Ammara membaca pesanan ringkas di aplikasi whatapps berulang kali. Biar betul lelaki ni? Dari mana pula dia dapatkan nombor telefon Ammara? Ish, tak lain tak bukan ni mesti dari Lisa. Apa pula dia nak balas? Aduh, abaikan sajalah. Ammara meletakkan telefonnya ketepi namun beberapa ketika kemudian telefonnya memberikan isyarat ada pesanan masuk melalui aplikasi yang sama sekali lagi. Dia membuka pesanan yang dikirim.
"Ammara, Luth ni. Sorry curi-curi dapatkan nombor Ammara dari Lisa. Last time kita bercakap through video call Luth rasa macam something tak kena. I just want to make sure everything okay."
"I'm fine, Insyaallah." ringkas saja Ammara membalas pesanan Luth.
"Best buddy Luth pandai apa dah sekarang?"
Best buddy? Alahai, tak habis-habis pula Luth ni. Ammara mengerling Hud yang sudah pandai meniarap. Dia menghalakan telefonnya ke arah Hud dan menangkap gambar buah hatinya itu untuk dikirim kepada Luth yang berada jauh di sana.
"Tummy time!" ringkas saja kapsyen yang disertakan.
"Cepatnya dia membesar! Sekarang dah meniarap, few months lagi dah makan, lepas tu pandai jalan, pandai lari, pandai main bola. Cakap dengan Hud jangan cepat sangat membesar. Uncle Luth tak nak ketinggalan dalam proses dia membesar!"
Ammara tersenyum cuma. Sibuk betul Luth tak nak ketinggalan dengan proses tumbesaran Hud. Padahal bukannya anak dia pun. Agak-agaknya mungkin Muaz juga sama. Sibuk nak ambil tahu tentang Hud. Padahal sebelum ni tak pernah nak ambil kisah pun tentang kebajikan Hud sejak dari dalam perut. Bila budak dah lahir, baru nak menyibuk. Dah kenapa banyak sangat penyibuk akhir-akhir ni?
Sayup-sayup kedengaran suara memberi salam menarik perhatian Ammara. Pantas dia membukakan pintu buat tetamu yang ditunggu. Wajah ceria Lisa kelihatan sebaik saja pintu dibuka.
"Minggu lepas kata nak balik Jumaat?" soal Ammara sambil mempersilakan Lisa masuk.
"Jumaat kan Good Friday, kebetulan pula kelas hari Isnin cancel so bolehlah balik lama sikit kalau balik hari ni." Balas Lisa. Hud sudah pun bertukar tangan. Rindu pula Lisa untuk bermain dengan Hud.
"Lisa, abang Lisa ada minta nombor akak ke?"
"Hmm? Abang Luth? Haa, lama dah dia ada nombor akak. Dia ada contact akak?"
"Kenapa Lisa tak beritahu akak pun? Kenapa bagi nombor akak dekat dia tanpa izin?"
"Eh, tak kak! Orang tak bagi pun. Dia curi! Haa, yang masa Lisa ke Sarawak sebelum daftar study last month tu. Hah, waktu tu abang yang pegang phone Lisa. Masa tu dia curi-curi save nombor akak sebab waktu-waktu lain dia tak pegang dah phone Lisa."
"Bila baru Lisa tahu yang dia curi nombor telefon akak?"
"Few days ago. Lisa tak terfikir nak beritahu akak awal-awal sebab hari ni memang nak jumpa akak dan Lisa memang dah agak akak akan tanya tentang ni. Sorry eh..." balas Lisa sambil tersengih. Alahai, marah ke Ammara?
"Dia kacau akak ke?" soal Lisa.
Ammara hanya menggelengkan kepalanya. Tidak pula Luth menganggu cuma dia yang tidak selesa. Apa pula mahunya lelaki itu dengan sengaja menghubungi dia? Apa maksud yang tersirat? Adakah benar hanya kerana Hud? Ammara pula yang rasa janggal dengan kehadiran Luth. Kenalnya pun baru lagi. Berjumpa sekali dua. Itu pun bukan sengaja dirancang. Luth pula terlebih mesra. Bertanya khabar macamlah mereka sudah lama kenal. Kalau diikutkan, dia kenal Luth hanya kerana Luth merupakan abang kepada Lisa. Itu saja.
"Maaflah, kak. Lisa dah marah dah abang hari tu sebab curi-curi nombor telefon akak. Abang tak pernah buat perangai macam ni, kak. Ni first time abang memandai bertindak macam ni."
"Kak, jangan-jangan abang Luth tu syok dekat akak tak?!" ujar Lisa tiba-tiba selepas senyap buat seketika.
"Ish, terkejut akak. Tak payahlah terjerit macam tu!"
"Eh, sorry. Tak sengaja. Spontan." Lisa tersengih.
"Tak kanlah abang kamu tu boleh syok dekat akak. Bukannya ada apa pun. Akak bukan anak dara. Akak ni mak budak dah."
"Mak budak yang hot."
"Hesy, geramnya dengan budak ni." Ammara menghadiahkan satu cubitan di paha Lisa membuatkan gadis itu terjerit kecil.
"Apa ni, kak? Betullah apa yang Lisa cakap. Lagi pun apa salahnya kalau abang Luth tu syok dekat akak pun? Akak single and ready to mingle! Kalau akak dengan abang tu kahwin, bolehlah Hud jadi anak buah Lisa secara rasmi."
"Siapa kata akak ready to mingle?"
"Lisa yang cakap!"
Ammara menjeling Lisa. Geram!
"Malaslah akak nak borak tentang ni. Makin dilayan makin merapu pula." Sengaja Ammara mengundur diri dari dijadikan topik pada hari itu.
Bila difikirkan semula tentang apa yang Lisa simpulkan sebentar tadi, sungguh Ammara menolak seratus peratus. Tak kuasa dia untuk menerima kehadiran sesiapa pun di antara dia dan Hud. Kalau sungguh pun benar Luth menyukai dia, lebih baik dia mengundur diri dari awal. Berterus-terang tentang hati yang membeku. Tidak mahu sekiranya lelaki itu menaruh harapan pula nanti. Tapi macam mana pula cara untuk dia memastikan tujuan sebenar Luth mendekatinya? Perlukah dia bertanya sendiri kepada tuan empunya badan? Kalau betul Luth sekadar mendekat kerana Hud, tak ke dia juga yang malu nanti kerana terperasan lebih? Ah, abaikan sajalah! Yang penting sekarang Hud ada bersamanya dan Muaz tak kan mampu untuk memisahkan mereka.
"Kak, Lisa tahu mungkin abang Luth tak kan jadi sebaik arwah suami akak tapi rasanya tak salah kalau akak cuba kasi chance sikit dekat abang, kan?" Ujar Lisa berserta senyuman nakalnya.
Arwah suami? Ya, itulah cerita yang Ammara reka. Kononnya ayah kandung Hud dah meninggal dunia. Itu adalah jalan mudah untuknya agar orang tidak lagi bertanya tentang di mana ayah Hud yang sebenar. Sebagaimana Muaz tidak pernah peduli tentang mereka seolah-olah mereka tidak lagi wujud, begitu jugalah Ammara menganggap Muaz telah pun mati.
"Ish, tak kuasa akak nak fikirkan tentang pengganti." balas Ammara lalu bingkas bangun dari duduknya. Dibiarkan saja Hud di tangan Lisa. Ada lagi tugasan lain yang jauh lebih penting dan lebih berfaedah.
Share this novel