Bab 33

Romance Series 103383

Segalanya kembali seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang berubah. Luth Terkilan sendiri. Sangkanya mereka semakin membaik. Saat dia lalu di hadapan bilik Ammara dan mengucapkan selamat malam, sebenarnya dia menunggu Ammara untuk memanggilnya dan mempelawa dia tidur sebilik dengan mereka dua beranak sekali lagi. Tapi ternyata hampa. Tiada langsung panggilan dari Ammara.

Nak tak nak dia terus melangkah masuk ke biliknya sendiri walaupun langkah kakinya terasa longlai. Beberapa malam yang sudah segalanya cukup indah buat Luth. Dapat tidur sekatil saja pun dah cukup membuatkan dia terasa senang dan bahagia. Bagi Luth itu mungkin merupakan salah satu petanda bahawa Ammara mula menerima dirinya. Dia salah ke?

"Ammara, barang-barang saya dah simpan semua dalam bilik, ya?" Ujar Luth sebaik saja mereka tiba di rumah petang tadi. Ammara yang sedang duduk bersandar di ruang tamu sekadar mengangguk dan tersenyum. Amboi Ammara, dah macam dia pula yang paling penat padahal dalam kereta dia juga yang tertidur hampir sepanjang perjalanan pulang. Hud pula bermain sendiri di lantai. Sesekali terdengar bunyi riuh suaranya yang membebel menggunakan bahasanya sendiri.

"Hud, meh Papa Luth mandikan awak."

Ammara sedikit tersentak. Ini kali pertama dia mendengar Luth menggelar dirinya sebagai Papa. Ya tak ya juga, Ammara tak pernah langsung terfikirkan gelaran yang sepatutnya diberikan kepada Luth padahal Luth sudah pun menjadi sebahagian daripada hidup Hud. Silap dia juga terlalu alpa. Hmm, papa? Ikut suka Luth lah. Kalau itu yang selesa untuk dia. Terserah. Tiada bantahan dari Ammara.

Ammara mengiring ke kanan. Seketika kemudian mengiring semula ke kiri. Ah, tak boleh tidur! Dia bingkas bangun lalu duduk. Memandang pada ruang kosong di sebelah sana. Beberapa malam yang sudah adanya tubuh Luth yang memenuhi ruang itu semasa mereka menginap di hotel. Namun entah kenapa malam ini katil bersaiz queen itu bagaikan terlalu luas pula untuk dia dan Hud.

Apa dah berlaku Ammara? Kenapa dia terasa sunyi tanpa adanya Luth di sisi? Sebelum ini pun cuma ada dia dan Hud. Boleh pula dia lena sampai ke pagi. Hanya sesekali bangun untuk sesi menyusu. Tapi dah kenapa malam ini terasa lain. Tak kanlah hanya disebabkan beberapa malam yang lepas tidurnya bertemankan Luth lalu malam ini dia tak boleh nak tidur pula dah? Dia...rindukan Luth ke?

Alah, nak rindu apa! Luth bukannya jauh. Sebumbung juga. Bilik Luth nun di depan tu saja. Nak rindu dah kenapa? Ammara keliru sendiri. Tak dinafikan bahawa dia selesa dengan Luth. Tak kanlah dia dah tersuka Luth hanya disebabkan beberapa hari yang sudah? Ammara menggelengkan kepalanya. Menyingkirkan segala rasa yang hadir. Nyah dari sini! Tak mungkin dia dengan mudahnya menyerahkan hati yang sudah pun retak seribu. Bukannya mudah untuk dia mengutip setiap kepingan hati yang hancur. Takut pula Ammara seandainya hati begitu mudah berubah. Tak pasal-pasal mudah juga untuk disakiti seperti sebelum ini. Dia harus lebih berhati-hati!

Tapi saat kali pertama tangan Luth mencapai tangannya lalu memimpinnya sepanjang jalan entah kenapa segalanya terasa indah dan sempurna. Tak kuasa pula dia mahu menepis sebaliknya dia selesa diperlakukan begitu. Terasa dijaga, dihargai dan disayangi. Tanpa sedar Ammara tersenyum sendiri namun segera juga dia membuang senyum itu sebaik saja dia tersedar. Ah, sasau seorang diri. Dia benar-benar selesa dengan kehadiran Luth dan adakah itu petanda bahawa dia sudah mula membuka hatinya untuk lelaki itu? Ish, bahayanya! Kenapa terlalu mudah? Sebelum ini juga dia dengan mudahnya menyerahkan cinta kepada Muaz. Dah kenapa dia mahu mengulang kesilapan yang pernah dia lakukan? Katanya serik tapi...

Tidak dinafikan segalanya normal, tampak sempurna dan baik-baik saja sepanjang hari ini setelah percutian keluarga beberapa hari lepas. Percutian keluarga? Ah, bolehlah jika hendak dikatakan begitu! Namun sebaik saja waktu tidur menjelang, semuanya mula kembali seperti asal. Mereka tidur berasingan lagi. Luth di bilik sana manakala dia dan Hud di bilik utama. Kecewakah dia? Entahlah, namun perasaan kosong itu terlalu nyata. Puas Ammara cuba singkirkan namun tetap dia terasa kosong dan sunyi.

"Selamat malam, Ammara." ucap Luth di depan pintu biliknya malam tadi.
Saat itu Ammara bingung sendiri. Luth nak ke mana? Luth tidur di mana? Luth tidur sendiri seperti sebelum ini ke? Luth masih mengikut rentak permainan yang dia mulakan ke? Nak buat apa ni? Nak panggil ke tak nak? Dalam masa dia berkira-kira sendiri tak pasal-pasal kelibat Luth sudah pun menghilang. Hanya bunyi pintu bilik Luth tertutup yang kedengaran. Damn! Dah kenapa dia menggelabah tak tentu pasal? Ammara meraup wajahnya. Dia pasti ada yang tak kena dengannya. Puncanya adalah Luth!

Ammara bingkas bangun dari katil. Tak boleh tidur langsung. Dia mengerling pada jam. Ah, dah pukul lima pagi. Maknanya tak lama lagi akan ada ketukan dari Luth mengajaknya untuk solat berjemaah. Sejak bergelar suami, tak pernah sekali pun Luth melepaskan peluang untuk menjadi imamnya jika berkesempatan. Hanya apabila jarak memisahkan mereka, maka ketika itulah dia solat sendiri. Baiknya Luth, kan?

"Ammara, bangun." suara Luth kedengaran berselang-seli dengan ketukan lembut di pintu. Laju saja Ammara membuka pintu hari ini.

"Eh, cepat dan pantas. Memang dah bangun ke dari tadi?"

"Macam mana tahu?"

"Muka tak mamai langsung. Kalau sebelum ni macam zombi baru nak bangkit setiap kali saya kejutkan bangun subuh."

Spontan saja tangan Ammara mencapai pinggang Luth dan mencubitnya sebaik saja mendengar kata-kata Luth. Amboi, bahagianya hidup! Ikut sedap mulut nak mengata orang.

"Adoi, eh! Apa ni? Saya dah ada wuduk! Jangan pegang-pegang!" Luth terjerit kecil.

"Do I look like I care?" balas Ammara lalu dengan sengaja menyentuh pipi Luth yang masih lagi basah dengan air wuduknya. Luth cuba mencapai tangan Ammara namun ternyata Ammara lebih pantas mengelak.

"Amboi, seronok eh? Haa, tak apa. Ada ubi ada batas, ada hari saya balas." Luth mengugut.

Ammara tersengih. Puas hatinya. Padan muka! Senang-senang nak mengata orang macam zombi. Dia tersenyum senang dan berlalu ke dalam bilik air. Sempat pula dia menjelirkan lidahnya sebelum menutup pintu bilik air. Bertuah!

Tanpa Ammara sedar rasa kosong yang sedari tadi menemaninya dengan segera berlalu pergi. Ternyata Luth pengubatnya! Tapi sayang dia tidak menyedari hakikat itu. Masih merasakan bahawa apa yang dirasanya hanyalah kerana selesa dan tidak lebih dari itu.

Luth tersenyum sendiri. Eh, tenyata mereka sememangnya semakin membaik. Dia saja yang fikir bukan-bukan semalam. Pagi-pagi lagi Ammara dah ceria. Bukankah itu petanda yang baik untuk mereka berdua?

Maaf semua lama menunggu, selepas sebulan barulah baby discharge jaundice, tapi bersambung pula dengan episod Ira sakit gigi gara-gara gigi bongsu. Bila dah membaik, bersambung pula dengan episod demam selesema. Haih, berangkai-rangkai pula dah. Hope semua baik-baik saja dan jaga kesihatan. Stay safe, stay healthy semua!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience