"Ammara!"
Hampir melompat Ammara sebaik saja melihat kelibat Luth tiba-tiba berdiri di depannya.
"Eh, Luth?" Soal Ammara kehairanan. Betul ke ini Luth? Bukankah dia di Sarawak? Dah tu siapa dekat depan dia ni?
"Kenapa? Terkejut sangat muka tu dah macam tengok hantu. Cubalah cover sikit muka terkejut tu boleh tak?" balas Luth sambil tersengih. Ahh, memang dah jodoh! Boleh pula terserempak. Berbunga-bunga hati Luth. Tak perlu dia mencipta alasan untuk menatap wajah Ammara. Ternyata Allah sudah siap sedia mempermudahkan jalannya.
"Buat apa dekat sini?"
"Sama macam awak. Beli barang." ringkas saja jawapan Luth. Kalau dah di supermarket, apa lagi tujuannya, kan? Mestilah beli barang.
"Bila balik? Bila sampai?"
"Baru touch down tadi. Sampai saja ke rumah terus temankan mak beli barang sekejap."
"Cuti?" soal Ammara yang masih lagi tidak percaya lelaki itu betul-betul berdiri di depannya.
"Tak, cabut lari." Balas Luth selamba sambil mengagah-agah Hud yang berada di dalam stroller. Tersengih anak itu dibuatnya. Luth memandang Ammara yang jelas terlihat keliru.
"Kenapa muka macam tu?"
"Luth cabut lari?"
Mengekek Luth ketawa. Aduhai Ammara, dah tentulah dia tengah cuti. Tak mungkinlah dia boleh cabut lari macam tu saja. Melihat Luth yang sedang tertawa, Ammara mula sedar yang dia sedang dipermainkan. Perlahan-lahan dia mula memahami keadaan sebenar yang berlaku.
"Bertuah! Tepilah." Ammara mula menolak stroller bayinya. Terasa panas mukanya menahan malu setelah diketawakan Luth sebentar tadi. Berbahang hangat pula rasanya.
"Ammara, marah ke tu?" Luth mengekori langkah Ammara sambil tersenyum.
Ammara sekadar menjeling geram. Marah? Eh tidaklah! Malu saja yang melebih.
"Ni yang awak ikut saya ni dah kenapa? Kata tadi temankan mak? Habis tu yang sekarang ni kenapa sibuk ikut saya pula?"
"Entahlah, tadi ada. Bukannya lama pun saya terleka tahu-tahu dah menghilang entah ke mana. Lorong mana pula dia pergi menyusup saya pun tak tahu. Kalau kita buat pengumuman orang hilang agak-agak ada yang nak layan tak?"
"Tak kuasa orang nak melayan awak. Banyak lagi kerja yang mereka boleh buat daripada layan orang tak center mana macam awak ni. Dah besar panjang pun boleh hilang mak. Ni kalau esok lusa ada anak, entah-entah anak pun boleh hilang."
Luth masih lagi kekal dengan senyumnya. Langsung tidak menusuk ke hati. Malah makin menguntum bunga di taman. Mekar dan segar-bugar semuanya.
"Hesy, anak bertuah! Merata mak cari kamu!" Tiba-tiba satu tamparan singgah di bahu Luth. Terkejut kedua-dua mereka. Laah, Puan Noraini rupanya.
"Kita suruh dia pergi ambil bakul, alih-alih dia sibuk mengacau perempuan." sambung Puan Noraini membebel.
"Eh, Ammara rupanya. Apa khabar? Sihat?" Puan Noraini segera menyapa Ammara setelah berjaya mengenalpasti siapa sebenarnya perempuan yang berada di sebelah Luth.
"Sihat, alhamdulillah. Mak cik sihat? Lama tak jumpa."
"A'ah, Baby Hud pun dah besar dah ni. Dulu tengok kecik lagi." balas Puan Noraini sambil menjenguk ke dalam stroller.
"Haa mak, daripada jejak kasih dekat sini apa kata kita jemput Ammara makan malam dekat rumah terus? Boleh borak panjang sikit." Luth sengaja memberi cadangan. Ammara memandang Luth sambil membuntangkan matanya sebagai tanda protes. Memandai Luth, kan? Geram pula Ammara.
"Hah, eloklah tu. Ammara, marilah ke rumah. Mak cik ada buat makan-makan sikit. Tak ada siapa-siapa pun jemputannya. Hari ni hari lahir Lisa. Nanti petang baru dia sampai rumah. Bolehlah kita buat suprise dekat dia sekali."
Ammara serba salah. Nak ditolak apa pula alasannya? Nak diterima tak selesa pula dengan kehadiran Luth tapi mana mungkin dia boleh buang Luth padahal itu anak tuan rumah yang menjemputnya. Ish, semua ni Luth punya pasal! Pandai sangat bagi cadangan yang kurang bernas.
"Terima kasih mak cik sebab dah jemput Ammara tapi Ammara tak berapa berani nak drive malam-malam." Ammara cuba mencari alasan.
"Saya boleh jemput." Luth pula tiba-tiba menawarkan diri. Sekali lagi Ammara menjeling Luth yang sedang tersenyum lebar.
"Tak payah kamu memandai nak jemput anak orang malam-malam. Nanti Yana boleh tolong jemput Ammara kalau Ammara sudi. Yana pun datang malam ni."
Oh, Yana! Lama sudah tidak mendengar khabar gadis itu sejak dia bergelar tunangan orang. Teruja pula rasanya untuk bertemu dan bertanya khabar. Lalu atas sebab itu tanpa sedar Ammara mengangguk tanda setuju. Luth pula? Tak payah cakap! Dialah orang yang paling gembira rasanya.
Bakal isteri akan bertandang ke rumah malam ni! Hati Luth menjerit keriangan. Jeritan kegembiraan yang hanya dia mendengarnya.
Bunyi hon mengejutkan Ammara dan membawanya kembali ke alam nyata. Peristiwa di pasar raya petang tadi terbang entah ke mana. Ah, mesti Yana dah sampai. Segera Ammara mencapai beg galas comelnya yang berisi hampir 80% barang keperluan Hud. Tiada lagi handbag kecil cantik yang hanya berisi barang keperluannya sendiri. Kini semuanya sudah berubah dan begitulah hakikat setelah bergelar seorang ibu. Bagi Ammara lebih senang berkongsi beg dengan Hud. Sekali angkut dah settle. Perjalanan ke destinasi tidak jauh. Hanya memakan masa setengah jam sahaja namun terasa seperti 5 minit apabila kedua-duanya sibuk bercerita itu dan ini.
Kedatangan mereka disambut mesra oleh Puan Noraini seperti kebiasaannya. Lisa juga bukan main seronok apabila kelibat Ammara dan Hud hadir untuk menyertai makan malam sempena hari lahirnya. Luth pula tak lepas-lepas mencuri pandang. Nampak gayanya dia tak ada peluang untuk berbual dengan Ammara malam ni. Ammara agak sibuk dengan adanya Lisa dan Yana sekaligus. Sedikit sinar muncul apabila Yana terpaksa pulang terlebih dahulu dan tugas untuk menghantar mereka dua beranak pulang diserahkan kepada Luth. Arahan sudah dikeluarkan oleh puan besar. Diluluskan kerana adanya Lisa untuk turut serta demi menggalas tanggungjawab memastikan mereka dua beranak selamat sampai di rumah. Alah, pendek kata tugas Lisa sebenarnya cukup sekadar ubat nyamuk.
"Abang, jom hantar Kak Ammara balik. Dah lewat ni." ujar Lisa sambil menyerahkan kunci kereta kepada Luth.
"Okey, abang terus tunggu dalam kereta." segera Luth mengorak langkah ke keretanya yang diparkirkan di hadapan rumah. Sengaja dia meletakkan keretanya di situ kerana kawasan halaman rumah dijadikan tempat untuk aktiviti BBQ sebentar tadi. Dia menghidupkan enjin kereta dan menunggu ketibaan Ammara dan Lisa.
"Jaga diri elok-elok. Lain kali senang-senang datanglah lagi. Meriah pula rumah ni kalau semua ada. Biasanya mak cik duduk seorang diri sejak Lisa ni dah sambung belajar." ujar Puan Noraini sambil bersalaman dengan Ammara. Kepala Hud pula diusapnya penuh kasih.
"Insyaallah, ada masa kami datang lagi. Terima kasih untuk malam ni." Balas Ammara sebelum mengucapkan selamat tinggal. Dia mengorak langkah menuju ke arah kereta namun langkah kakinya tiba-tiba terhenti. Betulkah apa yang sedang dilihatnya? Sepasang mata menatap ke arahnya tanpa berkelip. Jelas sekali pemilik mata itu turut tidak menduga kehadirannya di situ. Muaz! Apa yang Muaz buat di kawasan ini?
"Kenapa kak? Ada barang tertinggal ke?" suara Lisa yang mengetuk gegendang telinganya membuatkan Ammara kembali menyambung langkahnya yang terhenti namun kali ini langkahnya tidak sesantai tadi. Dia terburu-buru untuk meloloskan diri ke dalam perut kereta sekaligus meloloskan diri dari pandangan mata milik Muaz.
Apa yang Ammara buat di sini? Hati Muaz mempersoalkan kehadiran Ammara di kawasan perumahannya itu. Apa pula keperluannya di rumah itu? Muaz memandang rumah tempat Ammara keluar sebentar tadi. Apa hubungan Ammara dengan pemilik rumah itu? Ahh, semakin difikir semakin banyak pula persoalan yang timbul. Dia hanya mampu mengiringi kereta yang dinaiki Ammara dengan pandangan matanya sahaja. Sungguh dia masih terpaku. Tidak menyangka akan terserempak dengan Ammara lagi sekali. Apakah makna semua ini?
"Remarried."
Kata-kata Puan Mariah seolah-olah terngiang-ngiang kembali di telinganya. Adakah ini petanda bahawa jodoh mereka belum berakhir? Apakah itu tandanya mereka akan bersatu lagi?
Agak-agaknya next apa yang berlaku ya? ?
Share this novel
nak lagi please