Ammara melangkah menuju ke balai ketibaan. Cuti penggal kali ini akan digunanya untuk 'melawat' kawasan. Kata orang jangan tak ambil tahu langsung tentang suami. Kang orang bertanya, tergagap dia menjawab. Mahunya kena kutuk dari belakang.
Siapa sangka saat dia menyatakan hasrat mahu berkunjung, Luth menyambut baik keinginannya. Sungguh dia terkejut dengan penerimaan Luth.
"Ya, saya nak ke sana. Kenapa? Tak boleh ke?"
"Eh, dah kenapa pula tak boleh?"
"Habis tu? Kenapa tanya berulang kali?"
"Sebab saya rasa macam tak percaya. Sebab tu lah saya tanya berulang kali. Sebelum ni kan saya dah ajak awak ikut saya, tapi awak tak layan langsung pun. Awak kata tak ada kepentingan."
"Saya datang kejap saja pun. Bukannya terus tinggal sana."
"Ish, nak tinggal terus pun boleh. Lagi saya suka. Nanti saya uruskan tiket flight. Awak ready siap-siap dengan Hud. Saya sendiri yang akan datang jemput dekat airport."
Bukan main semangat lagi Luth bila si isteri menyatakan keinginan untuk terbang menemuinya. Bagaikan mimpi menjadi realiti. Jangan-jangan kerana kejutan tempoh hari? Wah, Ammara dah mula berlembut ke tu?
Ammara berkerut sendiri. Dia dapat merasakan kegembiraan Luth di sana saat dia menyatakan hasratnya untuk terbang ke Sarawak. Seolah-olah kedatangan dia dan Hud sememangnya dinantikan oleh Luth. Persoalan tentang siapa Hawa masih lagi disimpannya rapi. Tunggulah nanti. Tak risau pula Luth tentang hubungannya dengan Hawa diketahui Ammara? Hmm, Ammara pelik sendiri. Kalau Muaz dulu beraneka jenis alasan yang keluar bila dia kantoi. Lain pula dengan Luth.
"Okay, jumpa next week."
So, here we are! Dari jauh Ammara sudah berjaya mengesan kehadiran Luth yang tersenyum lebar melihat kelibat mereka dua beranak. Melambai-lambai penuh keriangan. Ammara pula yang terasa kekok.
"How about your flight? Hud okay? Tak meragam?" soal Luth seraya mengambil Hud dari dukungan Ammara.
"Hud behave. Dia tidur sepanjang flight so everything went just fine."
"Baguslah kalau macam tu. So, nak terus ke rumah atau nak terus jalan-jalan? Cari makan ke?"
"Nanti-nantilah cari makan. Baru pukul 10 pagi. Tak lapar lagi. Kalau nak masak dekat rumah terus pun sempat untuk makan tengah hari ni."
"Ish, tak kan sampai-sampai terus nak masak. Lagipun dekat rumah barang dapur untuk masak pun entah cukup entah tidak. Saya selalu makan dekat luar. Dah kenyang baru balik rumah. Tak pun pesan bungkus." balas Luth sambil tersengih.
Oh, selalu makan luar ya? Hati kecil Ammara berkata sendiri. Mesti bertemankan Hawa, kan? Namun hanya dia yang mendengar gema suara hati. Tidak pula dia meluahkan apa yang sedang berkumandang.
Not bad. Itu komen pertama Ammara sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah sewa milik Luth. Segalanya tersusun rapi. Kemas! Ringkas saja hiasan dalaman rumah sewanya. Minimalist!
"Rumah ni ada berapa bilik, ya?" Soal Ammara sambil memerhati keadaan sekeliling.
"Ada dua bilik. Awak tidur sini, ya? Saya dah siapkan dah bilik untuk awak. Jangan risau. Saya tak kan ambil kesempatan ke atas awak walaupun tak ada orang lain pun dekat sini."
"Oh, awal-awal lagi memang dah plan nak asing biliklah ni?"
"Saya tak kisah pun kalau nak sebilik malah kalau sebantal sekali pun saya tak kisah. Lagi saya suka tapi awak tu haa.. tak ready lagi,kan? So, ini jalan terbaik yang saya boleh fikirkan. Awak pun selesa ada bilik sendiri."
Entah kenapa namun hati Ammara sedikit terusik. Seolah-olah ada sedikit pemberontakkan yang berlaku. Terasa macam kena perli pun ada.
"Dah tu awak tidur mana?" soal Ammara.
"Jangan risau, saya tidur bilik tu haa. Tak kan saya nak tidur dekat sofa pula padahal rumah sewa sendiri. Betul tak?" ujar Luth selamba. Ammara sedikit tersentak. Aik, lain macam pula kata-kata Luth. Nak cari gaduh ke?
Oh, begitu sekali Luth mengikut rentak permainan yang dia mulakan. Ah, kalau sebilik pun bukannya jadi apa. Jika sebelum ini Luth seolah-olah sukar untuk menerima keputusan Ammara agar mereka tidur berasingan. Hanya kerana alasan dia belum bersedia namun kenapa kali ini kelihatan Luth sepertinya terlalu rela untuk mengasingkan diri darinya? Apa mungkin benar Luth ada simpanan yang lain sehinggakan dia nekad untuk tidak duduk sebilik bersama Ammara?
Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Luth pula sekadar berdiri di muka pintu bilik.
"Kenapa?" Soal Ammara pelik apabila Luth tidak melangkah sama. Sekurang-kurangnya tolonglah hantar bagasi tu ke dalam bilik. Jangan dibiar di muka pintu bilik saja.
"Tak apa, awak rehatlah. Biar saja jaga Hud. Rindu sangat dengan dia ni." balas Luth sebelum melangkah pergi. Amboi, sekarang mereka terpisah dek muka pintu bilik pula? Begitu sekali ya?
Sekali lagi fikiran negatif datang menerpa. Dah kenapa Luth terlalu menjaga batas mereka? Adakah Luth sekarang ini sedang membalas apa yang telah dia lakukan sebelum ini?
Ammara teringat sendiri saat dia meminta Luth untuk tidak berbaring di sebelahnya kerana dia kurang selesa dengan kehadiran Luth di sisi. Tanpa membantah, Luth turuti jua permintaan Ammara. Walaupun pada hakikatnya Ammara tahu sukar untuk Luth menerima. Manakan tidak, Luth tidur di sofa pada malam pertama mereka bergelar suami isteri. Bahkan bukan pada malam itu saja malah malam-malam seterusnya juga begitu. Tetap juga Luth berdiam diri.
Kini dia seolah-olah berada di tempat yang sama. Tapi bukankah dia sendiri yang memulakan? Kenapa harus sesakit ini rasanya apabila Luth melakukan hal yang sama? Kenapa harus Ammara terasa hati? Bukankah Luth sekadar meneruskan rentak permainan yang dia sendiri mulakan? Saat Luth menyediakan bilik yang berasingan, hatinya sedikit berkocak. Apa sebenarnya yang dia harapkan?
Apa mungkin kerana kehadiran Hawa yang menjadikan dia rasa tercabar? Apa yang Hawa dah buat di saat dia belum lagi berbuat apa-apa sebagai isteri Luth yang sah? Dia memikirkan perkara yang terburuk. Sejauh mana hubungan Luth dengan Hawa?
Sesekali Luth menjeling. Manalah tahu kalau-kalau ada kelibat Ammara muncul. Namun setelah 145 kali menjeling dengan harapan Ammara akan keluar dan menegurnya, Luth mula berputus asa. Nampak gayanya Ammara tak akan keluar. Sukalah tu dapat bilik asing. Luth membentak sendiri.
Kalau diikutkan hati, mahu saja dia duduk sekali dengan Ammara dalam bilik tu. Apa nak jadi pun jadilah. Tapi Luth sedar kata hati tu ada waktu boleh pakai, ada waktu tak boleh pakai langsung. Mengenangkan Ammara yang baru saja sampai, dia memilih untuk bersabar. Kang tak pasal-pasal Ammara terbang pulang semula. Dia juga yang berputih mata. Hmm, kalau diikutkan mahu saja dia memeluk Ammara sebaik saja dia melihat kelibat Ammara di balai ketibaan tadi. Tapi itulah, risau pula kalau dituduh mengambil kesempatan.
Jika diikutkan tak salah pun apa yang Luth nak buat tapi Luth tak nak mengeruhkan keadaan. Kalau boleh dia nak Ammara menerimanya dengan rela. Bukan kerana dia memaksa. Jika jatuh cinta itu memerlukan masa, maka dia sanggup menunggu. Siapa tahu akhirnya nanti pasti indah. Sehingga kini, hatinya masih lagi teguh mencintai Ammara. Debar jantungnya masih sama persis kali pertama memandang Ammara. Sungguh dasyat ya penangan cinta pandang pertama. Semakin lama semakin dalam pula sayangnya walaupun tidak berbalas. Aneh sungguh.
Share this novel