Bab 9

Romance Series 103383

Ammara sekadar memerhati tingkah Lisa dan Luth dari kejauhan. Kata Lisa hari ini Luth bakal terbang ke tanah Sarawak semula sebagai persediaan untuk memulakan tugasnya sebelum cuti persekolahan tamat. Melihat Luth barulah Ammara seakan-akan teringat semula hari di mana dia tanpa sengaja melampiaskan rasa kesal dan marahnya kepada lelaki itu.

Dia hanya mampu berfikir dengan waras setelah memperoleh ketenangan. Mungkin ada benar apa yang Luth katakan. Boleh jadi Luth memang benar-benar tidak mengenali Muaz. Boleh jadi juga mereka sekadar berbual tanpa kenal antara satu sama lain. Memikirkan semula peristiwa itu, Ammara diserang rasa bersalah. Tak pasal-pasal Luth yang menjadi mangsa. Pertemuan yang tak dirancang di antara dia dan Muaz benar-benar membuatkan jiwanya kacau. Kenapa setelah sekian lama tiba-tiba Muaz boleh pula muncul di depan matanya? Pilihan untuk melangkah pergi dan meninggalkan dia sendiri bersama Hud yang masih menghuni rahimnya pada waktu itu adalah keputusan Muaz sendiri. Bukan dia yang memaksa Muaz untuk pergi malah dialah yang merayu agar Muaz terus di sisi. Namun, Muaz lebih memilih Yasmin, perempuan murahan yang dijadikan sandaran.

Entah apa yang Yasmin nampak pada Muaz sehinggakan dia nekad untuk menyerahkan tubuhnya dijadikan santapan lelaki itu. Apa yang ada pada Muaz? Kalau hendak dikatakan kerana harta, Muaz bukanlah orang yang mewah berharta. Kehidupan Muaz mungkin tampak mewah namun hakikatnya hanyalah biasa-biasa saja. Kalau dahagakan yang mewah dan berharta, banyak lagi diluar sana. Muaz sendiri sedar dia tidak mampu untuk berpoligami sehinggakan dia sanggup memilih salah seorang dari mereka berdua. Hartanya tidak akan cukup untuk menyara dua buah keluarga dalam pada masa yang sama.

Ammara tahu Muaz asyik memandang Hud sewaktu di hospital tempoh hari. Ya, tidak dinafikan Hud anak Muaz. Tapi salahkah dia kalau menganggap Muaz sudah lama mati? Seperti mana Muaz membuang mereka satu ketika dahulu, seperti itu jugalah dia akan mengabaikan kewujudan Muaz di muka bumi ini. Dia dibiarkan terumbang-ambing sendiri. Berperang dengan emosi setiap hari. Mencuba untuk terus kuat dan terus bertahan demi Hud. Semuanya dilakukan sendiri. Ada waktu dia akan berendam air mata semalaman, menyesali perkahwinan yang berakhir dengan perceraian. Namun keesokkannya dia sedar dia harus bangun dengan semangat yang baru. Hari-hari yang dilalui tidak pernah mudah. Semuanya gara-gara Muaz yang tidak sabar untuk memiliki anak sebagai tanda dia lelaki yang hebat. Menyalahkan Ammara mandul dan tidak mahu menerima hakikat bahawa rezeki zuriat mereka sedikit lambat.

"Lisa, boleh tolong tengokkan Hud sekejap." Lisa segera mengangguk namun sempat juga menoleh ke arah abangnya dan Ammara berulang kali sebelum dia benar-benar menghilang masuk ke dalam rumah. Dia tertanya-tanya apakah urusan Ammara dan abangnya? Hal peribadikah? Kalau bukan berkaitan dengan hal peribadi, dah kenapa dia tak boleh ada di situ? Tak bolehkah kalau dia nak mendengar sama?

"Luth, saya minta maaf sebab termarah awak tempoh hari tu." Ammara segera memohon maaf. Dia tahu walaupun sudah terlambat untuk dia berbuat demikian, sekurang-kurangnya dia boleh menyingkirkan rasa bersalah yang bersarang di dalam hati.

Luth tersenyum cuma. Dia mengangguk perlahan. Kalau ikutkan rasa hati, mahu saja dia bertanya. Kenapa emosi Ammara tiba-tiba berubah? Apakah kerana lelaki yang berbual dengannya? Kenalkah Ammara dengan lelaki tersebut? Namun Luth hanya mampu menyimpan semua persoalan kerana bimbang dikatakan sebagai penyibuk. Kekeruhan di antara dia dan Ammara baru saja hendak menjernih. Ammara memohon maaf dan tak mungkin dia mengambil risiko untuk mengeruhkan semula keadaan itu.

"Sampaikan salam peluk cium saya untuk Hud. Oh, saya ada ambil gambar dia hari tu." Segera Luth mengeluarkan telefonnya lalu menunjukkan gambar Hud kepada Ammara.

"Comel, kan? Saya nak simpan gambar ni, boleh? Hari tu saya nak minta izin simpan gambar Hud ni tapi dah kena sedas dua tanpa sebarang amaran, saya lupa pula."

'Kenapa awak nak simpan gambar dia?" soal Ammara hairan.

"Eh, awak tak tengok ke? Kan comel ni? Baby ni dia ada aura tersendiri. Tengok ni tengah menguap pun comel." balas Luth sambil tersenyum. Hatinya tercuit saat melihat gambar Hud yang sedang menguap.

Tanpa sedar Ammara turut tersenyum melihat Luth yang masih lagi ralit menatap wajah Hud pada telefon bimbitnya. Lagi-lagi apabila lelaki itu tersengih. Geli hati Ammara melihat Luth yang mudah terhibur.

"Hmm, kalau nak say goodbye dengan Hud pun boleh." Ammara mempelawa. Dia hanya bersikap baik. Selepas ini mungkin lama mereka tidak bersua. Apalah salah jika Luth berjumpa dengan Hud secara berdepan.

Jelas terpancar keterujaan di wajah Luth apabila Ammara memberi izin. Ammara masuk ke dalam sejenak dan keluar semula bersama Hud. Segera Hud berpindah tangan.

"Eh, makin berat dia ni. Nak cepat besar ke? Baby ni nak cepat besar ke?"

Ammara tersenyum melihat gelagat Luth yang begitu asyik berbual dengan Hud. Bukannya dia tahu menyahut pun tapi gaya Luth yang begitu terhibur seolah-olah Hud ada menjawab setiap soalan yang diajukan.

"Ada masa kita jumpa lagi ya. Nanti uncle Luth bawakan mainan kita main sama-sama." Luth memberikan ciuman di dahi Hud yang terkebil-kebil memandangnya sebelum diserahkan semula kepada Ammara.

"Seronoknya ada baby." ujar Luth berserta senyuman.

"Kahwinlah, baru awak boleh ada baby sendiri." balas Ammara.

"Kahwin? Dengan siapa? Awak?"

Ammara terkejut memandang Luth. Biar betul lelaki ni? Dah kenapa dia pula? Lurus betul pertanyaan Luth yang mengaitkan dia sebagai pasangannya.

"Dah kenapa saya?"

Luth tergagap sendiri. Silap dia yang salah faham. Oh, bukan lampu hijau rupanya. Bodoh betul!

"Aaa, saya tak ada calon. Menumpang kasih pada Hud sajalah buat masa ni."

Luth segera membetulkan kesilapannya. Dia meminta diri lalu dengan segera meninggalkan kawasan itu. Malunya tak terungkap dengan kata-kata.

"Abang jumpa Hud ke kak?" Lisa muncul dari belakang. Memerhati kereta abangnya yang semakin menjauh.

"Dia memang suka budak ke?" soal Ammara.

"A'ah, abang memang suka budak-budak sebab tu mak asyik suruh dia kahwin. Tapi entahlah, abang selalu kata dia tak ada calon sampaikan mak pernah nak carikan jodoh untuk dia. Terus tak balik ke rumah abang dibuatnya."

Lisa mengimbau semula saat Luth hampir dijodohkan dengan anak kawan Puan Noraini. Seminggu Luth tak jejak kaki ke rumah. Puas dipujuk namun Luth tetap dengan pendiriannya. Dia akan berkahwin tapi biarlah masa yang menentukan. Jodoh masih sesat katanya.

"Abang tu bukannya muda sangat pun. Dah masuk usia 30-an dah. Beza dia dengan akak mungkin dalam tujuh atau lapan tahun macam tu kalau tak silap."

Ammara mengangguk. Ah, orangnya tampak muda lagi. Rupanya jauh juga jarak usia mereka. Tak patut betul dia marah pada Luth hari tu. Tapi tak kisahlah yang penting dia sudah memohon maaf dan mereka pun dah berdamai. Semoga Luth bertemu dengan jodohnya yang masih tersesat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience