"Cikgu Luth balik sana hari tu sebab cuti kahwin ke?"
Perbualan salah seorang pelajar perempuan dengan rakannya itu didengar jelas di telinga Hawa. Ternyata perkahwinan Luth merupakan isu yang agak panas dibualkan di sekolah pada masa ini. Dikalangan guru sendiri pun masih ada yang bercakap tentang itu. Tak ada angin, tak ada ribut, tahu-tahu kahwin.
Luth Anaqi dikenali sebagai cikgu yang sporting dan senang didekati oleh pelajar mahu pun rakan sekerja. Tukang kebun, pekerja kantin malah tukang sapu sekalipun sangat menyenangi Luth. Apabila dia mengakhiri zaman bujangnya tanpa sebarang petunjuk, seluruh warga sekolah terkejut. Mereka hanya diberimaklum oleh Luth sendiri selepas selesai semuanya. Itu pun hanya melalui aplikasi Whatapps semata-mata.
"Selama ni aku ingatkan Cikgu Luth ada something dengan Cikgu Hawa."
Ah, ayat itu lagi. Tak pasal-pasal dia terpalit sama. Hawa menapak pergi perlahan-lahan. Sungguh dia pun tak menyangka Luth akan mengakhiri zaman bujangnya begitu cepat. Tak dinafikan dia juga menyenangi Luth malah mungkin lebih dari itu. Hakikatnya dia mungkin dah terjatuh cinta pada lelaki itu tanpa dia sedar. Sangkanya Luth juga mempunyai rasa yang sama kerana lelaki itu sering menghabiskan masa dengannya namun ternyata dia silap. Hakikatnya Luth sudah pun punya kekasih hati. Apa yang pasti bukan dirinya kerana bukan dia yang disunting untuk menjadi suri hati. Tak pernah sekali pun Luth berkongsi tentang si dia malah Hawa yang rapat dengan Luth pun tak pernah tahu apa-apa tentang hubungan Luth dengan mana-mana wanita. Setahu Hawa lelaki itu tidak berhubungan dengan sesiapa pun.
Nampak gayanya bukan dia saja yang terperasan dengan layanan Luth. Ternyata pelajar lain juga menyangka mereka ada hubungan. Sewaktu dia terlibat dalam kemalangan, Luth jugalah orang pertama yang tiba di lokasi kemalangan. Hawa masih baru waktu tu, baru tiga bulan usia perkhidmatannya apabila dia dilanggar secara tiba-tiba dari arah belakang sekaligus menyebabkan dia tersondol pula lori di bahagian hadapan. Keretanya remuk depan belakang. Bergetar lututnya keluar dari kereta. Takutnya dia hanya Tuhan saja yang tahu. Dia terduduk di situ. Mujur dia hanya terhantuk sedikit dan tiada sebarang kecederaan lain.
Sungguh dia buntu untuk memohon bantuan sebelum dia menghubungi rakan sekerja yang lain dan meninggalkan pesanan di kumpulan Whatsaps sekolah bagi memaklumkan keadaan dirinya ketika itu. Siapa sangka kebetulan membawa Luth ke sana sekali gus menjadikan lelaki itu orang pertama yang hadir untuk menghulurkan bantuan. Luth yang juga dalam perjalanan ke sekolah terus saja meluru ke arah Hawa. Dia juga yang berusaha menenangkan Hawa yang masih menggigil. Sedaya upaya Hawa menahan air matanya. Segan jika dia menangis di depan Luth namun semakin dipujuk dan ditenangkan, semakin dirinya lemah dan akhirnya benteng yang menghalang air matanya daripada membasahi pipi terpecah luas. Antara rasa takut, dia juga memanjat rasa syukur. Air mata yang mencemar pipinya pada hari itu merupakan air mata penuh kesyukuran dan ketakutan.
"Hawa!" Segera Hawa menoleh apabila namanya dipanggil. Ah, Luth! Tiba-tiba dadanya berdebar. Aduh, nak berdebar kenapa pula? Selama ni elok saja berdegup normal! Hawa, sedar Hawa! Itu suami orang.
"Perjumpaan kelab petang ni still on, kan?" soal Luth setelah mendekat.
"A'ah. jadi. Kita dah bincang sebelum ni. Kalau boleh kita buat terus pemilihan untuk penyertaan kebudayaan sempena karnival asrama akan datang ni. Kertas konsep dah keluar. Buat bersiapan awal tak adalah nanti kelam-kabut macam tahun lepas."
"Haa, pandai dah dia. Tahun lepas nyaris tak sempat nak hantar penyertaan. Tapi tak apa sebab itu dimaafkan. First time orang baru yang handle." Luth mengusik Hawa. Teringat pula waktu Hawa kelam-kabut mencetak dokumen murid dan mengisi borang penyertaan pada hari terakhir pautan dibuka.
"Diamlah! Waktu tu Hawa mentah lagi. Luth pun satu saat akhir baru nak muncul hulur bantuan."
"Hero memang selalu muncul saat akhir." balas Luth selamba sambil mengekek.
"Eh, mengada sungguh dia ni! By the way, congrats. Diam-diam ubi berisi."
Luth sekadar membalas dengan senyuman. Ucapan tahniah itu sudah diterimanya sejak awal pagi tadi lagi. Dia tertanya sendiri adakah dia benar-benar layak untuk menerima ucapan itu? Untuk apakah tahniah itu diucapkan kepadanya? Statusnya mungkin bertukar kepada suami orang namun tak ada apa yang berubah.
"Tak demam rindu ke nanti, Luth? Baru lagi kahwin dah PJJ macam ni. Jangan lemau-lemau ya, ubat rindu jauh di sana." Hawa masih lagi mengusiknya.
Luth tersengih. Rindu? Gilanya tak! Dah namanya pun isteri siapa pula yang tak merindu. Tapi itulah...panggilannya juga ada waktu bersahut ada waktunya dibiar sepi. Pesanan yang dihantar melalui whatapps juga ada kalanya dibalas segera namun kebanyakkannya sekadar 'seen' sahaja. Pedih? Sungguh pedih. Rasa macam nak menangis pun ada. Luth membuang kasih pada yang tak sudi. Namun setiap kali jiwanya berduka, hati pula memintanya untuk terus kuat dan terus mencuba. Dia sendiri sudah nekad untuk membuatkan Ammara jatuh cinta padanya. Tak kan semudah itu dia menyerah? Kalau dia mengalah, apa makna cintanya pada Ammara? Tak mungkin semurah itu nilai cinta Luth untuk Ammara. Wanita pertama yang benar-benar membuatkan dia tergamam saat kali pertama terpandang wajahnya. Jatuh cinta pandang pertama. Ya, itulah yang dia rasakan saat matanya tersinggah pada seraut wajah milik Ammara suatu masa yang lalu.
"Hey, Luth! Dengar tak ni?" Hawa memandang Luth yang nampak jelas hilang fokus pada perbualan mereka.
"Malaslah nak dengar. Kalau dilayan makin menjadi."
"Eh, dah kenapa? Hawa cakap tempat perjumpaan petang ni dekat kantin sana tu bukan dekat dewan. Apa pula yang kalau dilayan makin menjadi?" berkerut dahi Hawa memandang Luth. Pelik! Mengelamun jauh sangat ke Luth tadi tu?
"Okay, jumpa petang nanti." ujar Luth sambil berlalu pergi ke arah beberapa orang pelajar yang sedang menunggunya di depan pintu stor sukan. Luth memarahi dirinya sendiri kerana tiba-tiba hilang fokus. Tak pasal-pasal menyimpang jauh dari apa yang dibualkan. Tapi sejak bila pula Hawa tukar topik? Bukankah tadi Hawa mengusiknya tentang rindu pada isteri yang jauh di mata?
Hawa sekadar memandang Luth pelik. Ada sesuatu yang lain pada Luth. Hawa agak yakin tentang itu namun tak payahlah dia bertanya dengan lebih lanjut. Tak elok pula menyibuk tentang suami orang. Apatah lagi dengan adanya khabar angin yang tersebar tentang hubungan mereka selama ini. Mungkin juga Luth begitu kerana masih teringat dengan orang jauh. Bukan urusan dia untuk memikirkan masalah Luth. Lelaki itu sudah punya isteri yang akan jadi pendengar setia masalahnya. Hawa bukan lagi pilihan untuk dijadikan tempat mengadu seperti sebelum ini.
"Hawa, bila Hawa dengan Luth break up?" Tiba-tiba pembantu makmal, Kharil muncul entah dari mana.
"Ish, break up apa pula? Hawa dengan Luth tak ada apa-apa hubungan lain pun. Kami tak lebih dari sekadar kawan biasa." balas Hawa.
Khairil berlari-lari anak mengejar Hawa semata-mata mahu berjalan seiringan dengan Hawa. Oh, tak ada hubungan dengan Luth rupanya.
"Tak lebih dari sekadar kawan biasa, ya? Kalau macam tu bolehlah abang Khairil masuk jarum?" ujar Khairil sambil mengangkat kening kanannya.
"Ish, tak kuasa nak layan. Abang Khairil laa sangat! Pantang tengok cikgu baru yang masih bujang terus ulat bulu naik daun, ya?"
"Eh, mana ada. Abang tak tengok pun cikgu lain. Dari dulu sampai sekarang abang usha Hawa seorang saja. Hawa tu yang tak usha abang."
Hawa sekadar menjeling. Tak habis-habis nak mencuba nasib. Hawa tak terfikir pun lagi nak menjalinkan hubungan dengan sesiapa. Pernah terfikir namun segalanya dah terkubur. Tak dinafikan dia menunggu petunjuk jelas dari Luth. Seandainya Luth benar-benar memberikan hatinya, tak kan Hawa berfikir satu dua untuk menerima kerana dia juga sudi untuk terus berada di samping lelaki itu. Namun setelah mengetahui Luth sah menjadi suami kepada seseorang, segera Hawa menguburkan rasa itu. Tidak mahu perasaannya terus bercambah. Bahaya kalau dibiarkan! Sama ada dia yang akan menjadi mangsa kerana dibebani perasaannya sendiri atau akan ada perasaan lain yang akan terguris. Sebelum lebih parah, lebih baik dia memilih untuk mengabaikan semuanya termasuklah tentang hati yang terjatuh pada orang yang salah.
"Kenapa Hawa tak pandang abang langsung? Mungkin sebab abang staf biasa? Sebab abang bukan cikgu ke? Kita tak setaraf eh?"
Hawa berhenti melangkah. Dia memandang Khairil yang sedang berdiri di sisinya.
"Tak pernah terlintas pun Hawa nak memilih pasangan berdasarkan status cikgu atau staf, bang. Hawa cuma tak ready nak ada komitmen dengan sesiapa. Lagipun Hawa baru setahun bergelar guru, baru nak membina kerjaya. Kalau dah jodoh Hawa dengan tukang sapu sekali pun, tak akan ke mana. Tetap Hawa terima dengan hati yang ikhlas. Tak baik menuduh Hawa macam tu."
Khairil mengangguk faham. Dia sengaja menguji. Manalah tahu kalau-kalau Hawa memang memilih. Selepas mendengar tutur kata Hawa sebentar tadi, maka tahulah dia yang dia masih ada peluang! Dia sedar, mungkin juga Hawa tak sudi kerana jarak usia mereka. Dia bujang tua, Hawa pula anak dara sunti lagi. Diusia dia yang menjengah 37 tahun, jodohnya masih tidak kelihatan. Namun, saat kali pertama terpandang Hawa dia dapat merasakan bahawa itulah jodoh kiriman Tuhan.
"Kalau dah ready nak ada komitmen, jangan cari orang lain, ya? Cari abang." ujar Khairil sambil tersengih.
Hawa sekadar membalas dengan senyuman. Ready? Hah, entahlah. Bila agaknya baru dia bersedia? Hatinya kini sedang berduka. Terasa kehilangan kerana mimpinya kini sekadar mimpi. Tidak mampu untuk dijadikan kenyataan. Dia sendiri masih memerlukan masa untuk mengubat hati yang terluka tanpa rela. Lagi payah nak mengubat luka apabila tuan puncanya luka masih berada di depan mata. Sulit untuk diperkatakan kerana tuan yang dikatakan punca tidak tahu apa-apa. Maka, Hawa juga harus berbuat seperti biasa. Act like nothing happen. Titik.
Share this novel