Bab 37

Romance Series 103383

Puan Mariah memandang anaknya dengan mata yang hampir terjegil keluar. Ammara dah berkahwin dengan lelaki lain? Habis tu? Macam mana Muaz dan Ammara nak bersatu kembali?

"Kenapa kamu biarkan lelaki lain rampas Ammara dari kamu? Hmm, mama tak kira. Mama nak kamu dengan Ammara tu kahwin semula."

"Mama cakap senanglah. Mama ingat Muaz tak cuba halang ke?"

"Kalau tak halang sungguh-sungguh memanglah tak akan berhasil. Buat ala kadar macam tu saja."

"Mana ada macam tu, ma. Muaz memang nak kan Ammara semula. Muaz dah cuba kejar dah dia ke sana ke mari tapi dia langsung tak pandang Muaz. Dia macam dah benci sangat dekat Muaz."

"Habis tu? Kamu nak mama terus terima si Yasmin tu sebagai menantu? Dah lah biadap, perampas pula tu. Eh, mama tak hadap langsunglah dengan penyondol macam Yasmin tu. Entah kenapa boleh pula muncul dia dalam hidup kamu. Ish, geram betul."

Muaz meraup wajahnya. Tak habis-habis Puan Mariah menghina Yasmin. Sebelum ini semuanya elok saja. Seolah-olah Puan Mariah telah pun menerima Yasmin dengan hati dan tangan yang terbuka. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa Yasmin sedang mengandungkan cucunya pada waktu itu. Dia juga yang mendesak bagaikan tiada hari esok supaya Muaz dan Yasmin bersatu. Dia juga yang mula berubah sikap terhadap Ammara yang disangka penamat keturunan kerana tidak mampu memberikan waris untuk anaknya. Namun segalanya berubah apabila Puan Mariah tahu bahawa kisah tentang kemandulan Ammara hanyalah sekadar omong kosong tidak berasas. Ammara dah pun melahirkan cucu yang sekian lama ditunggu. Cucu dari Ammara yang dia harapkan selama ini.

Yasmin yang diterima dengan hati dan tangan terbuka sebelum ini mula terlihat buruk dan hina di matanya. Semakin difikir dan diingat semula, segalanya jadi semakin busuk dan jelek. Yasmin terlihat murah kerana dialah punca kepada keruntuhan rumah tangga Muaz dan Ammara. Kalau sungguh pun Ammara disangka mandul dan Yasmin tak pernah muncul, mesti segala kekacauan ini tak kan pernah berlaku. Dia juga tidak akan dibutakan dengan kehadiran Yasmin saat dia terlalu kecewa dengan berita kemandulan Ammara padahal semua itu tidak benar. Semua ini memang salah Yasmin.

"Yang kamu tu dulu dah kenapa sebar berita kata Ammara tu mandul, Muaz? Pendek akal betul!"

"Muaz manalah tahu! Tiga tahun mencuba asyik gagal. Berapa banyak dah duit dibuang untuk beli pregnancy kit tu. Semuanya satu line. Tiga tahun, ma. Tiga tahun tu bukan tempoh yang singkat. Mama sendiri pun dah bising tanya bila nak ada anak, bila mama dapat timang cucu. Bila mama dapat itu...dapat ini... Mama tak ingat ke?"

"Memanglah mama bising. Mama risau kalau kamu berdua yang merancang tak nak anak. Maklumlah umur muda lagi. Manalah mama tahu kalau kamu berdua mencuba ke apa."

"Siapa yang kahwin tak nak anak, ma? Kalau ada tu orang bodoh saja, ma. Muaz tak tergolong dalam golongan orang-orang tak berakal macam tu."

"Tak tergolong dalam yang tak berakal tapi tergolong dalam golongan yang pendek akal."

"Ish, mama pun sama. Tergolong dalam golongan yang tak penyabar."

"Kamu memang kurang ajar eh, Muaz. Nak mama cilikan mulut tu? Ni mesti si penyondol tu yang ajar kamu biadap macam ni, kan?"

"Dah lah tu , ma. Tak payah nak tuduh Yasmin itu ini. Semua ni bukan silap dia saja. Kita pun sama salah. Mama terlalu mendesak, Muaz pula mudah sangat cari jalan lain dan Yasmin pula muncul mencuri ruang."

"Kamu cubalah pujuk lagi Ammara tu, Muaz.''

"Nak pujuk macam mana lagi, ma? Muaz baru mendekat dia dah keluar taring. Muaz dah tanya dia untuk bagi peluang kedua. Mulakan segalanya dari awal semula tapi dia berkeras tak sudi. Dia... bukan seperti Ammara yang pernah Muaz kenal."

"Kamu buatkan dia jatuh cinta semula pada kamu. Cinta pertama biasanya susah nak lupa. Kedudukannya pun lebih tinggi. Tak mungkin Ammara semudah tu buang kamu. Mama yakin nun jauh di dalam hati Ammara masih ada tempat untuk kamu. Dia mungkin terlalu benci dengan apa yang kamu dah buat sebelum ni , Muaz. Hati dia kecewa. Mesti hancur teruk rasanya tapi untuk melupakan kamu secepat itu, rasanya tak mungkin."

"Tapi dia dah kahwin."

"Ah, kamu juga yang cakap dia kahwin dengan laki dia tu sebab dia nak mengelak dari kamu. Maknanya dia tak cintakan lelaki tu pun. Hah, lagilah senang kerja kamu. Lebih baik kamu bertindak awal sebelum Ammara jatuh sayang dengan laki dia tu. Kalau waktu tu tiba, memang putih matalah kamu."

"Tak boleh, ma. Makin kerap Muaz muncul depan Ammara, makin kuat pula rasa benci yang datang dari Ammara. Rasa tak sanggup pula nak hadap kebencian dia tu."

"Kalau kamu tak sanggup biar mama pula yang mencuba. Biar mama yang pergi jumpa dia."

"Mama nak buat macam tu?"

"Mestilah. Nak harapkan kamu? Huh, tak boleh diharap pun."

"Mama akan pujuk Ammara balik semula ke pangkuan Muaz?" soal Muaz sambil tersenyum. Senang hati apabila Puan Mariah turut turun padang demi menyatukan kembali mereka berdua.

Bersatu kembali. Ya, memang itu yang dia inginkan. Hatinya meronta menginginkan Ammara. Jiwanya menjerit memanggil Ammara. Rindu berkocak menghempas dinding dada dengan deras. Betapa dia mendambakan Ammara kembali. Sesungguhnya dia masih mencintai Ammara.

Yasmin? Ah, sepantas dia datang mengukir nama di hati, sepantas itu juga dia menghilang. Indah yang dirasakan saat bersama Yasmin sebelum ini tidak kekal lama. Entah mengapa semakin hari semakin kelam dan kusam. Dulu sewaktu bercinta, dunia bagaikan milik mereka berdua. Segalanya indah dan baik-baik saja. Namun kini segalanya berubah setelah mereka duduk sebantal tinggal sebumbung. Ternyata yang indah-indah semakin terhakis.

Dia sering membandingkan Ammara dan Yasmin. Terlalu jauh beza di antara mereka berdua. Jika Ammara tak pernah melenting, namun itulah bakat extra Yasmin. Ammara tak pernah nak panjangkan sesuatu isu yang menjadi punca perkelahian mereka, tak pernah cuba nak menang. Tapi Yasmin pula sebaliknya. Sentiasa nak menang. Selagi mana tak menang, selagi tu mengungkit dan membangkit.

Ah, mereka terlalu jauh berbeza. Layanan di meja makan juga terlalu ketara perbezaannya. Dulu Ammara sentiasa memasak di rumah. Sebut saja nak makan apa nanti balik kerja semua dah siap sedia untuk dimakan. Yasmin pula asyik-asyik Foodpanda. Ada dapur pun jarang berasap. Tu sayur dalam peti ais sampai layu pun tak dimasaknya. Tak masuk lagi bahan lain yang kering kejung dalam peti ais. Cili padi pun dah kering tak dipakai. Dalam tak sedar, segala perbandingan itu turut membuatkan Muaz berubah hati dan kembali merindu pada kasih yang dia tinggal pergi. Menimbulkan rasa kesal yang menggunung.

"Tahulah mama macam mana nak uruskan nanti." Ujar Puan Mariah sambil kepalanya ligat merangka strategi. Demi kebahagian anaknya dan juga kebahagian diri sendiri, dia akan lakukan apa saja. Mereka pernah bahagia bersama. Dia sendiri senang dengan Ammara. Dia menganggap bahawa Ammara adalah anak perempuan yang dia tidak pernah ada. Saat kali pertama dia bertemu Ammara, dia tahu bahawa mereka akan serasi bersama.

Puan Mariah sedar dia harus menebus semula kesilapan yang telah dilakukan. Dia sendiri pernah menyinggung perasaan Ammara sebaik saja hatinya kecewa dengan kebohongan yang tercipta. Bersalahnya dia pada Ammara. Dia nekad. Dia harus menyatukan semula Muaz dan Ammara. Mereka akan jadi seperti dahulu. Sebuah Keluarga.

Share this novel

Zai Zai
2024-09-29 21:47:26 

lagi

Zai Zai
2024-09-25 14:12:56 

next

norsila
2024-07-23 13:42:12 

kesian luth nnti .ammara masih tk move on..tk sdar diri lagi..ikutlah luth dn jaga betul2 ni satu utara ..satu barat .huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience