"Tak ada makna perkahwinan kita ni kalau tak ada zuriat, Ammara."
"Abang, kita dah usaha. Ammara pun nak anak."
"Tapi Ammara tak mampu bagi anak untuk abang."
Ammara terkedu. Kenapa pula dia yang dipersalahkan? Bukannya dia yang berkuasa ke atas kehadiran penghuni rahimnya. Semua itu kerja Allah.
"Abang, kita dah usaha. Kita dah pergi check dah pun. Kita berdua tak ada apa masalah. Mungkin cuma bukan masanya lagi."
"Habis tu bila masa yang sesuai?"
"Manalah Ammara tahu. Semua tu kerja tuhan. Allah yang menentukan."
"Sudahlah, Ammara! Kita perabis duit buang duit buat check up, test itu test ini...tapi semuanya tak bermakna! Mak pun dah bising tanya tentang cucu. Orang lain yang baru kahwin pun dah beranak-pinak. Kita ni? Seorang pun tak ada."
"Ya Allah, abang! Abang sedar tak apa yang abang cakap ni? Dah kenapa nak marah? Abang marahkan siapa? Marahkan Allah sebab tak bagi kita zuriat? Bawa-bawalah istigfar."
"Tak payah nak ngajar aku kalau anak pun kau tak mampu nak bagi."
"Hei, dah kenapa cakap macam tu? Bukannya Ammara yang tak nak bagi tapi..."
"Tapi tuhan yang tak bagi? Itu yang kau nak cakap, kan? Eh, dengar sini... Aku dah bosan dengar alasan yang sama. Aku rasa kau yang bermasalah! Kau yang mandul. Keturunan aku tak ada satu pun yang mandul. Tak ada langsung sejarah mandul."
"Abang! Doktor sendiri cakap yang kita tak ada masalah. Kita dua-dua normal tak ada yang mandul!"
"Ah, persetankan semua doktor tu. Mereka semua pentingkan duit. Dah dapat payment, bukan masalah mereka pun kalau kita ada anak atau tak ada anak sekali pun. Apa yang penting kita dah laburkan duit untuk mereka. Kau yang percaya sangat dengan doktor-doktor tu semua."
"Tapi abang.."
"Kau diam dan dengar sini baik-baik. Minggu depan aku nak pregnancy kit tu naik double line. Kalau tak kau anggap sajalah hubungan kita dah berakhir. Aku tak akan teragak-agak untuk ceraikan kau."
"ABANG! Sampai hati abang!"
"Aku dah penat nak menunggu. Minggu depan genap tiga tahun kita bersama. Ngam tarikh ulang tahun kita, aku nak kau buat ujian kehamilan tu. Kalau tak naik double line, aku terpaksa akur dengan permintaan mak."
Sebaik saja menghamburkan kata-kata itu, Muaz segera berlaku pergi. Menghidupkan enjin keretanya lalu bergerak laju meninggalkan perkarangan rumah. Ammara terduduk mengenangkan kata-kata yang dimuntahkan oleh suaminya.
Terpaksa akur dengan permintaan mak? Ah, tak lain tak bukan mesti berkaitan dengan Yasmin. Mak mertuanya tak habis-habis memaksa Muaz untuk memperisterikan Yasmin dan nampak gayanya Muaz juga bakal berhenti menolak cadangan itu sekiranya dia masih tidak hamil. Masalahnya minggu depan? Masuk akal ke?
Kenapa seolah-olah dia yang bersalah dalam situasi ini? Kenapa hanya dia yang merasa terhimpit? Dia tak pernah menolak untuk melayan suaminya. Dia juga tak pernah mengambil sebarang jenis perancang kehamilan kerana mereka berdua memang menginginkan cahaya mata sebagai penyeri cinta. Kalau memang sudah tertulis rezeki anak bagi keduanya agak lambat, apalah salah untuk menunggu sebentar? Tiga tahun memang bukan masa yang singkat tapi bagaimana dengan pejuang dua garis yang lain? Ada yang menunggu sehingga berbelas tahun. Malah ada juga yang menunggu rezeki anak sehingga 20 tahun usia perkahwinan. Sedangkan mereka? Baru saja nak menginjak usia tiga tahun bersama.
Ammara menangis sendiri. Apa salah dia? Kenapa harus dia? Bagaimana lagi harus dia mempertahankan mahligai cinta yang dibina di saat suaminya sudah pun memberikan kata dua? Ammara buntu. Memohon kepada Allah agar membalikkan semula hati suaminya. Meminta kekuatan dan pertolongan illahi agar mengurniakan kasih dan simpati kepadanya.
Share this novel