Luth memerhati tingkah laku Ammara pagi ini. Ah, masih sama seperti malam tadi. Seolah-olah moodnya masih belum pulih. Senyap saja Ammara hari ini. Luth tahu dia harus lakukan sesuatu. Tak kan nak dibiar macam tu saja?
Semalam mood Ammara seolah-olah berubah selepas kehadiran Hawa. Firasat hati Luth mengatakan bahawa Ammara jadi begitu kerana cemburu. Jika benar Ammara cemburu, bukankah itu satu petanda yang baik? Cemburu tak akan hadir begitu saja, kan? Mesti kerana hadirnya sekelumit rasa terhadap dia yang bergelar suami.
"Hmm, nak pergi jalan-jalan tak hari ni?" Luth cuba untuk memulakan perbualan. Memecah kesunyian yang membaluti mereka berdua. Bosan juga duduk di rumah waktu cuti macam ni.
"Malaslah..." jawab Ammara sepatah.
"Dekat bandar ada food festival. Sesuai sangat waktu ni kalau awak nak cuba rasa makanan dekat sini. Rugi kalau dah sampai Sarawak tapi tak try makan makanan Sarawak." Luth masih cuba memancing. Biasanya perempuan lemah dengan makanan. Bab makan tak boleh tolak.
"Tapi jauh dari sini kan?"
"Tak kisahlah jauh pun, jom lah. Saya dah booked hotel." Luth menambah perasa. Hakikatnya dia belum menempah mana-mana hotel pun lagi. Ideanya untuk mengajak Ammara ke bandar baru difikirnya sebentar tadi. Bila masa pula dia dah tempah hotel?
"Hmm, bolehlah daripada duduk saja macam ni. Nak juga tengok-tengok tempat orang. Awak pergilah kemas barang. Barang-barang saya still dalam luaggage so tak ada apa sangat yang nak dikemas."
Hati Luth menjerit gembira sebaik saja Ammara memberikan lampu hijau. Segera Luth berlalu ke bilik untuk mengemas baju-bajunya pula. Dia segera mencapai telefonnya terlebih dahulu untuk membuat tempahan. Naya kalau tak jumpa tempat tidur malam ni lagi-lagi tengah ada event di bandar. Kebiasaannya seminggu atau dua minggu sebelum sebarang acara berlangsung, hotel-hotel di sekitar kuching mesti sudah penuh semuanya.
"Kami cuma ada kosong untuk Deluxe Double Room buat masa ni. Satu bilik tu saja yang available, encik."
"Bilik ni jenis yang macam mana ya?"
"One large double bed. Sesuai untuk two adults and a baby macam yang encik nak."
"Aaa, bilik yang ada dua katil tak ada eh? Two single beds?"
"Maaf, encik. Satu bilik ni saja yang ada. Bilik lain semua dah penuh."
"Family room?"
"Not available for this moment sir. Fully booking."
Luth serba-salah. Kalau diteruskan, mana dia nak tidur nanti? Ammara tak sudi nak tidur sekatil dengannya. Tapi apa lagi pilihan yang ada? Nak tidur dalam kereta bersama Ammara dan Hud atau tidur sebilik? Dah lima buah hotel dah dia mencuba nasib. Semuanya penuh.
"Sir?"
"Ya, saya proceed." Lantaklah. Asalkan ada tempat untuk tidur malam ni.
"Luth, jadi ke tak?" kedengaran suara Ammara dari luar.
"Haa, jadi. Kejap!"
Ammara berlalu semula ke ruang tamu. Lambat pula Luth berkemas.
"Awak buat apa lama sangat dalam bilik tu?" Soal Ammara sebaik saja melihat beg yang Luth galas. Eh, beg galas biasa saja. Sikit rupanya barang yang dia bawa. Dah tu apa yang lama sangat nak siap berkemas apa semua tu?"
"Tak ada apa. Dah, jom."
Mereka bertiga berangkat ke bandaraya kuching. Memakan masa hampir lima jam. Memandu berejam pun masih dalam negeri yang sama. Nasib baik Lebuhraya Pan Borneo dah banyak yang siap dibina. Kalau tak mahunya lebih lama mereka bertiga menghabiskan masa di atas jalan raya.
"Awak sengaja eh?" soal Ammara sebaik saja mereka bertiga tiba di depan bilik hotel. Jika di rumah, Luth bukan main lagi cuba menjaga batas mengikut rentak permainan Ammara. Melangkah masuk ke bilik Ammara pun tidak. Tapi kenapa di sini Luth memilih untuk duduk sebilik?
"Dah tak ada pilihan. Bilik ni saja yang tinggal."
Oh, tak ada pilihan rupanya. Ammara sekadar mengangguk. Sebaik saja dia melangkah masuk, jantungnya terus berdegup kencang. Satu katil besar sahaja? Adakah ini bermakna Luth akan berbaring di sisinya? Dia memandang Luth. Ternyata lelaki itu berpura-pura memandang siling, memandang dinding dan juga lantai.
Ammara cuba untuk bertenang. Menarik nafasnya perlahan. Kedua-dua mereka senyap tanpa sebarang kata. Ammara berpura-pura sibuk menukar lampin pakai buang Hud manakalah Luth pula pura-pura sibuk menyimpan beg baju mereka. Luth kemudiannya duduk di kerusi yang disediakan. Sempat dia berfikir sendiri bagaimana dia nak memuatkan dirinya di atas kerusi itu untuk tidur malam nanti. Ish, tak boleh jadi. Tak muat ni! Nak paksa macam mana sekali pun memang tak akan muat. Kerusi tu untuk duduk bersandar bukannya dapat nak berbaring pun. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sesekali dia memandang pada Ammara yang sedang membelakangi dirinya. Hmm, mesti sedang menyusukan Hud. Adakah Ammara akan memberi lampu hijau untuk dia berbaring di katil bersamanya malam nanti? Kalau sungguh pun Ammara tidak menganggapnya sebagai suami, paling kurang pun atas yang namanya belas ihsan. Lenguh tulang belikatnya memandu sepanjang empat jam lebih.
"Ammara, lepas ni kita terus ke food festival tu nak?" cadang Luth selepas hampir setengah jam membiarkan kesunyian hadir di sisi mereka.
"Boleh juga. Alang-alang perut tengah lapar." Ammara segera bersetuju. Perutnya sedikit berkeroncong lebih-lebih lagi selepas disusui Hud sebentar tadi. 10 minit kemudian mereka berangkat pula ke destinasi yang seterusnya. Ternganga besar Ammara melihat lautan manusia yang membanjiri. Ditambah pula dengan ratusan gerai yang ada.
"Wah, ramainya manusia." itulah komen pertama Ammara selepas hampir satu jam mereka berpusing-pusing mencari tempat letak kereta. Jalan sesak tak payah cerita. Namun Ammara langsung tak merungut sebaliknya dia teruja melihat suasana yang cukup meriah. Eh, lagipun dia nak merungut apa? Bukan dia yang memandu.
"Jangan jauh-jauh. Kang sesat." Pesan Luth sambil membetulkan kedudukan Hud di dalam baby carrier yang sudah pun terikat kemas pada tubuhnya.
"Hud pun sama, jangan nakal-nakal. Duduk diam-diam. Kita nak pergi food hunting ni." Terkekeh-kekeh anak itu apabila Luth sengaja mencuit hidungnya.
"Tak payahlah macam orang nak pergi berperang sangat." Ammara mengomel namun seketika kemudian barulah dia faham kenapa Luth seumpama orang nak pergi berperang.
Berkali-kali juga dia hampir terpisah dari Luth. Dia terlalu asyik memandang ke kiri kanan. Semua makanan nampak menarik dan sedap. Tengok-tengok Luth dah sebatu di hadapan.
"Luth! Kata nak tengok makanan. Dah kenapa jalan laju sangat?" marah Ammara sebaik saja dia berjaya menghampiri Luth semula.
"Laa, sorry. Tak perasan pula awak tertinggal dekat belakang."
"Tadi saya nak king fries sana tu. Nampak menarik dengan botol-botol sos dia tergantung."
"Nanti kita patah balik sana ya."
"Jom hilangkan haus kejap." Luth mengajak Ammara singgah ke sebuah gerai yang menjual ais krim gula apong. Kata Luth ais krim ni umpama signature untuk Sarawak selain daripada kek lapis. Ammara mencuba ais krim tersebut dan ternyata dia menerimanya dengan baik. Sedap!
Seketika kemudian dia pula yang mengajak Luth singgah ke sebuah gerai yang menjual daging wagyu. Nak makan daging pula rasanya. Luth sekadar menuruti. Memenuhi keinginan Ammara. Mereka melangkah lagi bagi meneruskan misi pencarian makanan mereka namun kali ini giliran Luth pula yang ketinggalan di belakang manakala Ammara sudah sebatu di depan.
Seketika kemudian kelihatan langkah Ammara terhenti. Dia melihat ke kiri dan kanan. Mencari-cari kelibat Luth di dalam gelombang manusia yang hadir. Hah sudah, dia kehilangan mereka. Belum pun sempat dia mencapai telefonnya untuk menghubungi Luth, ternyata tangannya terlebih dahulu dicapai oleh lelaki itu.
"Jalan laju lagi. Kan dah sesat." bisik Luth namun begitu jelas di telinga Ammara. Luth menggenggam tangannya seraya menariknya untuk terus berjalan. Ammara yang terkejut dengan perbuatan Luth tidak pula mampu membantah. Sekadar menuruti dan berjalan di sisi sambil membiarkan saja tangannya digenggam Luth erat.
Share this novel