Ammara menghentikan kerjanya sejenak. Ah, lain benar rasa perutnya pada hari ini. Sekejap-kejap mengeras. Kurang selesa pula rasanya. Dia duduk sebentar sambil mengusap-ngusap perut.
"Tak kan nak keluar dah? Due ada tiga minggu lagi." Ammara bersoal-soal sendiri. Kalau betul dah tiba masanya, dia kena cepat-cepat menyiapkan semua kerja. Nanti kalau dah bersalin mana boleh nak buat itu ini dah. Lalu dengan pantas dia bangun semula dan meneruskan kerjanya yang tertangguh.
"Kak, nanti Lisa kemas semua tu. Akak rehatlah dulu." Ujar Alisa, pelajar lepasan SPM yang bekerja dengannya sejak sebulan dua yang lalu. Dari awal kehamilan Ammara sehinggalah kini, Muaz langsung tidak pernah bertanya khabar tentangnya lagi. Benar-benar dia terbuang walaupun benih yang dikandungnya adalah benih dari lelaki itu. Dan kerana itu Ammara belajar untuk berdikari berdiri di atas kaki sendiri. Memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah. Bermula dengan menu Nasi Kambing resepinya sendiri, siapa sangka sambutan yang diperoleh agak memberansangkan. Secara perlahan-lahan dia mula mendapat kepercayaan dari pelanggan. Pernah terjual hanya 20 bekas namun kini dia mula menerima tempahan yang lebih besar dan yang lebih pelbagai. Siapa sangka dia mampu terlibat dengan bidang katering makanan dan mengupah beberapa orang pekerja untuk membantunya. Resepi kambing perapnya juga ada dijual secara sejuk beku bagi memudahkan pelanggan untuk menikmatinya sendiri pada bila-bila masa. Cita-cita Ammara mula berkembang. Memasang angan untuk memiliki sebuah kedai yang akan menjadi tempatnya bertapak dan menjalankan operasi perniagaannya. Bukan lagi di rumah.
"Kak, dah macam penguin dah akak berjalan. Apa kata kakak duduk elok-elok dekat luar. Fahmi dengan Johan akan uruskan penghantaran order hari ni. Akak tak payah fikir dah. Yana dah uruskan." Giliran Yana pula yang datang ke kawasan dapur bagi membantu apa yang patut.
"Akak rasa..." belum sempat Ammara menghabiskan ayatnya, tiba-tiba dia merasakan seolah-olah adanya satu letupan yang datang dari dalam. Popp!
"Rasa apa?" berkerut dahi Lisa memandang Ammara yang terdiam tiba-tiba.
"Air ketuban akak dah pecah." balas Ammara hanya selepas beberapa saat soalan Lisa terbiar sepi.
"OMG, akak dah nak bersalin!" Yana terjerit kecil. Segera dia meminta Lisa mencapai beg pakaian yang sudah siap tersedia di dalam bilik Ammara. Ah, mereka tahu semuanya. Mereka berdua juga yang sibuk membantu Ammara mengemas beg pakaian yang bakal dibawa ke hospital sekiranya waktu bersalin sudah tiba. Ternyata hari inilah hari yang ditunggu!
"Akak boleh jalan tak tu?" Yana menyoal Ammara yang sedikit berkerut menahan kontraksi yang hadir setelah air ketubannya pecah sebentar tadi. Ammara sekadar mengangguk dan menapak perlahan. Yana segera memimpin Ammara ke arah keretanya.
"Guna kereta kamu ke? Tapi nanti kotor kereta kamu, Yana." Ammara risau kalau-kalau air ketubannya bakal mengotorkan tempat duduk Myvi milik Yana.
"Ish, kotor boleh cuci. Kalau terberanak dekat sini siapa nak sambut? Tak kan akak nak tunggu Rayyan dengan Fahmi balik baru nak ke hospital? Tadi mereka dua dah gerak guna kereta akak. Call ambulance ke?"
"Tak nak ambulance. Hospital tak jauh pun."
"Haa, tau tak jauh dah tu kenapa akak nak berkira lagi? Masuk cepat!" Seraya memberi arahan, Yana meminta Ammara untuk masuk ke dalam perut kereta.
"Ooo Lisa, cepatlah! Kang terberanak pula akak ni haa!" Kuat suara Yana menjerit memanggil Lisa. Tak lama kemudian Lisa keluar bersama dua buah beg pakaian yang bersaiz sederhana. Kelam-kabut gadis itu mengunci pintu dengan begnya lagi, telefon bimbit di tangannya lagi. Aduh, nampak benar kalut.
Perjalanan yang memakan masa 20 minit ke hospital pada hari itu merupakan perjalanan yang paling panjang bagi Ammara. Sempat pula fikirannya menerawang seketika. Anak ini bakal lahir. Siapa yang akan menguruskan dia nanti? Proses berpantangnya macam mana? Siapa nak uruskan itu ini? Dia bukannya punya sesiapa. Kalau dulu dia ada Muaz, tapi sekarang dia dah tak punya sesiapa. Hatinya sedikit pilu mengenangkan nasib diri dan anaknya. Kelahiran bayi ini nanti akan membawa satu perubahan besar dalam diri dan hidupnya. Bagaimana kalau dia tak mampu nak hadap semua perubahan yang berlaku kelak? Kuatkah dia?
Sedar tak sedar mereka sudah pun berada di kawasan bangunan bersalin. Lisa berfungsi dengan baik pada kali ini. Segera dia memimpin Ammara keluar sementara Yana memakirkan kereta di tempat yang sepatutnya. Punat yang terletak di tepi pintu bilik bersalin ditekan bagi memanggil jururawat yang berada di dalam. Tidak lama kemudian seorang jururawat muncul lalu mengambil alih Ammara dari tangan Lisa. Kini, Lisa tahu Ammara berada di tangan yang betul. Mereka di dalam akan membantu Ammara. Dia kini hanya mampu menunggu bersama Yana di luar bilik bersalin. Tak akan sesekali mereka berdua meninggalkan Ammara sendiri.
"Puan boleh panggil suami puan masuk ke dalam ya kalau puan nak." Lembut saja suara jururawat itu menuturkan kata sambil tangannya ligat bekerja. Branula dimasukkan ke tangan, mesin dipasang pada perut, segalanya cepat dan pantas.
"Suami saya dah meninggal." Spontan saja ayat itu meluncur keluar dari bibir Ammara. Jururawat iu terdiam. Barangkali mengutuk diri sendiri kerana meminta suami pesakit untuk masuk menemani sedangkan suami pesakit sudah tiada di dunia.
"Tak apa puan, saya ada untuk puan." kata jururawat itu lagi. Seorang doktor masuk dan bersedia berada di antara celah kaki Ammara. Sopan saja tutur katanya, meminta izin untuk memeriksa bukaan jalan. Ammara sekadar mengangguk. Tahu bahawa itu merupakan salah satu proses kelahiran yang mesti dilalui. Dia memejamkan matanya menahan sakit. Kontarksi yang berterusan dan kuat sangat menyeksanya. Selukkan dari doktor yang memeriksa bukaan juga satu penyeksaan bagi dirinya.
"I can see his head. Puan, puan dah ready untuk bersalin ya. Saya nak waktu contraction paling kuat, puan push sekuat hati. Angkat kepala sedikit pandang perut. Don't make a sound sebab nanti akan buang tenaga saja. Saya nak puan tahan dan push."
Sebaik saja rasa itu datang, Ammara segera melakukan seperti apa yang telah diajar.
"Good job, puan. Another push please."
Sekali lagi Ammara meneran sekuat hati. Terasa ada sesuatu meluncur keluar. Sakitnya juga hilang serta-merta. Suara tangis halus dan nyaring mula kedengaran. Ah, anaknya sudah lahir. Tanpa sedar air mata mengalir membasahi pipi. Dia sudah bergelar ibu!
Sebaik saja doktor meletakkan bayinya di dada, Ammara menyentuh dan memeluk bayi itu. Indahnya saat ini! Tapi sayang tiada sesiapa yang ada dengannya untuk berkongsi keindahan ini.
"Tahniah puan. Comel baby, debab betul." ujar jururawat yang sedari tadi sedia menemani.
"Boleh tak minta tolong sesiapa azankan anak saya?"
Jururawat itu sekadar memberikan sebuah senyuman sebelum mengangguk. Dia mengangkat bayi itu perlahan dan membawanya keluar. Ammara pula masih di situ. Menunggu proses seterusnya. Ya Allah, bantulah dia untuk menempuh segala dugaan dan cabaran dunia. Sungguh dia lemah pada saat ini namun hatinya kuat untuk berjuang demi si kecil yang baru lahir. Dalam diam dia hanyut bersama air mata. Saat menerima jahitan pada luka bersalin, dia hanya mampu berserah dan memejamkan matanya. Terhanyut sendiri dibuai perasaan.
Share this novel