Luth termenung sendiri. Sehari dua lagi cutinya bakal berakhir. Berpisahlah dia dengan dua insan baru yang hadir dalam hidupnya.
Dalam diam Luth mempersoalkan keputusannya yang terlalu cepat bersetuju dengan permintaan Ammara agar mereka segera berkahwin. Fikir Luth segalanya pasti akan baik-baik saja namun ternyata semuanya tidak seperti apa yang dia inginkan.
Usai majlis seminggu yang lepas, Ammara dan Luth seolah-olah menjadi lebih asing dari sebelum ini. Luth pula yang tak selesa berada sebilik dengan Ammara. Nampak jelas Ammara mengelak dari dirinya. Tidurnya juga bukan di sebelah Ammara. Isterinya itu meminta agar dia tidur di sofa. Tidak bersedia untuk bersama.
Ah, boleh saja dia menahan diri dari menyentuh Ammara sekiranya Ammara masih tidak bersedia. Dia bukannya gila seks. Malah Luth tahu perkahwinan bukan bermaksud hubungan ranjang semata-mata. Belum bersedia? Tak jadi masalah cuma dia terasa hati apabila Ammara tidak mengizinkan dia untuk tidur sekatil bersama dengannya. Dah kenapa? Tak percaya? Bukankah hari itu Ammara sendiri yang beria-ria mengajaknya berkahwin? Bila dah sah, kenapa dia juga yang rasa terasing?
Ish, cepat-cepat Luth menyingkirkan rasa yang kurang enak. Perjalanannya baru bermula. Dia perlu lebih banyak bersabar. Luth bangun dari baringnya lalu melontar pandang pada Hud yang sedang terjaga. Entah bila si kecil itu terjaga dari lenanya. Sebaik saja meniarap, si kecil itu menghadiahkan sebuah senyuman apabila matanya bertentang dengan Luth. Aduh, manisnya senyuman Hud membuatkan hati lelaki Luth mencair. Segera dia menapak ke arah Hud lalu mengendongnya.
"Kenapa tak tidur? Awal lagi ni kalau nak bangun main." Luth berbisik ke arah Hud yang semakin mekar senyumnya apabila dia bercakap dengannya. Hud mula bersuara menggunakan bahasanya sendiri. Sesekali Luth juga membalas seolah-olah mereka sedang berborak di kedai kopi.
"Hud bangunkan awak ke?" tegur Ammara yang baru keluar dari bilik mandi. Sudah siap sedia mengenakan pakaiannya seperti hari-hari sebelum ini. Luth menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Sedaya-upaya dia menahan rasa memberontak. Jujur dia agak terasa hati apabila Ammara terlalu menjaga batas mereka berdua sedangkan mereka sah bergelar suami dan isteri. Apa maknanya lafaz akad yang disebutnya di depan kadi sekiranya hidup mereka tidak lebih dari rakan sebilik? Tapi haruskah Luth mempersoalkan semua itu ketika ini?
"Awak nak mandi dulu ke sebelum subuh?" soal Ammara. Luth sekadar mengangguk. Sudah menjadi kebiasaannya untuk mandi terlebih dahulu sebelum menunaikan kewajibannya sebagai hamba Allah. Luth segera menapak ke dalam bilik mandi setelah menyerahkan anak tirinya itu kepada Ammara untuk disusukan. Sengaja dia berlama-lama mandi bagi memberi ruang kepada Ammara untuk menyusukan Hud.
Si kecil Hud masih menyusu badan. Tak mahu pula Ammara rasa tak selesa apabila dia ada bersama saat sedang menyusukan Hud. Lebih baik dia mengunci diri sebentar di dalam bilik mandi. Setelah agak lama barulah dia keluar. Lega rasanya apabila Hud sudah pun kembali terlena. Ah, dah kenyanglah tu!
Di subuh hening itu, kedua mereka bersujud. Mengingatkan diri sebagai hamba yang lemah, yang bergantung harap pada illahi. Memohon kasih dan sayang daripada-Nya. Selesai tanggungjawab dua rakaat, Luth menghulurkan tangannya seperti biasa. Ammara memandang Luth sejenak sebelum menyambut tangan Luth. Baru saja dia mahu menarik tangannya semula apabila Luth menggenggamnya erat. Dia sedikit terkejut. Dah kenapa?
"Ammara, awak tahu cuti saya dah nak habis, kan?"
"Tahu. Lagi dua hari, kan?"
"Betul tu...dan kita tak deal lagi tentang pertanyaan saya hari tu, kan?"
Ammara mengangguk perlahan. Ya, Luth ada mengajaknya untuk terbang bersama ke Sarawak. Tak perlu PJJ seperti kebanyakkan pasangan namun sejujurnya Ammara merasakan tiada keperluan untuk dia ikut bersama. Bukannya dia tak boleh berjauhan dari Luth pun. Dia cuma perlukan seorang suami dan Luth yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu. Sesungguhnya lebih baik Luth daripada Muaz.
"Tak apalah, Luth. Tak perlulah kot saya dengan Hud ikut ke sana. Tunggu cuti sekolah saya dan Hud pergi jumpa awak. Bolehlah awak bawa kami berdua jalan-jalan."
Luth mengangguk cuma. Niatnya mahu memujuk agar Ammara sudi ikut sekali. Manalah tahu jika Ammara jauh dari dunianya di sini, mungkin lebih senang untuk Ammara melihat kehadiran dia. Luth sedar hadirnya dia sekadar perisai untuk menghalang Muaz bagi memaksa Ammara kembali semula dan memang benar sekarang mungkin dia memiliki Ammara tapi dia kurang pasti adakah Muaz akan benar-benar melepaskan Ammara sekiranya dia tiada di sisi Ammara kelak. Lagi pula, bukankah dia sudah berazam untuk membuatkan Ammara jatuh cinta dengannya?
"Kalau Muaz datang kacau awak lagi macam mana?"
"Dia nak kacau macam mana lagi? Nak ajak saya remarried dah tak boleh sebab saya dah berkahwin dengan awak. Nak jadikan alasan tak adanya father figure dalam hidup Hud pun tak boleh dah sebab Hud dah ada awak."
"Tapi Hud tetap anak dia. Awak tak boleh pisahkan mereka selamanya Ammara. Saya tetap rasa awak dan Muaz perlu berbincang. Tanpa melibatkan soal hati dan perasaan, tentang masa silam antara kamu berdua, tanpa dendam atau benci. Kalau awak nak, saya boleh temankan."
"Luth, tentang saya dan Muaz tak payahlah awak risaukan. Mungkin awak betul tentang saya dan dia perlu berbincang tapi saya tak ready lagi. Saya tak tahu sampai bila baru saya boleh terima semua yang dia dah buat sebelum ni. Saya tak tahu nak buang rasa sakit ni macam mana."
"Nak buang rasa sakit tu bermula dari diri awak sendiri Ammara. Berdamailah dengan keadaan awak sekarang."
"Sembilan bulan saya terkontang-kanting sendiri. Bawa perut ke hulu hilir, cuba berdiri sendiri, berperang dengan emosi, mental...bila Hud ada, baru dia nak muncul dan mengaku Hud tu anak dia? Dan sekarang awak nak saya berdamai dengan semua tu? Like seriously, Luth? Ish, dah kenapa topik kita berubah daripada tentang saya dan awak pergi kepada saya dan Muaz pula ni?" Ammara mengerutkan dahinya memandang Luth. Lantas dia menarik tangannya yang sedari tadi dalam genggaman Luth. Ammara bingkas bangun lalu segera melipat telekungnya dan mengemas sejadahnya.
Luth memanggilnya lembut. Sedar bahawa Ammara sudah pun marah. Isu Muaz memang sensitif. Jentik sikit memang sengaja cari pasal namanya tu. Ingatkan dapatlah dia jadikan isu itu sebagai pemudah cara untuk memujuk Ammara mengikutnya, alih-alih lain pula yang berlaku. Ammara sekadar menjeling sebelum melangkah keluar dari bilik dan menghilang di sebalik pintu. Ah, sudah! Luth meraup rambutnya ke belakang. Peninglah kalau macam ni.
Luth cuba memujuk hati. Masih terlalu awal untuk menyerah kalah. Dia tak nak terlalu berkeras. Risau kalau Ammara semakin menjauh. Sekarang saja pun dah rasa asing apatah lagi andai kata dia tersilap langkah. Mahunya sebatu jarak Ammara dari dirinya. Ammara mungkin masih memerlukan ruang. Perkahwinan mereka juga tidak melibatkan sebarang perasaan lain kecuali perasaannya terhadap Ammara. Jadi, hanya dia yang akan merasa perit apabila cinta bertepuk sebelah tangan. Dia saja yang bersedia untuk memulakan hubungan mereka dan bukannya Ammara.
Bagi Ammara, kehadiran Luth sekadar pelengkap untuk mengisi ruang kosong namun bukan untuk menjadi penghuni hatinya. Sekeping hati milik Ammara sudah lama hancur menjadi kepingan yang sukar untuk di susun kembali. Dia meminta Luth mengahwininya untuk kepentingan diri semata-mata. Tiada langsung rasa cinta yang hadir. Dia tahu Luth menyimpan rasa padanya dan kerana itulah dia mengambil kesempatan itu untuk dirinya sendiri. Luth saja yang beria-ria sedangkan Ammara sudah selesa begini saja.
sorry lambat update. segala puji bagi allah hari ni merupakan hari ke 13 Ira berpantang. Syukur dah selamat melahirkan princess kedua 3 mei yg lepas. Bila dah sihat sikit ni baru sempat nak update. So, stay tunneddd
Share this novel
selamat berpantang,tahniah
next episode.. selamat berpantang sis