Bab 2

Romance Series 103383

Sejak Muaz memberikan kata dua, tiada lagi kemesraan yang dipamerkan oleh lelaki itu untuk Ammara. Dia bersikap dingin. Sedingin salju. Apatah lagi saat dia menghulurkan kit kehamilan kepada Muaz, lelaki itu turut tidak merespon. Hanya diam seribu bahasa. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibirnya. Muaz hanya memandang dan melangkah keluar dari bilik lalu meninggalkan Ammara sendiri lagi.

Sudah tiga minggu berlalu sejak kejadiaan itu. Ammara tidak dapat menghubungi Muaz langsung. Di mana keberadaan suaminya itu pun Ammara langsung tak tahu. Puas dia bertanya kepada mak mertuanya namun tiada jawapan. Mak mertuanya pula melayannya bagai endah tak endah.

"Eh, laki kau pun kau tak tahu ke mana? Macam mana kau jaga laki? Patutlah kau berdua tak beranak sampai sekarang. Kalau ada anak, mahunya anak yang hilang. Bukan setakat laki yang hilang."

Kata-kata itu bagaikan selumbar bisa yang menusuk terus ke dalam hatinya. Namun dia tidak punya kekuatan untuk membalas kata-kata mertuanya.

Ammara mengisi masanya yang agak terluang sejak Muaz tidak pulang ke rumah dengan mengemas apa yang patut. Sengaja dia menyibukkan diri dengan tugasan di rumah kerana tidak mahu terlalu memikirkan masalah yang dihadapi. Mahunya boleh hilang akal waras kalau terlampau memikirkan hubungan dia dan Muaz.

Ammara memandang kit kehamilan yang masih cantik berbungkus. Kit kehamilan yang terakhir dalam simpanannya. Dia mencapai bungkusan itu lalu mengoyakkannya.

"Alang-alang dah tinggal satu." bisik Ammara sendiri. Dia bangun lalu melangkah ke dalam bilik air. Membaca arahan pada bungkusan yang sudah terkoyak itu dengan teliti. Sejujurnya dia sudah pun hafal setiap baris ayat yang tertera pada bungkusan itu. Sengaja saja dia mahu membacanya semula. Ah, sayang kalau dibuang begitu saja. Lebih baik digunakan walaupun dia tahu hasilnya tidak akan pernah berbeza.

Ammara meletakkan alat tersebut di sinki setelah melaksanakan setiap arahan yang diberikan. Dia perlu menunggu selama lima minit sebelum melihat hasilnya. Sementara itu, Ammara menggosok dan membersihkan bilik air. Setelah selesai, laju saja dia mencapai alat tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Terasa malas pula hendak mengintai keputusan memandangkan dia sudah dapat meneka hanya satu garis yang akan muncul. Namun dengan segera Ammara mengambil semula alat tersebut. Biar betul apa yang dia nampak? Ammara menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Walaupun garis kedua itu agak kabur namun jelas dapat dilihat dengan mata kasar. Adakah ini bermakna dia hamil? Adakah dia benar-benar hamil? Perasaan Ammara bercampur-baur. Ya Allah, adakah ini bermakna rumah tangganya masih boleh diselamatkan?

Tiba-tiba kedengaran suara Muaz memanggilnya dari luar. Segera Ammara berlari keluar dengan alat ujian kehamilan dalam genggamannya. Tidak sabar rasanya mahu memberitahu berita gembira itu kepada Muaz. Setelah tiga tahun menunggu, di saat retak menanti belah, saat itu jugalah dihadirkan penyelamat kecil untuk memperbaiki segalanya.

"Dhea Ammara binti Zulkifli, aku ceraikan engkau dengan talak satu."

Hilang senyuman yang terukir indah pada seraut wajah milik Ammara. Bukan itu sepatutnya yang berlaku. Tak mungkin!

"Abang, Ammara hamil. Abang tak boleh ceraikan Ammara." balas Ammara sambil menghulurkan alat tersebut kepada Muaz.

Muaz sekadar memandang sebelum berpaling ke arah lain. Lelaki itu meraup wajahnya sebelum memandang Ammara.

"Ammara. semuanya dah terlambat untuk kita. Lepas ni dah tak ada kisah tentang kita."

"Tapi abang, bukankah ini yang kita nak? Abang, tengok ni! Ammara hamil!"

"Ya, aku nampak! Tapi semua ini dah terlambat."

"Tak mungkin, tak ada apa yang terlambat. Baby ni ada pada saat yang tepat, abang."

"Tak boleh, Ammara. Tak boleh!"

"Kenapa tak boleh? Apa yang salah? Ammara ingatkan abang akan gembira dengan berita ni. Kenapa abang..."

"Sebab aku akan berkahwin dengan Yasmin hujung minggu ni. Aku akan bina keluarga dengan dia."

"Tak mungkin, abang. Jangan buat Ammara macam ni."

Ammara segera berpaut pada kaki Muaz. Memohon agar Muaz memikirkan semula rancangannya untuk mengahwini Yasmin.

"Abang, anak kita dalam rahim Ammara. Zuriat yang kita tunggu selama tiga tahun. Masih sempat untuk abang batalkan perkahwinan abang dengan Yasmin. Kembalilah kepada Ammara dan anak kita ni, abang." Ammara terus merayu.

"Tak boleh! Kau tak faham ke? Kenapa mesti hari ni baru double line macam ni? Kenapa bukan tiga minggu yang lepas? Kalau ikutkan aku, tiga minggu lepas dah aku lafazkan cerai untuk kau. Kalau tiga minggu lepas kau mengandung, tak adanya aku setuju untuk kahwin dengan Yasmin."

"Abang jangan ceraikan Ammara. Jangan tinggalkan Ammara."

"Habis tu? Kau nak bermadu dengan Yasmin? Tak mampu aku nak sara bini banyak sangat."

"Tinggalkan Yasmin, bang. Ammara isteri abang yang sah."

"Yasmin lebih dahulu ngandungkan anak aku sebelum kau."

Bagaikan di panah halilintar, telinga Ammara berdesing mendengar berita yang disampaikan oleh Muaz.

"Apa, bang?"

"Tak jelas ke tadi? Yasmin ngandungkan anak aku lebih awal dari kau. Seminggu sebelum tarikh akhir yang aku beri dekat kau, aku dengan Yasmin dah ke klinik untuk lihat sendiri keadaan anak aku dalam rahim dia dan sebab tu aku bagi masa seminggu kemudian untuk kau berikan aku zuriat. Kalau kau naik double line waktu tu, barulah rumah tangga kita akan selamat dan Yasmin akan jadi kenangan. Masalahnya sekarang aku dah janji dengan Yasmin akan bertanggungjawab. Urusan nikah pun hampir 80% siap. Mak yang banyak bersusah-payah untuk uruskan semua ni. Tak kan aku nak batalkan pula?"

"Habis, Ammara macam mana? Ini pun anak abang."

"Kau buatlah apa yang kau nak. Aku dah dapat apa yang aku nak."

"Abang!" Ammara merayu. Memeluk kaki Muaz erat. Tidak mahu membiarkan kaki itu melangkah pergi sekali lagi. Tanpa disangka, Muaz menendang kasar. Seolah-olah jijik apabila Ammara memeluk kakinya begitu.

Ammara menjerit memanggil Muaz. Dia bingkas bangun untuk mengejar Muaz. Sebaik saja mendekat, Muaz menolaknya kasar. Meminta agar Ammara akur dengan ketentuan yang berlaku. Menyerah dan berserah pada takdir yang tidak memihak kepada kisah cinta mereka. Muaz benar-benar nekad meninggalkan Ammara. Ya Allah, bukankah hari ini sepatutnya hari yang membahagiakan? Kehadiran malaikat kecil itu seharusnya menjadi pengukuh kepada mahligai yang dibina. Tapi, kenapa begini akhirnya?

"Abang... jangan tinggalkan Ammara..."

Rayuan Ammara bagaikan tidak memberi sebarang erti. Muaz pergi tanpa menoleh. Meninggalkan dia menangisi nasibnya sendiri.

"Allah...aku tak kuat..." ucap Ammara bersama tangis lalu tenggelam dalam kolam air mata yang melimpah dan membanjir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience