Berulang kali Luth membaca isi berita yang sedang sedang terpampang pada skrin telefon. Zaman serba canggih sekarang macam inilah gayanya. Nak baca berita pun di hujung jari saja.
Nama yang terpampang bagaikan biasa didengarnya namun adakah itu orang yang sama? Lain pula rasanya apabila orang yang dikenal dijadikan isi kandungan berita lagi-lagi isi berita yang bersifat negatif.
"Kenapa Luth? Serius betul riak muka tu." Hawa datang menegur Luth yang sedang duduk bersama beberapa orang murid.
"Selamat pagi, cikgu. Minum cikgu?" Soal salah seorang anak muridnya.
"Awak nak belanja cikgu ke? Eh, terharunya saya."
"Cikgu oder saja apa yang cikgu nak nanti Cikgu Luth yang bayarkan. Kami punya ni pun Cikgu Luth yang belanja." Ujarnya sambil mengekek ketawa. Disambut pula tawanya oleh rakan-rakan seperjuangan. Sukalah tu sebab dah kenakan cikgu.
Bunyi loceng menandakan masa rehat telah pun tamat. Murid-murid tadi segera meminta diri untuk meneruskan sesi pembelajaran yang seterusnya. Meninggalkan Luth dan Hawa sendiri. Dalam sekelip mata kantin yang tadinya hingar-bingar dengan suara riuh-rendah murid kini senyap dan sepi. Terbaiklah! Cepat dan pantas masuk ke kelas. Takut kena marahlah tu.
Hawa sekali lagi memandang ke arah Luth yang tampak serius.
"Luth, dah kenapa serius sangat muka tu? Dari tadi dah Hawa tegur tak disahut pula."
"Hah? Oh, tak. Ni haa tengah baca ni." balas Luth sambil menunjukkan isi berita yang dibacanya.
"Haaa, yang ni saya ada baca juga tadi. Dia dera bini dia. Lagi kejam sampai hati dia ambil video masa dia tengah kerjakan bini dia dan ugut nak sebar."
"Kerjakan? Dia ambil video dia dera ke?"
"Alaaah...dia ambil video masa dia ehem..."
"Ehem?"
"Ish, masa projek! Ish, lembablah awak ni Luth."
"Oh, haaa....ya! Saya baca juga kenyataan tu tadi. Dia paksa isteri dia. Hmm, dera jugalah tu. Dera mental. Orang tak hendak dia terhegeh-hegeh. Mengugut pula tu nak sebarkan. Bukannya nak jaga maruah isteri malah nak dijajanya. Dasar jantan tak boleh pakai. Jantan macam ni lebih baik kita tangkap lepas tu kita buang dekat sungai. Biar kena makan dengan buaya."
"Ish, emosinya!" balas Hawa.
Mahunya tidak. Lelaki itu jugalah yang sama menghancurkan hati Ammara suatu ketika dahulu. Sampai serik Ammara dibuatnya. Sehinggakan pintu hati Ammara pun susah untuk dia buka sekarang ni. Cubaan mengetuk sudah dilakukan berkali-kali namun sahutnya tiada. Cubaan pecah masuk pun tak berjaya. Seolah-olah tak ada cara untuk dia duduk di takhta hati yang dia impikan. Tertutup rapatnya pintu hati Ammara sampaikan angin pun terhalang. Langsung tak ada ruang! Semua ni gara-gara si Muaz. Ish, emosi pula Luth. Kerjanya memang sekadar nak hancurkan perempuan ke? Dulu Ammara, sekarang Yasmin pula? Memalukan kaum lelaki. Pengecut!
"Ish, dah lah. Tak payah serabutkan kepala dengan masalah rumah tangga orang. Ni nak tanya nanti cuti penggal balik sana tak?" Hawa mengubah topik.
Luth tidak terus menjawab. Dia masih berfikir sendiri. Kalau tak balik Ammara kisah ke? Tapi kalau balik sekali pun Ammara peduli ke? Macam tak ada beza pun.
Tapi kalau dia tak balik, maknanya rajuk dia masih panjang dan sudah tentu tak ada sesiapa pun yang akan memujuk. Itu hakikat. Tapi kalau balik bolehlah juga dia jumpa dengan si kecil penawar bagi segala masalah yang sedang ditempuh sekarang tapi adakah itu bermakna dia terpaksa mengalah dengan Ammara? Tak ke nanti lagi sakit hati jika kepulangannya bukanlah sesuatu yang ditunggu? Luth keliru sendiri. Nak ikutkan hati atau tidak? Nak ikutkan rasa atau abaikan? Oh tidak, susahnya membuat pilihan!
"Hei, dah kenapa diam? Orang tanya ni."
Terkebil-kebil mata Luth memandang Hawa. Laa, masih menunggu jawapan rupanya.
"Tak sure lagi. Mungkin wife yang datang sini." Luth membina jambatan pembohongan.
"Aaa, untunglah ada wife." balas Hawa. Terselit sedikit rasa cemburu. Ish, tak habis-habis rasa cemburu tu nak hadir waima secebis cuma.
"Hawa balik ke?" Luth pula menyoal.
"Tak balik. Alang-alang tunggu habis sesi ni baru balik. Belum kaya lagi ni haa nak balik banyak kali."
"Haa, eloklah tak balik. Boleh abang bawa Hawa jalan-jalan." ujar Khairil yang muncul secara tiba-tiba. Menyelit di antara Hawa dan Luth.
"Ish, mengada. Siapa kata Hawa nak keluar jalan-jalan? Lagi sedap tidur layan Netflix." balas Hawa. Tahu benar dah perangai Khairil yang tak habis-habis mengusiknya.
"Apa pula mengada? Tak nampak ke muka abang tengah serius ni?"
"Ha, bagilah chance sikit Hawa. Tak bagi banyak at least bagi sikit. Kesian abang Khairil kita ni. Lama betul dah mencuba nasib tapi satu peluang pun tak dapat. Tak gitu, Khairil?"
"Hah, that my man! Sokong terus jangan mengundur." Khairil tersengih apabila Luth memberikan sokongan.
"Satu peluang cukuplah. Kita pergi makan, nak?" Khairil masih mencuba nasib.
"Ish, apa ni? Tak sesuai betul nak bincang tentang ni. Dah lah datang secara tiba-tiba lepas tu ajak keluar makan. Dah tu depan orang pula tu." Balas Hawa sambil menjeling Luth. Tiba-tiba jadi penyokong pula ni dah kenapa?
"Eloklah ni kita bincang depan Luth. Bukan orang lain pun. Hawa nak kita bincang tentang ni depan pengetua ke? Kalau macam tu..jom! Kita jumpa pengetua."
Terkekek Luth ketawa. Tak pernah dibuat orang bincang tentang keluar makan depan pengetua. Dah kenapa? Buang tabiat?
"Amboi, puas hati dia ketawa. Haa, ni masalah abang. Tadi kata serius dah tu sekarang ajak Hawa pergi bincang depan pengetua pula. Bila masanya abang pernah nak serius?"
"Laa, salah pula dah?" Khairil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sengaja berlagak bingung. Lagi-lagi bila Hawa mula menguntum senyum. Tidak lama kemudian Hawa turut tertawa. Bergabung gelaknya bersama Luth.
"Weh, Hawa. Elok sangat kalau Hawa setuju bagi peluang dengan Khairil ni haa. Confirm tak berkedut muka dengan perangai sengal-sengal lucu dia ni. Terhibur dibuatnya!" ujar Luth sambil menghabiskan sisa tawanya.
"Haa, eloklah tu. Abang boleh buatkan Hawa tersenyum selalu. Itu janji abang. Ish, mesti bahagia kalau dengan abang kan?"
"Eee..perasan!" balas Hawa geram.
"Bolehlah tu Hawa bagi chance sekali."
"Eee, menyibuklah awak ni Luth." segera Hawa bangkit. Malas mahu melayan karenah Luth dan Khairil.
"Hawa, bolehlah...satu kali cukuplah." rayu Khairil. Kali ini dia nampaknya lebih serius. Memandang tepat pada mata Hawa.
"Yalah, nanti Hawa inform bila nak keluarnya tu. Kalau lambat reply whatsapp Hawa seminit, dianggap cancel." balas Hawa sebelum melangkah meninggalkan mereka berdua.
Gembira bukan kepalang Khairil apabila mendengar kata-kata Hawa. Seolah-olah peluangnya benar-benar sudah tiba. Dia berpaling ke arah Luth sambil menunjukkan tanda ibu jarinya ke atas sebagai tanda bagus. Luth menumpang kegembiraan itu sejenak sebelum dia kembali bingung berfikir ke mana arah tujunya cuti penggal akan datang.
Share this novel