Kepulangan Azam pada kali ini, disambut dengan satu kejutan yang langsung tidak dijangka. Jadi, inilah sebabnya, dia sering berasa tidak sedap hati selama berada di laut.
Jangankan Hans, Yasmin sendiri pun tidak menghubungi apatah lagi menceritakan perkara ini kepada Azam, setelah keberangkatannya ke Eropah pada beberapa bulan yang lalu.
Azam tahu pun, daripada keluarga Yasmin. Iaitu, sewaktu dia datang melawat Iz pada pagi tadi. Perasaan ceria dan gembira dengan kelahiran si kecil Iz, sirna saat mendengar berita penceraian Yasmin dan Hans.
Dalam kecewa, ada terselit kesedihan dan hiba dalam diri Azam, kerana sangkanya, setelah apa yang pernah berlaku dalam hubungan Yasmin dan Hans, pasangan itu akan tampil lebih matang serta bersikap rasional, namun, lain pula yang terjadi apabila keduanya memilih untuk mengikut perasaan dan menjunjung tinggi ego masing-masing, sehingga tidak sedar bahawa mereka sedang menghancurkan hidup serta masa depan Iz.
"Pakcik bukannya apa, fikirkan pasal Iz tu je. Kecil lagi...Hans tu pun, katanya taknak rujuk balik dengan Yas...Yas pun nampaknya taknak kembali semula ke pangkuan Hans." Ujar Harun sambil meneliti raut wajah Azam seketika.
Petang semalam, setelah mendapat info mengenai kepulangan Azam ke tanah air, Harun cepat-cepat menghubungi lelaki itu dan menyuruhnya untuk berkunjung ke rumah. Dan tanpa mengesyaki apa-apa, Azam menjejakkan kaki ke rumah keluarga Yasmin, setelah hampir setahun.
Berat mulut Harun mahu berterus terang mengenai tujuan sebenar dia mengajak Azam ke rumahnya hari ini. Bimbang jika Azam akan tersalah faham dengan tujuannya itu nanti.
Yalah, Yasmin pun, bukannya anak dara lagi. Janda, anak satu pula itu. Kalau Azam terima, makin bertambahlah tanggungjawabnya nanti. Ibaratnya seperti beli satu, percuma satu. Hah, merepek dah orang tua ni! Lantas Harun menggelengkan kepalanya, lalu kembali fokus kepada agenda utama.
"Pakcik okay ke? Pakcik nampak nervous...Pakcik nak saya ambilkan air?" Lantas tangan Azam dibawa ke arah jug air di hadapannya. Baru hendak mengisikan air ke dalam cawan, namun langkahnya ditegah oleh Harun.
Hampir terjatuh rahang Azam saat jari jemarinya digenggam erat lalu kulit tangannya diusap lembut oleh Harun yang mula menatapnya dengan pandangan redup. Azam menelan kasar air liurnya yang mula mengering.
Langsung meremang seluruh bulu roma atas tubuh. Seram sejuk pula apabila diperlakukan sebegitu oleh Harun. Bapak Yas ni sihat ke tidak? Dah kenapa duk raba-raba tangan aku pulak! Ekspresi wajah Azam ketika itu cuak habis.
Mata melilau mencari keberadaan Wahida mahupun Yasmin di situ, dengan harapan ada yang boleh menghulurkan bantuan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini ke atas dirinya nanti. Tetapi, jangankan jasad, batang hidung wanita-wanita itu pun tidak kelihatan di situ. Terlepas satu keluhan dari mulutnya. Waktu-waktu macam nilah, sibuk nak memasak kat dapur! Gerutunya dalam hati.
Setitik demi setitik, keringat paniknya meleleh menyusuri dahinya yang sudah berkerut seribu. Jantung pula semakin laju berdegup memukul dadanya bertalu-talu.
Habis kacau sistem respirasinya. Azam hampir pengsan akibat kekurangan oksigen. Mana taknya, nak bernafas pun rasa susah sekarang ni. Orang kat depan asyik usap mengusap kulit tangan kasar dia macam dah tak sabar nak terkam.
Azam mengemam mulutnya dengan kuat dalam keadaan terpinga-pinga. Takkan si bapak Yas ni, suka kat aku kot...Ya Allah! Tolong aku...Jangan mahkota yang kujaga buat sekian lama ini, ternoda angkara kaum aku sendiri. Roh seakan tenggelam timbul di antara jasad dan dunia luar.
"Pakcik, sebenarnya ada permintaan." Entah mengapa, suara Harun kedengaran begitu gemersik dan seksi pada deria pendengaran Azam. Lantas, dia menyeringai ketakutan tanpa suara.
Makin dia cuba menarik tangannya daripada genggaman Harun, makin kuat pula jemarinya diramas, malah semakin ketat pula tautan tangan mereka. Apa pulak dia nak minta ni? Jangan ajak aku kahwin sudahlah. Aku taknak! Aku bukan lelaki macam tu...
Hampir menghamburkan tangisannya di situ. Air mata sudah lama terkumpul di tubir mata, menunggu masa sahaja untuk tumpah. Namun, demi menjaga air mukanya sebagai seorang lelaki sejati, Azam cuba tahan walaupun realitinya terasa begitu menyeksakan.
"Apa...apa dia pakcik..." Cuba mengukir senyuman walaupun kelihatan hambar demi menjaga hati Harun. Tautan tangan cuba dilonggarkan, namun masih tidak berjaya.
"Pakcik, sebenarnya...sebenarnya dah lama suka dekat Azam." Terlopong bahkan tidak percaya dengan kata-kata nista penuh kesesatan itu. Jadi, benarlah sangkaannya tadi. Harun sudah terlanjur menyukai dirinya? Azam menjarakkan kedudukan mereka walaupun tangannya masih berada dalam genggaman lelaki tua itu.
Astaghfirullah al azim! Ya Allah, dugaan apakah ini?
"Pak...pakcik. Saya bukan lelaki macam tu..." Penyakit gugupnya pula mula menyerang tanpa amaran.
"Ya, pakcik tahu. Cuma...pakcik rasa, Azam je pilihan yang terbaik buat masa sekarang." Ikutkan hati, nak saja lari masuk dalam hutan. Duduk kat sana sampai Harun ni ditimpa nyanyuk. Lepastu baru keluar semula ke dunia luar. Pertama kali dalam hidup, dia dilamar oleh seorang lelaki, lelaki tua pulak tu. Ya Allah, buat loya tekak aku jelah! Kecik besar kecik besar je aku tengok orang tua ni...
"Tak pakcik...tak..Pakcik dah salah faham. Saya...saya bukan yang terbaik. Pakcik cari...
cari orang lain." Puas dikerah akal bagi menumpahkan idea, namun hanya ini yang dia dapat proses.
"Tolong Azam. Pakcik dah tak tahu nak harapkan siapa. Hanya kamu je harapan pakcik." Harun mula menurunkan nada suaranya. Geli geleman pula Azam mendengarnya.
"Pakcik...saya...saya..." Masih tidak berputus asa. Selagi boleh dibendung, akan dipertaruhkan seluruh jiwa dan raganya sekalipun. Janji, keterunaannya terjaga rapi demi si 'dia'. Namun, belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Harun menyampuk.
"Pakcik nak mintak kamu kahwin dengan Yas..." Lantas Harun menundukkan kepala. Bimbang dengan penerimaan Azam.
"Ohhh...kahwin dengan Yas...boleh, boleh. Nanti Azam kahwin ye..." Lah, ingatkan apa tadi. Kahwin dengan Yasmin aje pun. Apa yang nak dirisaukan. Perempuan kot...
"Alhamdullilah...terima kasih Azam...terima kasih..." Terpancar sinar kegembiraan pada wajah tua itu. Mata mula berkaca-kaca kerana tidak menyangka, pilihan hatinya akan bersetuju untuk menikahi Yasmin. Sungguh, Harun terharu dan rasa terhutang budi dengan Azam pada saat itu. Berkelip-kelip mata menatap wajah pemuda di hadapan.
"Eh! Kahwin dengan Yas?! Yasmin?! Yasmin Zahirah? Yasmin anak pakcik tu?!" Setelah lama berdiam diri, akhirnya akal yang hampir beku itu mula berfungsi. Betapa terkejutnya seorang Azam tika itu. Hanya dia sahaja yang tahu.
Harun lantas mengangguk-anggukkan kepalanya bersama pakej senyuman semanis gula castor di wajah.
"Err...saya, saya tersalah..."
"Azam, ikut aku jap." Entah dari mana datangnya minah penyibuk ni. Lepas lama menghilangkan diri, baru sekarang nak muncul. Dah ni, siapa yang nak tolong settlekan kekucar kaciran ni semua? Siapa lagi, akulah! Satu jelingan tajam Azam hadiahkan kepada Yasmin yang hanya beriak biasa.
Share this novel