"Awak dekat mana sekarang?"
"Rumah mak. Lisa tak ada sekarang so saya dengan Hud temankan mak dekat rumah. Next week baru balik."
"Baguslah kalau macam tu. Tak adalah mak sunyi sangat."
"Hmm.."
Hah, sudah. Closed ended lagi. Maknanya Luth kena cari topik lain pula kalau nak terus berbual.
"Hud sihat?"
"Tadi awak dah tanya dah khabar Hud."
"Oh, ya ka? Tak ingat pula."
"Hmm..."
Aduh, lagi sekali? Dingin betul Ammara dengannya. Luth menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kehabisan idea untuk terus memanjangkan perbualannya dengan Ammara. Hampir sebulan lebih dah mereka bergelar suami isteri namun setakat ini masih tiada kemajuan dari segi hubungan. Masih hambar dan dingin.
"Nanti awak call lagi, ya? Saya nak pergi dekat Hud. Dia nak menyusu."
"Oh, okay. Nanti-nanti saya call lagi ya."
"Assalammualaikum."
Tak sempat pun Luth membalas salam, panggilan sudah pun dimatikan. Luth mengeluh perlahan. Susah rupanya nak buatkan seseorang jatuh cinta. Tapi tak sangka pula sepayah ini. Hatinya sendiri yang menjadi mangsa. Timbul rajuk di hati terpaksa dia memujuk sendiri. Ammara bukannya tahu sebab hati Ammara tak terlibat langsung pun dalam situasi ni.
Luth termenung memandang pada skrin telefonnya yang gelap. Tak buat salah pun rasa macam kena hukum. Jawab salam pun tak menyempat dah dimatikan panggilan. Hati Luth berkata sendiri.
Berapa lamakah masa yang Ammara perlukan untuk melihat keikhlasan hatinya? Hampir memasuki usia dua bulan masih tiada perkembangan. Adakah itu sesuatu yang betul? Adakah mereka masih berada pada landasan yang benar?
"Luth, dah kenapa? Jom, student dah menunggu." Hawa muncul bersama dua orang pelajar perempuan yang berjalan membontoti langkah kakinya.
"Pergilah dulu. Nanti saya datang." balas Luth dengan sedikit senyuman yang hambar.
Hawa mengarahkan pelajar perempuan yang datang bersama dengannya sebentar tadi untuk bergerak ke tempat latihan terlebih dahulu. Senyuman hambar Luth benar-benar mengganggu Hawa. Apa pula masalah Luth kali ini?
"So, tell me." ujar Hawa sebaik saja pelajar perempuan tadi bergerak menjauh meninggalkan mereka berdua.
"Hard to tell."
"Aaa, I see. Tak apalah kalau macam tu. Kalau ada masalah dan Luth perlukan apa-apa bantuan, just tell me, okay? Selagi mana Hawa boleh bantu, Hawa akan cuba bantu." Hawa menunjukkan isyarat ibu jari ke atas sebagai tanda bagus. Sekadar untuk memastikan Luth dalam keadaan yang baik. Luth sekadar membalas dengan senyuman. Moodnya masih terbang entah ke mana.
"Hawa."
"Ya?"
"Macam mana nak buatkan seseorang tu jatuh cinta? Lebih spesifik apa yang buatkan perempuan untuk jatuh cinta?" Soalan Luth membuatkan Hawa tercengang seketika.
"Luth ke telefon tadi tu, Ammara?" Puan Noraini menapak perlahan ke arah Ammara. Mengambil tempat di sofa berdekatan. Dia mengagah Hud yang sedang memandangnya. Tersengih-sengih Hud apabila diagah begitu. Bahagianya Hud sekarang ni. Semakin banyak kasih sayang yang diterimanya. Kalau Lisa ada, lagilah Hud seronok. Sepanjang masa dia dimanjakan. Lisa rajin sangat melayan karenah Hud. Setiap kali pulang, mesti awal-awal pagi lagi Lisa dah mengetuk pintu bilik bertanyakan Hud. Dah bangun ke belum? Dah menyusu ke belum? Semua dia nak tahu. Kadang-kala Ammara sendiri pun tergelak apabila melihat Lisa bergurau dengan Hud. Dia pun terhibur sama apatah lagi Hud.
"Ya, mak. Luth telefon. Bertanya khabar macam biasa."
"Mak tak sangka kamu berdua berkahwin. Tak sangka, kan? Jodoh tu datang dalam pelbagai cara."
Ammara tersenyum cuma. Jodoh? Betul ke dia dengan Luth tu jodoh? Yalah tu, jodoh yang dirancang. Dia yang mengajak Luth berkahwin. Sejauh mana jodoh yang dirancangnya akan berhasil dia sendiri pun tak pasti.
"Mak bersyukur sangat akhirnya Luth buat pilihan untuk jadikan kamu sebagai isteri. Dia tak pernah pun cakap tentang kahwin sebelum bertemu kamu. Terkejut juga mak. Tapi mak kena pandai cover. Risau kalau dia segan." ujar Puan Noraini sambil tertawa kecil.
"Luth pernah tak perkenalkan someone special dekat mak sebelum ni?" sengaja Ammara menyoal. Nak tahu sedikit sebanyak tentang sejarah cinta suaminya itu.
"Tak pernah walau sekali pun. Mak pernah mengusik soal kahwin dengan dia dulu, tapi tak dilayannya mak. Dia kata jodohnya tengah sesat. Tak jumpa jalan ke hati. Nak bagi location pun tak boleh sebab tak ada nombor telefon. Alahai, macam-macam si Luth tu." balas mertuanya dengan tawa kecil. Geli hati bila mengingat semula jawapan Luth suatu ketika dahulu.
"Ammara dengan Luth pun baru lagi mak. Tak sangka juga kahwin dengan dia. Kalau bukan sebab mak datang ke rumah waktu Ammara tengah dalam pantang dulu, rasanya tak bertemu kami ni." ujar Ammara. Tak sangka kahwin? Sejujurnya tak sangka Luth bersetuju untuk berkahwin.
"Itulah. Mak pun terkejut bila dia nekad nak kahwin dengan kamu. Terlalu singkat perkenalan kamu dengan dia. Mak rasa macam...bila masa pula dia mengorat kamu?"
Ammara tersenyum simpul. Alahai mak, Luth tak mengorat pun. Tapi Luth yang terjerat. Dia menggunakan perasaan Luth untuknya. Dia mengajak Luth berkahwin juga bukanlah kerana cinta. Perkahwinan ini berdasarkan kepentingan dirinya sendiri.
"Ammara, mak selalu pesan dekat Luth supaya jaga Ammara elok-elok. Jangan sakitkan hati Ammara. Kalau Luth ada buat hal, bagitahu mak. Biar mak karate budak tu."
"Uish, garangnya mak!"
Kedua-dua mereka tergelak bersama. Sudah lama Ammara tidak merasa suasana yang begini. Hatinya senang dengan perubahan hidupnya kini. Adanya mak tempat untuk bergurau senda. Tempatnya menumpang kasih dan melepaskan kerinduan pada ibunya sendiri. Suatu ketika dahulu dia pun pernah memiliki hubungan yang sama dengan bekas mertuanya. Mereka sangat rapat sehinggalah segala-galanya berubah dalam sekelip mata. Kini dia mendapatkan semula kehangatan kasih sayang itu dan harapnya agar kasih itu berkekalan selamanya. Dia sudah pun jatuh sayang pada Puan Noraini. Wanita itu penuh dengan sifat penyayang selayaknya seorang ibu yang dia dambakan. Sifat lemah-lembutnya sangat menyenangkan. Setiap perbuatannya dirasakan penuh keikhlasan. Tulusnya cinta wanita itu menerima dia dan Hud ke dalam keluarga kecil mereka benar-benar membuatkan dia selesa dan seolah-olah dia benar-benar berada di rumah.
Dalam diam Ammara mensyukuri nikmat yang dia kecapi ketika ini namun dia lupa pada sekeping hati yang menunggu untuk dibelai. Eh, tidak! Dia bukannya lupa tapi dia sengaja buat-buat tak tahu. Dia sengaja tak mahu melayan permintaan sekeping hati itu. Dia risau. Jika dituruti, adakah hatinya sendiri akan terjaga kelak? Macam mana kalau hatinya kembali berkecai? Ah, tak sanggup rasanya mengutip kembali kepingan hati yang berselerakan. Lebih baik dia menjaga sendiri hatinya itu untuk mengelakkan sakit yang berulang dan kerana itulah dia tidak bersedia untuk membuka pintu hatinya buat seorang lelaki bernama Luth Anaqi meski pun lelaki itu sudah pun bergelar suaminya yang sah.
Keperitan semalam masih menghantui. Menjadi trauma di dalam diri. Dia sendiri pun tidak pasti sampai bila hatinya akan terus tertutup rapat seperti ini. Adakah dia bersalah kerana tidak punya sebarang perasaan terhadap suaminya? Adakah dia bersalah apabila tidak mampu untuk membalas cinta yang dihulurkan? Seberapa kuatkah cinta Luth terhadapnya? Jika cinta Muaz yang sebelum ini menggunung tinggi pun boleh merata secara tiba-tiba, bagaimana pula dengan cinta Luth? Semakin difikir, semakin payah untuk Ammara menemukan jawapannya. Persetankan sajalah semua itu!
Share this novel
Luth cari org lain baru ko tau buat jual mahal pulk