"Tak payahlah susahkan dia, Lisa."
"Eh, tak susahkan dia mana pun kak. Dia bukannya ada kerja kalau balik cuti sekolah macam ni. Pergi dating pun tak. Life abang Lisa tu langsung tak menarik. Daripada dia terperap dekat rumah macam anak dara zaman dulu, lebih baik dia tolong hantarkan kita ke hospital."
"Tak payah. Kita boleh guna grab."
"Akak, kali ni biar Lisa minta abang Lisa tolong, ya. Lagipun Lisa pun nak jumpa dia. Borak-borak dengan dia. Cuti dia pun tinggal dua minggu saja lagi."
Ammara mengalah. Akhirnya dia mengizinkan juga Lisa untuk menghubungi Luth. Ammara sebenarnya rasa serba-salah untuk menyusahkan Luth menumpangkan mereka dua beranak ke hospital untuk janji temu Hud sempena sebulan usia kelahirannya. Luth tak ada sebarang kaitan dengan anaknya, dah kenapa mesti susahkan Luth?
Di sebelah sana, Luth menerima panggilan telefon dari Lisa. Dia yang sudah bersiap-sedia untuk berjogging pagi ini segera melepaskan semula kasut dan menukar pakaian sukan yang dikenakan kepada pakaian yang lebih santai dan kasual. Sedikit pun dia tidak membantah. Ini peluang!
"Eh, bukan ke kau nak turun jogging tadi, Luth? Dah balik ke? Cepatnya kau balik?" Puan Noraini menegur apabila melihat kelibat Luth yang sedang membancuh kopi di dapur.
"Tak jadi, mak. Lisa telefon minta tolong hantarkan mereka ke hospital. Janji temu baby Ammara katanya. Yana tak ada. Balik ke rumahnya semalam. Nanti petang baru datang semula ke rumah Ammara."
"Hah, eloklah tu kamu tolong apa yang patut. Mak bukannya apa, Luth. Mak kasihan betul dengan nasib Ammara tu. Baru anak pertama dah kena buat semua benda sendiri."
"Tak apa, mak. Lisa dengan Yana ada untuk temankan dia. Tolong dia apa yang patut."
"Sekarang ni adalah Lisa dengan Yana temankan dia. Esok lusa kalau Lisa tu sambung belajar ke apa, siapa pula yang nak temankan dia? Kalau Yana tu kahwin ke nanti, tak kan masih nak duduk dengan Ammara?"
"Doakan saja yang terbaik untuk dia, mak. Luth berangkat dulu mak. Risau mereka lama menunggu pula nanti."
Puan Noraini sekadar mengangguk dan menghantar anak terunanya itu keluar dengan pandangan matanya saja. Lain macam betul mood Luth pagi ini. Ceria semacam.
"Abang, tolong pegangkan Hud sekejap. Lisa nak ke tandas. Kak Ammara masih dekat dalam. Tengah diperiksa." Lisa menyerahkan Hud kepada abangnya. Si kecil Hud merengek sedikit. Barangkali masih terasa sakit kerana dicucuk sebentar tadi.
"Jangan lama-lama, Lisa. Abang tak reti nak pujuk baby nangis." balas Hud sambil mengendong si kecil itu sehabis baik. Lisa sekadar mengiyakan kata-kata abangnya sambil melangkah pergi.
"Nama kita dekat-dekat sama bunyinya. Ada makna ke tu?" Luth tersenyum sendiri. Dah macam main pondok-pondok pula dia. Dia berbual dengan Hud seolah-olah Hud faham apa yang dia katakan. Walaupun si kecil itu tidak menjawab sepatah pun kata-katanya, namun Luth masih lagi asyik berbual dengan Hud.
"Anak first ke, bang? Baby boy ya?" Tiba-tiba satu suara menegurnya dari belakang. Seorang lelaki berpakaian kemas dengan rambut yang rapi disikat ke belakang mendekatinya.
"A'ah, baby boy. Baby girl ke tu?" Luth turut menyoal. Dia tidak mengenali lelaki itu namun itulah kebiasaannya lelaki. Tak kenal pun boleh berbual bagai dah lama kenal.
Lelaki itu mengiyakan soalan Luth.
"Baru dua minggu. Overdue. Seronok sangat dalam perut mama dia sampai tak nak keluar." Ujar lelaki itu sambil tertawa kecil.
"Tak cukup tidur dua minggu ni dibuatnya. Tubuh kecil tapi suara bukan main. Kalau dia dah menangis tu aduhai, memang tak boleh nak tidur dibuatnya." Ujarnya lagi.
"Biasalah tu kalau new parents tak cukup tidur. Lama-lama nanti okeylah tu." Layak seperti orang dah beranak pula dia memberikan nasihat. Sedangkan dia sendiri berkahwin pun belum!
Mereka meneruskan perbualan sementara menunggu. Masing-masing mengendong bayi yang sudah tertidur ralit. Ammara yang baru keluar dari bilik pemeriksaan mencari kelibat Lisa namun tidak ketemu. Akhirnya sosok tubuh Luth juga yang menarik perhatiannya. Kelihatan Luth begitu asyik berbual sambil mengendong Hud.
"Alamak, Lisa. Sudahlah dia susahkan Hud untuk hantar mereka dua beranak ke mari. Ada ke patut dia susahkan pula Luth untuk mengendong bayinya?" Ammara mengomel sendiri di dalam hati. Segera dia mendekati Luth.
"Terima kasih dah pegangkan Hud." kata Ammara sebaik saja mendekat. Kedua-dua mereka yang asyik berbual menghentikan perbualan mereka dan beralih pandang ke arah Ammara. Bagaikan ada petir yang menyambar. Guruh pula berdentum. Ammara terkaku sejenak. Kenapa Muaz ada di sini?!
Muaz memandang Ammara tanpa berkelip. Ah, Ammara pun dah bersalin. Muaz mengalih pandangnya ke arah bayi yang sedang berada dalam pelukan Luth. Adakah itu bayinya? Benihnya yang dikandung Ammara sebelum ini?
Ammara tersentak dan mencapai Hud yang sedang lena di tangan Luth tanpa sepatah kata. Luth merasakan ada sesuatu yang tidak kena apatah lagi riak wajah lelaki yang baru berbual dengannya sebentar tadi bagaikan terkena kejutan elektrik sebaik saja melihat Ammara. Manakala Ammara pula bagaikan terkena panahan petir yang menyebabkan dia terkaku sejenak.
"Ammara, how are you?" Muaz cuba untuk bertanyakan khabar sebaik saja Ammara mengorak langkah menjauh dari situ. Dia sebenarnya sekadar mahu melihat bayinya lagi. Dia tinggalkan Ammara saat Ammara hamil benihnya. Maka, sudah tentu itu adalah anaknya!
"Boleh kita balik?" Ammara bertanya kepada Luth tanpa mempedulikan pertanyaan Muaz. Tidak sanggup rasanya untuk dia berada di situ lebih lama. Luth sekadar mengangguk lalu meminta diri dari Muaz. Muaz terdiam. Siapa pula lelaki itu buat Ammara? Apa kaitan lelaki itu dengan Ammara? Kenapa lelaki itu mengendong bayinya?
Perjalanan pulang ke rumah diisi dengan senyap dan sunyi. Lisa merasakan ada ketegangan yang menyelubungi. Tambahan pula jelas terpancar wajah masam mencuka dari Ammara. Dia cuba meminta petunjuk dari abangnya namun ternyata lelaki itu juga tidak tahu apa-apa. Sebaik saja tiba di perkarangan rumah, Ammara meminta Lisa untuk membawa Hud masuk ke dalam. Lisa sekadar menurut perintah.
"Macam mana awak kenal lelaki tadi?" Terus kepada inti, Ammara menyoal.
"Lelaki mana?"
"Lelaki dekat dhospital tadi tu."
"Oh, tak kenal pun. Sengaja berborak kosong."
"Jangan nak tipu." Keras nada suara Ammara. Sakit hatinya pada Muaz tidak pernah padam. Setelah sekian lama dia terbuang dan sendiri, kenapa harus hari ini mereka bersua kembali? Lagi-lagi dengan adanya Hud! Kalau boleh dia tak mahu Muaz tahu tentang kewujudan Hud. Dah alang-alang tak peduli, biarlah sampai ke mati pun jangan ambil tahu tentang dia.
"Tak, saya tak tipu. Sekarang ni saya tak faham. Kenapa awak nak marah sangat ni Ammara? Awak kenal lelaki tadi tu?" Giliran Luth pula menyoal. Dia benar-benar bingung sekarang. Dah kenapa dia pula kena marah? Apa salah dia?
"Dia ada tanya apa-apa tentang Hud?" Suara Ammara sedikit mengendur. Sedar bahawa dia terjerat dengan soalan Luth sebentar tadi. Tak kanlah dia nak cakap yang tadi tu ialah ayah kandung Hud? Sedangkan bagi dia ayah kandung Hud sudah pun mati.
"Tak ada langsung. Kami cuma berbual kosong. Dia tengah menunggu isterinya diperiksa, saya pula tengah tunggu awak selesai diperiksa. Nama dia pun saya tak tahu." Luth berkata jujur. Sememangnya dia lupa untuk bertanyakan nama lelaki itu.
Ammara diam. Menimbang sendiri apakah Luth sedang berkata jujur atau sedang berdalih.
"Tadi saya dengar lelaki tu ada bertanyakan khabar awak. Kenapa awak tak jawab?"
"Ish, tak payah menyibuk. Awak ingat disebabkan awak ni abang Lisa awak boleh soal saya sesuka hati ke?" Ammara membentak kasar.
Eh, terkejut Luth dibuatnya. Tak pasal-pasal dikatakan menyibuk. Ammara segera berpaling dan menutup pintu rumah meninggalkan Luth yang terkebil-kebil sendiri. Apa pula salahnya kali ini? Luth menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia merasakan tekaannya betul. Lelaki tadi mesti ada kaitan dengan Ammara. Mereka kenal antara satu sama lain sebab tu emosi Ammara berubah 360 darjah tanpa sebarang amaran. Tapi apa ya? Luth tertanya-tanya sendiri. Dia mengeluh perlahan sambil berlalu pergi. Wajah masam Ammara mula mengganggu. Merosakkan seluruh harinya.
Share this novel