"Anak dekat sana jugak yang you nak sibuk-sibuk? Anak yang ada di depan mata ni kenapa you tak kisah pun, kan?" Yasmin melenting apabila dia tercuri dengar perbualan Muaz dengan Puan Mariah. Baru sebentar tadi telinganya menangkap jelas setiap butir patah perkataan yang Muaz lontarkan. Sungguh dia tak tahu pun yang Ammara juga mengandungkan benih Muaz saat dia juga mengandungkan benih lelaki yang sama. Kononnya Ammara mandul! Kalau mandul, kenapa boleh mengandung?
"Bila masa pula I tak kisahkan Ayeesha? Dia pun anak I." Muaz membidas.
"Dah tu, yang sibuk sangat nak rebut hak penjagaan anak yang dekat sana tu dah kenapa? Tak cukup ke dengan kehadiran Ayeesha sekarang ni?"
"Bukan masalah cukup ke tak. Sekarang ni anak dekat sana pun tanggungjawab I."
"Kalau nak galas tanggungjawab, perlu ke you sampai berbincang dengan mama cara untuk merebut hak penjagaan semua tu? Tak boleh ke you laksanakan tanggungjawab tu tanpa sibuk nak berebut-rebut bagai?"
"Eh, yang kau nak marah-marah sangat ni dah kenapa Yasmin? Meroyan?" Puan Mariah mencelah.
"Tu anak dia, memanglah dia nak anak tu. Apa salahnya?" sambung Puan Mariah lagi.
"Ma, selama ni Yasmin tak tahu menahu pun tentang Muaz ada anak lain selain Ayeesha. Kenapa baru sekarang sibuk tentang tanggungjawab? Kenapa tak dari dulu sebelum budak tu lahir? Dari apa yang Yasmin dengar, mama dengan Muaz dah lama tahu tentang kewujudan anak Ammara tu, kan?"
"Jadi? Apa masalahnya kalau kau tahu pun? Bukannya ada kaitan dengan kau."
"Ma, Yasmin ni isteri Muaz! Muaz tu suami Yasmin yang sah. Macam mana dia boleh buntingkan Ammara dan Yasmin sekaligus? Muaz cakap Ammara mandul! Tapi semua tu tipu! Kalau mandul mana mungkin boleh ada anak. Kalau Yasmin tahu apa yang Muaz cakap dulu tu sekadar satu pembohongan, tak kuasa Yasmin nak kandungkan anak dia!"
"Dulu waktu kau muncul dalam hidup Muaz, tak pula kau reti berfikir?"
"Oh, sekarang Yasmin yang salah? Anak mama buntingkan orang tak salah pula?"
"Hisy, kurang ajar! Ini bukan menantu kalau perangai biadab macam hantu!" Puan Mariah bingkas bangun. Mahu saja dia mengetuk kepala menantunya itu namun segera dihalang oleh Muaz.
"Ma, stop it! Dah kenapa sampai mama dengan Yasmin pula yang nak bergaduh macam ni? Mama pun satu, dulu mama juga yang happy sangat bila Muaz setuju nak bertamggungjawab ke atas Yasmin sebab dah buntingkan dia. Sekarang ni mama pula yang tak puas hati dengan dia?"
Muaz masih lagi mempertahankan Yasmin. Ya, dia akui dia silap kerana terlalu inginkan anak sampaikan dia menolak hukum halal dan haram. Apatah lagi Yasmin muncul dan langsung tidak menolak. Yasmin sanggup berjuang bersamanya jadi mana mungkin dia menolak Yasmin. Saat Yasmin menyampaikan berita tentang kehadiran si kecil dalam rahimnya, laju saja dia membuat keputusan untuk memilih Yasmin dan menyingkirkan Ammara. Salah dia terlalu gopoh membuat keputusan. Dia sudah pun berjanji bulan dan bintang kerana terlalu gembira dengan berita itu dan saat Ammara menyampaikan berita yang sama, mana mungkin dia membuang Yasmin begitu saja. Baginya Yasminlah yang berkorban untuk kebahagiaannya. Menjadi perempuan simpanan yang sanggup mengandungkan anaknya sedangkan Ammara bertahun-tahun diberi peluang namun tidak pula mampu memberikan apa yang dia mahukan.
"Itu sebelum mama tahu yang kau menipu. Puncanya sekarang ni engkau tu haa! Kalau mama tahu Ammara pun mengandung, tak kuasa mama biarkan kau berkahwin dengan perempuan tu." balas Puan Mariah sambil menunding jari kepada Yasmin.
Mahu saja Yasmin membalas kata-kata mertuanya namun Muaz lebih pantas memberi isyarat agar Yasmin tidak meneruskan perang mulut dengan Puan Mariah. Yasmin membentak lalu segera pergi dari situ.
"Jom balik! Rimas pula I duduk rumah ni lama-lama." sempat Yasmin memuntahkan kata sebelum menghilang meninggalkan mereka dua beranak.
"Hah, pergi sana. Bini kau ajak balik." masam mencuka wajah Puan Mariah. Sakit hatinya pada Yasmin masih lagi menggelegak seperti kawah gunung berapi yang panas. Sempat Muaz memohon maaf pada Puan Mariah sebelum bergegas pergi dari situ.
"You, tak baik you cakap dengan mama macam tu tadi tau." ujar Muaz perlahan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Dah kenapa? Eh, semua ni disebabkan you tau! Kenapa you tak pernah cerita pun yang selama ni you ada anak lain? You kata Ammara mandul!"
"I tak pernah cerita sebab I memang nak bina hidup dengan you."
"Dah tu? Kenapa sekarang you bangkitkan semula tentang anak you dengan dia? You sengaja nak nampakan I jahat, kan? You sengaja nak tunjuk yang I punca you dan Ammara bercerai-berai?"
"Kalau I memang berniat nak buat macam tu tak adanya I sengaja memilih untuk kahwin dengan you dan tinggalkan Ammara waktu dia beritahu I yang dia mengandung dulu!"
Kedua-dua mereka terdiam sejenak.
"Yasmin, I memang tahu yang Ammara mengandungkan anak I. Tapi itu semua selepas you beritahu tentang kandungan you. Tak kan I nak tinggalkan you sedangkan you yang dah berkorban untuk I demi zuriat yang I nak sangat tu?"
"Tapi dia pun mengandungkan anak you."
"Habis tu? You nak I tinggalkan you dan lebih memilih untuk bersama dia?"
"Masalahnya sekarang you nak semula anak you tu. You tetap pilih anak you dengan dia."
"I tak pernah fikirkan langsung tentang anak I dengan dia tapi sejak I terserempak dengan Ammara dan anak kami tu, I rasa macam I tak boleh nak lepaskan anak tu macam tu saja."
"You tak pernah ambil peduli pun sebelum ni. Tak boleh ke you just abaikan mereka sama seperti you buat sebelum ni? Just leave them alone."
Muaz sekadar melepaskan satu keluhan. Tidak semudah itu dia nak mengabaikan kehadiran anaknya dengan Ammara. Lebih-lebih lagi dia sudah melihat anaknya itu dengan mata kepalanya sendiri. Anak itu sempurna sekali dimata Muaz. Dia juga menginginkan anak itu di dalam hidupnya. Pendek kata dia mahukan kedua-duanya! Ayeesha dan Hud sekali gus. Bagi Muaz kedua-duanya milik dia. Dia berhak ke atas anak-anaknya.
Mengingat semula detik pertemuan kali pertamanya dengan Ammara setelah perpisahan yang dicipta, secara tidak langsung wajah seorang lelaki yang sedang mengendong anaknya juga turut bertandang. Siapa lelaki itu? Apa hak lelaki tu ke atas bayinya? Kenapa lelaki itu boleh menyentuh malah mengendong anaknya sedangkan dia sebagai ayah kandung tidak pula diberikan kebenaran untuk menyentuh anaknya itu? Apa mungkin lelaki itu pengganti dirinya? Ah, kalau sungguh pun begitu tetap dia yang lebih berhak ke atas bayi mereka.
Share this novel