"Ya, saya akui saya jatuh cinta pada awak." Luth meluahkan perasaannya dengan penuh kejujuran. Tidak sedikit pun dia cuba berselindung. Jika itu jawapan yang ingin Ammara dapatkan, maka itu jugalah yang akan dia berikan.
"So?"
"Tapi saya tak pasti dengan cadangan awak, Ammara."
"Dah kenapa? Salah ke saya ajak awak kahwin?"
"Tak salah tapi saya tak faham. Kenapa? Awak buatkan saya bingung."
"Nak bingung pulak dah? Kalau betul awak sukakan saya, kenapa nak fikir panjang-panjang?"
"Sebab saya tak rasakan benda yang sama dari awak, Ammara."
Berkerut dahi Ammara. Tak faham apa yang cuba disampaikan oleh Luth. Sengaja dia mengajak Luth untuk makan malam bersamanya. Dia perlu berdepan dengan Luth dan meyakinkan Luth untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah. Dengan itu secara rasminya Luth akan menjadi bapa kepada Hud. Kehadiran seorang lelaki untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah untuk Hud pasti akan tertunai. Ini bermakna Muaz tak akan dapat menjadikan kelompangan itu sebagai satu isu untuk kepentingan dirinya sendiri. Hah, kononnya tidak mahu Hud membesar tanpa seorang ayah. Persetankan semua itu! Luth juga boleh mengisi kelompangan itu dan menjadikan hidup Hud lengkap dengan kehadirannya sebagai seorang ayah.
"Saya tak pasti tentang perasaan awak terhadap saya, Ammara."
"Penting ke apa yang saya rasa?"
"Mestilah! Nak kahwin, kan? Sebab sekarang ni saya rasa macam saya bertepuk sebelah tangan. Awak tak rasa apa yang saya rasa, kan?"
"Perkahwinan ni bukan satu benda yang boleh kita buat main, Ammara. Kalau boleh, dalam hidup ni semua orang nak kahwin sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan menua bersama. Saya pun macam tu. Kalau boleh saya nak bersama pasangan saya sehinggalah ajal yang menjadi pemisah. Awak faham tak?"
"Ya, saya faham. Kalau boleh saya pun nak macam tu. Tapi itulah perkahwinan kali pertama hancur teruk." balas Ammara.
Mengenang semula kenangan lalu benar-benar menyeksakan. Mencintai orang yang salah menyebabkan hatinya retak seribu. Cinta pertamanya duduk di tempat yang istimewa namun sayang seribu kali sayang apabila pemilik carta hati itu tidak lagi sudi untuk terus duduk di tempatnya yang tertinggi. Memilih untuk pergi dan memusnahkan hidupnya.
"Jadi? Apa sebenarnya perasaan awak pada saya, Ammara?"
Ammara diam sambil memandang Luth. Ya, memang dia tidak merasakan apa-apa. Dia tidak mencintai lelaki itu. Langsung tiada perasaan yang terlintas. Hatinya? Masih tertutup rapat. Namun dia yakin Luth orang yang baik. Dia sendiri pun tidak pasti dari mana keyakinan itu datang tapi hatinya seolah-olah berkata bahawa lelaki inilah penyelamat hidupnya.
"Luth, saya memang tak suka awak sebanyak mana awak sukakan saya dan saya akui saya tak pernah jatuh cinta pada awak."
"Dah tu? Kenapa ajak saya kahwin? Awak sengaja nak permainkan perasaan saya?" Dalam diam Luth sedikit kecewa.
Walaupun dia sebenarnya sudah tahu dari awal, masih juga dia mengharapkan jawapan yang berbeza. Tak dinafikan hatinya terkilan mendengar jawapan jujur dari Ammara. Hmm, salahnya sendiri kerana terlalu mengharapkan sekurang-kurangnya wujud sekelumit rasa cinta dari Ammara untuk dirinya. Ternyata bukan itu yang berlaku.
"Tak, sumpah tak! Saya tak ada niat nak permainkan sesiapa pun. Jujur saya akui yang saya tak boleh nak paksa hati ni untuk terima sesiapa, termasuk awak Luth. Masa lalu saya masih terlalu menyakitkan bagi saya. Saya dah cuba untuk lupakan semua yang berlaku tapi setiap kali saya tengok Hud, setiap kali itu jugalah saya tercampak ke dalam masa lalu tu."
"Apa sebenarnya yang berlaku, Ammara? Kalau awak nak jadi sebahagian dari hidup saya, bukankah lebih baik jika saya tahu apa sebenarnya yang menyelubungi awak? Supaya saya boleh faham tindakan awak sekarang ni."
"Saya...dengan Muaz pernah bahagia tapi sayangnya kebahagiaan kami tak kekal lama. Saya diceraikan pada hari ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga dan pada hari yang sama, saya baru tahu yang Hud sedang membesar di dalam rahim saya. Puas saya merayu namun Muaz memilih untuk pergi. Saya pernah dituduh mandul kerana kami lambat dikurniakan zuriat. Apa salah saya? Sakit rasanya apabila semua kesalahan diletakkan di atas bahu saya sedangkan semua itu diluar batas kita sebagai manusia. Saya ingatkan kehadiran Hud pada hari itu menjadi penyelamat kepada rumah tangga kami, tapi ternyata sekadar menambah perit. Muaz tetap pergi dan saya terpaksa bergelut sendiri. Sakitnya hanya Allah yang tahu." Perlahan-lahan Ammara menceritakan kisah hidupnya. Dia menunduk tidak mahu bertentang mata dengan Luth. Terasa segan pula membuka pengkung di dada.
"Okay, saya faham kalau hati awak masih tertutup tapi kenapa dengan perkahwinan tiba-tiba yang awak rancang ni?"
"Saya nak minta tolong. Kahwini saya supaya Muaz tak boleh nak ganggu saya. Honestly few days ago saya ada terserempak dengan dia. Muaz minta saya maafkan dia dan balik semula ke pangkuannya. Saya tak nak! Dan saya rasa Muaz tak akan berhenti selagi mana saya masih sendiri. Saya tak nak dia ganggu saya dan sebab tu saya perlukan awak. Jadilah perisai untuk saya, Luth. Tolong jaga saya dan jadilah ayah untuk Hud."
Luth terdiam. Ternyata Ammara memintanya berkahwin atas kepentingan peribadinya saja dan bukan kerana cinta. Bolehkah rumah tangga yang dibina bukan atas dasar sayang dan cinta itu wujud? Luth melontarkan soalan namun hanya dibenaknya saja. Hanya dia yang mencintai tapi bukan Ammara. Entah bagaimana hidup mereka nanti seandainya dia bersetuju dengan permintaan Ammara.
Ammara menaruh harapan padanya. Mengharap agar dia bersetuju demi melepaskan diri dari Muaz. Tapi hatinya sedikit kecewa apabila mengetahui tentang hakikat cinta yang tidak bersambut. Ammara sendiri mengaku hatinya tertutup rapat. Ada peluang ke untuk dia menjadi penghuni teratas di hati Ammara kelak?
Ah, biarlah! Yang penting Ammara akan jadi miliknya. Cepat atau lambat dia akan pastikan Ammara jatuh cinta. Tengoklah nanti. Luth tiba-tiba menepis keraguan lalu berjanji pada dirinya sendiri. Ammara akan membalas cintanya kelak. Sekarang dia harus menjadikan Ammara miliknya yang sah.
"Awak yakin dengan keputusan awak?" Luth sengaja menguji. Dia tidak mahu andai kata keputusan Ammara pada hari ini akan mengecewakan dia sendiri di kemudian hari. Yalah, siapa tahu kalau-kalau Ammara bertukar fikiran kelak. Ammara mengangguk yakin.
"Tapi kenapa saya? Kita belum lama kenal antara satu sama lain."
"I'm not sure, Luth. Tapi hati ni seolah-olah yakin awak orang yang betul. Lagi pun awak satu-satunya lelaki yang paling dekat dengan saya."
Kembang kempis hidung Luth menahan rasa. Ammara yakin dia orang yang betul? Huih, lain macam!
"Kahwin ni bukan benda main-main. Macam mana kehidupan kita nanti, ya? Kita tak bercinta macam orang lain. Kenal pun tak lama. Boleh ke kita hidup bersama?"
"Kita tak perlu jadi macam orang lain. Kenapa nak kena sama macam orang lain?"
"Tak kekok ke nanti?"
"Manalah tahu. Sekarang ni awak nak ke tak nak?"
"Baiklah, bila nak kahwin?" soal Luth.
Ammara terpaku sendiri. Eh? Setuju?
Share this novel