Luth memandang wajah Ammara yang masih lena. Begini saja pun dia dah senang. Apatah lagi jika mereka benar-benar seperti pasangan yang lain. Hud sengaja diletakkan di bahagian tengah, berada di antara mereka berdua sebagai penghadang. Comel betul tembok pemisah dia dan Ammara. Luth tersenyum sendiri. Bahagia terasa.
Kejadian petang semalam saja sudah cukup membuatkan dia tersenyum panjang. Tindakan beraninya untuk mencapai tangan Ammara ternyata tiada halangan dari Ammara sendiri. Hah, tahu pula takut kalau tersesat. Lain kali peluklah siap-siap lengan Luth ke apa. Tak perlu risau sebab Luth sentiasa akan merelakan. Lagi Luth suka!
"Mango Float satu, dik." ujar Luth lalu melepaskan tangan Ammara sebentar. Dia mencapai dompet dan mengeluarkan not RM10 untuk membayar minuman itu. Sebaik saja selesai urusan jual beli, dia mencapai semula tangan isterinya itu dan begitulah seterusnya keadaan mereka. Tiada lagi yang sebatu di depan dan sebatu di belakang. Yang ada cumalah berjalan seiringan sambil berpegangan tangan. Jika dilihat dari mata kasar, mereka bagaikan sebuah keluarga kecil yang sempurna.
"Nak try tu." Ammara menunjuk ke arah gerai yang menjual sotong bakar saiz gergasi pula.
"Eh, ni dah ada banyak." Luth mengangkat beberapa plastik yang dibimbitnya.
"Tapi sambal sotong tu nampak sedap."
"Haih, nak makan sotong ke nak makan sambal?"
"Dua-dua! Sotong tu kena makan dengan sambal baru ngam."
"Memanglah sambal tu makan dengan sotong, dah memang kawan dia pun sebab tu orang jual sekali. Mana ada orang jual asing-asing."
"Tak pernah try pun lagi. Jom!" Kali ini giliran Ammara pula yang menggenggam tangan Luth agar lelaki itu segera menuruti langkah kakinya. Nak membantah? Memang tidaklah! Luth sendiri tengah senang melayan karenah Ammara.
Luth tersenyum mengenang peristiwa petang itu. Dia kemudiannya memegang tangan kecil Hud dan membelainya lembut. Wajah polos si kecil itu ditatapnya lama. Semakin dipandang, semakin hatinya jatuh sayang. Begitu juga dengan kasihnya pada Ammara. Semakin dipandang semakin luas pula lautan kasih untuk wanita itu. Lena betul kedua-dua insan kesayangannya itu. Hanya Luth saja yang sudah terbangun melayan perasaan.
"Luth, tidurlah dekat situ." Ammara menunjuk pada sisi katil yang kosong.
"Boleh ke?" soal Luth untuk kepastian.
Ish, orang dah bagi dia banyak tanya pula. Ammara mengomel di dalam hati. Seganlah nak beritahu berulang-kali.
Bagaikan mimpi. Itu sebenarnya apa yang Luth rasakan. Nice! Dari awal sampai lagi Luth dah kebingungan mana tempat dia nak tidur. Siapa sangka Ammara juga yang mempelawa. Tak kanlah dia nak menolak. Luth menapak perlahan lalu duduk di birai katil. Hud sudah lama lena. Seolah-olah dialah yang paling penat padahal dia pun orang yang dukung. Tak tahu ke keadaan tengah canggung sekarang ni?
Ammara juga duduk di katil namun diserang perasaan serba salah. Nak berbaring pun rasa serba tak kena. Dah kenapa? Hmm, Ammara cuba untuk mengabaikan rasa janggal yang hadir. Dia menarik nafas dalam sebelum berbaring di tempatnya.
"Luth, nanti tutup lampu ya. Saya nak tidur." ujar Ammara dalam keadaan masih membelakangi Luth. Segan pula rasanya mahu mengiring ke sebelah sana. Kang tak boleh nak terlelap pula. Luth bingkas bangun lalu menutup suis lampu. Sejujurnya dia pun penat. Dia juga terus mengambil tempat. Pada awalnya dia mengiring ke arah Ammara yang sedang membelakangi dirinya. Suasana senyap. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia pillow talk sebentar namun bagaimana kalau Ammara dah tertidur? Hmm, tak apalah. Esok-esoklah berborak. Luth membetulkan kedudukannya lalu turut mengiring membelakangi Ammara. Tidak lama masa yang diperlukan untuk dia hanyut ke alam mimpi.
Saat terjaga jam sudah menunjukkan angka lima pagi. Indah pula pemandangannya pada pagi ini apabila wajah Ammara dan Hud menjadi benda pertama yang ditatapnya. Dia terleka sejenak. Alangkah bahagia sekiranya waktu terhenti saat ini. Bolehlah dia menatap wajah kedua-dua insan kesayangannya dengan lebih lama. Tapi apa kuasa yang dia ada?
"Ammara, bangun subuh." Luth mengejutkan Ammara selepas 10 minit azan subuh berkumandang di telefonnya. Cepat betul masa berlalu. Tahu-tahu dah subuh.
Ammara sedikit tersentak saat terbangun dari lena. Terkejut apabila ada suara lelaki yang membangunkannya dari tidur. Ammara mengusap wajahnya. Kus semangat! Luth yang turut terkejut mengurut dadanya perlahan.
"Dah kenapa?" soal Luth sambil memandang Ammara.
Ammara memandang Luth kembali. Suasana senyap seketika sebelum kedua mereka tergelak kecil. Aduhai, bila diingat semula terasa lucu pula. Baru bangun dah terkejut.
"Ish, mengacau! Dah kenapa buatkan orang terkejut awal-awal pagi?" ujar Ammara.
"Siapa suruh terkejut siap ajak orang sekali?" Luth membalas.
Masing-masing melabuh pandang antara satu sama lain. Sekali lagi tawa mereka bersatu. Tanpa sedar, inilah kali pertama mereka berdua tidak berada dalam situasi janggal. Gelak tawa yang tercetus ternyata sangat menyenangkan. Seketika kemudian suasana kembali tenang. Luth terlebih dahulu masuk ke dalam bilik mandi untuk membersihkan diri. Ammara pula masih duduk di katil. Dia terkenang kembali saat Luth mencapai tangannya. Mengingat semula keserasian mereka semalam. Tidak dinafikan dia begitu selesa di samping Luth dan kerana itulah dia tidak menepis saat Luth menggenggam tangannya. Dia sendiri terasa senang dengan layanan Luth. Terasa ada yang menghargai.
Luth, beri Ammara waktu ya? Kita bina keserasian bersama terlebih dahulu. Seandainya hati ini bersedia dan jodoh tetap milik kita, akan dia pastikan Luth menjadi satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati. Bersabarlah buat seketika. Hati ini belum bersedia. Luka yang lalu masih terlalu segar. Sesungguhnya dia risau kerana apabila dia mencinta, dia akan mencintai sepenuh hati dan kerana itulah dia terlalu takut untuk menyerahkan hatinya terlalu cepat. Bangkit dan mengutip kepingan hati yang hancur bukanlah sesuatu yang mudah. Seandainya cinta Luth masih utuh, suatu masa nanti akan dia balas dengan rasa yang sama. Hati Ammara berdetik sendiri. Ketulusan kasih Luth menyentuh hatinya. Membuatkan hatinya berbicara sendiri tentang peluang untuk mereka terus bersama.
Suatu masa dahulu, Muaz juga pernah menyentuh hatinya dengan ketulusan yang sama. Tapi sayang tidak pula kekal lama. Ah, Ammara sebenarnya dibelenggu dengan trauma. Seandainya dia menyambut cinta yang Luth hulurkan, apa yang akan berlaku sekiranya perasaan itu juga tidak kekal lama? Seandainya itu terjadi, entah bagaimana lagi harus dia memujuk hati untuk bangkit. Entah bagaimana pula hatinya kelak. Jika sebelum ini menjadi kepingan, barangkali jika berulang nanti mungkin hatinya akan menjadi seperti serpihan halus bak debu.
Ammara menyingkirkan segala kemungkinan yang hadir. Kenapa harus rasa takut itu muncul saat dia cuba mencari peluang untuk merasa bahagia? Bagaimana harus dia mencapai bahagia sekiranya peristiwa silam yang memilukan itu masih menghantui dirinya? Ammara buntu sendiri.
Share this novel
bila nk update