Bab 23

Romance Series 103383

Sesekali Muaz menjengah ke luar tingkap. Melontar pandang pada sebuah rumah yang sedang meriah dengan kunjungan saudara mara terdekat juga jiran tetangga. Ya, dia juga mendapat kad jemputan daripada penghuni rumah tersebut. Kad yang dihantar sekadar untuk menyakiti hatinya.

Matanya terbeliak saat membaca nama yang terpampang pada kad jemputan tersebut. Segera dia mengoyakkan kad jemputan itu lalu membuangnya ke dalam tong sampah. Tak sanggup rasanya untuk menatap nama bekas isterinya terpampang di situ. Tak pernah dia duga bahawa Dhea Ammara yang disayang nekad untuk memulakan hidup baru bersama Luth Anaqi. Lelaki yang sudah diberinya amaran agar menjauhi Ammara. Ternyata amarannya tidak membuahkan hasil malah semakin cepat pula majlis mereka berlangsung. Ah, sial! Apa yang Ammara fikirkan? Disaat dia memujuk untuk memulakan semuanya dari awal bukanlah bermaksud bersama lelaki lain. Tapi seharusnya bersama dia! Bukannya Luth.

Membayangkan Ammara berdiri di sebelah Luth saja sudah cukup menyesakkan dada apatah lagi apabila dia membayangkan adegan malam pertama yang sudah semestinya akan berlangsung pada malam ini. Ah, tak mungkin! Jangan Ammara, jangan! Hatinya menjerit nyaring. Tidak mengizinkan tubuh bekas isterinya diterokai lelaki lain. Tidak sanggup rasanya menahan amarah saat membayangkan apa yang bakal berlaku kelak. Terasa diri dikhianati. Sesungguhnya Ammara milik dia dan selamanya akan menjadi miliknya saja. Luth tak boleh menyentuh Ammara! Tubuh Ammara bukan untuk lelaki lain selain dia!

Sepanjang hari Muaz tak senang duduk. Hatinya resah seandainya masa itu telah tiba. Dia semakin resah menahan perasaan cemburu yang kian menebal. Setiap kali dia membayangkan situasi yang bakal berlaku, dia hampir gila menahan marah. Marah pada siapa? Pada Ammara atau pada Luth? Ah, dia sendiri pun tidak pasti. Pendek kata kedua-dua mereka memang celaka!

"You dah kenapa? Sekejap duduk, sekejap berdiri. Sekejap ke depan, sekejap ke belakang." Yasmin menegur Muaz yang mundar mandir tanpa arah tuju. Kepala Muaz serabut memikirkan tentang Ammara. Dengan perkahwinan yang berlangsung, adakah ini merupakan penamat untuknya? Otaknya tidak berhenti memikirkan perkara tersebut walaupun pada hakikatnya dia tidak punya sebarang kaitan dengan mereka berdua. Terimbau kembali memori indah dia dan Ammara saat kali pertama mereka hanyut dibuai asrama. Segalanya begitu sempurna dan mengasyikkan dan kerana itulah dia tidak sanggup sekiranya Luth merasai keindahan yang sama. Sesungguhnya saat itu adalah miliknya. Tapi apa yang boleh dia lakukan untuk menghalang semuanya dari berlaku? Dia sedar dia tak punya apa-apa dan kerana itulah dia berasa kesal yang amat. Hatinya hanya mampu menjerit di saat dirinya tidak mampu berbuat apa.

Yasmin melangkah ke arahnya. Turut melontar pandang ke luar tingkap. Dalam diam dia tahu apa yang meresahkan suaminya. Yasmin mengeluh sendiri. Benarlah sangkaannya sebelum ini. Ternyata kali ini saingannya bukan orang biasa-biasa. Yasmin langsung tak pernah menduga suaminya akan berpaling untuk memandang Ammara buat kali kedua. Sangkanya dia sudah pun menang apabila berjaya merangkul Muaz. Saat menerima undangan perkahwinan Ammara, dalam diam dia bersyukur apabila akhirnya bekas isteri suaminya itu berkahwin semula dengan lelaki lain. Sekaligus membiarkan Muaz gila bayang dan tidak melayan karenahnya yang bagaikan orang kemaruk cinta. Kini tugas Yasmin hanya satu. Memikat semula hati Muaz yang semakin menjauh. Jika dulu dia pernah menggenggam erat hati lelaki itu, tidak mustahil jika dia cuba mendapatkannya kembali. Dia harus berusaha demi mempertahankan rumah tangga yang dibina hasil perjuangannya suatu masa dahulu.

Dia memeluk Muaz dari belakang. Mengharapkan agar Muaz tenang di dalam pelukannya.

"Muaz, kenapa kita tak boleh jadi seperti dulu?" Soal Yasmin setelah sekian lama suasana hening menyelimuti mereka. Kepalanya sengaja disandarkan pada belakang Muaz manakala tangannya masih lagi erat memeluk Muaz.

"Jadi macam apa?" soal Muaz kembali.

"Dulu kita tak macam ni. Kita selalu habiskan masa bersama. You selalu bagi suprise. Senangkan hati I. Bagi bunga bagai. Tapi sekarang...hubungan kita dah tak sebaik dulu."

"Ah, tak ada apalah. You yang fikir banyak sangat. Tak ada apa pun yang berubah."

Yasmin memusingkan badan Muaz perlahan menghadapnya. Dada bidang Muaz diusapnya perlahan.

"I dah tak cantik ke? Kalau dulu, you selalu nak sentuh I. Setiap kali ada peluang, tak pernah sekali pun you lepaskan I. Sekarang I milik you, tapi kenapa terasa jauh?"

Muaz memandang Yasmin. Namun di kepalanya tetap muncul bayangan Ammara. Dia cuba menepis Ammara pergi namun tidak lama kemudian bayangan itu muncul lagi. Menggangu fokusnya pada Yasmin.

"Kalau ada salah yang I buat, tell me sayang... I akan berubah demi you."

Muaz melepaskan satu keluhan. "Tak ada apa yang berubah kecuali hati ini..." namun kata-kata itu tidak mampu dimuntahkan dari bibirnya.

"Mungkin I yang salah dalam situasi kita sekarang. I terlalu fokus nak kan anak I dengan Ammara. I nak anak tu kenal siapa I." Ujar Muaz menjadikan anaknya itu sebagai alasan. Padahal hatinya sendiri turut mendambakan Ammara.

"Jangan terlalu stress. You boleh cuba perlahan-lahan untuk berbincang dengan Ammara. Bagi masa untuk dia bertenang. You dengan Ammara dah lama tak jumpa sebelum ni, kan? Dia mungkin masih sakit hati dengan apa yang berlaku. You kena sabar sikit. Tambahan lagi I pun rasa penting untuk anak-anak kita kenal antara satu sama lain. They are siblings. So, they should know each other, right?" Ujar Yasmin yang cuba menunjukkan rasa prihatin dan memahami tentang apa yang dihadapi oleh suaminya.

"Kalaulah Ammara boleh faham I sama macam yang you buat ni..." luah Muaz. Dia sendiri tak menyangka Yasmin berfikiran seperti itu. Seingat Muaz pada mulanya Yasmin sendiri yang mengamuk dan meminta Muaz untuk melupakan anaknya dengan Ammara. Namun, berbeza pula kali ini. Seolah-olah Yasmin satu-satunya manusia yang memberikan sokongan. Ah, itu pun Yasmin bukannya jelas dengan perancangan sebenar Muaz. Dia juga mahukan Ammara. Sesungguhnya hati lelaki itu merindui Ammara. Niat Muaz adalah untuk mendapatkan Ammara dan dengan cara itu secara automatik dia boleh mendapatkan anaknya juga.

Yasmin tersenyum. Yakin dengan strategi pertamanya iaitu menunjukkan sikap prihatin bagi mendapatkan hati lelaki itu semula. Dia akan terus menjadi isteri Muaz yang prihatin dan memahami agar Muaz merasakan bahawa dialah wanita yang paling memahami hati lelakinya. Siapa tahu mungkin dengan cara itu hubungan mereka akan jadi semakin baik.

Alahai kasihan Yasmin, terlalu awal untuk dia berasa nyaman. Tidak tahukah bahawa Ammara kembali menduduki hati suaminya? Segalanya jelas terpancar dari mata Muaz saat matanya sekali lagi melontar pandang ke luar tingkap.

Share this novel

Mia Zara
2024-05-09 15:47:58 

next episode


NovelPlus Premium

The best ads free experience