Naik berbulu telinga mendengar bebelan kedua ibubapanya sejak beberapa hari ini. Malah adiknya juga turut ikut serta meleteri hal yang sama berulang kali. Sampai muak jadinya!
Seminggu berlalu begitu pantas sejak dia menjatuhkan talak ke atas Yasmin, dan selama seminggu itu jugalah, dia tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk memujuk bekas isterinya itu semula. Cukuplah, berkali-kali hati dan perasaannya dipermainkan oleh wanita. Dulu Alisa, kini Yasmin.
Dah tuan empunya badan sendiri yang mengusulkan keinginan itu, jadi sebagai seorang manusia yang berpegang pada janji, Hans tunaikan sahaja. Semoga kau lebih tenang dan bahagia bersama orang di sana.
Bukan tidak mahu berbincang, cuma sudah penat menghadap kerenah yang sama berulang kali sehingga akhirnya dia memilih untuk berputus asa. Tiada semangat mahu memperbetulkan keadaan mahupun memujuk rayu seperti dulu. Biarlah, mungkin jodohnya bersama Yasmin, sampai di situ sahaja. Dia reda jika itu ketentuan-Nya.
"Dengar ke tidak ni Hans? Berbuih dah mulut mak ni membebelkan kamu...pergi pujuk balik Yas tu. Jangan ego lagi Hans...Fikir pasal anak..." Belum sempat Fauziah menghabiskan kata, Hans mencelah.
"Hans je kena fikir pasal anak? Yas tak payah fikir? Mak...enoughlah tu. Hans penatlah. Sepatutnya Hans sedar dari dulu lagi, masa dia terhegeh-hegeh mintak cerai dekat Hans. Rupanya, dia dah lama ada hubungan dengan si Azam tu. No wonderlah dua ekor tu sedih sangat masa si Azam tu nak berlayar lama-lama kat laut." Bidas Hans tanpa memberikan ruang kepada Fauziah untuk mengemukakan pandangannya lagi. Semakin diberi muka, semakin menjadi-jadi leteran ibunya. Semua kesalahan diletakkan di atas bahunya seorang.
"Hans...mana tahu Yas cuma reka cerita. Mak tak percaya yang Yas tu ada orang lain. Hans pergilah bincang elok-elok dengan dia..." Fauziah masih merayu dengan harapan Hans akan berlembut hati. Namun, hampa. Lelaki itu malah menyandarkan tubuhnya pada pemegang sofa lalu menekan alat kawalan jauh sambil menumpukan perhatiannya pada kaca televisyen. Fauziah mengetap giginya dengan geram. Boleh pulak dia buat macam tu...
"Hans!" Pekik Harsha tiba-tiba. Dia semakin hilang sabar dengan sikap acuh tidak acuh Hans.
"Sha...mak...abah. Dah-dahlah ye. Hans dah nekad. Hans taknak terima perempuan curang dalam hidup Hans. Kalau dia tak buat, kalau dia tak suka, she wont admit it right? Perempuan mana sanggup mengaku yang dia ada lelaki lain kat belakang suami? Hans taknak sejarah lama berulang balik. Hans pun ada hati perasaan. Hans ni anak mak, anak abah. Ahli keluarga ni. Kalau masing-masing asyik menuding jari pada Hans je, mana lagi Hans nak pergi. Dua kali...dua kali Hans kena benda yang sama. Hans taknak jiwa dan ketenteraman Hans kacau bilau semula disebabkan isu ni. Curang tu pilihan, bukan kesilapan." Alat kawalan jauh itu dihempas kasar ke atas sofa lalu tanpa menunggu balasan daripada sesiapa, Hans terus mengangkat kakinya menuju ke arah bilik. Hari pertama Yasmin keluar dari rumah, Hans sudah membersihkan biliknya dengan membuang saki baki barang-barang Yasmin yang masih tertinggal. Malah, dimop dan dilap setiap inci ruangan bilik itu supaya tiada yang tersisa termasuk bau Yasmin.
Daun pintu dihempas kuat, melampiaskan amarah yang masih menyengat dalam jiwa. Biar orang-orang dibawah tahu bahawa emosinya terganggu kerana kata-kata mereka sebentar tadi. Tubuh lantas dihenyakkan di atas tilam empuknya.
Haruman pewangi bilik lavendar itu disedut perlahan. Menenangkan... Wangian lama sudah ditukarnya. Cadar katil lama juga telah dibuang lalu digantikan dengan yang baharu. Cat dindingnya juga sudah diubah. Susun atur perabut juga sudah dialih mengikut citarasanya. Kini, fasa baharu sebagai duda bermula. Tidak guna meratapi pemergian insan yang tidak menghargai kita. Dan apa yang paling penting, no more woman in my life after this!
"Sha tak percayalah mak, yang Yas suka kat si Azam tu...Ni mesti ada punca lain." Suara Harsha memecahkan keheningan antara mereka bertiga yang sedari tadi tidak mengeluarkan apa-apa bunyi. Khalid mengalihkan pandangannya pada Harsha sambil mengangguk. Benar, pasti ada isu lain.
"Agak-agak Sha...apa puncanya?" Fauziah menyoal sambil mendekatkan wajahnya ke arah Harsha yang sedang berfikir.
"Ish...mak ni pun! Manalah orang nak tahu...bukannya orang pasang cctv dalam bilik dorang pun." Bentaknya dengan sebal. Ada pula tanya kat aku punca keretakan rumah tangga orang. Mak...mak...
Fauziah menarik muka masam lalu mencebik. Punca apa yang buat anak menantunya bercerai berai seperti ini? Buntu dan bingung dengan perangai dua ketul manusia yang selalu bikin masalah. Kenapalah tak bincang elok-elok dulu...Ni tak, terus jatuhkan talak. Laki bini dua-dua tak boleh pakai. Yang jadi mangsa, cucu aku. Bebel Fauziah.
"Sabar Yas...abah tahu. Abah taknak kamu pergi ke sana semula." Harun menepuk lembut bahu anak sulungnya yang masih tidak berhenti menangis. Seminggu yang lalu, anak itu pulang dalam keadaan tidak terurus bersama bagasi di tangannya.
Hati bapa mana yang tidak sakit melihat satu-satunya anak perempuan kesayangan diceraikan dalam keadaan masih berpantang. Mahu naik angin pun sudah terlambat.
Dahulu sewaktu, Yasmin bersungguh-sungguh mahu mengahwini Hans, sebagai seorang bapa, sepatutnya dia bersikap lebih tegas dan menghalang keinginan anaknya itu. Namun, apakah daya, hati sudah terlanjur jatuh cinta, dipaksa, diheret, dilarang sepertimana sekalipun, belum pasti mampu memisahkan kekuatan cinta itu. Harun lantas mengeluh. Sakit telinga mendengar omelan anak sulungnya yang tidak berhenti menangis.
"Abah...Yas tak boleh lupakan Hans...Yas rasa...sakit. Yas rindu Hans abah..." Esaknya sambil terbaring di atas riba Wahida. Harun hanya mendengar tanpa menunjukkan sebarang minat mahu membantu. Biarlah mereka bercerai pun, janji hidup anaknya selepas ini, lebih terjamin masa depannya. Sesuka hati, anaknya dipermainkan oleh si menantu yang sudah terang-terang curang bersama bekas kekasihnya.
"Yas...sudahlah tu. Dia dah jatuhkan talak. Lepasni kita serahkan kepada pihak mahkamah. Abah taknak Yas sedih-sedih macam ni. Yas muda lagi..." Harun bersuara dengan tegas sambil disaksikan oleh Wahida. Isterinya hanya menjadi pendengar. Serba salah mahu bersuara kerana dulu, dia yang menyokong serta memujuk Harun untuk merestui hubungan Yasmin dan Hans. Kini, hidup anaknya hampir musnah, dan dia bimbang kemarahan Harun akan meledak jika dia membuka mulut.
"Yas...pergi masuk bilik dulu. Bagi susu kat Iz. Kesian dia, mesti tengah lapar." Wahida berbisik pada telinga Yasmin sambil mengusap lembut kepala anaknya yang masih tertunduk di atas ribanya. Siapa sahaja sanggup melihat anaknya sengsara depan mata...
Selang beberapa minit, Yasmin berlalu meninggalkan ruangan itu dengan hati yang berat sambil diperhatikan oleh Harun dan Wahida.
"Abang...buatlah sesuatu. Kesian Yas...baru lepas beranak, dah jadi macam ni. Mesti ada salah faham antara..."
"Ida! Abang taknak dengar apa-apa. Abang tahu jaga anak abang. Kamu pergi temankan Yas kat atas. Buat masa ni, jangan ganggu Yas...Kita tunggu kepulangan Azam..." Wahida tersentak dengan kata-kata suaminya. Pada masa yang sama, dia juga berasa hairan, apabila nama Azam turut disebut oleh Harun.
"Tunggu kepulangan Azam?! Untuk apa?" Keningnya hampir bercantum waktu itu.
"Abang nak kahwinkan Yas dengan Azam. Abang rasa Azam pun mesti akan setuju." Dari dulu lagi, Harun berkenan dengan Azam. Dia mengakui kebolehan Azam dalam menjaga dan melindungi anak sulungnya itu.
Buktinya, selama Yasmin berada di Kuala Lumpur keseorangan tanpa keluarga dan teman, Azamlah satu-satunya insan yang banyak membantu Yasmin sehingga wanita itu sudah boleh berdikari di tempat orang.
Tetapi, hampa. Selepas beberapa bulan, Yasmin memperkenalkan Hans Ilham kepadanya, sebagai teman istimewa dan meminta restu menikahi lelaki itu. Sedikit pun dia tidak menyukai Hans, namun atas desakan isterinya, dia akurkan jua demi kebahagiaan Yasmin. Kali ini, dia tidak akan berdiam diri lagi, dia sendiri akan pinangkan Azam untuk Yasmin.
"Yas...macam mana dengan Yas? Abang rasa Yas akan setuju dengan cadangan ni?" Sedikit pun Wahida tidak setuju dengan kehendak Harun. Dia tahu benar hubungan sebenar di antara Yasmin dan Azam yang tidak lebih sekadar kawan baik itu. Mana mungkin keduanya mahu bersetuju dengan cadangan ini.
"Dia akan setuju. Abang yakin, hanya Azam satu-satunya lelaki yang boleh jaga dan lindungi Yas. Kalaulah dari dulu Yas dengar cakap abang, mesti dah bahagia dengan budak Azam tu..." Harun menjeling Wahida yang seakan tidak bersetuju dengan kata-katanya tadi. Kali ini, dia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak lagi. Dia perlu segera mencampuri urusan Yasmin demi masa depannya.
maaf lambat update...draf lama tak ter'save'. sedih kene pulun balik buat yg baru..ayat pun bnyk berubah...huhu..jemput baca and dont forget to leave a comment as usual ye...tq
Share this novel