Bab 6

Romance Series 103383

Ammara menatap wajah comel anaknya yang diberi nama Hud Rafael. Lena benar Hud tidur. Dia mengusap pipi tembam Hud lembut. Kasihan anak ini, lahirnya tanpa seorang ayah. Yang azankan dia pun orang yang tiada kaitan dengannya.

"Akak, Hud dah tidur? Jom makan. Mak Lisa selalu cakap orang berpantang ni kena jaga betul-betul waktu makan. Barulah cepat sihat dan susu badan pun banyak. Haa, makin bambamlah baby Hud nanti." Lisa menjenguk dari pintu.

Sejak dari hari pertama dia bersalin, Lisa dan Yana yang banyak membantu. Meringankan beban itu ini, mengisi kekosongan hati dengan keriuhan mereka berdua, malah sangat-sangat membantu melancarkan segala urusan. Ammara terhutang budi. Ternyata ada yang kasih kepada dia dan Hud. Dalam diam dia bersyukur ke hadrat ilahi kerana menghadirkan kedua-duanya untuk dia. Siapa sangka mereka yang langsung tiada pertalian dengan dirinya jugalah yang sudi untuk menjaga, menghulurkan bantuan dan menemani siang dan malam mereka dua beranak.

Ammara melangkah membontoti Lisa menuju ke meja makan. Kelihatan Yana sudah pun menunggu di situ. Mereka kemudiannya mengambil tempat masing-masing dan mula mengisi perut.

"Kamu berdua dah kenapa makan menu yang sama dengan akak?" tegur Ammara apabila melihat makanan yang ada di pinggan Lisa dan Yana. Tak ada bezanya dengan menu dia. Nasi putih, serunding halia, ikan merah kukus halia, brokoli, lobak putih dan sawi bening.

"Eh kak, sedapp ni! Apa salahnya?" jawab Yana.

"Menu macam ni membantu sangat kalau nak diet kak." sambung Lisa.

"Oh, kiranya kamu berdua ni sambil menyelam minum airlah, ya?" balas Ammara. Hampir serentak Lisa dan Yana mengangguk membuatkan Ammara tersenyum.

"Ni, akak nak tanya... Dah seminggu kamu berdua temankan akak. Family tak kisah ke?"

"Nak kisah apa, kak? Kami berdua bukannya ada laki pun dekat rumah. Mak dengan abah pun okay waktu Yana tanya haritu. Alah kak, mereka tahu Yana ada dengan akak. Bukannya Yana melelat dengan mat rempit dekat luar sana. Tambahan lagi, pakej penjagaan ibu bersalin yang Yana dapat ni pun mak yang willing tolong carikan. So, they actually care for you. Macam kami ni juga."

"Betul tu, kak. Mak Lisa pun sibuk tanyakan khabar akak. Perlu apa-apa ke tak, dah mengurut ke belum, makan minum terjaga ke tidak malah dia sendiri yang minta Lisa temankan akak sampai akak betul-betul sihat."

Ammara tersenyum namun ternyata agak payau untuk ditelan. Tidak dinafikan dia berasa serba-salah saat tangannya menerima segala kebaikkan yang dicurahkan. Namun dia juga sedar yang dia memerlukan ehsan dan simpati dari orang sekeliling. Dia tidak mampu untuk menguruskan semuanya sendiri. Kadang-kala dia tenggelam di dalam emosi yang tidak stabil. Kalau bukan kerana mereka-mereka yang sudi memberi kasih, rasanya sudah lama dia menyerah.

"Akak tak tahu nak cakap macam mana dah selain daripada terima kasih banyak-banyak. Nanti tolong sampaikan sekali rasa terima kasih akak untuk family masing-masing, ya?"

"Oh, nanti akak boleh ucapkan sendiri dengan mak Lisa. Mak nak datang melawat akak. Sekaligus tolong hantar charger handphone Lisa yang tertinggal. Dah seminggu berebut charger dengan Yana. Akak pun tahu dia ni bukan main kedekut lagiii nak kasi pinjam."

"Eh, bertuah punya budak! Bila masanya pula aku kedekut? Akulah manusia paling pemurah dalam dunia ni. Dah seminggu pakai charger aku, boleh pula aku dikatanya kedekut. Mentang-mentanglah lepas ni dia ada charger sendiri."

Riuh rumah dengan suara Lisa dan Yana secara tidak langsung menjadi penawar buat Ammara. Terhibur juga dia dengan kedua-dua mereka. Tercetus gelaknya menyaksikan gelagat Lisa dan Yana. Tak habis-habis bercakar tapi boleh pula rapat antara satu sama lain.

"Assalammualaikum." satu suara sayup-sayup kedengaran memberi salam sebaik saja mereka selesai menghabiskan makanan tengah hari masing-masing. Lisa segera bangun. Hah, panjang umur maknya. Dia kenal benar tuan empunnya suara walaupun belum bertentang mata.

"Mak, meh masuk." Lisa segera mempelawa maknya masuk ke rumah. Ammara menapak perlahan ke ruang tamu untuk bertegur sapa. Lukanya masih belum sembuh. Langkah kakinya masih perlu diatur perlahan. Dia menghulurkan salam namun Puan Noraini pantas menariknya ke dalam pelukan. Ammara terkesima sejenak. Hangatnya pelukan Puan Noraini terasa penuh dengan kasih sayang seorang ibu yang sudah sekian lama tidak dia rasakan.

"Apa khabar, Ammara? Maaf baru sekarang dapat datang melawat. Sihat?" Ramah saja Puan Noraini menegur. Ammara mengangguk sambil tersenyum namun di dalam hati, hujan telah pun turun. Terharu dengan layanan Puan Noraini yang mesra. Awan pilu yang berarak segera diusirnya. Malu jika dia menangis di situ. Apa pula kata Puan Noraini nanti?

"Mak datang dengan siapa, mak?" Tanya Lisa. Tak mungkin maknya datang seorang diri. Bukannya dia tahu memandu pun. Lisa menjenguk semula ke luar rumah. Tak ada siapa pun di luar.

"Oh, mak datang dengan abang kamu tadi. Dia hantarkan mak, lepas tu dia kata nak beli sesuatu. Nanti adalah tu dia singgah balik."

Lisa mengangguk. Lupa pula yang abangnya ada balik sempena cuti sekolah. Nanti kalau dah masuk musim kembali ke sekolah, terbanglah semula abangnya ke tanah Sarawak. Sejak abangnya berkhidmat di Bumi Kenyalang, menabur bakti mendidik anak bangsa jarang benar mereka bersua. Hanya berhubung menggunakan telefon.

"Syukurlah baby Hud tak lama jaundice. Lisa ni dulu sampai dua bulan mak cik berulang-alik ke hospital gara-gara jaundice. Degil betul nak reda. Tu yang bila dah besar ni Lisa pun jadi degil juga."

"Eh, dah kenapa jaundice yang degil tapi mak kaitkan dengan Lisa pula? Mana ada Lisa degil." Riuh suara Lisa mempertahankan diri. Tak pasal-pasal dia pula yang dibualkan. Mak ni, memang tak cover langsung. Boleh pula kata dia degil di depan Ammara.

Setelah hampir setengah jam berbual, diselit dengan pelbagai nasihat dan petua, kedengaran satu suara lagi memberi salam. Kali ini suara milik seorang lelaki.

"Abang kot, mak." ujar Lisa lalu menjenguk ke pintu. Seorang lelaki tinggi, bertubuh sasa sedap mata memandang, dengan janggut seciput dua sedang berdiri di situ.

"Eh, abang ada janggut kambing!" tegur Lisa sebaik saja menatap wajah abangnya.

"Bertuah punya budak. Janggut kambing juga yang ditegurnya!" Laju saja tangannya hampir menerkam kepala Lisa. Terkekeh-kekeh Lisa mengelak masuk ke dalam rumah. Luth turut menapak. Serta-merta kesemua mereka yang duduk di ruang tamu berpaling ke arah Luth. Semua perhatian tiba-tiba beralih ke arahnya.

Dia menyerahkan plastik yang berisi bakul hadiah bayi yang terhias cantik kepada Lisa. Meminta agar adiknya itu memberikan kepada orang yang sepatutnya.

"Susah-susah saja. Terima kasih atas hadiah ni." Ujar Ammara sebaik saja menerima plastik itu. Luth membalas ucapan terima kasih dengan senyuman.

Oh, ini rupanya Ammara yang maknya sebut-sebutkan. Tidak dinafikan hatinya sedikit bergetar saat Ammara tersenyum memandangnya sewaktu menerima hadiah itu. Namun cepat-cepat dia mengusir segala getaran yang hadir. Alahai, dalam keadaan berpantang macam tu pun masih mampu menggetarkan jiwa. Sayang betul orang secantik itu hidupnya seorang diri. Sesekali Luth mencuri pandang pada Ammara. Sungguh hatinya tertaut pada Ammara. Seolah-olah ada sesuatu yang menariknya. Luth lebih banyak berdiam diri. Sesekali hanya tersenyum mendengar perbualan yang berlangsung. Tidak pula pandai menyampuk memandangkan topik yang dibualkan tiada kaitan dengan jantinanya sebagai seorang lelaki. Luth kemudiannya meminta izin untuk menunggu di luar. Risau sekiranya Ammara kurang selesa dengan adanya dia di situ kerana dia sendiri sedar bahawa dia tidak mampu mengawal matanya dari menatap wajah Ammara. Sebelum dia tertangkap mencuri pandang, ada baiknya dia mengundur diri.

Lisa yang perasan abangnya lebih banyak berdiam diri segera mengiringinya. Dah kenapa lain benar perangai abangnya hari ini.

"Abang kambing, kenapa behave sangat? Tak biasa pula mata Lisa ni tengok abang baik sangat macam tadi tu." tegur Lisa sebaik saja mereka berada di luar rumah.

"Ish, budak ni. Sekeh kang! Tak habis-habis mengambingkan orang. Ni bela janggut ni ada pahala tahu? Sunat. Cubalah kau bela janggut juga kalau boleh."

"Memang tak bolehlah Lisa nak berjanggut. Ada ke patut kita disuruhnya bela janggut." Lisa mencebik.

"Lisa, Ammara tu...memang tak ada sesiapa ke?"

Lisa menggelengkan kepalanya. "Setahu Lisa, mak ayahnya dah lama meninggal. Dia sebelum ni duduk dekat rumah anak yatim. Bila dah besar dia keluar cari kerja tapi terjumpa jodoh, then kahwin. Tapi sayang suaminya meninggal sewaktu dia hamil anak pertama mereka."

"Meninggal sebab apa? Accident? Sakit?"

"Entahlah, tak pernah juga Lisa terfikir nak tanya tentang tu. Risau kalau Kak Ammara sedih kalau Lisa petik tentang arwah suami dia. Mungkin meninggal sebab memang dah ajal kot. Kenapa abang tanya? Berminat mengisi kekosongan?"

"Ish, tanya pun tak boleh." Luth segera menepis. Gila kalau semudah itu dia mencuba untuk mengisi kekosongan. Itu gelojoh namanya. Dah lah Ammara tu baru lepas bersalin.

"Ha, mari Luth. Kita balik." Tiba-tiba suara maknya mencelah. Luth sekadar mengangguk. Dia menjenguk-jenguk di belakang maknya. Barangkali ada tuah untuk menatap wajah Ammara buat kali terakhir sebelum berangkat pulang namun ternyata hampa. Ammara tiada di situ. Barangkali sedang menjenguk bayinya. Dengan hati yang berat, Luth menekan pedal minyak meninggalkan perkarangan rumah Ammara. Dia cuba memujuk hati. Lain waktu boleh berjumpa lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience