Luth mengangkat tangannya menegur seseorang. Secara automatik Ammara turut menoleh ke arah yang sama. Kelihatan seorang wanita bertudung biru muda, berkulit putih dengan raut wajah lembut sedang tersenyum. Kemudian langkah kakinya pula diatur kemas melangkah ke arah mereka.
"Bungkus ke?" Tegur Luth sebaik saja wanita itu mendekat.
"Biasa." balas wanita itu sambil tersenyum manis. Wanita itu memandang Ammara seketika sebelum beralih pandang pada Luth semula.
"Oh, Hawa inilah wife Luth. Ammara," Luth memperkenalkan Ammara kepada Hawa. Siapa sangka baru beberapa jam tiba di bumi Sarawak, dia sudah pun berjumpa dengan Hawa.
Hawa sedikit terkejut. Tak pula Luth inform awal-awal yang isterinya datang menjenguk. Terasa hati sedikit membengkak saat ini lebih-lebih lagi apabila Luth memperkenalkan wanita yang sedang duduk itu sebagai isterinya. Namun dengan kadar segera juga dia cuba untuk menghilangkan bengkak itu. Siapa dia untuk rasa cemburu? Dia bukannya siapa-siapa.
"Assalammualaikum, salam kenalan." Hawa menghulurkan tangannya untuk bersalam. Dia cuba untuk bersifat semesra yang mungkin walaupun hatinya kini sedang menahan rasa sakit. Sukar betul untuknya menyingkirkan perasaan yang ada untuk Luth. Dia sedar dia tak ada hak untuk cemburu namun kenapa rasa itu tetap hadir? Dia tak perlukannya! Janganlah nak menyibuk muncul.
Beberapa hari ini sangkanya dia berjaya menyingkirkan perasaannya terhadap Luth sedikit demi sedikit. Dia menyangka dia mampu mengawalnya dengan baik. Namun kenapa hari ini perasaan itu muncul kembali bersama cemburu? Buat penat saja dia cuba mengingatkan diri bahawa Luth itu suaminya seseorang.
Ammara menyambut salam yang dihulurkan. Dia hanya tersenyum. Apa yang sedang berlaku? Berkenalan dengan bakal madu ke? Luth mempelawa Hawa untuk duduk makan bersama mereka. Segera Hawa menolak. Tidak mahu mengganggu kononnya padahal perasaannya sendiri sudah semakin rapuh.
Ammara lebih memilih untuk berdiam diri dan berpura-pura sibuk melayan Hud saat suaminya masih begitu asyik berbual dengan Hawa.
"Duduklah sekali, Hawa. Bolehlah kenal-kenal dengan Ammara. Kot laa esok lusa boleh jadi kawan."
"Not today, Luth. Maybe next time."
"Alah, Hawa tak pesan makan pun lagi, kan? Kami pun baru sampai ni haa."
Seketika kemudian seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan.
"Nasi kambing bakar dua, three layer tea dua dan... Ammara, awak nak apa?"
Ammara tergamam seketika. Luth baru nak tanya apa yang dia nak pesan? Habis tadi tu Luth pesan untuk siapa? Elok pula jumlah nasi kambing bakar dengan air tu dua, ya? Kalau bukan untuk dia, habis tu untuk siapa?
"Ish, jangan buat hal. Nasi kambing bakar tu dengan air tu bungkus ya, dik." Hawa segera menyampuk. Main paksa-paksa pula Luth ni.
"Baik. Kakak pula nak makan apa?" Soal pelayan itu kepada Ammara.
"Sama, dik. Sedap sangat kot rasa nasi kambing bakar tu sebab husband akak pun order sampai dua terus." ujar Ammara sambil menjeling Luth.
"Memang sedap. Rugi kalau tak try." balas Luth tanpa perasan adanya perubahan pada riak wajah Ammara.
Hawa yang perasan jelingan Ammara mula rasa tidak selesa. Dia tahu kehadirannya di situ tidak diperlukan. Segera dia cuba untuk meminta diri. Tidak mahu terus berlama-lama. Mungkin saja Ammara tidak suka dia terus mengganggu privasi mereka suami isteri. Tambahan pula dia mula berasa canggung. Seolah-olah adanya aura negatif yang sedang berleluasa.
"Jumpa esok." ujar Luth saat Hawa melangkah pergi. Ammara memandang raut wajah Luth yang dihiasi dengan senyuman. Amboi, lebarnya senyuman.
"Siapa dia tu?" Soal Ammara sebaik saja kelibat Hawa semakin menjauh.
"Oh, rakan sekerja." Luth membalas dengan senyuman. Sebenarnya hati Luth sedang bersorak gembira. Ini kali pertama dia mendengar Ammara menyebut atau menggelarnya sebagai suami. Sebentar tadi saat Ammara memesan makanan, Ammara menyebutnya sebagai suami dan itu saja sudah cukup untuk membuatkan dia bahagia. Tak boleh berhenti pula dia tersenyum.
Namun Ammara salah faham. Sangkanya Luth tersenyum kerana kehadiran Hawa sebentar tadi. Rakan sekerja ya? Siapa sangka rakan sekerja mampu membuatkan suaminya itu tersenyum hingga ke telinga. Tak guna. Apa mungkin sejarah bakal berulang? Apa gunanya dia memilih Luth untuk dijadikan suami sekiranya Luth bakal mengulang kesakitan yang sama seperti yang pernah Muaz lakukan?
Sepanjang makan Ammara lebih banyak berdiam. Tiada mood untuk berbual panjang. Moodnya sudah pun terbang saat Hawa muncul. Luth pula tak habis-habis bercerita itu ini. Sebaik saja selesai makan malam, Ammara meminta untuk segera pulang ke rumah.
"Tak nak jalan-jalan dulu ke?"
"Esok lusa pun boleh jalan-jalan, kan?" balas Ammara malas tanpa memandang wajah Luth.
"Awak kenapa? Saya ada buat salah ke?"
Ammara tersenyum sinis. Pura-pura tak bersalah pula ya?
"Awak selalu ke keluar makan dengan Hawa? Biasanya memang awak ke yang pesan makanan untuk dia?"
"Eh, apa kaitan dengan Hawa pula ni? Tapi yalah memang pun saya selalu keluar makan sekali dengan dia. Lagi-lagi dekat kedai makan tadi tu sebab dekat kedai tu saja yang ada menu special. Kambing bakar tu, fuhh! Sedap tak? Apa komen awak?"
"Berhenti cakap tentang kambing bakar tu boleh tak?"
Luth diam. Tadi nampak macam dia yang ada buat salah. Sekarang salah kambing pula ke?
"Sejauh mana hubungan awak dengan Hawa?"
"Sekadar rakan sekerja. Tak lebih dari tu." Luth menjawab serius. Sesi soal jawab tengah berlangsung. Mana boleh dibuat main.
"Kenapa?" Luth cuba menyoal kembali namun Ammara tidak merespon. Dia hanya membuang pandang di luar tingkap. Akhirnya perjalanan pulang ke rumah ditemani sepi semata-mata. Kedua-duanya senyap tanpa berkata apa. Sebaik saja tiba di rumah, Hawa terus membawa masuk Hud ke dalam bilik. Meninggalkan Luth sendirian.
Luth melepaskan keluhan berat. Apa yang tidak kena? Kalau terus menerus begini sampai ke sudah pun mereka berdua tidak akan dapat serasi bersama.
Ammara pun satu. Kalau ada benda yang dia tak puas hati beritahulah siap-siap. Jangan tiba-tiba ajak gaduh. Luth melangkah perlahan menuju ke biliknya. Saat dia lalu di depan bilik Ammara, pintu bilik sudah pun tertutup rapat. Luth menghempas tubuhnya ke atas tilam. Mencuba mencari kesalahan yang telah dia lakukan.
Ammara bertanyakan hubungannya dengan Hawa dan Ammara mula banyak berdiam saat Hawa menghampiri mereka sewaktu di kedai makan. Hmm, Ammara cemburu ke? Luth cuba menyimpulkan apa yang berlaku. Eh, cemburu? Betul ke cemburu? Luth tersenyum sendiri.
Kenapa Ammara nak cemburu kalau tak sayang? Kalau benar Ammara marah atas sebab cemburu, itu maknanya Ammara sayangkan dia, betul tak?
Luth bersoal-jawab sendiri. Dibuai perasaan dengan kemungkinan hadirnya cemburu dari Ammara. Seandainya apa yang dia simpulkan itu benar, ini bermakna dia punya peluang untuk merasa cinta Ammara. Ah, Luth tertidur dalam senyuman. Dia pasti Ammara punya rasa terhadap dirinya. Ammara mungkin masih segan untuk mengungkapkannya. Tapi tak kisahlah, hari esok masih ada. Semoga esok semakin membaik.
Share this novel
Update lg dear..
bila la nk update
hi sis, bila nk update new chapter? ????