Puan Mariah sekadar memandang anaknya yang tampak serabut. Alah, baru sikit masalah yang datang dah tak boleh nak uruskan sendiri.
"Benda remeh macam ni pun dah macam orang mati bini padahal bini tu elok lagi dekat rumah." Bebel Puan Mariah sendiri.
"Ma, rasanya lagi elok kalau tak ada bini. Peninglah kalau hari-hari bergaduh macam ni." Muaz merungut. Ada saja yang tak kena di mata Yasmin yang mana akhirnya menjadi punca kepada peperangan di antara mereka berdua.
"Hah, tu baru seorang. Kalau dua macam mana?"
"Ish, tak kuasa nak hadap dua, ma. Yang seorang ni pun dah rasa macam nak pecah kepala. Itu salah, ini salah. Tak habis-habis dengan masalah dia rasa macam tak dihargai. Dia nak Muaz hargai macam mana lagi? Berikan wang ringgit? Intan belian? Tu baru tanda menghargai dia. Macam tu?"
"Tanyalah dia sendiri."
"Dia nak Muaz berhenti cari Ammara. Barulah dia puas hati."
"Ish, mana boleh macam tu. Kita nak juga jenguk cucu sebelah sana. Tak kanlah anak kamu dengan Ammara tu tak kenal langsung dengan kita ni, ha. Kita bukan orang lain. Keluarga dia juga. Hmm, itulah kamu dulu Muaz. Dah kenapa abaikan dia terus seolah-olah macam dia tak lagi wujud atas dunia ni? Hah, cuba kalau dulu kamu berpisah dengan baik dan masih berhubung demi kebajikan anak dalam perut Ammara waktu tu, mesti keadaan lebih tenang sekarang ni."
"Waktu tu Muaz cuma fikir nak fokus dengan rumah tangga baru yang dibina dengan Yasmin. Muaz nak berubah. Tak ada perempuan lain selain dari Yasmin. Memang serius nak berubah waktu tu. Tapi tak sangka pula jadi macam ni. Dah berkorban itu ini, tapi masih juga Yasmin tak nampak apa yang Muaz buat."
Muaz mengenang kembali kehancuran yang diciptakan. Runtuhnya sebuah masjid indah yang dibina atas dasar cinta suci di antara dia dan Ammara. Cinta pertama yang duduknya tinggi memegang takhta hati. Rasa bersalah kerana curang ditambah pula dengan janji-janjinya terhadap Yasmin membuatkan dia mengambil keputusan yang salah. Ditinggalnya Ammara kerana telah terlalu banyak luka yang dia berikan, lalu memilih untuk mengakhiri penderitaan yang berpanjangan itu dengan perpisahan. Baginya Ammara lebih layak bahagia bersama orang lain dan bukannya pencurang seperti dirinya. Muaz menghukum diri dengan mencuba untuk bangkit kembali bersama ceritera baru bersama Yasmin namun segalanya tak indah dan tak sempurna seperti apa yang dia inginkan.
"Cuba kalau dari dulu kamu tak curang masa masih bersama Ammara, tak adanya Yasmin muncul dalam hidup kamu. Ammara pun tak terbuang. Kita pun tak perlu susah payah nak cari dia. Sekarang nak tengok cucu pun tak dapat."
Muaz tidak membalas kata-kata Puan Mariah. Ah, dia sendiri sedar keadaan akan jadi lebih baik sekiranya dia tidak tersilap langkah. Sedap sementara yang merenggut segala kesempurnaan yang tercipta. Bebelan Puan Mariah langsung tidak membantu membuang bengkak dan nanah di dada. Sekadar menambah berat bahunya dan menambah rasa sesak.
"Kamu tak nak berbaik semula dengan Ammara? Remarried?"
"Ish, gila cadangan tu. Mana nak letak Yasmin?"
"Eh, buanglah! Macam mana kamu boleh buang Ammara dulu, tak kan sekarang kamu tak boleh buang Yasmin? Lagipun mama tak berapa berkenan dengan dia. Berani sangat nak melawan mama. Kurang ajar, biadap!"
"Ma, dia bukannya barang yang boleh dibuang macam tu saja. Lagipun Muaz dengan dia ada anak. Kang tak pasal-pasal jadi macam kes Ammara ni juga. Tak pasal-pasal kita hilang Ayeesha pula nanti. Putih mata dibuatnya!"
Muaz menggeleng kepalanya laju mendengar cadangan yang diajukan oleh Puan Mariah. Ini bukan cadangan biasa-biasa tapi ini satu kerja gila!
"Mama lagi suka Ammara."
"Eh, dulu mama juga yang beria nak Muaz kahwin dengan Yasmin. Kononnya atas dasar tanggungjawab tapi bukan ke waktu tu mama lebih memilih dia sebab mama tak tau Ammara pun mengandung, kan? Mama lebih pentingkan cucu mama. Nak penuhi keinginan hati sendiri. Mama pentingkan diri juga waktu tu. So, sekarang jangan nak salahkan Muaz dan jangan suruh Muaz buang dia sesuka hati."
"Waktu tu si Yasmin spesis yang pijak semut pun tak mati. Manalah mama tahu once dia dah jadi bini yang sah, boleh pula jadi biadap macam tu. Ni hati mama ni ha, pedihh!"
"Tentang tu nantilah Muaz tegur dia."
"Sebab tu mama rasa Ammara much better than her. Jauh beza dah macam langit dengan bumi."
Ammara memang jauh lebih lembut orangnya. Pernah dia mengejek Ammara tentang anak yang tidak mampu Ammara berikan. Namun, Ammara cuma diam dan hanya membiarkan ejekan itu ditiup angin lalu. Dia bukannya suka-suka untuk menyakiti hati Ammara. Dia sebenarnya lebih kepada cemburukan rakan-rakan seusianya yang lain. Yang sudah memegang pangkat nenek. Bukan kepada seorang cucu malah berderet-deret cucu mereka. Dia? Satu pun tak ada. Pernah juga segelintir rakan-rakannya mencadangkan agar Ammara dan Muaz berubat. Disampaikan cadangan itu kepada Ammara sendiri. Siapa sangka Ammara turuti juga tanpa banyak soal. Hasilnya Ammara mandul. Itu apa yang Muaz sampaikan kepadanya. Putus harapan dia mendengar berita palsu yang diberikan. Kalaulah dia tahu Ammara bukan punca permasalahan itu, tak mungkin dia menerima Yasmin yang tiba-tiba hadir bersama cucunya di dalam perut. Tak kan dia yang beria untuk menguruskan majlis perkahwinan Muaz dan Yasmin sesegera yang mungkin.
"Terkilan mama. Kamu menipu demi nak singkirkan Ammara dulu." Puan Mariah mengeluh.
"Benda dah lepas tak payah nak sebut, ma. Tak akan ubah apa-apa keadaan pun sekarang ni. Sekarang ni Muaz lagi bingung dengan orang dekat rumah sana tu, haa. Nak balik pun berat hati. Bom jangka tu bila-bila masa boleh meledak."
"Rumah tangga kamu pandai-pandailah kamu berdua uruskan. Malas mama nak masuk campur. Kalau jadi apa-apa sekurang-kurangnya kamu tak boleh nak salahkan mama. Ikut suka kamu nak bertumbuk ke, nak bergusti ke, nak lancarkan perang berapa minggu sekali pun mama tak kisah." kali ini Puan Mariah benar-benar mengelak untuk masuk campur. Mungkin ada baiknya rumah tangga mereka terus bergolak dan tak pernah tenang. Dalam diam dia mendoakan kehancuran rumah tangga Muaz dan Yasmin agar tidak berkekalan. Hah, nanti bolehlah dia memujuk Muaz untuk mendapatkan semula Ammara. Ah, ibu seperti apa yang mendoakan kehancuran anaknya sendiri? Ya, itulah Puan Mariah. Kalau boleh hidup ini mengikut aturan yang dia mahukan. Barulah dia senang dan bahagia.
Petang itu Muaz melangkah keluar dari rumah Puan Mariah dengan hati yang berat. Masakan tidak, dia tahu dia harus berdepan dengan Yasmin sebaik saja tiba di rumah sebentar nanti. Apa perlu dia ikutkan saja keinginan Yasmin agar dia berhenti mengambil tahu tentang anaknya dan Ammara? Aduh, tak mungkin! Hatinya tetap menginginkan anak itu.
Muaz tertekan sendiri. Sudahlah Ammara sukar untuk dikesan. Kalau sekali lagi dia terserempak dengan Ammara, tak kan dia lepaskan peluang untuk berdepan dengannya. Dia nekad!
Share this novel