"Ammara, sampai bila awak nak larikan diri dari saya?" Setelah hampir satu jam dia menunggu Ammara, boleh pula Ammara hendak meloloskan diri sebaik saja dia sedar adanya Muaz di situ. Hampir setiap hari Muaz lalu di kawasan hospital tempat yang sama mereka pernah terserempak sebulan yang lalu. Hari ini nasibnya agak baik apabila berjaya mengesan kereta Ammara yang diparkirkan di kawasan hopsital yang sama.
"Ammara, kenapa mesti macam ni? Tak boleh ke kita berbaik? Tu, baby tu... anak kita, kan? Jadi saya ada hak untuk jumpa dia, tengok dia..."
"Kenapa baru sekarang kau nak bercakap tentang baby ni? Sepanjang aku mengandung, ada kau tanya khabar aku? Sihat ke tidak? Kandungan aku macam mana or kelengkapan bersalin aku macam mana? Kau yang tinggalkan kami dua beranak sebelum ni dan sekarang kau tanya aku kenapa kita jadi macam ni?" Panas pula hati Ammara mendengar ungkapan Muaz. Ikut sedap dia saja nak bercakap tentang hak padahal sebelum Hud lahir, dia sudah lama melangkah pergi meninggalkan dia terkontang-kanting sendiri.
"Awak tahu saya pun sibuk nak uruskan banyak benda masa tu, kan? Yasmin pun tengah mengandung masa tu. Jadi..."
"Jadi apa? Jadi anak dia lebih layak untuk ada seorang ayah? Jadi Yasmin yang lebih layak untuk ada seorang suami di sisi sepanjang proses kehamilan? Aku? Lebih layak ditinggal dan dibuang walaupun aku yang setia di sisi kau selama tiga tahun sebelum ni?" Laju saja Ammara menyampuk.
"Bagilah saya peluang, Ammara. Saya pun nak tengok anak kita."
"Tak ada istilah anak kita. Semuanya aku buat sendiri. Kau tak pernah ada dalam kamus hidup anak ini daripada dia still dalam perut sampailah dia lahir ke dunia."
"Hakikatnya anak tu memang anak saya. Itu awak tak boleh nafikan!"
"Ni aku nak tanya... Kau tak malu ke mengaku ini anak kau sedangkan kau sendiri yang lepas tangan sebelum ni?"
"Ya, saya mengaku saya silap. Benda dah berlaku, kan? Dah lama berlalu dah pun. Anak ni pun dah lahir. Bagilah saya pegang anak saya tu. Saya ayah kandung dia. Darah yang mengalir dalam tubuh dia tu darah saya. Ayah dia!"
"Darah yang mengalir dalam tubuh dia darah aku. Kau jangan nak memandai. Benda dah lama berlalu kau kata? Huh, memang dasar tak tahu malu kau ni, kan? Ketepi! Panas ni aku nak masuk!" Selamba saja Ammara menolak Muaz yang menghalang pintunya. Laju saja dia meletakkan Hud ke dalam carseat dan menghidupkan enjin keretanya. Muaz hanya memandang Ammara yang berlalu pergi bersama anaknya. Sejujurnya dia sedikit terkejut dengan sikap kasar Ammara. Tak pernah dia menerima layanan sebegitu kasar daripada Ammara sepanjang mereka bersama.
Ammara yang dia kenal sangat lemah-lembut orangnya. Bahasanya juga elok tak pernah kasar. Adabnya tinggi malah jarang membentak atau marah dan kerana itulah dia nekad untuk memperisterikan Ammara suatu ketika dahulu. Dia terpaut dengan pesona yang dimiliki Ammara. Segalanya tentang Ammara sangat sempurna. Parasnya ayu dengan wajah yang sering dihiasi dengan senyuman. Namun tadi, wajah Ammara masam mencuka. Seolah-olah tiada langsung senyuman yang layak diberikan kepadanya. Apa yang telah dia lakukan sehingga Ammara berubah sebegitu rupa?
Muaz memasang penghawa dingin keretanya dengan harapan mampu menyejukkan hati yang sedikit membahang mengingatkan layanan Ammara sebentar tadi. Dirinya terasa sedikit tercabar dengan tingkah laku Ammara yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepadanya. Walaupun dia bergelar bekas suami kepada Ammara, hakikatnya dia juga bergelar ayah kandung kepada anak yang telah dilahirkan oleh Ammara. Dia layak untuk mendapat penghormatan sebagai ayah kepada anaknya. Anak itu terhasil dari benihnya juga. Tak masuk akal jika Ammara menidakkan haknya sebagai ayah kepada anak mereka.
Ammara yang baru saja tiba di rumah sedaya-upaya menenangkan diri. Pertemuannya dengan Muaz sekali lagi mengganggu emosi. Lebih-lebih lagi apabila Muaz seolah-olah menuntut haknya sebagai ayah kandung kepada Hud. Ish, sibuk! Tak tahu malu padahal sejak daripada hari Muaz melafazkan cerai, tak pernah sekali pun Muaz muncul semula. Segala urusan hanyalah melalui peguam yang menguruskan proses perceraian mereka. Ada pun bersua hanya sekali dua. Itu pun hanya jika perlu semata-mata. Selebihnya jangankan batang hidung, bayang Muaz sekali pun tak pernah muncul.
Tiba-tiba telefonnya berdering. Video call? Ah, dari Lisa rupanya. Sudah seminggu Lisa pulang ke rumah. Gadis itu bakal melanjutkan pelajarannya tak lama lagi. Kalau diikutkan hati mahu saja Ammara menghalangnya supaya terus berada dekat dengannya untuk menjadi peneman dia dan Hud di rumah. Tapi apa dayanya untuk menghalang. Gadis muda itu pasti punya cita-cita yang ingin dicapai.
"Asslammualaikum, kak!" Ceria wajah Lisa terpampang pada skrin telefonnya. Ammara tersenyum namun terasa kelat.
"Akak, mana Hud? Rindu Hud!"
"Oh, nak tengok Hud ya sebab tu Lisa video call bagai ni? Bukan sebab rindu akak?"
Lisa tersengih di sebelah sana. Dia mengangguk. Lain benar rasanya bila Hud tiada di depan mata. Sejak dari hari pertama Hud lahir ke dunia, dia yang membantu untuk menjaga si kecil itu. Apabila rutinnya berubah, dia merasakan seolah-olah ada satu kehilangan atau satu perubahan yang belum mampu untuk dia telan. Rupa-rupanya itulah rindu.
"Akak dengan Hud baru balik dari hospital tadi."
"Hud demam ke?"
"Eh, bukan. Check up biasa."
Tiba-tiba ada satu suara yang menyampuk. Perhatian Lisa juga teralih sedikit. Diselang-seli pula dengan gurau-sendanya terhadap seseorang.
"Kak, ada orang tu cakap dia rindukan Hud juga."
"Siapa?" Soal Ammara kehairanan. Seketika kemudian muncul wajah Luth di sebelah Lisa. Luth melambai ceria.
"Assalammualaikum, Ammara. Nak tengok juga kawan saya tu. Makin bambam tak dia?" ujar Luth berserta senyuman.
"Waalaikumsalam. Awak bukan di Sarawak ke?" Soal Ammara. Terkejut dia apabila wajah Luth terpampang di skrin telefon.
"Lisa yang terbang ke Sarawak, kak. Sengaja jalan-jalan sebelum terikat dengan jadual study." balas Lisa.
"Mana kawan saya tadi tu?" Luth menyoal semula.
Ammara tergelak kecil. Sejak bila pula dia dan Hud berkawan? Namun tetap juga dia menunjukkan ragam Hud yang sedang terjaga. Mata bulat Hud yang besar membuatkan Lisa teruja. Tangan dan kakinya bergerak ke atas dan ke bawah. Menumbuk dan menendang angin.
"Hud, comelnya awak! Hud jangan lupa aunty ya? Nanti Aunty Lisa bawakan ole-ole untuk Hud." Lisa teruja melihat Hud yang sedang terjaga.
"Nanti Uncle Luth pun kirimkan ole-ole untuk bestfriend kecil Uncle ni, ya?" Luth juga tidak mahu ketinggalan.
"Sejak bila Uncle Luth dengan Baby Hud berkawan? Siap panggil bestfriend bagai." Lisa menjeling abangnya. Mengada betul. Tiba-tiba declare bestfriend pula.
"Diamlah, ini rahsia di antara lelaki. Lisa perempuan so shut up." selamba saja Luth membalas kata-kata adiknya. Tertawa juga Ammara melihat telatah mereka berdua.
"Abang, pegang handphone ni kejap. Lisa nak pergi beli aiskrim tu!" Laju saja Lisa menyerahkan telefonnya kepada Luth. Kini, cuma ada Luth pada skrin telefon.
"Ammara sendiri sihat?" suara Luth sedikit berubah. Lagaknya yang keanak-anakan tadi terus menghilang. Tiba-tiba saja dia nampak lebih matang berbanding tadi.
"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Sejujurnya dia memang sihat cuma hatinya saja yang terasa terganggu. Lebih-lebih lagi selepas pertemuannya dengan Muaz tadi. Mengingat kembali kejadian tadi membuatkan Ammara kembali muram.
"Sure ke tu, okay?"
Alahai, Luth ni pun. Tak payahlah tanya lebih-lebih. Risau pula kalau empangan air matanya pecah.
"Ammara..." lembut saja suara Luth memanggil apabila Ammara sekadar mendiamkan diri. Riak wajah Ammara juga kurang ceria. Nampak sangat seperti dibuat-buat.
"Need someone to talk to?" Luth masih lagi menyoal.
"Aduhai Luth, tak payah banyak tanya boleh tak?" Ammara mengomel sendiri di dalam hati. Terasa hatinya semakin rapuh apabila Luth menunjukkan prihatin terhadap dirinya. Kalau boleh mahu saja dia menjerit bahawa dia tak okay. Dia terganggu dengan kehadiran Muaz yang tiba-tiba muncul dan bercakap tentang anak mereka. Ya, memang dia perlukan seseorang untuk bercakap dan meminta buah pandangan tapi siapa? Dia tak punya siapa-siapa.
"Ammara..." sekali lagi lelaki itu memanggilnya.
"Saya kena pergi, Luth. Kita berbual lagi nanti, ya?" Suara Ammara sedikit tersekat namun sedaya-upaya dia mengawalnya. Segera dia memutuskan video call tersebut. Tanpa dipaksa, air matanya jatuh jua. Ya tuhan, kenapa hatinya terasa lemah? Bukankah dia kuat menempuh semua rintangan selama ini? Kenapa dia terasa seperti jatuh semula apabila Muaz muncul dalam hidupnya sekali lagi? Luka lama terasa pedih dan berdarah semahu-mahunya. Sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Ammara menangis semahu-mahunya. Kenapa begini malang nasib diri? Tidak adakah sinar bahagia yang melimpah untuk dirinya?
Share this novel