Bab 43

Romance Series 103383

"Keluar aku kata!" Muaz menjerit nyaring sambil mengetuk pintu bilik tempat Yasmin berlari menyembunyikan diri.

Yasmin mengunci pintu sambil bersandar padanya. Kasihan Ayeesha menangis ketakutan apabila terlibat secara tidak langsung dalam peperangan kedua orang tuanya. Dia merangkak ke arah Yasmin meminta untuk dipeluk. Segera Yasmin mencapai Ayeesha dan memeluknya erat dengan harapan si kecil itu mampu bertenang.

"Kau memang sial! Menyesal aku beristerikan kau!" marah Muaz lagi.

"Eh aku pun seribu kali sesal bersuamikan binatang macam kau!"

"Kau menjawab eh? Kalau berani buka pintu ni!"

Yasmin mendiamkan diri. Sesekali dia mengusap kepala anaknya yang masih lagi menangis namun tidak lagi melalak seperti tadi.

"Jangan nangis sayang. Mama janji kita akan pergi tinggalkan lelaki tu. Kita tak akan duduk dengan orang gila macam tu lagi dah lepas ni. Ayeesha sayang jangan takut."

Muaz masih lagi menjerit bagaikan terkeluar anak tekaknya. Yasmin berundur sedikit dari pintu setelah yakin Muaz tidak akan dapat menceroboh masuk melainkan kalau dia terfikir untuk merobohkan pintu tersebut. Kalau rasa kuat sangat cubalah pecahkan. Langgar kuat-kuat. Jangan dengan perempuan saja berani nak tunjuk lagak. Kunci pendua semuanya dipegang Yasmin. Apa sajalah yang Muaz tahu tentang benda dalam rumah ni. Stoking sendiri pun harus isteri yang tolong carikan.

Puas hati Yasmin setelah berjaya memastikan semua data termasuklah videonya yang dirakam tanpa rela berjaya dipadam. Tak pasal-pasal semua hilang setelah diformat semula. Padan muka! Sempat juga Yasmin memindahkan bukti-bukti kejahatan Muaz terhadapnya sebagai cagaran. Siapa tahu kalau-kalau semua tu boleh digunakan untuk menyelamatkan dirinya kelak. Semuanya terdedah apabila Muaz keluar dari bilik mandi dan ternampak Yasmin sedang memegang telefon miliknya. Hati Muaz dapat merasakan bahawa Yasmin mesti dah berbuat sesuatu. Riak wajahnya yang cuak jelas menunjukkan bahawa kelakuannya sudah pun tertangkap.

"Kau duduklah dekat dalam sana tu lama-lama. Sampai kau mampus pun tak apa! Tapi kau kena ingat yang aku tak akan berganjak dari depan bilik ni. Aku akan tunggu kau keluar, sundal!"

Yasmin mengabaikan kata-kata Muaz. Dia mencapai telefonnya dan segera menghubungi talian kecemasan.

"Tolong saya! Suami saya nak bunuh saya. Tolong datang segera!" Ujar Yasmin sebaik saja panggilannya disambung. Nada suaranya berbunyi cemas padahal dia sudah merancang semuanya. Selesai memberikan semua maklumat yang diperlukan, Yasmin menarik nafas lega. Panggilan masih lagi bersambung. Lima minit. Hanya lima minit masa yang diperlukan untuk pihak polis tiba ke sana. Maka dengan itu Yasmin tahu hari ini akan jadi hari yang terakhir. Dia akan tinggalkan semua penderitaan ini. Dia akan kehilangan suaminya. Tiada lagi istilah keluarga sempurna. Dia tahu apa yang akan dia hadap. Yasmin meletakkan Ayeesha ke dalam katil bayi.

"Good girl ya, sayang. Hari ni saja kita akan sakit. Lepas ni kita bahagia."

Dua minit berlalu pantas. Yasmin menarik nafas panjang sebelum dengan sengajanya membuka kunci pintu yang menjadi penghalang. Segera Muaz menerkam ke arahnya bagaikan harimau lapar. Muaz melempar Yasmin ke arah anak tangga menyebabkan Yasmin tergolek jatuh. Sakit? Ah, bertahan sekejap! Dia perlu menjauhkan Muaz dari Ayeesha.

"Aku diam selama ni bukan tiket untuk kau sengaja nak naikkan angin aku. Aku tak tunjuk belang bukan bermakna aku bodoh. Kau boleh tengking aku, hina aku tapi tu semua dulu. Aku dah muak bertahan dengan betina macam kau." ujar Muaz sambil memegang rambut Yasmin seraya mendongakan wajah Yasmin ke arahnya.

"Kau ingat aku tak muak ke nak teruskan hidup dengan kau? Huh, no wonder janda kau boleh reda waktu kau beria nak lepaskan dia dulu. Mesti dia pun sebenarnya muak dengan kau. Perangai serupa beruk!"

"Kurang ajar!" Muaz mencapai leher Yasmin spontan. Kalau diikutkan mahu saja dia menguatkan genggamannya. Biar perempuan tak tahu untung tu tercekik.

"Sakitlah bodoh!" Yasmin cuba melepaskan diri.

"Oh, tahu sakit? Eh, aku pun sakit! Sakit hati dengan perangai kau! Kau ni kan memang tak layak hidup kau tahu tak? Aku pun tak faham apa fungsi kau dalam dunia ni. Tak ada sumbangan dari segi apa pun."

"Kau pun apa kurangnya. Setakat menyumbang benih tapi tak berfungsi jadi bapak budak tak payahlah kau nak bangga sangat. Jadi laki pun kau gagal. Kau rasa dalam dunia ni kau seorang yang betul. Orang lain semua salah. Itu ke yang kau nak banggakan? Pencapaian terbesar kau ke tu? Sumbang benih?"

Muaz yang mendengar setiap patah yang meluncur dari bibir Yasmin semakin mendidih. Dia melemparkan tubuh Yasmin. Tanpa dapat Yasmin mengawal diri kepalanya terhantuk pada bucu meja. Pedih. Terasa sesuatu yang hangat mengalir perlahan.

Muaz segera mendapatkan Yasmin namun bukan untuk melihat keadaan Yasmin sebaliknya dia menindih tubuh itu lalu menghayun tinggi tanggannya ke udara sebelum singgah di pipi Yasmin. Pap!

Sekali lagi dia cuba untuk mengulangi tindakannya namun tangannya terhalang. Serta-merta Muaz menoleh. Alangkah terkejutnya dia apabila seorang lelaki tegap lengkap dengan pakaian seragam polis sedang cuba menghalang tindakannya. Dah kenapa boleh ada polis datang ke rumahnya tiba-tiba?

"Busted..." perlahan suara Yasmin beserta senyuman sinis. Meskipun menahan sakit namun dia puas kerana perbuatan Muaz tertangkap. Perlu ke bercakap tentang bukti semata kalau saksi pun dia boleh bagi? Mengetahui bahawa semuanya sudah dirancang, Muaz menjerit bagaikan orang hilang akal.

"Encik, bawa bertenang! Kalau encik tak boleh bagi kerjasama macam ni kami terpaksa iringi encik dengan tangan yang bergari."

"Aku tak salah! Ni semua perempuan ni yang rancang. Dia sengaja sakitkan jiwa aku."

"Apa-apa nanti kita borak dekat balai ya."

Muaz diiring keluar dalam keadaan terpaksa. Meskipun kakinya melangkah keluar namun berkali-kali dia masih menoleh ke arah Yasmin. Celaka betul!

Yasmin melepaskan nafas lega. Akhirnya padan muka kau Muaz.

"Puan, puan cedera ni. Jangan banyak bergerak ya? Bantuan perubatan dalam perjalanan." ujar seorang lagi pegawai yang memeriksa keadaan Yasmin.

"Anak saya..." ujar Yasmin perlahan lalu menunjuk ke arah satu bilik di tingkat atas. Serta-merta pegawai tersebut berlari ke arah tingkat atas dan mendapatkan Ayeesha. Kini, barulah boleh dia dan Ayeesha tidur lena tanpa adanya Muaz. Nak sangat buang dia kan? Nah, sekarang jadilah orang terbuang di penjara sana!

Share this novel

sm01
2024-11-22 20:58:09 

tak sabar nak baca next chapter. tak sabar nak tengok kifarah buat si Muaz tu!!

norsila
2024-11-16 17:23:46 

padan muko..puas hati....hehehe

Amirulafiya
2024-11-15 15:44:59 

cerita yg menarik


NovelPlus Premium

The best ads free experience