Pemandangan malam bandar raya Kuala Lumpur yang dihiasi dengan warna warni gemerlapan pencahayaan dari bangunan-bangunan di sekelilingnya, sedikit pun tidak menarik perhatian Hans. Sebaliknya lelaki itu lebih kepada melayan perasaan kecewa dan melepaskan sesalan atas tindakan terburu-burunya terhadap Yasmin di rumah tadi.
Jam tangan dikerling lalu lolos pula satu keluhan yang panjang dari bibirnya. Fikirannya serabut dengan pelbagai persoalan. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak tahu apa kesalahan yang telah dilakukannya, sehingga Yasmin nekad memfailkan penceraian.
Selama mereka bertelingkah, berselisih faham, tidak pernah sekalipun isterinya menyebut perkataan cerai dari mulutnya. Teruk sangat ke kesalahan aku sampai dia nak bercerai? Omongan rakan sekerjanya beberapa hari yang lepas, juga sedikit sebanyak membuatkan Hans menjadi penasaran dan tertanya-tanya terhadap tujuan sebenar Yasmin ingin berpisah.
"Takkan kau tak tahu Zal? Perempuan sekarang ni, jauh lebih advance dari kita yang lelaki ni. Lagi-lagi perempuan yang berkerjaya. Depan suami, pijak semut pun tak mati, tapi kat belakang, pasang dua tiga jantan! Haritu, abang aku ada gitau, ada staf kat tempat kerja dia, kantoi berzina dengan penyelia sendiri. Perempuan tu dah kahwin tau, dah ada anak pun. Wuishh, scary duh. Sebab tu aku paksa Raziha berhenti kerja lepas kahwin haritu." Panjang lebar Azrul membahaskan topik membawang mereka pada tengah hari itu. Sementara Hashim, Rizal, Li Wen dan Hans hanya mengangguk kepala bagaikan lembu yang dicucuk hidung. Masing-masing mula terasa panas hati setelah mendengar cerita Azrul. Terselit sedikit rasa takut dalam diri lelaki-lelaki itu saat memikirkan tentang sikap isteri masing-masing di tempat kerja. Jangan bini aku bergayut dengan jantan lain sudahlah.
Entah-entah, dia ada orang lain? Sebab tu dia mintak cerai dengan aku? Mulalah dirinya membayangkan perkara yang bukan-bukan tentang Yasmin. Sedar tidak sedar, jam sudah menginjak pukul 11.38 minit malam. Tiada sebarang panggilan yang diterimanya selama 2 jam dia terpacak di atas bukit ini. Selalunya, Yasmin akan menanyakan tentang keberadaannya, jikalau dia lewat pulang ke rumah. Namun, kini, segala-galanya telah berubah.
Hans menutup pintu bilik dengan perlahan supaya Yasmin tidak terganggu dari tidurnya. Sayup-sayup kedengaran dengkuran halus dari arah katil. Pilu rasanya saat mengenangkan perubahan pada Yasmin yang melayannya seperti seorang musuh.
Dahulu, wanita itu akan setia menunggu sehingga dia pulang ke rumah dan memeluknya erat lalu manjakan dirinya dengan ayat-ayat cinta. Namun, sekarang, sudah tersadai di atas katil bagaikan tiada pedoman hidup. Tergeleng kepala Hans ketika deria penglihatannya disajikan dengan pemandangan yang kurang enak. Habis bersepah biliknya angkara amukan si isteri beberapa jam yang lalu.
Tidak semena-mena naik mencanak ketidakpuasan hati Hans terhadap sikap Yasmin yang semakin menjengkelkan. Terkepal erat jemarinya tatkala melihat figura yang bersenang lenang tidur setelah mengacau bilaukan barang-barang berharganya.
Dengan hati yang sebal, Hans melangkah ke arah bilik air lalu menghempas kuat daun pintu berkenaan. Sontak terperanjat Yasmin sehingga terduduk mengurut dadanya yang hampir sesak akibat bunyi itu.
"Allah! Bunyi apa tu?" Terpacak terus bulu romanya. Bola mata melilau memerhati keadaan di dalam bilik tidur sebelum pandangannya terhenti pada bilik air yang kelihatan cerah dari dalam. Yasmin mengetap gigi dengan geram. Kini, tahulah dia dari mana datangnya bunyi itu. Tiba-tiba, Yasmin mendapat akal untuk membalas kembali perbuatan Hans. Siap kau! Nak kenakan aku ye?
Sambil terkumat kamit menyumpah si suami yang sedang melepaskan hajat tanpa menyedari apa-apa, Yasmin menapak perlahan-lahan ke arah bilik air dan berhenti di hadapan suis lampu. Terherot bibir Yasmin saat mengenangkan Hans yang takut dengan tempat gelap.
Dengan pantas dia mengunci pintu bilik air dari luar dan terus menutup suis lampu. Selang beberapa saat kedengaran suara jeritan dari dalam bilik air berkenaan. Tanpa menghiraukan nasib Hans, Yasmin naik semula ke atas katil sambil mengetawakan lelaki yang sudah terperangkap di dalam bilik air.
"Puas hati aku. Duduk dalam tu diam-diam." Semenjak 'insiden' itu, tiada lagi rasa simpati mahupun kasihan terhadap Hans dalam dirinya. Yang tersisa, hanyalah rasa benci dan dendam yang semakin membara. Dikerling sekilas ke arah perutnya yang masih kempis. Diusap lalu ditekan sedikit kuat sebelum dia mendecit kegeraman.
Untuk apa aku nak beranakan budak ni? Takde faedah langsung. Lepas budak ni lahir, dah terang-teranglah bapak dia akan ceraikan aku. Meanwhile me, terkoyak sana sini, payudara mengendur, hilang tenaga, kena sakit-sakit...Erm. Macam tak berbaloi. Hans sorang jelah yang untung nanti. Tak boleh jadi ni! Gugur? Patut ke aku gugurkan dia? Entah mengapa hatinya tersentuh saat mengenangkan keadaan janin itu sewaktu mengalami proses pengguguran nanti. Taknak, nanti dia sakit. Aduh, apa yang aku nak buat ni?
Bang! Tepat pukul 2 pagi, Hans berjaya keluar dari bilik air setelah 2 jam terkunci di dalamnya. Dengan lemah, dia menghampiri perbaringan Yasmin. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menampar pipi perempuan tidak guna itu. Sanggup dia biarkan aku terkurung kat dalam tu. Dasar isteri tak guna! Diangkat tinggi tangannya ke udara, namun berhenti sebelum melayangkannya ke pipi Yasmin yang sedang nyenyak tertidur.
Menyedari perbuatannya, Hans cepat-cepat menjauhi tubuh Yasmin lalu terus meraup wajahnya yang sudah basah dengan titisan peluh. Dia cuba beristighfar beberapa kali bagi mencari kesabaran yang kian menipis saban hari angkara sikap Yasmin, yang sentiasa menguji keimanannya.
Apa yang aku cuba buat ni? Ya Allah...astaghfirullah al azim... Dengan segera, Hans keluar dari bilik tidur. Mujur aku sempat sedar tadi. Tubuh yang lesu itu dilabuhkan di atas sofa ruang tamu. Lengan direhatkan di atas dahi. Walaupun diserang rasa kantuk, matanya masih segar. Kejadian tadi masih berlegar dalam ingatan. Ya Allah, Hans...sikit je lagi kau naik tangan kat Yas tadi...Sabar Hans, sabar.
Yasmin sudah tersedu sedan di atas katil. Dia nampak segalanya. Dia nampak perbuatan Hans terhadap dirinya tadi. Sakit sangat hati ni. Sanggup dia naik tangan pada aku...Aku benci kau Hans! Aku benci kau!
Pada mulanya, Yasmin merancang mahu mengurung Hans di dalam bilik air buat beberapa minit sahaja. Namun, tanpa dia sedar, dia sudah terlelap cukup lama sebelum dia terjaga semula akibat suara pekikan Hans dari dalam. Namun, belum sempat dia bangun, pintu bilik air sudahpun terkuak luas akibat ditendang Hans. Kerana ketakutan, Yasmin terus menutup matanya dan berpura-pura tidur.
Tetapi, hatinya hancur dengan teruk, setelah lihat Hans cuba melayangkan penampar pada wajahnya. Sambil mengetap bibir, dia menahan sisa air matanya agar tidak jatuh di hadapan Hans. Betapa terseksanya jiwa apabila suami sendiri cuba menyakiti kita dalam diam. Lebur terus rasa cinta yang masih tersemat dalam diri Yasmin. Satu persatu keburukan kau Allah tunjuk Hans. Mungkin ni petanda kau bukan yang terbaik untuk aku.
Dengan geram, Yasmin cuba menumbuk-numbuk perutnya yang dihuni oleh waris lelaki itu. Kenapalah kau kena wujud dalam hidup aku? Kau sama je macam bapak kau. Tahu nak menyusahkan hidup aku je! Tempik Yasmin dengan kuat. Sesungguhnya aku tak rela kandungkan anak hasil dari benih kau Hans Ilham. Walaupun aku bakal melahirkan anak ni, tapi aku takkan mengaku dia sebagai darah daging aku. Dan aku, Yasmin Zahirah, bukan ibu untuk bayi ni!
new chap...
Share this novel