"Awak dengar tak ni?" Ammara menyoal kehairanan. Sepatah disoal sepatah juga jawabnya. Tak macam selalu. Berbuih mulut dia bercerita tentang pertemuan dia dan Yasmin namun respon yang diberikan bagaikan tiada apa yang berlaku.
"Dengar."
"Habis tu? Apa yang patut saya buat? Saya risau Muaz akan betul-betul buat sesuatu yang saya tak boleh nak kawal."
"Tak tahulah, Ammara. Serba salah pula saya. Tak serabut ke awak nanti kalau saya bersuara?"
"Dah kenapa pula?"
"Sebelum ni awak kata saya ni tambah serabut kepala otak awak. Tak sangka pula hari ni awak yang call saya untuk bercerita tentang semua ni."
"Tak kan masih marah tentang benda yang dah beberapa hari berlalu tu? Dah basi dah pun, kan? Hmm ya, saya melampau. Saya melebih-lebih sebab cakap macam tu. Sorry."
"Yalah tu."
"Ish, tak payahlah marah lagi. Sekarang ni saya tengah risau. Saya bingung."
"Apa susah? Pindah sini duduk dengan saya."
"Ish, tak naklah. Awak yang balik sini. Tujuan kita kahwin pun sebab awak janji nak jadi perisai saya, kan? Awak janji akan jaga saya. Kalau duduk jauh-jauh macam ni tak ada bezanya pun. Tetap juga saya kena jaga diri sendiri."
"Saya tak rasa nak pindah. Saya suka dekat sini."
"Cepat atau lambat awak akan pindah juga. Keluarga awak dekat sini."
"Not sure about that. Rasanya saya dah deeply falling in love duduk sini."
"Habis tu? Awak nak biarkan saya macam ni saja ke? Apa makna kita kahwin kalau macam ni?"
"Hah, soalan tu bukan awak seorang yang sedang bingung cari jawapan sebab sekarang ni saya pun sama bingung. Hubungan kita memang tak akan pernah normal macam orang lain ke?"
Diam.
"Ammara, awak tahu saya memang sayangkan awak dan saya pun tahu yang awak kahwin dengan saya atas dasar kepentingan diri saja. Tapi itulah, tak kan sekelumit pun awak tak ada apa-apa rasa untuk saya? Sebesar semut pun tak ada ke? Sekurang-kurangnya adalah harapan."
"Rasa tu tak boleh nak paksa."
"Saya tak memaksa. Saya cuma nak tahu. Tak kan sekali pun awak tak pernah rasa apa-apa? Siapa saya di mata awak, Ammara?"
"Awak suami saya."
"Pernah awak betul-betul anggap saya suami awak?"
"Laa, dah memang betul awak suami saya. Nak saya cakap apa lagi?"
"Macam tu ke bercakap dengan suami? Nada tegang dah macam nak ajak gaduh?"
Ammara mengeluh perlahan. Niatnya hendak meminta buah fikiran alih-alih lain pula yang jadi. Luth dah kenapa? Sebelum ni elok saja.
"Ammara, saya tak tahu berapa lama saya boleh ikut rentak awak. Semakin lama saya rasa semakin sakit. Awak hadir cuma bila awak rasa awak perlukan saya. Kalau tak ada sebarang keperluan, awak tak kisah pun kalau saya tak ada khabar berita. Saya senyap sepanjang hari pun awak tak hairan. Awak memang tak nak ambil tahu tentang saya ke?"
"Saya tak ada masa nak fikir tentang semua tu, Luth. Saya ada benda lain yang lebih penting untuk saya risaukan."
"Saya tak penting?"
Diam.
"Maaf, Ammara. Saya tak tahu kenapa hari ni hati ni rapuh sangat. Saya tak sepatutnya tanya awak tentang soal hati dan perasaan. Saya seharusnya akur bahawa hubungan kita sekadar atas sijil kahwin saja."
"Apa yang awak harapkan dari perkahwinan ni, Luth? Saya tak pernah bagi awak apa-apa harapan. Saya jujur dengan setiap apa yang saya rasa. Saya tak pernah kata yang saya akan buka hati untuk awak."
"Ya, silap saya harapkan yang bukan-bukan." balas Luth hampa. Silap Luth menyangka mereka ada peluang apatah lagi selepas meluangkan masa bersama sebelum ini. Sangkanya itu merupakan satu petanda yang baik namun ternyata itu hanya mainan perasaannya cuma.
"Oh, tentang awak, Yasmin dan Muaz awak buatlah apa yang awak rasa betul. Saya tak ada hak untuk tentukan apa-apa memandangkan saya cuma orang luar."
Usai memberi salam, Luth mematikan panggilan telefon. Tergamam sebentar Ammara dibuatnya. Ish, dah kenapa?
Luth meraup wajahnya. Jelas dia hampa. Kenapa setiap kali Ammara telefon mesti berkisarkan tentang Yasmin atau Muaz? Tak boleh ke Ammara bertanya tentang dia juga? Paling kurang pun tanyalah dah makan ke tidak.
Hati lelaki itu sedikit membengkak. Berbulan sudah dia cuba mengikut rentak Ammara. Ternyata makin lama semakin sakit rasanya apabila terasa kehadirannya langsung tidak membawa apa-apa makna. Benar dia sendiri yang memilih jalan ini. Dia juga yang melafazkan akad untuk memperisterikan Ammara namun sepayah itukah untuk mencuri sekeping hati milik Ammara? Cuma dia yang terhegeh tergedik menginginkan perhatian Ammara. Cuma dia yang cuba untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya. Ah, biarlah dia berehat sekejap. Memujuk hatinya sendiri. Risau kalau dibiarnya bengkak membesar, nanah penuh kekesalan pula yang akan meleleh keluar.
Buat masa ini, biarlah dia begini. Tahulah dia memujuk diri sendiri. Tak tahu pula sebegini payah sukakan seseorang.
"Tak payahlah termenung sangat, Ammara. Tahulah rindu." Usik Puan Noraini muncul bersama Hud.
"Eh, mana ada termenung." Ammara cuba menyembunyikan rasa hati yang sedikit terusik dengan tingkah Luth. Apa ke patut Luth mematikan panggilan dia macam tu? Lagi teruk boleh pula tu dia disuruh fikirkan sendiri jalan penyelesaian bagi masalah dia, Yasmin dan Muaz? Boleh pula nak lepas tangan macam tu saja?
"Kasihan kamu berdua. Lepas kahwin terus berjauhan macam ni. Kenapa kamu tak nak duduk dengan Luth dekat sana? Kasihan juga mak tengok Luth tu. Sebelum kahwin ada juga housemate, adalah juga teman berborak. Tapi lepas kahwin housemate dia pindah keluar sebab nak bagi ruang dekat kamu."
"Eh, tak kan Ammara nak tinggalkan mak. Lagipun baru sekarang Ammara rasa ada mak. Kenapa? Mak tak suka Ammara duduk sini ke?"
"Apa pula tak suka? Mak suka sangat. Meriah ada kamu dengan Hud. Tapi mak tak nak jadi sebab kamu rasa serba salah nak stay dengan suami kamu tu."
"Luth okay, mak. Tu mak jangan risau."
"Kamu sayang Luth?"
Soalan cepumas dari mertuanya membuatkan Ammara tertelan air liur sejenak.
"Eh, malulah mak tanya soalan macam ni." balas Ammara tertawa janggal.
"Mak tanya betul-betul ni."
"Dah namanya pun suami kenapa tak sayang pula?"
"Baguslah kalau macam tu. Luth pernah cerita kisah cinta dia sebelum ni?"
Ammara menggeleng. Wah, menarik topik ni. Ammara mula menunjukkan minat. Entah kenapa dia juga ingin tahu tentang Luth. Terlampau sedikit maklumat Luth yang dia tahu dan ingat.
"Dulu Luth pernah juga bercinta. Dia memang sayang sungguh dekat perempuan tu. Dah nak kahwin dah pun. Tapi lagi sebulan nak kahwin, keluarga perempuan tu datang pulangkan cincin. Mak tak faham sebab mak tengok hubungan mereka nampak elok. Keluarga arwah pun tak beritahu punca mereka pulangkan cincin tu."
"Eh, arwah dah ke mak?"
"Eh, tak lah. Hidup lagi dekat luar sana tu kot. Bagi mak perempuan tu dah arwah dah."
Ish, boleh tahan mertuanya ni. Boleh pula arwahkan orang yang masih hidup.
"Susah sangat untuk mak nak terima keadaan Luth waktu tu. Luth meroyan macam orang tak betul. Dua minggu kemudian barulah mak tahu punca sebenar. Itu pun Lisa yang sibuk nak menyiasat. Rupa-rupanya perempuan tu mengandung. Sejak tu Luth tak pernah lagi keluar dengan sesiapa. Mak dah risau kalau-kalau Luth membujang sampai ke tua. Nasib baiklah kamu muncul dalam hidup dia. Tak sangka selepas bertahun-tahun akhirnya dia bukakan juga hati untuk kamu. Terima kasih Ammara sebab dah hadir dalam hidup Luth." ujar Puan Noraini sambil tersenyum manis ke arah Ammara.
Dia tahu Luth bergelut dengan rasa kecewa selepas apa yang berlaku sebelum ini. Berat badannya menyusut. Semangatnya juga bagaikan hilang. Berminggu lamanya dia terperuk dalam bilik. Lelaki kalau kecewa macam tu memang nampak teruk sangat. Luth lebih banyak mendiamkan diri. Tak mudah untuk anak lelakinya itu bangkit untuk meneruskan kehidupannya. Hampir setahun masa yang diperlukan untuk dia mendapatkan semula anak lelaki kesayangannya yang bagaikan hilang bersama cinta yang hancur punah. Senyumannya sukar benar untuk diukir. Gelak tawanya juga sekian lama tidak kedengaran. Akhirnya dia akur apabila Luth memilih untuk membawa diri ke Sarawak. Katanya untuk memulihkan diri.
Ammara membalas senyum mertuanya dengan rasa yang berat. Oh, begitukah kisah cinta yang Luth alami? Boleh tahan tragis rupanya. Bayangkan saja sebulan sebelum majlis kahwin barulah kebenaran diketahui. Ah, mesti Luth sudah pun menghitung hari untuk menghalalkan si buah hati namun kecewa yang ditemu.
Syukurlah kini Luth berjaya bangkit. Tapi... Saat Ammara mengenang kembali hubungan mereka berdua tiba-tiba air liurnya yang tawar terasa kelat, pahit dan payau. Dalam diam dia merasakan bahawa dia bukanlah penawar yang Luth cari. Silap sungguh hadirnya dia lebih kepada racun. Gara-gara kisah hidupnya yang pedih, secara tidak langsung turut menambah perit buat Luth. Tiba-tiba hatinya dihurung rasa bersalah. Dia cuma memikirkan tentang hatinya yang serik untuk menyayang namun bagaimana pula dengan hati Luth? Dia yang disangka mampu mengubat luka di hatj barangkali sekadar menjadi penambah rasa pedih. Berbulan sudah dia melayan Luth endah tak endah saja walaupun dia sedar lelaki itu ikhlas menyayanginya. Sesukar itukah dia untuk memberi peluang sedangkan bukan hanya dia yang sedang dalam keadaan terluka dan berparut kerana dikhianati oleh seseorang yang dicintai dengan sepenuh jiwa dan raga?
Share this novel
sambung lah lagi.. plezz
nak lagii...