"Dia marah ke?"
"Marah melenting tu tak adalah, tapi dia tanya juga kenapa Lisa tak minta izin dia dulu sebelum bagi abang nombor telefon dia."
"Lisa dah cakap yang abang curi sendiri?"
"Dah cakap dah macam tu. Hmm, abang pun satu hal. Dah kenapa curi-curi nombor Kak Ammara? Berkenan eh?"
"A'ah, berkenan."
"Weh, serius ke ni?" Lisa terjerit kecil. Haih, jujur betul abangnya kali ini.
"Seriuslah! Kenapa? Dia ada yang menunggu ke?" Luth sengaja mengabaikan jeritan penuh keterujaan dari adiknya. Dia tengah serius. Risau betul kalau Ammara marah sebab dah curi nombor telefonnya tanpa izin. Hmm, tapi dah namanya pun mencuri, kan? Tak kan nak minta izin dulu.
"Yang menunggu tu macam tak ada tapi... Lisa rasa abang pun payah nak dapatkan Kak Ammara tu."
"Payah macam mana tu?"
"Dia macam tak ready langsung nak terima sesiapa. Mungkin kalau abang try pun dia tak terima. Lisa tengok dia macam malas nak fikir. Hari tu Lisa adalah juga mengusik Kak Ammara tu. Suruh dia bukakan hati dan cari pengganti arwah suami dia tapi reaksi yang Lisa dapat dingin sangat. Macam tak berminat langsung."
"Part tu nantilah abang pandai-pandai adjust macam mana. Apa yang penting sekarang abang dah tahu yang Ammara tak ada calon lain or sesiapa yang tengah menunggu."
"Dah kenapa abang boleh terkenan dengan Kak Ammara, eh? Padahal baru jumpa. Borak panjang-panjang pun tak pernah. Tahu-tahu tersuka pula."
"Ish, tak payah sibuk urusan orang tua. Dah, bye. Pergi belajar sana. Menyibuk sangat dia ni! Assalammualaikum." Sepantas kilat Luth mematikan panggilan telefon adiknya. Dia dapat membayangkan Lisa tengah menyumpahnya ketika ini gara-gara mematikan panggilan telefon tanpa sebarang amaran.
Luth berkira-kira mahu menelefon Ammara pula. Memohon maaf atas ketelanjurannya. Sambil-sambil tu bolehlah dia mendengar suara Ammara. Alah, sambil menyelam minum air. Pantas tangannya mendail nombor telefon Ammara. Beberapa ketika panggilannya tidak bersahut. Hampir saja dia berputus asa dan menamatkan cubaan itu namun di saat akhir kedengaran suara Ammara berkumandang.
"Assalammualaikum. Ya, ada apa?"
"Waalaikumsalam. Err... Ammara buat apa? Busy ke tu?"
"Tak busy pun. Kenapa ya call?"
"Hmm, I just want to say sorry."
"Sorry untuk apa?"
"Sorry sebab dah curi nombor telefon Ammara hari tu. Tak minta izin, tak tanya tuan badan."
"Oh, okay. Dah terlanjur dah pun, kan? So, tak boleh nak cakap apa dah. Nak suruh delete balik pun macam tak ada makna pula. Luth simpan sajalah tapi jangan nak bagi dekat orang lain pula. Tak suka."
Tegas nada Ammara. Baik Ammara, tak kanlah Luth nak bagi nombor telefon dia dekat orang lain pula. Dah tentulah dia akan simpan untuk dirinya sendiri. Luth berbisik sendiri di dalam hati.
"Alang-alang dah call ni, nak tanya juga khabar Ammara dengan Hud. Sihat dua-dua?"
"Alhamdulillah, sihat-sihat saja."
"Oh, baguslah. Luth pun sihat-sihat dekat sini." Hmm, tiba-tiba sangat beritahu khabar diri sendiri sedangkan tak siapa pun yang bertanya.
"Ammara dah start aktif business balik ke?"
"Dah, mana boleh cuti lama sangat. Tiga bulan lebih ni pun dah cukup-cukup lama dah. Saving pun dah makin menipis. Tak boleh nak malas-malas dah."
"Haa, buat kerja tu elok-elok. Kalau rasa tak larat, rehat-rehat dulu. Jangan paksa sangat diri tu."
"Tak apa, Hud ada untuk bekalkan kekuatan tu."
"Hud pun perlukan awak, Ammara. Dan atas sebab tu awak kena jaga diri elok-elok. Saya tak ada dekat sana untuk tolong jagakan awak, Ammara."
Ish, random sangat lelaki ni! Tiba-tiba pergi ke situ pula dah?!
"Apa kaitan dengan awak pula, Luth?" sengaja Ammara menyoalnya semula. Dia perlu huraikan kekeliruan yang tercipta. Betul ke Luth ada hati dengannya seperti yang disimpulkan oleh Lisa?
"Maksud saya...kita kan kawan, kan? Kita kawan, betul tak? Kalau kita tak kawan pun tak apa sebab saya dengan Hud tu best buddy. Haa, kiranya tanggungjawab saya juga untuk memastikan kawan baik saya terjaga elok dekat sana. Dan atas sebab tu awak pun perlu elok-elok dan baik-baik saja dekat sana untuk memastikan kesejahteraan bestfriend saya terjamin."
"Tak habis-habis declare dia dengan Hud kita kawan baik. Saya tanya Hud dia tak mengaku pun yang awak ni bestfriend dia."
"Eh, mana boleh macam tu. Hud bergurau tu."
Ammara tersenyum sedikit mendengar tutur kata Luth. Dalam diam hatinya berbisik apakah benar Luth mendekat hanya kerana anaknya? Jika benar, tidaklah dia sanggup untuk mengenepi dan menjauhkan diri dari Luth. Untung nasibnya ada lelaki yang sudi menyayangi Hud walaupun lelaki itu bukan ayah kandung Hud sendiri. Sekurang-kurangnya dapatlah Hud merasa kasih sayang dari seorang lelaki. Namun, jika Hud hanyalah alasan untuk Luth mendekati dirinya maka awal-awal lagi dia akan mengundurkan diri. Tiada langsung niatnya untuk membuka pintu hati. Risau jika Luth berharap pada sesuatu yang sudah pasti tidak akan mampu untuk diserahkan. Hati dan perasaannya beku dan kaku. Tiada niat untuk Ammara mencairkannya semula. Bukan pada waktu terdekat. Di lain masa? Ah, dia sendiri pun tidak pasti. Apa yang dia tahu Luth hanya akan membuang masa jika menunggu dia. Harapnya janganlah Luth benar-benar menyimpan perasaan terhadapnya.
"Ammara, kalau lain kali saya nak call lagi boleh ke?"
"Lain kali? Bila tu?"
"Bila-bila saya rasa bosan. Boleh tak? Kadang-kadang bosan juga tak ada teman borak."
"Eh, tak kan dekat sana tak ada teman borak? Kawan-kawan ke?"
"Alah, yang tu lain. Hari-hari jumpa, hari-hari berborak. Tak kanlah bila balik rumah pun, saya still nak contact kawan-kawan juga sebab nak ajak borak? Tak sesuailah. Lagi pun majoriti dah ada komitmen masing-masing. Ada anak bini, ada tunang, ada buah hati. Saya team single ni terbiar sikit."
"So, pergilah cari buah hati juga. Cukup masa boleh lamar buat bini. Jangan memilih sangat."
"Eh, saya tak memilih Ammara. Sekarang ni pun kalau awak kata awak setuju untuk saya buat jadi bini, boleh saja saya call family minta mereka uruskan apa yang patut." ujar Luth selamba.
Ammara terkedu. Eh, ke situ pula? Dia juga yang terkait sekali? Apa betul ke tidak Luth ni? Ah, tak kisah. Sebelum Luth semakin merepek lebih baik dia berterus-terang.
"Saya ni tak payah awak idamkan sangat jadi bini dah, Luth. Saya bukan anak dara dah. Awak layak dapat yang lebih baik. Tinggal nak cari dan petik saja. Mustahil orang macam awak tak ada yang berkenan. Jangan buang masa untuk orang macam saya. Bukan senang nak ada hubungan dengan ibu tunggal macam saya ni. Lebih-lebih lagi ibu tunggal ada anak."
"Tapi dulu tu kita dah macam happy family dah pun."
"Dulu bila pula?"
"Alah, masa dekat hospita tul. Yang kita pergi sekali first month Hud check up tu, haa. Kalau orang tak tahu, mesti orang ingat Hud tu memang anak saya. Nama saya dengan dia pun matching-matching gitu."
Sebaik saja Luth menyebut tentang perkara itu, lantas Ammara terimbau semula. Pertemuan kali pertama dia dan Muaz setelah sekian lama. Diikuti dengan pertemuan mereka yang terbaru ini. Jika benar apa yang Luth katakan tentang kesempurnaan mereka saat bersama layaknya seperti sebuah keluarga, maka itulah yang dia perlukan! Mungkin Muaz akan berhenti mengganggu sekiranya ada lelaki yang menjadi perisai untuk dia dan Hud. Mungkin juga Luth adalah lelaki yang sesuai. Ammara merasakan ini kesempatan yang sesuai. Tapi tak salahkah jika dia mengambil kesempatan ini? Eh, tak mungkin salah! Dia memerlukannya!
Rengekkan Hud mematikan segala apa yang sedang difikirkan.
"Eh, Hud nangis. Nanti-nanti kita borak lagi, ya?" Sebaik saja memberi salam, Ammara mengakhiri perbualan mereka.
Di sebelah sana, Luth tersenyum senang. Ammara kata lain kali borak lagi, maknanya akan ada peluang di lain masa. Itu apa yang Luth harapkan. Ah, malam ini Luth pasti tidur dengan ditemani mimpi indah.
Share this novel