PROLOG

Fantasy Completed 227394

Berlari-lari anak gadis itu turun anak tangga menuju ke ruang tamu rumahnya. Kini dia sudah bersiap dengan pakaian tidurnya keluar mencari mamanya.

“Falisha Irdina. Tengok jam dah pukul berapa ni sayang. Bukannya waktu ni, Isha dah masuk tidur?” Tanya Yaseera.

“Mama.. Isha tak boleh tidur lah mama..” Falisha menarik tangan mamanya yang sedang duduk di sofa ruang tamu bersama dengan papanya.

“Sepatutnya Isha dah tidur sayang. Sayang dah besar tau, mana boleh manja-manja macam ni lagi. Tak lama lagi kan sayang nak jadi kakak. Kakak mestilah tunjukkan rasa berani tidur sendiri. Kesian mama tau. Setiap malam kena tidurkan Isha..” Fadhlan mengelus lembut kepala anak perempuannya itu.

“Tapi.. Tapi.. Isha tak boleh nak nak tidur..” Falisha menarik tangan Yaseera yang sedang duduk disofa itu agar bangun.

“Kejap ya abang. Sayang naik tidurkan dia dulu..” kata Yaseera menepuk peha suaminya. Dia rela melayan kerenah puteri sulungnya, dari melihat air mata puteri kecilnya itu. Biarlah lelah badannya yang sedang sarat mengandungkan anak kedua. Asalkan keluarganya bahagia.

“Yeayy! Mama.. Isha sayang mama” Falisha memeluk kaki Yaseera dan mendekatkan pipinya dan bergesel manja disitu.

“Papa ni? Tak sayang?” Tanya Fadhlan.

“Sayang papa juga..” balas Falisha menghadiahkan senyuman manis kepada Fadhlan. Pengangan di kaki Yaseera dileraikan. Falisha berjalan menghampiri Fadhlan, kemudian dia melompat naik atas sofa untuk mengucup kedua pipi Fadhlan.

“Muah” ciuman Falisha di pipi kiri Fadhlan.

“Muah” ciuman Falisha di pipi kanan Fadhlan pula kali ini.

Fadhlan memeluk Falisha dan membalas dengan mencium kedua-dua belah pipi anak perempuan sulungnya itu.

“Malam papa. Assalamualaikum..” tangan dihulur untuk bersalaman dengan Fadhlan.

“Waalaikumsalam.. Tidur tu jangan lupa baca doa ya sayang..” pesan Fadhlan. Falisha menganggukkan kepalanya. Lalu turun dari sofa. Tangan Yaseera dipaut oleh Falisha.

“Sayang naik dulu tidurkan Isha.. Nanti abang naik ya” Kata Yaseera. Fadhlan menganggukkan kepalanya.

“Ya, hati-hati naik tangga tu..” pesan Fadhlan. Matanya menghantar dua kesayangannya yang sedang memanjat anak tangga naik ke atas. Sampailah mereka berdua hilang dari pandangan mata kasarnya barulah Fadhlan berpaling semula melihat ke arah televisyen yang masih terpasang.

Yaseera membuka pintu bilik tidur anak perempuannya. Kemudian mereka sama-sama melangkah masuk kedalam bilik itu. Katil tempat tidur anak gadisnya ditepuk-tepuk seperti selalunya sebelum mereka sama-sama naik ke atas katil bujang itu.

“Dah ambil wujuk ke nak tidur ni?” tanya Yaseera kepada Falisha.

“Dah mama..” menggangguk gadis kecil itu kepada Yaseera.

“Naiklah..” bantal tidur milik Falisha yang mempunyai corak bunga-bunga Paeonia merah muda sesuai sekali dengan anak gadisnya itu.

Falisha memanjat naik katilnya seperti yang disuruh oleh Yaseera. Badan siap dibaringkan ke atas katil siap menanti Yaseera. Yaseera mengambil selimut yang ada di hujung kaki anaknya lalu menyelimutkan tubuh gadis kecil itu sehingga ke paras dada.

“Sekarang ikut mama baca doa yea” Yaseera menadah tangannya. Falisha akur mengikut gerakkan yang dilakukan oleh mamanya.

“Bismillahir rahmanir rahim” tutur Yaseera satu persatu agar mudah untuk Falisha mengikutnya. Kemudian dia membacakan ayat tiga Qul buat anaknya.

“Aminn.. ” tangan yang ditadah tadi mula menyapu di sekitar wajahnya..

“Aminnn” Falisha meniru sama persis seperti yang dilakukan oleh mamanya.

“Sekarang Isha tidur ya sayang..”  Yaseera mendekatkan wajahnya ke wajah anak gadisnya. Mencium dahi Falisha dengan lembut dan penuh dengan kasih sayang buat anaknya.

“Mama.. Mama.. Mama..” panggil Falisha mengunakan nada yang cukup manja. Tangan yang ada disisi kini menangkap tangan Yaseera.

“Kenapa? Kan mama dah teman sayang ni..” kata Yaseera.

“Boleh mama ceritakan cerita tu sampai Isha tidur” pinta Falisha. Yaseera menarik bibirnya tersenyum memandang kepada anaknya. Tangannya yang dipegang oleh Falisha dari dileraikan, dibawa naik mengelus lembut ubun-ubun anaknya itu.

“Cerita yang mana, yang nak mama baca kan malam ni?” Tanya Yaseera, berpaling melihat ke rak buku milik Falisha. Tangannya bermain-main di rak buku itu mencari judul buku yang bakal disebut oleh puterinya itu.

“Tak nak yang dalam buku..” Falisha mengelengkan kepalanya. Yaseera berpaling semula melihat kepada anaknya yang sedang terbaring itu.

“Kalau tak nak yang dalam buku, nak cerita apa?” tanya Yaseera bingung.

“Cerita yang mama cerita yang tak ada dalam buku tu. Mama pernah cerita tentang  kampung mama tu..” Kata Falisha dengan semangat sekali.

“Ohhh.. Yang itu” Yaseera menarik senyumannya kembali tersenyum, tubuhnya dibaringkan di sebelah Falisha. Tangannya sebelah naik megelus-ngelus lembut rambut anak gadisnya..

“Pada satu ketika dulu. Ada seorang pemuda pergi memburu di kawasan sebuah pulau yang sangat cantik sekali. Sampaikan dia sendiri tertawan dan jatuh hati dengan keindahan pulau itu.. Tapi bukan itu saja, yang menawan hatinya. Hatinya turut tertawan dengan seorang gadis jelita yang tinggal di pulau itu.” Yaseera berpaling melihat ke wajah Falisha, matanya masih lagi berkelip-kelip menanti cerita disambung lagi oleh Yaseera.

“Sampailah satu hari pemuda itu meluahkan isi hatinya kepada gadis jelita itu. pada mulanya gadis jelita itu menolak hasrat pemuda itu kerana dia sudah terikat dengan ikatan pertunangan dengan lelaki yang telah diaturkan oleh ahli keluarganya. Pemuda itu merasa kecewa dengan penolakkan dari gadis jelita itu.” Yaseera pun menunjukkan mimik muka yang sedih kepada Falisha.

“Pada malam pemuda tu nak pulang semula ke tempat asalnya. Kerana membawa hati yang terluka kerana ditolak oleh gadis jelita. Gadis jelita itu datang kepada pemuda itu. Di dalam keadaan laut yang bergelora pada malam itu. Membuatkan hati si jelita resah nak melepaskan si pemuda itu pergi. Sehingga dia akhirnya meluahkan rasa yang terbuku dihatinya, yang dia pun sebenarnya cintakan pemuda itu. Pada masa yang sama, tunang si jelita telah mendengar semua percakapan di antara mereka berdua. Sampaikan berlakunya pergaduhan diantara mereka. Tunang si jelita hampir membunuh pemuda itu pada malam itu tapi dihalang oleh si jelita..”

“Kesian kan mama.. Sambung mama..” Yaseera menarik senyumannya sebaris kapada anaknya.

“Tunang si jelita akhirnya mengalah, bila melihat kesungguhan si jelita mempertahankan pemuda itu. Kerana kasihan tunang si jelita melepaskan mereka berdua, tapi dia meletakkan satu syarat kepada si jelita dan pemuda itu.. Bahawa ikatan pertunangan disambung kepada anak-anak mereka nantinya.. Sebagai ikatan janji dia telah melepaskan si jelita untuk pergi bersama dengan pemuda itu.. Satu ikatan janji yang akan menyambung warisan keluarga si jelita, dengan tunang si jelita..” Yaseera kemudiannya diam tak menyambung lagi ceritanya. Lama dia termenung sendirian. Hanya tangannya saja yang masih mengelus lembut kepala anaknya yang sudah dibuai mimpi.

“Satu perjanjian takdir..”

Share this novel

kepom_girlzz
2022-07-14 18:53:26 

antara nivel yang x sama dengan novel yang lain .. love it .. insyallah teruskan berkarya sis.. im one of the fans .. love so much ..

kepom_girlzz
2022-07-13 17:41:36 

tq sis tulis novel out of box .. tersenyum2 sy baca .. berjaya sis bawa sy menyelam ke watak yang sis wujudkan .. tq sis


NovelPlus Premium

The best ads free experience