juani dan Ghadi. Akhirnya dia menunduk melihat pegelangan tangannya yang disarungkan gelang emas tadi. Jari jemari  Falisha menyentuh gelang emas tersebut. Kilauan dari ukiran bunga timbul yang terdapat pada gelang  itu bagaikan sudah memukau Falisha.

“Cantik?” Tanya Fadhlan. Falisha mengangguk. Matanya masih meneliti gelang emas tersebut.

“Esok Isha bertolak ke pulau Lantera..” putus Fadhlan.

“Hah! Apa? Pulau apa?” Tanya Falisha.

“Pulau Lantera.. Tempat asal mama..” balas Fadhlan. Dia berpaling melihat kepada Juani dan Ghadi.

“Kak Ani dan Abang Adi.. Boleh masuk dulu.” Arah Fadhlan. Lama sudah pasangan suami isteri itu berdiri di sudut ruang tamu tersebut. Bukan niat dia nak menghukum mereka. 

“Tuan...” 

Ghadi mengeleng kepada Juani. Tangan Juani di pegangnya.

“Kami masuk dulu. Terima kasih tuan.” Balas Ghadi, perlahan-lahan melangkah pergi bersama Juani.

“Papa? Apa papa cakap tadi?” Tanya Falisha.

“anak papa dapat gelang.. Terus tak dapat dengar dengan baik ke apa yang papa kata kan tadi..” Fadhlan menarik bibirnya tersenyum.

“Bukan pa.. Esok? Kenapa tiba-tiba? It was too suddenly.. Isha kena bagitahu Klinik.. All of it.. Mana boleh Isha tiba-tiba nak pergi macam tu saja?”

“Dan.. dan.. untuk apa Isha pergi sana? Jumpa dengan keluarga mama? Or what?” kedua-dua bahu Falisha terangkat keatas. Ligat otaknya memikirkan  alasan agar dapat menunda pemergiannya ke pulau tersebut.

“Papa akan beritahu esok semuanya. Sekarang papa nak rehat.” Fadhlan menolak untuk terus bicara dengan Falisha.

“Pa.. It unfair pa.. Papa sengaja kan. Ini semua alasan papa. Sebab tak sukakan Aryan kan.” Tangan Falisha Cuma membuka kembali gelang yang ada dipegelangan tangannya. Tapi semua itu hanya sia-sia saja. Gelang itu bagaikan tak dapat dibuka lagi malah saiznya cukup-cukup dengan pergelangan tangan Falisha.

‘Kenapa pula dengan gelang ni. Tadi elok je papa masukkan, senang saja. Ni kenapa pula tak boleh nak keluarkan?’

“Papa buka balik gelang ni” rengek Falisha masih berusaha membuka gelang ditangannya.

‘Buka?’ berkerut dahi Fahdlan ketika itu. Terlayar kembali, malam di mana gelang itu ditanggalkan dari pegelangan Yaseera. Malam bersejarah itu masih segar di dalam ingatannya. Setiap yang berlaku pada malam itu dapat dirasakannya kini. Malah telinganya dapat menangkap bunyi guruh yang berdentum-dentum di atas langit sana.

‘Bukan Yaseera yang menanggalkan gelang itu. Melainkan.. Ali Muaz. Ya! Ali Muaz..’

“Papa!” Fadhlan mengangkat wajahnya melihat kepada Falisha yang masih berusaha menanggalkan gelang tersebut.

“Tak perlu buka lagi gelang tu. Papa nak naik tidur. Esok awal pagi selepas subuh. Kita bertolak” putus  Fadhlan lalu bangun dan berjalan pergi.

“Papa.. apa maksud papa? Kita bertolak esok? Kita..” Falisha mengejar langkah kaki Fadhlan yang sedang mendaki anak tangga naik ke atas.

“Isha.. Akan tahu nanti..” balas Fadhlan acuh tak acuh. Tetap berjalan sampai ke atas. Bila sampai di hadapan pintu biliknya Fadhlan berhenti dan berpaling melihat kepada Falisha yang ada di belakangnya.

‘Semua ni tak mudah Isha.. Papa tak pernah berjauhan dengan Isha sepanjang hidup Isha, kecuali semasa Isha study dulu. Kalini, papa kena biarkan Isha pergi. Papa gantung perjalanan hidup Isha semuanya pada takdir dan nasib Isha sepenuhnya..’ Fadhlan menepuk lembut pipi putih Falisha.

“Papa..” lembut saja nada panggilan Falisha kepada Fadhlan kali ini. Tidak menbentak-bentak seperti tadi.

“Tidur.. Tak perlu pikirkan apa-apa lagi. Rehat..” ucap Fadhlan. Tangannya turun membuka tombol pintu bilik.

“Pa..” pintu bilik sudah ditutup rapat oleh Fadhlan.

‘Kenapa papa biarkan Isha dengan penuh tanda tanya?’ Falisha memegang pintu kayu bilik Fadhlan. Lama Falisha berdiri menunggu disitu. Berkali-kali juga dia memanggil papanya dari luar pintu bilik. Semuanya sia-sia belaka, Fadhlan tetap berkurung di dalam biliknya.

“Baiklah papa. Isha masuk bilik dulu, papa.. Isha akan ikut permintaan papa ni. Isha akan bertolak ke pulau yang papa kata kan tu. Pulang ke tempat kelahiran mama.. Kalau perkara ni boleh buat papa berubah hati dan menerima Aryan. Isha akan buat dan tunjukkan kepada papa yang Isha sayangkan dia..” kata Falisha mengadap pintu yang kaku yang bisu dihadapannya. Jauh di dalam sudut hati, masih berharap balasan daripada Fadhlan. Namun, yang membalas hanyalah kebisuan malam.

“Isha balik bilik dulu..” kata terakhir Falisha sebelum menghayunkan langkahnya ke arah biliknya.

Falisha membuka pintu bilik tidurnya. Sebaik saja pintu biliknya terbuka. Angin sejuk terus menyapanya sehinggakan langsir jendela biliknya diterbangkan tinggi menyentuh langit-langit bilik tidurnya. Terus laju Falisha berjalan ke jendela biliknya dan menarik agar tingkap biliknya kembali ditutup rapat. Langsir yang berterbangan tadi perlahan-lahan jatuh ke bawah semula.

‘Kuat pula angin malam ni..’

Tubuh yang mengadap ke arah jendela tadi berpaling. Terkaku Falisha seketika, bila melihat bayang-bayang hitam di dalam biliknya. Dia yang masih berada disebalik kain langsir hanya mampu melihat ke arah bayangan hitam itu.

‘Apa.. Apa benda tu?’

Mata yang tadinya membulat mula berkelip. Sekali. Dua kali kelipan. Kini bayangan itu sudah hilang ghaib begitu saja. Falisha menyelak langsir dan keluar dari langsir dan menjauh dari jendela biliknya. Segenap ruang biliknya diperhatikan. Kosong. Hanya ada dia seorang diri saya disitu.

‘Isha, kau terlampau letih agaknya. Letih, plus stress ni! Sebab tu mata kau mula nampak yang bukan-bukan.’ Keluh Falisha. Memujuk dirinya sendiri. Tangannya menepuk pipinya sendiri.

Ke esokkan paginya..

Tok! Tok! Tok!

“Siapa..?” Tanya Falisha bergumam. Matanya masih tertutup rapat tak dapat dibuka.

“Cik muda. Mak Ani ni.. Cik muda masih belum bangun ke?” Tanya Juani yang berada di luar pintu.

“Bangun? Bangun kemana? Awal lagi ni Mak Ani.. Bagilah Isha tidur lagi dua tiga minit.. Lima.. Lima minitttt… pleaseeee” Renget Falisha.

‘Apalah Mak Ani ni! Mengantuknya! Apasal aku tak boleh tidur dari semalam sampai ke pagi ?! Arrrgghhh! Nak subuh baru mata ni nak lelap..’

“Cik muda. Bukalah pintu ni. Mak Ani nak masuk kemaskan baju Cik Muda ni.. kalau terlambat, Tuan marah nanti..” kedengaran lagi suara Juani di sebalik pintu.

“Aahhh.. Ya-ya.. Kemas baju.. Ha ah..” Falisha menarik bantal lalu memeluknya erat..

‘Kemas baju? Awal Mak Ani basuh baju hari ni?..’

“Apa! Kemas apa! Baju?!” bantal yang dipeluk tadi di baling oleh Falisha. terus mendadak dia bangun duduk di atas katil.

“Mak Ani!” panggil Falisha. Melihat kearah pintu biliknya.

“Ya..” mendengar suara balasan dari Juani terus Falisha meramas rambutnya dengan kasar.

‘Aargh! Betul lah tu suara Mak Ani. Ingat aku mimpi lagi tadi.’  Falisha berjalan ke arah pintu dan membuka pintu biliknya.

Juani melihat Falisha, mata putih Falisha bertukar kemerahan.. Dengan rambut yang kusut dan megembang bagaikan singa jantan.

“Cik muda tak tidur ke semalam? Tak boleh tidur?” Tanya Juani. Falisha membuka pintu biliknya dengan lebih luas. Memberi ruang buat Juani masuk kedalam.

“Mak Ani rasa dengan apa yang berlaku sekarang ni.. Isha boleh tidur ke? Tiba-tiba papa minta Isha pergi ke tempat yang Isha tak pernah pergi. Macam benda ni penting sangat! Ni semua.. Mesti papa sengaja nak kan.” Rungut Falisha menutup kembali pintu biliknya.

“Tak baik kata macam tu. Nanti Cik muda tanyalah Tuan baik-baik. Semua tuan buat tu pasti ada sebabnya.” Kata Juani mengeluarkan beg pakaian Falisha diletakkan di atas katil. Beg pakaian itu dibukanya melebar.

“Amboi. Mak Ani? Besarnya bagasi? Papa nak halau Isha ke apa ni?” Sindir Falisha melihat kearah beg yang ada di atas katilnya.

“Tak lah. Kenapa cik muda cakap macam tu. Tak baik tahu.. Tuan tu papa Isha.” Tegur Juani secara lemah lembut.

“Hmm” Falisha melipat tangannya memeluk tubuhnya melihat saja Juani mengeluarkan pakaiannya dari bilik pakaian.

“Cik muda mandi lah dulu.. Lepas tu turun sarapan ya. Pakaian dan barang-barang Cik muda ni jangan risau. Biar Mak Ani yang siapkan semuanya..” kata Juani.

Selesai bersiap semua Falisha turun ke bawah, beg bagasinya sudah berdiri tegak di hadapan pintu utama rumahnya. 

“Papa. Selepas Isha balik dari sana.. Papa janji dengan Isha, yang papa akan restu Isha dengan Aryan?” Tanya Falisha.

“Ya! Itu janji papa. Kalau Isha balik. Dan selesaikan urusan Isha di Pulau Lantera. Papa tak akan bangkang lagi apa-apa keputusan Isha.” Balas Fadhlan yang sedang duduk di meja makan berpaling melihat kepada Falisha yang sedang berdiri tak jauh darinya.

“Baik! Kalau itu dah papa katakan.. Isha akan tunaikan permintaan mama yang terakhir ni.” Balas Falisha dengan yakin.

‘alah! Apa lah sangat kalau setakat nak balik kampung’

“Bagus. Sepatutnya tujuh belas tahun dulu  mama yang bawakan Isha ke pulau Lantera. Tapi apakan daya, ajal mama sampai dulu. Mama pergi dengan membawa adik lelaki kamu.. Kini, sudah sampai masanya Isha tunaikan permintaan terakhir mama..” Kata Fadhlan berusaha memaniskan wajahnya dengan senyuman.

“Duduklah. Makan dengan papa..” Fadhlan menunjuk ke arah kerusi yang ada di sampingnya. Kerusi yang selalu Falisha duduk bila makan dengannya. Farisha menghampiri meja makan. Setiap menu yang ada di atas meja diperhatikannya.

‘Kenapa Mak Ani masak semua lauk kegemaran aku pagi ni?’

Falisha yang menunduk mula mengangkat wajah melihat kepada Juani yang sedang tersenyum kepadanya.

“Pukul berapa Mak Ani bangun masak semua ni?” tanya Falisha menunjuk kearah pinggan yang terisi paru goreng berlada di tengah ruangan meja.

“Kenapa nak risaukan Mak Ani.. Duduklah makan.” Juani menyendukkan nasi lemak dan dihulurkan pinggan itu kepada Falisha.

“Papa yang minta Mak Ani siapkan lauk-lauk kegemaran Isha.” Falisha menunduk melihat kepada lauk yang ada di atas meja.

“Terima kasih..” pendek saja balasan Falisha. Kemudian ruang makan itu kembali sunyi. Bila dua beranak itu sedang menjamah sarapan pagi mereka bersama.

‘Papa buat semua ni untuk apa? Adakah Isha akan tinggal lama di kampung mama?’ ringan saja mulutnya hendak bertanya. 

“Makan kenyang-kenyang Isha. Lepas ni papa akan jawap setiap persoalan Isha. Sepanjang perjalanan kita..” Fadhlan bersuara. Falisha sekadar menjatuhkan wajahnya ke bawah berkali-kali dengan gerakkan yang perlahan. Kemudian dia memandang sekilas kepada gelang emas yang ada di pegelangan tangannya.

‘adakah gelang ni berkaitan? Kenapa papa tiba-tiba bagi gelang ni?’

Falisha nak kena ke pulau Lantera dah.. Macam mana rupanya anak ali muaz tu ya.... Kita sambung esok yea.. Terima kasih kepada pembaca semua.. Sudi singgah baca PERJANJIAN TAKDIR untuk hari ini.. Tq.tq.tq.. Muaahhh muahh muaahhh.. InshaAllah kita sambung esok ya.. (^-^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience