"Kenapa sebelum ni keputusan ujian kehamilan yang saya buat kendiri di rumah boleh negatif, doktor?" Ammara bertanya sebaik saja selesai ujian ultrasound yang dijalankan oleh Doktor Sumayyah selesai.
"Actually banyak sebabnya, puan. Salah satunya mungkin masih terlalu awal sewaktu menjalankan ujian tersebut. Tak semua perempuan hamil memiliki tingkat HCG yang sama dalam urine dan keadaan ini juga dikenali sebagai negatif palsu. Kalau tengok dari hasil pemeriksaan saya sebentar tadi, tak dinafikan usia kandungan masih awal ya. Pada peringkat ini, puan kena banyakan rehat dan jangan lakukan sebarang kerja-kerja berat atau lasak. Keadaan bayi masih lagi baru. Tiga bulan pertama merupakan peringkat yang penting kerana janin dalam perut ibu baru mula terbentuk dan dalam proses membesar."
Ammara mengangguk mendengar penjelasan doktor Sumayyah. Mungkin benar itu yang berlaku terhadapnya. Kalau diikutkan usia kandungan, dia sememangnya sudah pun hamil sebelum tarikh akhir yang diberikan oleh Muaz.
"Puan ada mengalami sebarang alahan? Muntah-muntah? Mual? Rasa loya?"
Ammara menggelengkan kepalanya. Tiada satu pun simptom tersebut yang dia alami. Selera makannya saja yang hilang. Itu pun gara-gara Muaz. Kepalanya berat apabila memikirkan nasib diri dan bakal bayi yang dilahirkannya nanti. Dia tak lalu makan kerana masalah ini dan bukannya kerana kehamilan yang sedang dihadapi.
Ammara melangkah keluar dari klinik sebaik saja selesai segala urusan. Kepalanya kosong. Ke mana lagi harus dia melangkah? Pulang ke rumah? Ah, tiada sesiapa yang menunggunya di rumah. Selain daripada kenangan yang menyakitkan jiwa dan raga. Dia menapak perlahan ke arah parkir keretanya. Di seberang sana, matanya menangkap sosok tubuh yang cukup dikenali. Siapa lagi kalau bukan Muaz. Hatinya mula diserang pilu. Apatah lagi apabila melihat kelibat Yasmin yang sedang melentok manja di sisi Muaz.
Seharusnya dia yang berada di sisi Muaz. Seharusnya yang sedang memimpin tangannya ketika ini adalah Muaz. Bukankah dia juga memerlukan kehadiran Muaz pada waktu ini. Betapa peritnya rasa apabil sedar tentang kenyataan bahawa itu semua hanyalah harapan palsu yang tidak mungkin akan berlaku. Muaz benar-benar nekad untuk memilih Yasmin dan bukannya dia. Kedudukannya sebagai isteri yang sah tidak menjamin apa-apa hanya kerana Muaz membuntingkan Yasmin pad masa yang hampir sama dengannya. Ini bermakna Muaz sudah pun mencurangi dia dari awal! Soal anak hanyalah alasan.
Ah, persetankan lelaki itu! Dari awal lagi dia sudah meniduri dan menggauli Yasmin seperti seorang isteri. Mereka sudah melakukan zina yang terlarang. Sedangkan dia isteri yang sah jarang disentuh walaupun dia tidak pernah menolak. Barangkali dosa itu lebih enak untuk dinikmati. Ammara menyeka air yang baru saja memenuhi tubir matanya. Dia nekad. Tiada lagi air mata untuk lelaki seperti Muaz. Mulai dari hari ini, semuanya adalah tentang dia dan anaknya. Tak guna berduka dengan nasib yang menimpa sedangkan Muaz disirami bahagia bersama pasangan baru yang menjadi pilihan.
Ammara harus bangkit dan tinggalkan segala kesedihan yang diciptakan oleh si celaka itu. Dia harus kuat! Jika Muaz boleh memilih untuk melangkah pergi, maka dia pun akan mengambil langkah yang sama. Mungkin ini yang terbaik. Segera dia masuk ke dalam perut kereta. Tidak lagi mahu untuk menyaksikan drama di depan mata. Ammara memejamkan matanya sejenak. Mencuba untuk mencari ketenangan yang baru saja direnggut saat menyaksikan kemesraan mereka.
"Ammara sayang, abang nanti nak anak ramai. Abang nak lima orang, boleh?"
"Amboi, abang ingat Ammara ni kilang ke?"
"Alaa, kita rancanglah elok-elok. Jangan pula nak ada anak setahun seorang. Naya pak karim kalau macam tu. Kita rancang cantik-cantik. Cukup dua tahun baru plan untuk having another baby. Lagipun umur kita muda lagi, kan? So kita ada masa yang cukup untuk pastikan impian kita ni tercapai."
"Kalau dah rezeki tak ke mana pun, abang. Kita usaha, doa dan tawakal."
Ammara memandang suaminya penuh kasih. Ammara tiada siapa-siapa selain Muaz. Ibu ayahnya telah lama pergi. Sejak mengenali Muaz, hanya itulah tempatnya meminta kasih dan sayang. Tempat untuknya bermanja dan mengisi kekosongan hati.
Ammara melepaskan satu keluhan berat. Keluhan yang menyingkirkan kenangan lalu. Ah, dah kenapa boleh teringat pada masa lalu? Buang masa! Nak anak ramai konon. Baru seorang anak dah diceraikan. Alasannya dah lama menunggu. Tak masuk akal!
Kenapa harus anak yang dijadikan alasan? Tak adakah sekelumit pun rasa sayang pada ikatan perkahwinan yang dibina? Tak sayangkah pada isteri yang sudah dinikahi selama tiga tahun? Lagi parah, boleh pula jadikan tarikh ulang tahun perkahwinan sebagai tarikh akhir untuk memastikan isterinya hamil. Kenapa kejam sangat jadi lelaki?
Kesalahan tidak hamil tidak pula diletakkan pada bahu Muaz sebaliknya semua diletakkan pada Ammara. Eh, lagilah tak logik! It takes two to tango. Jadi, kenapa harus salah seorang saja yang memikul dan dipersalahkan? Sedangkan tiada siapa pun yang patut dipersalahkan dalam soal zuriat. Kalau dah tertulis belum masanya untuk mendapatkan rezeki anak, maknanya belumlah! Apa yang bengap sangat susah nak hadam? Itu semua kerja tuhan!
Ammara menghidupkan enjin keretanya. Sudah-sudahlah memikirkan tentang itu. Dia sudah pun ada zuriat yang dinanti. Bezanya dia cuma hilang laki dan tempat bergantung. Dia sedar dia harus berusaha kuat untuk meneruskan kehidupan. Dia tidak akan menyerah untuk bertahan demi kelangsungan hidup mereka dua beranak. Tiada lagi Muaz tidak bermakna dia tidak mampu hidup. Dia akan buktikan yang dia juga mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Share this novel