"Deal...Aku on..." Mulut tidak berhenti dari menyebut ayat yang sama berulang kali, sehingga terganggu terus lena Tiara.
Sambil mengosok kelopak mata yang masih mamai, dia menguatkan diri untuk bangkit lalu bersimpuh di sebelah suaminya yang sedang rancak mengigau.
Tiara memasang telinga. Berkerut dahi cuba memahami maksud di sebalik igauan suaminya. Selesai sahaja majlis pada petang tadi, mereka sudah pulang ke rumah keluarga Azam lalu bermalam di situ.
Jam di atas meja sisi dikerlingnya sekilas lalu. Jam 2 Pagi! Tubuh yang penat itu memerlukan rehat yang secukupnya. Dia benar-benar mengantuk dan penat.
"Natrah!" Terbeliak biji mata saat nama asing itu tiba-tiba terpacul keluar dari mulut Azam. Mencanak naik rasa tidak puas hati, geram, berang, marah, entah apa lagi perasaan yang akhirnya meningkatkan rasa cemburu dalam dirinya.
Baru sehari menjadi isteri orang, sudah diuji dengan kehadiran orang ketiga? Siapa pula orang yang bernama Natrah itu? Kenalan Azamkah? Atau scandal tidak bertauliah yang disimpan tanpa pengetahuan dirinya selama ini?
Kepala yang tidak gatal itu digaru perlahan. Selimut yang membaluti tubuh sasa itu terus ditarik kasar sebelum dilemparkan di atas lantai bilik.
"Abang...abang! Bangunlah." Bahu lelaki itu ditepuk sedikit kuat. Melampiaskan rasa kecewa yang terbuku dalam hati. Mahu berbuat lebih, takut jatuh dosa pulak.
"Kenapa? Kenapa berak sini..." Makin lama suara Azam makin perlahan lalu hilang. Keadaan menjadi sunyi sepi seketika. Namun, tidak bagi Tiara, yang jiwanya sudah berdendang sayang irama hiphop angkara rasa curiga yang mula menjalar lalu mencengkam kuat sekeping hati wanitanya.
"Abang! Bangunlah!" Tubuh kaku milik suaminya digoncang kuat sehingga lelaki itu terjaga. Memisat-misat mata kelopak mata sebelum mengerdipnya beberapa kali bagi menghalau rasa kantuk.
Pandangan yang kabur itu beransur jelas. Seorang perempuan cantik berbaju tidur sedang memandang tajam ke arahnya.
"Baby? Baby kenapa tak tidur lagi? Lapar ke?" Soalnya penuh prihatin. Rambut kusut milik isterinya itu dirapikan dengan hujung jari.
"Siapa Natrah?" Naik seoktaf nada Tiara. Seusai menanyakan soalan, terus ditarik muncung bibirnya. Mata mula berkaca menahan air mata daripada mengalir ke pipi. Tika mendengar nama seorang perempuan yang meniti dari mulut isterinya, kepala Azam mula mengingati sesuatu.
"Natrah tu..." Belumpun sempat dia menjawab, Tiara mencelah.
"Ex abang kan?!" Mencerlung biji matanya menatap wajah gusar milik Azam. Peluh dingin mula menitis ke pelipis dan kawasan dahi. Air liur ditelan bagi membasahkan tekak.
"Mana baby dengar nama tu?" Mencari kepastian. Setahunya nama itu wujud di dalam mimpinya sahaja. Bagaimana pula isterinya boleh tahu? Melainkan dia mengigau sehingga menyebut nama itu sebentar tadi. Boleh jadi juga...
"Dah kalau sampai sebut-sebut nama orang tu dalam tidur, mestilah someone special kan?" Tiara menjeling sebal. Geram nak hantuk kepala lelaki itu pada bucu katil.
"Oh... Abang mimpi je tu." Sengihan kerang busuknya sedikitpun tidak menyakinkan Tiara. Sekian lama menahan air mata yang bertakung, akhirnya dilepaskan juga empangan itu untuk mengalir sesuka hatinya. Geram bercampur kecewa. Tergamak dia menyebut nama bekas kekasihnya di malam pertama perkahwinan mereka. Lelaki semua sama!
"Eh, baby! Kenapa nangis ni..." Tangan yang menghampiri pipi ditepis oleh si empunya badan.
"Baby...janganlah macam ni. Abang minta maaf ya. Abang..." Esakan mula kedengaran.
"Diamlah...abang pun sama je macam lelaki-lelaki lain kat luar tu. Kalau sayangkan lagi ex abang tu, kenapa tak kahwin je dengan dia!" Dihamburkan tangisan setelah mengucapkan apa yang terbuku dalam hati.
"Natrah tu bukan ex abanglah." Jawab Azam sambil mengusap lembut lengan Tiara.
"Habis tu siapa?" Masih dalam sedu sedannya.
"Err, tadi...tadi abang mimpi. Abang mimpi kita dah ada baby girl. Nama dia Natrah." Malu dengan imaginasi diri sendiri. Sehingga terbawa dalam mimpi.
"Tipu! Abang tipu..." Apa lagi, semakin menjadilah tangisan Tiara pada awal pagi itu, sehingga Azam sendiri mati akal, tidak tahu mahu berbuat apa. Nasiblah jika disoal siasat oleh ibu serta ahli-ahli keluarganya yang lain pada hari esok.
"Hah, Azam. Apa yang bising-bising sangat dalam bilik kamu tengah-tengah pagi tadi? Kahwin tak sampai 24 jam, dah bergaduh." Bentak ibunya. Kesemua mata terarah pada Azam dan Tiara yang sudah menunduk malu menekur meja makan.
Rata-rata hanya berdiam diri tanpa mengeluarkan suara. Tahulah ada ribut yang sudah melanda rumahtangga Azam tidak sampai sehari dia menikah. Boleh masuk Malaysian Book of Records.
"Err, takde gaduhlah ma. Tiara ni hah terjumpa lipas berkeliaran kat bawah katil kitaorang. Itu yang dia terkejut sampai menangis tu..." Lantas Tiara mengangguk. Ini sahajalah cara yang ada demi menutup pekung di dada.
"Terkejut tengok lipas apanya, kalau duk bising abang tipu, abang tipu tu..." Alamak! Tajam sungguh pendengaran wanita tua ini. Azam menyengih seketika sambil mengasah akal.
"Tak, Tiara marahlah sebab Azam mati-mati janji dengan dia yang bilik tu takde lipas. Bila ada, tu yang dia emo tak tentu pasal semalam. Maaf semua..." Alahai, menyesal terima pelawaan ibunya untuk bermalam di situ semalam.
Ikutkan hati, mahu saja dia angkat kaki, pulang ke apartmentnya semula. Dia lebih gemar tinggal bersendirian kerana tinggal bersama keluarga kadang terasa leceh, tiada privasi dan perlu menjaga setiap perkara supaya tiada yang terasa hati.
"Maaf...sebab saya buat bising semalam." Sekian lama menyepi, akhirnya Tiara membuka mulut. Malu tidak usah cakaplah. Nak sahaja sorokkan muka bawah meja makan. Itulah, emosi sangat sampai terlupa kewujudan makhluk lain di dalam rumah ini.
"Takpe Tiara. Kami semua terkejut sebenarnya. Hairan pun ada. Sebab tengah-tengah pagi kan..." Balas ibu mertuanya sambil tersenyum tipis. Walaupun sedikit terkejut dengan penukaran calon menantu pada saat-saat terakhir, dia percaya, perancangan tuhan itu adalah antara yang terbaik.
Mungkin bukan jodoh anaknya bersama Yasmin tetapi bersama Tiara. Cuma, tidak dinafikan, bahawa dia sedikit bimbang dengan jarak umur di antara kedua mempelai itu. Mampukah Tiara menghadapi kerenah Azam yang jauh lebih tua berbandingnya? Dan bolehkah Azam mendidik isterinya dengan sabar?
"Mak ada benda nak pesan dengan kamu berdua. Harap kamu tak berkecil hatilah." Serentak Azam dan Tiara menoleh ke arah wanita berkenaan. Sudu dan garfu terus diletakkan di sudut pinggan. Rasanya tidak hormat jika mereka meneruskan makan di saat orang tua hendak berkata sesuatu.
"Apa dia ma?" Soal Azam sebelum mengerling sekilas wajah gusar isterinya di sebelah. Macam serius sahaja bunyinya...
"Kalau boleh, tunggu dulu setahun dua. Jangan cepat sangat fikir soal anak. Mak tahu anak tu, rezeki daripada tuhan. Bukan mak nak suruh korang tolak rezeki tu, cuma bagilah masa untuk kamu berdua kenal secara lebih rapat. Mak bukannya apa, jarak usia antara kamu berdua, besar. Mak takut jadi apa-apa, kesian anak tu nanti. Mungkin selama ni kamu tak nampak kekurangan pada diri masing-masing, sebab berjumpa pun, tak sampai lima enam jam. Tapi, sekarang, kamu bakal tinggal serumah, sebilik, sekatil. Masa nilah kamu akan nampak segala macam perangai dan sisi pasangan yang kamu berdua tak nampak ketika sedang bercinta." Jelasnya sambil memandang wajah Azam dan Tiara silih ganti.
Lama Azam dan Tiara berfikir sebelum keduanya mengangguk lemah. Waktu bercinta dahulu, mereka sudah merancang mahu memiliki zuriat secepat yang mungkin, namun setelah mendengar kata-kata ibunya, rasanya ada benar juga. Fikiran Azam serta merta beralih kepada Yasmin dan Hans Ilham. Ketika mereka berdua berpisah, Iz menjadi mangsa keadaan.
"Tiara muda lagi. Masih banyak benda yang kamu perlu belajar. Jadi isteri ni tanggungjawab dia besar. Bukan sekadar menjaga batin si suami je, tapi banyak lagi hal kita kena laksanakan dengan betul. Mak taknak anak menantu mak bercerai berai sebab takde persefahaman. Kalau suami kamu marah, kamu jadilah air, banyakkan bersabar. Dan ketika isteri kamu pula sedang marah, kamu pulalah yang jadi air. Sentiasa bertolak ansur. Jangan ada ego dalam rumahtangga. Ingat, tiada manusia yang sempurna. Sebab itu kita dicipta berpasangan. Saling menghargai kekurangan yang ada pada diri masing-masing." Tiara mengangguk sambil membalas senyuman ibu mertuanya.
"Azam pula, mak nasihatkan satu benda ni. Kalau rasa isteri kamu ni ada kekurangan yang kamu boleh lentur, boleh baiki, boleh nasihatkan, boleh bimbing, boleh didik, buatlah. Jangan pergi cari mana-mana pihak untuk bercerita atau berkongsi kisah dalam rumahtangga kamu. Benda-benda macam tulah yang membawa kepada kehadiran orang ketiga. Bimbing, didik isteri kamu dengan sabar. Tak rugi pun. Dia bakal menjadi ratu dalam hidup kamu. Bakal menjadi ibu kepada zuriat kamu. Hormat dia, belai dia di saat dia perlukan seseorang. She is still young. Banyak benda yang dia mungkin tak tahu. Kamulah yang kena ajarkan." Kali ini, Azam pula mengangguk. Mungkin sebelum ini, dia sudah terbiasa hidup bersendirian, dan selepas ini dia bakal memikul satu amanah yang cukup besar dalam hidupnya. Kini, dia ada hati yang perlu dijaga.
maaf lambat lagi...author burn out dgn masalah2 dunia...rasa mcm lemah semangat sampai takde mood langsung nak menulis. Masih dlm fasa healing. Moga chap ni tak membosankan kalian. ada lagi satu epilog sebelum kisah ni tamat. Happy reading dan jangan lupa tinggalkan komen.
Share this novel