"Hai, termenung jauh nampak." Hawa mendekat sambil melontarkan senyuman kepada Luth yang sedang duduk seorang diri.
"Eh, Hawa. Duduklah." Luth mempelawa Hawa untuk mengambil tempat di depannya.
Hawa menggeleng perlahan. "Tak apalah, Luth. Tak sedap pula kalau ada orang yang memandang serong dekat kita. Luth tu suami orang. Hawa kena jaga jarak supaya kita tak jadi buah mulut orang."
"Dah tu? Tak kan Hawa nak berbual sambil berdiri macam tu? Duduklah kejap. Ada benda nak tanya ni. Kita bukannya sorok-sorok buat benda tak elok pun. Tahulah kita nak jaga batas macam mana."
Hawa menarik kerusi di depan Luth dan melabuhkan punggungnya.
"Anak isteri Luth dah balik ke?" Hawa menyoal memandangkan hari ini ada pula kelibat Luth duduk di kedai makan Dapur Fauziah.
"Dah balik sana dah dua hari lepas. Sunyi pula rasanya."
"Oh, patutlah jauh sangat termenung tadi tu. Mesti rindu, kan? Hmm, Luth... Ammara tu macam mana ya orangnya? Dia garang tak?"
Berkerut seribu dahi Luth mendengar soalan Hawa.
"Kenapa tanya macam tu?"
"Luth ingat tak waktu kita jumpa sebelum ni? Yang waktu Hawa dengan dia first time jumpa tu?"
"Haa, ingat. Kenapa?"
"Hawa rasa macam dia tak suka Hawa. Lain macam jelingan dia. Hawa nak senyum nak berbual dengan dia pun rasa kecut. Hawa rasa dia jelous kot."
"Laa, nak jelous apa pula?"
"Ish, lembab betul jadi laki pun!"
"Aik, sedap betul mengata orang lembab."
"Memanglah dia cemburu bila Luth lebih-lebih pula berborak dengan Hawa padahal wife ada depan mata. Biasalah tu kalau dia cemburu sebab sayang! Tu pun tak boleh nak faham ke?"
"Eh, tak kan lah... Dia tak pernah cakap pun."
"Aduh, tak kan nak tunggu dia cakap? Luth tak boleh nampak ke?"
"Laa, manalah Luth tahu kalau dia tak cakap. Luth bukannya ada kuasa yang boleh sentiasa faham perempuan. Kaum perempuan ni pun satu hal pula dah. Kenapa susah sangat nak berterus-terang eh? Kalau cemburu cakaplah cemburu. Kalau sayang cakaplah sayang. Hawa pun macam tu ke? Suka dekat someone tapi duk diam membisu."
Bagaikan tergigit lidah, Hawa terdiam. Ya, sebetulnya dia pun begitu. Sukakan seseorang namun tak pernah meluah. Perasaannya hanya disimpan dan diperam sendiri. Tahu-tahu dah pun melepas. Diri sendiri yang sakit hati dalam diam. Dah tu perlu pula berpura-pura seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku.
"Alah...tak semua benda boleh diluah macam tu saja. Kaum perempuan ni kan pemalu sikit."
"Nak malu nak segan pun kena tengok tempat juga. Okay, Luth bagi satu situasi. Contohlah kalau Hawa jumpa seseorang yang betul-betul menepati ciri-ciri lelaki idaman Hawa, adakah Hawa akan berterus-terang atau Hawa akan bagi hint sipi-sipi disebabkan rasa malu tu?"
"Seganlah kalau nak berterus-terang. Lagi-lagi bila nanti Hawa dah luahkan rasa suka tu tapi orang tu tak sudi pula nak menyambut kasih yang dihulurkan. Hah, mana Hawa nak letak muka? Tak pasal-pasal berganda-ganda malunya. Tebal muka!"
"So, Hawa akan bagi hint?"
Hawa mengangguk.
"Haa, inilah masalahnya!"
"Apa pula?"
"Kaum perempuan ni nak lelaki saja yang tafsirkan hint yang diberi. Kalau kami salah tafsir kena cop gatal pula. Siapa nak menjawab kalau macam tu?"
"Itu masalah lelaki. Hint dah terang benderang tak perlu bersuluh pun tak reti nak tafsir."
"Apalah salahnya kalau perempuan berterus-terang. Tak ke lebih mudah? Tengok macam Luth. Kalau sayang, hati dah suka tak adanya nak simpan-simpan dah. Luth luah terus. Tak perlu nak berahsia."
"Kalau semua benda nak direct, tak bestlah! Tak ada cerita, tak berwarna-warni, tak beragam. Terlalu mudah!"
"Eh, benda mudah buat apa nak dipersulitkan? Semua perempuan memang macam tu ke?"
"Hmm, tak boleh juga kalau nak pukul rata yang semua perempuan macam tu. Maybe segelintir kot."
"Oh I see. Mungkin Ammara tergolong dalam yang segelintir tu." Luth berbisik sendiri.
"Apa?" Soal Hawa. Dia yakin Luth ada bercakap sesuatu namun tak pula telinganya mampu menangkap bait kata yang diucapkan.
"Hawa tergolong dalam yang segelintir tu?" Sengaja Luth menjadikan Hawa sebagai sasarannya. Tak kanlah dia sengaja nak membuka pengkung di dada tentang hubungannya dengan Ammara. Tentang isterinya yang tidak pernah mengungkapkan cinta. Tak pernah meluahkan sayang. Kalau Hawa tahu, mesti Hawa tertanya-tanya bagaimana mereka berdua boleh bergelar suami isteri sekiranya Ammara langsung tidak punya rasa cinta dan sayang.
Tapi selepas lawatan Ammara yang sudah, Luth sebenarnya agak yakin bahawa wujudnya rasa cinta itu dari Ammara. Mungkin juga Ammara jenis yang tak nak berterus-terang macam yang Hawa kongsikan tadi sebab tu dia masih berdiam diri. Tak dinafikan Luth seolah-olah dapat merasakan bahawa adanya getaran cinta yang hadir di antara mereka. Seberapa yakinkah dia? Entahlah. Skala keyakinannya tidaklah terlalu tinggi. Mungkin juga dia salah. Barangkali sekadar mainan perasaan kerana terlalu berharap agar cintanya berbalas. Tapi boleh jadi juga dia benar. Ish, tak tahulah! Susah betul kerja nak meneka-neka ni.
"Hawa ada suka sesiapa ke? Haa, cuba cerita siapa pencuri hati seketul Hawa Marissa?"
"Eee, kenapa nak menyibuk tentang Hawa pula?"
"Cakaplah! Hawa ada crush dekat sesiapa ke? Tell me, Hawa. Siapa lelaki bertuah tu?"
Hawa sekadar mencebikkan bibir. Lelaki bertuah? Tak ada sesiapa pun yang bertuah, Luth. Hanya ada Hawa yang malang. Tertanam benih yang mekar dan subur namun akhirnya terpaksa dibunuh kerana sebuah kenyataan. Tak perlulah dia menjawab tentang siapa yang mencuri hatinya. Tak mungkin dia boleh menjawab selamba Luth Anaqi pencuri yang dicari. Tiada kebaikan pun kalau dia berbuat demikian. Dia sudah pun kehilangan sebelum sempat dia memiliki. Tragis kan?
Lagi pula semuanya dah terlambat. Tiada gunanya dia menyatakan cinta atau berterus-terang tentang perasaannya lagi. Apa yang terbaik untuk dia lakukan adalah dengan melupakan dan menyingkirkan setiap rasa sayang yang tinggal. Dia harus menerima hakikat bahawa tiada jodoh di antara mereka.
"Ish, dah lah. Hawa nak balik. Makanan Hawa dah siap. Tu air dalam gelas tu dari tadi tak dihirup. Perabis cepat lepas tu balik rumah rehat. Esok ada perjumpaan untuk latihan bagi program minggu depan. Hari ni peluang balik awal. Esok nak tak nak kena balik lambat. Jangan merungut pula." ujar Hawa. Sengaja mengubah topik sekali gus mengakhiri topik tentang siapa pemilik hatinya.
"Cepatnya nak balik, Hawa? Macamlah ada orang tunggu dekat rumah tu."
"Ada anak kucing menunggu. Luth tahu apa? Dah, bye." Hawa segera melangkah pergi. Luth tertawa kecil. Sekadar anak kucing menunggu pun Hawa dah kalut. Esok lusa ada anak sendiri mahunya lagi kelam-kabut.
Aduh, timbul pula rasa rindu pada anak tirinya itu. Apa agaknya Hud tengah buat sekarang ni? Ah, nak balik jugalah. Sampai rumah boleh buat panggilan video. Nak tengok telatah Hud. Segera Luth menghabiskan airnya lalu melangkah pergi.
Share this novel