Bab 20

Romance Series 103383

"Luth." satu suara menyeru namanya. Luth yang baru selesai berjogging segera menoleh. Ah, Muaz rupanya. Apa tujuan awal-awal pagi lagi dah muncul depan rumah orang ni?

"Aku nak tanya tentang hubungan kau dengan Ammara. Boleh kau jelaskan sejauh mana hubungan kamu berdua? Kalau boleh sebelum ada apa-apa, awal-awal lagi aku nak bagi cadangan agar kau tinggalkan saja Ammara."

Berkerut dahi Luth mendengar kata-kata Muaz. Tiada lagi panggilan abang dan bahasanya juga agak berbeza dari sebelum ini. Nadanya juga kurang mesra. Dah kenapa?

"Apa? Kenapa aku nak kena ikut cadangan kau?" Luth membalas mengikut rentak Muaz.

"Sebab dia milik aku."

Luth tertawa kecil. Sejak bila pula Ammara milik sesiapa? Namun tawanya terhenti saat teringat reaksi Ammara setiap kali terserempak dengan Muaz. Ah, mesti ada sesuatu yang berlaku di antara Muaz dan Ammara.

"Tak nak. Aku sukakan dia dan aku akan terus merapat dengan Ammara." ujar Luth bersama senyuman namun suaranya tegas melontarkan bait-bait perkataan yang meluncur keluar dari mulutnya.

"Kau tak ada hak nak buat macam tu."

"Habis tu apa hak kau nak halang aku?"

"Sebab aku ni bekas laki dia dan dia tu bekas bini aku. Aku dengan dia ada anak dan disebabkan tu aku yang jauh lebih berhak berbanding kau. Lagi pun terdesak sangat ke kau nak kan bekas aku? Dah tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni?" Dengan yakin Muaz menjelaskan kedudukannya sambil mempersoalkan cita rasa Luth yang berkenan dengan Ammara. Janda beranak satu!

Luth terkedu seketika. Bekas suami? Setahu dia bekas suami Ammara sudah lama pergi. Sejak Hud dalam perut lagi. Dah kenapa Muaz mengaku sebagai bekas suaminya pula? Tak kanlah!

"Kalau nak menipu sekali pun sikit-sikit dah laa... Tak payah nak menipu banyak sangat. Terlalu jelas!"

"Huh, siapa menipu? Aku? Hah, nampak gayanya kau tak tahu apa-apa tentang dia rupanya tapi ada hati nak mengaku sukakan dia. Lelaki jenis apa kau ni? Hah, jangan-jangan orang macam kau ni sekadar nak mengambil kesempatan ke atas Ammara, kan? Mentang-mentang dia hidup sendiri macam tu, kau sibuk pula nak muncul dalam hidup dia dan acah-acah kau lah manusia paling prihatin. Kalau itu niat kau, lebih baik kau lupakan sebab aku tak akan biarkan apa-apa terjadi kepada Ammara apatah lagi termasuk jerat dengan lelaki macam kau."

"Kau dah kenapa? Kau siapa nak judge aku? Oh kejap, aku agak mesti penghujung hubungan kau dan Ammara tak berakhir dengan baik. Betul tak? Kenapa agak-agaknya ya? Hmm, mungkin kau puncanya? Hah, mengaku tak?"

"Kau kurang ajar, eh? Aku ingatkan kau beradab. Tengok muka macam orang baik-baik tapi adab pun kurang."

"Aku kurang ajar? Eh, entah siapa yang datang tanpa diundang lepas tu mengata kita itu ini. Ada hati nak menunding jari dekat orang lain, tak sedar empat jari menunding diri sendiri."

"Kau ni memang...!" Kata-kata Muaz terhenti di situ. Mahu saja dia melampiaskan segala sumpah seranah yang berbisa namun segera dia menelannya semula. Tak pasal-pasal Luth mengatanya menunding diri sendiri pula nanti.

"Kau jangan nak berani-berani nak bersaing dengan aku. Aku datang hari ni sebab nak maklumkan yang Ammara bukan perempuan yang layak untuk kau dekati sebab dia milik aku."

"Ammara bukan milik sesiapa." balas Luth.

"Ammara milik aku dan selamanya akan jadi milik aku. Aku tak akan benarkan sesiapa pun cantas dia dari aku termasuklah kau." Muaz memberi amaran sebelum melangkah pergi dari situ.

Luth melepaskan satu keluhan. Apa pula yang berlaku sebentar tadi? Awal-awal pagi lagi dah berperang mulut. Tak pasal-pasal kena tembak. Ah, tak kisahlah! Luth rasa dia mampu menepis setiap tembakan yang dilepaskan. So, dia selamat! Tapi apakah benar yang dikatakan Muaz? Betulkah dia bekas suami Ammara? Dah kenapa sekarang baru nak sibuk dapatkan semula Ammara setelah dia terjatuh cinta pandang pertama pada ibu tunggal beranak satu itu? Kenapa bukan sebelum hatinya terpaut? Kalau dari awal Muaz dah muncul dan menyambung kasih yang terputus, tak mungkin dia membiarkan hatinya dipenuhi dengan nama Ammara. Ini tak! Dengan mudahnya dia membiarkan hatinya meluncur laju dan terjatuh, tak kan mudah untuknya mengutip hatinya kembali. Apatah lagi nama Ammara menghiasi setiap relung hati. Ya, memang dia sendiri yang membenarkan. Dia langsung tak mengelak nama itu terukir malah semakin hari semakin indah pula ukirannya. Agak-agaknya Ammara sudi ke tak ya menjalin kasih yang terputus dengan bekas suaminya itu? Kalau sudi, remuklah hatinya! Tapi siapa pula dia untuk memaksa Ammara menolak Muaz? Ah, malas dia berteka-teki. Segera dia mendail nombor telefon Ammara. Lebih baik bertanya sendiri.

Dihujung sana Ammara berdiam diri. Pelbagai persoalan muncul di benaknya. Apa tujuan Muaz mendekati Luth dan meminta agar lelaki itu menjauhi dirinya? Apa lagi permainan yang hendak Muaz mulakan?

"Ammara , saya boleh teka yang hubungan kamu berdua tak berakhir dengan baik. Betul tak? Awak anggap dia dah mati, kan?"

"Dia dulu yang anggap saya tak wujud."

"Tapi nampak gayanya sekarang ni awak dah wujud semula di mata dia."

"Dia cuma nak kan Hud."

"I don't think so, Ammara. Saya dapat rasakan yang dia nak kan awak semula."

"Saya tak nak. Saya benci dia. Dia musnahkan hidup saya sebelum ini, Luth! Sekian lama saya hidup sendiri, semuanya elok saja. Kenapa takdir temukan semula saya dengan binatang macam dia tu?"

"Sampai bila awak nak mengelak dari dia, Ammara? Tak kan selamanya awak mampu mengelak macam ni."

"Habis tu? Apa saya nak buat?"

"Cuba awak slow talk dengan dia. Try bincang cara baik. Mungkin dulu pengakhiran awak dengan Muaz tak berapa nak baik dan saya tak boleh nak komen apa tentang tu sebab saya pun tak tahu cerita sebenarnya macam mana. Pendek kata saya pun tak ada hak nak campur tangan dalam urusan awak dan Muaz tapi nampak gayanya Muaz dah salah faham tentang kita. Dia mungkin anggap saya sebagai saingan."

"Dah kenapa?"

"Dia siap warning saya untuk tinggalkan awak siap-siap sebab awak milik dia."

"Kalau macam tu jadikan saya milik awak!"

Terkedu Luth mendengar permintaan Ammara. Biar betul perempuan ni?

"Ammara, awak sedar tak apa awak cakap ni?"

"Ya, saya sedar. Muaz mungkin berani ganggu saya sekarang sebab saya seorang diri. I need someone untuk berdiri di depan dan jadi perisai. Barulah Muaz berhenti mengganggu."

"Ammara...saya..tak pasti dengan cadangan awak..." Luth menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sungguh, memang dia memasang angan untuk memiliki Ammara namun adakah ini jalan yang betul? Kalau betul, kenapa dia pula yang berasa ragu?

"Luth, saya tahu awak sukakan saya. Dari gaya awak, layanan awak... Saya dapat rasakan sesuatu. Betul tak? Awak memang suka saya, kan? Kalau apa yang saya rasa ni salah, tell me now! Tell me that I'm wrong."

Luth terpaku di sebelah sana. Tergagap-gagap dia memberikan jawapan. Lidah yang lembut mengeras dan membeku.

"Kalau awak betul nak kan saya, jom kahwin. Kalau tak, saya menyerah pada Muaz. Sejujurnya saya pun dah penat lari dari Muaz. Mungkin dah tiba masanya saya mengalah dan tunduk pada Muaz. Meneruskan permainan sepertimana yang Muaz inginkan."

"Ammara, mungkin ada cara lebih baik untuk awak berdua."

"Jadikan saya milik awak atau saya akan jadi milik Muaz." ujar Ammara lalu menamatkan panggilan telefon yang menghubungi mereka sebentar tadi. Ah, sudah! Luth resah sendiri. Tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience