Bab 39

Romance Series 103383

"You memang gila! Kenapa you libatkan mama sekali?"

"Dah kenapa tak boleh? Dia nenek kepada anak I."

Yasmin menyinga. Mahunya tidak! Siapa sangka rancangan makan malam itu rupa-rupanya turut terselit agenda tersembunyi yang hanya Muaz dan Puan Mariah yang tahu. Dia hanya diguna-gunakan. Bulat matanya membuntang memandang mak mertuanya berlari anak ke arah Ammara. Manakala suaminya pula terhendap-hendap di sebalik pagar rumah. Ish, semakin sakit hatinya apabila dia memikirkan semula tujuan sebenar makan malam itu diadakan. Kononnya cuba untuk meredakan suasana tegang di antara dia dan Puan Mariah tapi setelah menyaksikan sendiri gelagat dua beranak itu, Yasmin yakin sebenarnya ada rancangan lain disebalik semua yang berlaku. Makan malam itu hanyalah satu penyamaran.

Muaz mengelak untuk bertentang mata dengan Yasmin. Tak pernah langsung dia menyangka bahawa tindakan dia dan Puan Mariah malam ini terkantoi terus! Dalam diam rupa-rupanya Yasmin memerhati tingkah mereka dari tingkat dua rumah itu. Muaz sekadar menjeling Yasmin seraya menenangkan diri. Kalau diikutkan hati mahu saja dia pergi dari situ. Tak selera pula mahu membidas atau membela diri. Nak meneruskan peperangan pun dia malas. Tak ada mood! Lagi pula dah memang terang-terangan dia dan maknya kantoi, tak mungkin jugalah dia nak sibuk bersusah payah untuk tegakkan benang yang sudah pun basah lebur itu. Tak akan berjaya pun!

"I dah berkali-kali bagi warning dekat you tapi you tak pernah kisah pun, kan? I dah pernah kata kalau you masih lagi sibuk nak terkejar-kejarkan Ammara dan anak you tu, I tak akan teragak-agak untuk bertindak juga."

"Eh, you pun macam tak boleh nak cuba faham. Dah hakikatnya itu pun anak I memanglah I sibuk nak kejar dia. Kalau tu bukan benih I buat apa I nak menyibuk? Apa you ingat I tak penat ke dengan semua ni? Dah lah dapat bini yang tak tahu nak support I. Kerja asyik nak salahkan I saja. You sorang saja yang betul dalam rumah ni. Kalau yang buruk, yang salah tu semua bagi I."

"Sebab you tak adil!"

"Tak adil apa pula?"

"You abaikan masa you dengan Ayeesha! Dia pun anak you!"

"Memanglah dia anak I. Tak pernah pun I kata Ayeesha tu bukan anak I. Sekarang ni you faham tak situasi I? Apa yang I nak? I sekarang ni tengah berjuang untuk dapatkan anak I tu supaya I boleh dapat kedua-duanya. I tak berniat pun nak berat sebelah. Malah I sekarang ni tengah berjuang untuk berlaku adillah ni. Kalau Ayeesha dapat kasih sayang I, maknanya anak I yang seorang lagi tu pun layak untuk dapat kasih sayang I. Tak pernah terlintas pun dekat kepala otak I ni untuk lebihkan anak I dengan Ammara dan abaikan Ayeesha. Dua-dua pun I sayang. I nak dua-dua. Malah kalau difikirkan semula keadaan lebih tak adil untuk anak I dengan Ammara. I tak pernah ada untuk dia sejak dari mula jika dibandingkan dengan Ayeesha. Sejak dia ada dalam rahim you, I sentiasa ada untuk dia. Malah masa dia lahir pun I ada untuk dia. Sekarang ni nama anak I dekat sana tu pun I tak tahu. Lagi you nak kata I abaikan Ayeesha?"

"You tamak! You ingat dalam dunia ni you boleh dapat semua yang you nak ke?"

"Hah, terpulanglah! Kalau berdebat dengan kaum perempuan, kaum lelaki memang tak akan pernah menang. Kononnya perempuan tak pernah salah. Hah, inilah dia! Memang tak nak mengaku salah langsung. Semua nak ikut kata dia saja."

"You sedar tak...dalam pada you buat macam ni...you sebenarnya dah buatkan I rasa terasing. Ayeesha pun sama." Suara Yasmin mula mengendur. Terdengar sedih dan sayu disulam bersama.

"Seolah-olah kami ni tak ada makna untuk you... You berjuang bagai nak rak untuk keluarga you di sebelah sana, dalam tak sedar you abaikan kami di sini... I dah tak tahu nak buat apa..."

"I just need some time, okay? I janji semua ni akan berakhir tak lama lagi. Kalau semua dah berakhir, kita akan jadi seperti dulu semula. You kena sabar sikit. Itu saja yang I minta. Jangan push I sangat. I pun manusia biasa. Ada limit I jugak."

Yasmin mengeluh perlahan. Melepaskan rasa kesal dan putus asa. Tak ada bezanya kalau dia menyinga atau bertumbuk sekali pun. Muaz masih seperti itu.

"Bukan you saja yang ada limit, Muaz. I pun sama."

Yasmin berlalu perlahan. Dia bangun lalu mendaki anak tangga satu persatu. Menunggu Muaz untuk memanggil namanya. Memujuk rajuk yang jelas terlihat namun hampa. Ternyata Muaz lega apabila Yasmin mula mengendurkan suaranya. Ini bermakna dia tidak lagi perlu bertekak dengan Yasmin tentang apa yang berlalu pada malam ini. Pendek kata dia terlepas tanpa hukuman.

Yasmin melabuhkan punggungnya perlahan di birai katil. Dia mengusap perlahan katil itu. Memandang seketika di sekelilingnya. Satu keluhan dilepaskan. Jika suatu ketika dahulu di bilik itu penuh dengan gurau senda, kasih dan sayang. Tempat mereka bermesra dan bergelak tawa. Berkongsi cerita tentang apa saja sebelum terlelap di dalam dakapan masing-masing. Namun kini semua itu hilang begitu saja. Tiada lagi gurau senda, jauh sekali kasih dan sayang. Semuanya berubah kelam dan tidak lagi memberi makna. Tiada kebahagian yang dirasakan.

Apalah ertinya semua ini? Berbaloikah dia terus bertahan dalam sebuah hubungan yang seolah-olah tiada jaminan ini? Masa depan hubungannya dengan Muaz seolah-olah gelap dan kelam. Langsung tiada sinar. Yasmin bersoal sendiri namun dia sendiri pun tidak mempunyai jawapannya. Jika benar ini adalah balasan kerana perbuatannya yang lalu, sampai bilakah dia akan terus dihukum seperti ini? Dalam diam Yasmin menangis sendiri. Semakin dia teringat akan kisah cinta mereka yang lalu, semakin perit pula rasa yang perlu ditanggung. Rindunya dia pada Muaz yang pernah dia kenal. Kalaulah dia tahu Muaz akan berubah seperti ini, sudah tentu dia akan melangkah pergi sebelum terjebak lebih jauh dalam cinta buta itu. Semuanya sudah terlambat. Dia sudah pun terlanjur cinta. Tanpa disangka perbuatannya itu memakan dirinya sendiri. Ah, lelaki! Sebelum dapat memang bukan main manis lagi janji yang dilontarkan. Lautan api pun boleh berhenti menggeledak.

Dikenang pun dah tak guna. Nasi sudah menjadi bubur. Apa yang telah terjadi tidak boleh diundur lagi. Yasmin harus fokus untuk fikirkan cara agar terus bertahan dalam hubungan yang penuh kacau-bilau ini. Atau mungkinkah dia harus mengalah dan melangkah pergi begitu saja?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience