Bab 15

Romance Series 103383

"Tak boleh ke kalau you fokus pada I? Pada anak kita? Kenapa you terkejar-kejar sangat anak you dengan Ammara tu?" Yasmin melenting. Sakit pula hatinya apabila Muaz asyik memikirkan tentang bekas isterinya.

"I terkejar-kejar sebab tu anak I. You tak faham ke?"

"Anak? Eh, dulu you cuma penderma benih. Tak lebih dari tu. Tak pernah sekali pun you jadi bapak budak tu. Baru sekarang you nak terhegeh-hegeh? You ingat Ammara nak layan ke perangai tak semengah you ni?"

"Yang you nak sakit hati sangat sekarang ni dah kenapa?"

"You tanya I kenapa I sakit hati? Hei, I ni bini you yang sah. Tak salah rasanya kalau I ada rasa sakit hati tu. Tambahan lagi bila you beria sangat macam ni, I jadi curious. You memang betul-betul nak kan anak you atau...you nak balik bekas isteri you tu?"

"Hah, macam ni lah perempuan! Kalau tak melencong ke kiri, mesti melencong ke kanan kalau dah bercakap. Pandai sangat nak putar belit semua benda. Dah macam kita pula yang salah padahal dia yang pandai-pandai buat kesimpulan sendiri. Ada ke I cakap I nak Ammara semula? Rasanya tak pernah sekali pun I cakap macam tu."

Yasmin menjeling Muaz dengan jelingan yang tajam. Naik menyampah pula dia memandang Muaz. Ah, dia bukannya tak ada anak lain selain anaknya dengan Ammara. Ayeesha kan ada! Dah kenapa anak yang satu tu juga yang disibuk-sibukkan sangat? Apa yang istimewanya anak Ammara tu? Bila dia mempersoalkan tentang perkara tersebut, alasan Muaz cuma satu. Tak lain tak bukan kerana itu juga anak kandungnya. Darah daging kononnya.

"Selama ni you boleh abaikan mereka dua beranak. Kenapa sekarang tak boleh pula? You tak rasa you kejam ke? You memang dari awal dah tahu yang Ammara pregnant anak you tapi tak pernah sekali pun you endahkan dia. Alasan you sebab nak bina hidup dengan I. Kononnya I dan Ayeesha lah keluarga bagi you. Tapi kenapa sekarang lain? You tak rasa bersalah ke kacau hidup Ammara selepas you tinggalkan dia dulu?"

"Lebih baik you tutup mulut tu kalau dah tak ada benda yang lebih berfaedah untuk dicakap." Giliran Muaz pula mendidih.

"Kenapa? Salah ke apa yang I cakap?"

"You bercakap macam tak pernah bercermin! Apa semua yang berlaku sebelum ni memang salah I seorang ke? You tak ada kaitan langsung ke? You suci sangat?"

"Memang salah you! Dah tahu ada bini, sibuk nak goda I. Sibuk nak kacau I."

"Hah, yang you dah tahu I ni laki orang dah kenapa you nak layan? Kena kacau kena goda terus you jadi murah. Waktu tu you tak salah? Suci sangat ke?"

"You yang beria! Tambahan lagi you tipu I. Kononnya dia mandul! Hah, sekarang ni boleh pula dia lahirkan zuriat you! Mandul apa macam tu kalau boleh beranak?"

"You juga yang tak menolak! You sendiri yang serah diri. Bukan I paksa pun."

"Tak paksa tapi you menagih simpati dah macam pengemis. Mengadu itu ini tentang dia. Sekarang baru I nampak you yang sebenarnya jahat! You pentingkan diri. Nak anak, you jerat I. Kononnya you sayangkan I dan ikhlas nak kan I. Sekarang bila dah dapat, tak pula you hargai."

"Eh, jangan nak mengata orang jahat kalau you pun sama. I pentingkan diri? Habis tu? You tak ke? Bukan ke you pun sama selfish? Gara-gara nak I bertanggungjawab, you tak kisah pun I bercerai-berai."

"You bercerai- berai gara-gara perangai busuk you sendiri! You yang buang dalam gara-gara nak anak. Bila sangkut, memanglah I nak you bertanggungjawab sebab you sendiri yang dah janji dengan I. Kononnya kalau I mengandung, you janji tak akan tinggalkan I. Tak pernah pun I minta you tinggalkan Ammara. Tapi you sendiri yang buat keputusan untuk ceraikan dia."

"Kalau you tak memaksa, tak adanya I berjanji itu ini dengan you."

"Amboi, dah sedap terus nak blah? Banyak cantik! Jantan macam you ni memang tak guna!" Tanpa amaran, laju saja tangan Yasmin singgah di pipi Muaz. Sakit hatinya dihina sebegitu rupa. Ya, dia salah kerana terpedaya dengan cinta Muaz. Dia salah kerana terlalu jauh jatuh cinta pada lelaki itu. Salah dia kerana sayangnya pada lelaki itu melebihi segala-galanya. Baru kini matanya terbuka luas. Muaz tidak sayangkan dia sepenuh hati sebagaimana dia menyayangi lelaki itu. Mungkin juga Muaz bersamanya hanya atas rasa tanggungjawab kerana telah membuntingkan dia di luar ikatan perkahwinan dan mungkin juga kerana itulah Muaz cepat benar berubah sikap.

Muaz yang menahan perit akibat menerima tamparan padu isterinya menjerit nyaring. Tangannya digenggam menahan geram. Nafasnya turun naik dengan laju. Mahu saja dia membalas tamparan itu dengan tumbukan padu namun tangisan Ayeesha mengembalikan kewarasannya. Barangkali suara mereka berdua yang nyaring berkelahi antara satu sama lain membuatkan Ayeesha terbangun dari lena siangnya. Segera dia berlalu pergi. Membiarkan Yasmin menguruskan Ayeesha sendiri. Hatinya remuk. Jiwanya terseksa. Terasa maruah diri sebagai seorang suami dipijak semahu-mahunya.

Kalau dulu, tak pernah sekali pun Ammara meninggikan suaranya. Tak kira berkelahi bagaimanapun mereka berdua. Paling tidak pun masing-masing hanya berdiam diri. Merajuk kononnya. Tak pernah pula berlama-lama. Tapi Yasmin?

Ah, perit rasa pipinya. Boleh tahan padu tamparan perempuan itu. Muaz sedar dia telah tersilap. Seharusnya dia mempertahankan Ammara dan rumah tangga mereka. Memungkiri janjinya untuk bersama Yasmin dan bertanggungjawab atas kandungan Yasmin pada suatu ketika dahulu merupakan satu pilihan tepat yang telah dia abaikan.

Entah apa yang merasukinya sehinggakan dia sanggup mengecewakan Ammara sedangkan Ammara isterinya yang sah pada ketika itu. Kenapa dia memilih untuk mencipta impian baru bersama Yasmin dan bukannya Ammara padahal anak yang dikandung Ammara pada saat itu adalah anak yang telah ditunggu selama tiga tahun. Kegilaan apa yang menyebabkan dia begitu nekad?

Baru kini dia mempersoalkan semua tindakan yang telah dia ambil. Tindakan yang telah merugikan dan menghancurkan segala impian. Rumah tangganya dengan Yasmin tidak lagi bersinar dengan bahagia. Semenjak Yasmin mengetahui niatnya untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya dengan Ammara, sejak itulah rumah tangganya tidak pernah damai. Ada saja yang dijadikan isu. Ada saja yang diungkit.

Muaz terduduk di sofa ruang tamu. Dia memejamkan mata dan cuba menenangkan diri. Tanpa dipinta wajah ayu Ammara muncul di ruangan matanya. Tersenyum manis memandangnya sekaligus menyalurkan ketenangan yang dicari.

Share this novel

Mia Zara
2024-03-30 10:13:23 

maaf sis baru sempat bca


NovelPlus Premium

The best ads free experience