"Kamu yakin ke Ammara akan balik ke rumah mertua dia malam ni?" Puan Mariah bertanya. Sesekali matanya menjeling ke arah dapur. Bunyi pinggan mangkuk berlaga di dapur menunjukkan bahawa Yasmin masih lagi sibuk di dalam sana. Tujuannya ke situ adalah untuk berjumpa Ammara. Kalau menurut Muaz, Ammara yang akan menemani mertuanya kalau adik iparnya tiada di rumah. Adik iparnya itu cuma akan balik pada waktu cuti atau sabtu minggu saja. Jadi ada logiknya kalau Ammara akan berada di sana malam ini.
"Muaz dah lama perhatikan Ammara, ma. Muaz tahu waktu bila dia datang. Bila masanya dia balik."
"Rumah Ammara sendiri kamu tak tahu?"
Muaz sekadar menggeleng. Tak pernah lagi dia berkesempatan untuk mengekori Ammara bagi mengetahui lokasi rumahnya.
"Mama nak balik dah ke?" Tiba-tiba suara Yasmin berkumandang dari arah belakang. Segera Puan Mariah berpaling tubuh menghadap Yasmin. Muaz pula berpura-pura membetulkan langsir padahal sebentar tadi kedua beranak itu sedang mengintai ke luar jendela.
"Belum." balas Puan Mariah sambil tersenyum. Habislah kalau Yasmin tahu tujuan sebenar dia ke sana. Yasmin langsung tak tahu tentang rancangannya. Setahu Yasmin, dia ke sana kerana Muaz yang mengundangnya untuk makan malam bersama.
"Lambat sikit baru mama balik." Tambahnya lagi.
Yasmin sekadar mengangguk dan memohon diri untuk menguruskan Ayeesha yang sedang merengek. Barangkali matanya mengantuk.
"Ma, agaknya dia dengar ke kita bercakap tentang Ammara?"
"Ish, tak adanya dia dengar apa-apa. Dah kenapa kamu nak risau sangat?"
"Gila tak risau, ma. Kalau Yasmin tahu mahunya tercetus perang. Silap hari bulan parang dekat dalam dapur sana pun boleh terbang dibuatnya."
"Pernah ke?"
"Kalau parang tak pernah lagi tapi kalau pinggan mangkuk tu pernahlah."
"Ish, kamu biar saja bini mengamuk macam tu? Kamu tak buat apa-apa ke? Macam mana nak jadi laki? Nak bimbing bini pun tak mampu."
"Kalau mama berani sangat mama try terus-terang dengan Yasmin. Ha, pergilah. Mama beritahu Yasmin yang mama datang malam ni sebab nak tunggu Ammara tu. Lepas tu mama beritahulah dia yang tadi tu kita sama-sama tengah melakukan misi menghendap Ammara. Hah, cubalah!"
"Ish, bertuah punya anak!" balas Puan Mariah sambil menunjal dahi anaknya itu.
Muaz menggosok-gosok dahinya sambil menyelak sedikit langsir.
"Eh, ma! Tu kereta Ammara."
"Hah, mana? Yang tu ke?"
"Ha laa, yang baru sampai tu."
"Mama keluar dulu. Dah, bye!"
"Ma, nak ikut. Biar Muaz hantar."
"Kamu tak payah nak menyibuk. Nanti lain pula jadinya kalau kamu ada. Lagi pula kalau kamu ada pun bukannya membantu. Entah-entah menyusahkan lagi adalah." ujar Puan Mariah lantas mencapai beg tangannya dan bergegas keluar dari situ. Berpura-pura menuju ke kereta padahal mata sudah beberapa kali menjeling ke arah kereta Ammara. Menunggu saat Ammara keluar dari perut keretanya.
"Ya Allah, Ammara. Lamanya mama tak jumpa kamu." itulah ayat pertama yang dilontarkan sebaik saja Ammara keluar dari keretanya. Terkejut Ammara apabila ada suara yang menegurnya dari kejauhan. Lebih mengejutkan apabila dia mengenal pasti tuan empunnya suara itu.
Puan Mariah pantas berjalan ke arahnya. Ammara terpaku di situ. Senyuman lebar Puan Mariah mengundang persoalan di benaknya. Ada apa? Kenapa lebar benar senyum yang diukirkan? Bukankah Puan Mariah benci padanya? Bukankah wanita itu juga pernah bersifat kejam dengannya?
"Kenapa kamu tak pernah datang jumpa mama selepas kamu dan Muaz berpisah? Sampai hati kamu, Ammara." Kali ini Puan Mariah mempamerkan wajah merajuk pula. Namun hanya untuk seketika cuma. Dia kemudiannya tersenyum lagi.
"Kamu tahu kan yang mama tak pernah ada anak perempuan selain kamu. Lain kali datanglah jenguk mama. Mama rindukan kamu, Ammara."
"Maaf, ma... Ammara ingatkan mama masih marahkan Ammara."
"Hmm, itulah... Mama pun tak tahu apa yang berlaku dengan mama sebelum ni. Mama rasa macam...Ahh, entahlah! Menyesal sangat sebab tak pertahankan kamu. Bila kamu dah tak ada, barulah mama rasa penyesalan tu datang. Mama minta maaf, Ammara."
"Tak apalah. Benda dah lepas."
"Mama tak boleh lupa. Selama Ammara jadi menantu mama, Ammara langsung tak ada cacat celanya. Mama salah. Mama pentingkan diri sangat waktu tu. Maafkan mama, ya?" Puan Mariah mencapai tangan Ammara. Mengelusnya perlahan. Mempamerkan kasih sayangnya yang masih sama seperti dulu.
Ammara sekadar mengangguk. Memang benar dia tidak pernah langsung menjenguk wanita itu. Dia terlalu fokus untuk belajar berdiri di atas kakinya sendiri. Dia terlalu fokus untuk mengutip serpihan hati yang berkecai lalu cuba untuk mencantumkannya semula. Semua yang berlaku terlalu perit. Untuk dia memulihkan diri saja pub sudah cukup memakan masa. Apatah lagi selepas itu Hud pun lahir. Ah, lagilah dia terus lupa pada Puan Mariah.
Lagi pula, Puan Mariah juga turut menuduhnya mandul. Puan Mariah turut menyakitinya dengan kata-kata pedas yang menusuk jiwa. Tak kanlah dia sengaja mahu balik ke sana dengan alasan menjenguk padahal wanita itu pernah memandangnya tanpa belas saat Muaz menghalaunya keluar dari rumah.
"Ni rumah siapa?" Puan Mariah pura-pura bertanya.
"Oh, ini rumah mertua Ammara."
"Laa, ya ke? Dekat pula rumah mertua Ammara dengan rumah Muaz. Kiranya macam tarikan di antara Ammara dengan Muaz tu masih kuat, ya? Alahai...tapi itulah sayang jodoh tak panjang. Nak buat macam mana, kan? Baiklah Ammara, lain kali kita jumpa lagi. Contact mama, ya? Bolehlah mama kenal-kenal dengan cucu mama."
"Cu...cu?"
"Mama baru tahu waktu semua dulu tu berlaku, kamu rupanya tengah mengandung. Sumpah, mama baru tahu. Mama nak juga kenal dengan cucu mama belah kamu."
"Nanti Ammara kenalkan ya. Ada masa Ammara bawa dia pergi jenguk mama." jawab Ammara dalam keadaan yang serba-salah.
"Eloklah kalau macam tu, Ammara. Eh mama balik dulu ya? Jangan lupa bawa cucu mama jenguk mama dekat rumah. Mama tunggu." ujar Puan Mariah seraya menarik Ammara ke dalam pelukannya.
Dia berpaling dan melangkah semula ke arah keretanya meninggalkan Ammara yang masih terkebil dengan apa yang berlaku. Berubah betul perangai Puan Mariah.
Puan Mariah tersenyum. Dia yakin bahawa rancangannya berjalan dengan baik. Dia tahu dia tak boleh terburu-buru. Biar lambat asalkan semuanya tercapai. Dia harus mendapatkan kepercayan Ammara terlebih dahulu barulah senang untuk dia mendekat. Kalau dah cukup dekat kelak barulah dia bertindak dengan lebih lanjut.
Share this novel
next
bila nak sambung ni
moga ammara x bodoh atas kebaikan bekas mertua..