"Betullah apa yang mereka cakapkan tadi. Abang pun terlepas pandang perkara tu. Masih anggap yang Tiara ni kecil lagi." Pening kepala Hadi dengan bebelan isterinya yang sejak tadi tidak mahu menutup mulut.
"Eh, abang ni! Apa salahnya kalau Tiara tu keluar jalan-jalan dengan Hans. Dorang kenal dari kecil kut bang. Tiara tu, sejak bayi lagi dah rapat dengan Hans. Lagipun, dorang bergaul pun, macam adik beradik." Merah padam wajah perempuan itu.
"Mereka bukan sedarah. Bukan juga sepupu. Hanya kenalan rapat yang tiada pertalian darah. Jangan lupa kenyataan tu. Lambat laun, orang akan mula mengata pasal anak kita. Dia pun makin dewasa...Hans pun dah berumahtangga. Kamu nak ke, Tiara digelar sebagai penyondol? Kamu rasa, orang luar tahu ke pasal pertalian kita dengan keluarga Hans? Atau pasal hubungan Hans dengan Tiara sebatas adik beradik sahaja...tidak lebih daripada itu?" Hadi mula mengeluarkan hujahnya. Naik muak dengan sikap Rafidah yang terlalu ikutkan perasaan. Cakap ikut sedap mulut je. Tak fikir langsung baik buruknya.
"Huh...Apa-apa jelah bang. Fida malas nak bertekak." Terus diangkat punggungnya dari situ. Malas mahu bertentang mata dengan suaminya yang sering menyebelahi orang lain, berbanding dirinya sendiri. Sakit hati aku!
Yasmin termenung sambil memerhatikan anak-anak kecil yang sedang bermain badminton di hadapan rumah. Tersimpul senyuman manis saat anak-anak kecil itu melambaikan tangan ke arahnya.
Fikiran Yasmin mula berlabuh kepada anak dalam kandungannya yang sudah hampir mencecah 5 bulan. Dipegang lalu diusap perut yang kian membesar itu dengan perlahan. Terbit satu perasaan yang sukar diungkapkan dalam nalurinya. Perasaan yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Sebak mula bertandang dalam hati. Entah macam mana rupa anak aku nanti...
Dan lamunannya serta merta terhenti akibat diganggu oleh bunyi notifikasi yang masuk bertubi-tubi dalam telefon bimbitnya.
Malas-malas Yasmin membuka aplikasi Whatsapp lalu melihat gerangan yang menghantar pesanan. Tiara?! Tersentak saat nama itu tertera pada ruang notifikasi. Cepat-cepat dia membuka mesej-mesej itu lalu mula membacanya.
Tiara
-Kak Yas, maaf kalau Tiara menganggu. Kak Yas free tak petang ni? Boleh Tiara jumpa dengan Kak Yas?
-Kalau boleh, Tiara nak jumpa dengan Kak Yas sorang je.
-Kalau Kak Yas free, Kak Yas bagitau ye.
-Maaf sekali lagi kalau Tiara menganggu masa Kak Yas.
Yasmin melepaskan keluhan. Nak jumpa untuk apa? Nak marah? Maki hamun sebab kata-kata mak semalam? Yasmin mula memerah otak. Setelah lama berfikir, Yasmin memutuskan untuk membalas pesanan-pesanan itu.
Yasmin
-Hi Tiara. Tak menganggu pun. Kak Yas free je petang ni. Nanti Kak Yas ambik Tiara kat rumah. See u later.
Peranti itu disimpan semula ke dalam poket dress yang tersarung pada tubuhnya. Selang beberapa minit, benda pipih itu berbunyi kembali. Yasmin mengeluarkan semula peranti itu lalu membaca pesanan baru yang diterimanya.
Tiara
-Okay Kak Yas. Tiara tunggu kat depan rumah nanti. Thanks.
Sekali lagi lolos satu keluhan panjang dari mulut Yasmin. Semakin berdebar memikirkan tujuan Tiara mengajaknya berjumpa. Sebelum ini, gadis itu jarang menghubunginya. Namun, Tiara, sering menghantar ucapan setiap kali hari lahir mahupun hari ulang tahun perkahwinan Yasmin menjelma. Bila difikir balik, Tiara bukanlah gadis jahat. Cuma, Yasmin terasa hati kerana Hans sering melebihkan gadis itu berbanding dirinya selaku seorang isteri.
Petang itu, setelah meminta izin daripada Fauziah, Yasmin terus memandu keluar sebelum mengambil Tiara di rumahnya seperti yang telah dijanjikan. Mereka memilih untuk lepak di sebuah taman bunga kerana kawasan itu selalunya sedikit sunyi.
"Makanlah Kak Yas. Tiara beli untuk akak ni." Plastik berisi donut gula itu dihulurkan kepada Yasmin. Yasmin menyambut huluran itu dengan senyuman. Tadi sebelum datang ke taman ini, mereka sempat singgah di sebuah gerai tepi jalan, lalu membeli sedikit kuih muih dan air minuman.
"Hurm, Kak Yas. Tiara nak minta maaf dengan Kak Yas." Sikit lagi nak tersembur keluar sisa kunyahan makanan dalam mulut Yasmin. Cepat-cepat diambil bekas minuman lalu dihirup air di dalamnya dengan sedikit gelojoh. Terkejut punya pasal, apa pun boleh jadi. Tenang Yas, tenang...dengar dulu penjelasan dia.
"Maksud Tiara? Maaf untuk apa? Kak Yas tak faham..." Serak semacam suara Yasmin. Bukan kerana sebak, tetapi tekaknya pedih kerana tersedak popia basah tadi. Semua gara-gara terperanjat.
"Semalam, Makcik Fauziah ada datang rumah. Dia dah cerita semua benda kat Tiara. Tiara rasa bersalah sangat. Sebab Tiara, hubungan abang Hans, dengan Kak Yas, jadi kucar kacir. Tiara betul-betul tak sangka, benda macam ni boleh berlaku. Tapi sumpah Kak Yas, dalam hati Tiara, tiada walau sekelumitpun rasa cinta atau sayang berlebihan terhadap abang Hans...Tiara anggap abang Hans macam abang kandung Tiara sendiri." Terang Tiara sambil teresak. Tapak tangan sebelah kanan diangkat sehingga ke paras telinga seolah-olah sedang mengangkat sumpah.
Meleleh-leleh air matanya mencurah ke pipi. Yasmin mula rasa bersalah terhadap gadis itu. Entah apa yang menghasut mindanya untuk mempertikaikan hubungan antara Tiara dan Hans Ilham. Dia terdiam sejenak sambil mengatur ayat dalam mulut sebelum mengulaskannya kepada gadis itu.
"Akak yang salah sebenarnya. Akak terlalu ikutkan perasaan. Tapi, tulah. Akak tak boleh nak menafikan yang, akak rasa cemburu bila tengok Hans mesra dengan Tiara. Mungkin Tiara takkan faham perasaan ni sekarang, sebab Tiara masih bujang. But trust me, once you see your husband talking or showing interest to an another woman, more than he shows to you, you will be angry and rasa marah tu boleh bertukar kepada rasa cemburu dan benci." Jelas Yasmin tanpa menyorokkan isi hatinya. Dia tidak mahu gadis itu menganggapnya seorang manusia yang tidak matang kerana cemburu terhadap gadis seusia dirinya.
Lantas Tiara mengangguk. Cuba menggali nafas dalam sebelum mula bersuara kembali. "Tiara betul-betul tak sangka, yang selama ni Kak Yas, terpaksa makan hati dengan abang Hans sebabkan Tiara. Tiara janji, Tiara takkan ganggu abang Hans lagi." Tangisan gadis itu mulai reda setelah Yasmin mengusap lembut bahunya sambil mengukir senyuman manis.
"Kalau Tiara masih nak jumpa, akak tak kisah. Tiara datanglah ke rumah abang Hans. Kat situ, ada ramai orang. Jadi, tak jatuh fitnah." Tiara mengangguk lagi. Kali ini, wajahnya menjadi sedikit ceria kerana Yasmin tidak memarahinya seperti yang dia sangkakan sebelum ini.
Dia juga sayangkan Yasmin. Wanita itu banyak membantunya dulu. Sewaktu dia kekurangan duit belanja, Yasmin akan menghulurkan beberapa ratus ringgit kepadanya. Malah, Yasmin juga selalu menghantar dan mengambilnya dari universiti jika Hans sibuk. Mana mungkin, dia memusnahkan hidup seorang wanita sebaik Yasmin.
Jauh di lubuk hati Yasmin, terbit rasa bersalah kerana sudah melukakan hati gadis yang baru menginjak dewasa angkara perasaan cemburunya yang tidak berasas. Sedangkan dia sedia tahu, bahawa Hans melayan Tiara selayak adiknya sahaja.
Yasmin menyeka air mata yang masih melekat pada pipi dan rahang Tiara sebelum menghulurkan seketul donut gula kegemarannya. Donut itu disambut dengan gembira oleh Tiara. Berbunga hati kala Yasmin masih mahu menerima dan berkawan dengan dirinya. Lega kerana segala yang terbuku dalam hati, akhirnya terluah juga. Begitu juga dengan Yasmin. Tenang kerana beban yang ditanggung selama ini, seakan berkurangan.
Share this novel