Terbentang luas ukiran kebahagiaan pada bibir Hans saat menatap wajah comel cahaya mata pertamanya, yang sedang tidur di dalam katil bayi di sisi Yasmin.
Pipi mulus dan tembam tanpa cela itu dicuitnya berkali-kali. Ikutkan hati Hans, dia tidak mahu berpisah walau sedetik pun daripada Iz Hayath.
Hans tidak pernah menyangka, bahawa satu hari nanti, dia akan lalui situasi seperti ini, menjadi seorang suami sekaligus bergelar seorang bapa kepada satu nyawa yang begitu bernilai lebih daripada nyawanya sendiri.
Yasmin yang baru sahaja menukar pad, melabuhkan tubuhnya yang masih sakit dan penat itu ke atas katil pesakit. Dihela nafas kelegaan kerana pada akhirnya, dia dapat berehat tanpa gangguan.
Sejak bergelar seorang ibu, tugas Yasmin mungkin menjadi semakin berat dan padat dari hari ke hari. Selepas ini, tiada lagilah istilah 'sleeping beauty' dalam hidupnya.
Kini, dia perlu sentiasa bersiap sedia untuk bangun seawal pagi untuk menyusukan anaknya. Mata Yasmin tertancap pada wajah Hans yang tidak lekang dengan senyuman sejak bergelar seorang bapa.
Lelaki itu malah, tidak berganjak walau seinci pun dari katil bayi sejak tadi. Yasmin menggeleng kepala sebelum mengherot bibirnya. Aku yang terkoyak rabak ni, takdenya dia nak manjakan. Melekat terus kat anak dia. Rungutnya.
"Yas menang." Hans mengalihkan pandangan ke arah Yasmin bersama kerutan di dahi. Kurang faham dengan maksud Yasmin. Menang? Menang apa?
"Muka Iz sebijik macam Yas." Sejurus mengatakannya, Yasmin terus melorek senyuman bangga. Hans menarik muncung bibirnya. Sejak tadi, rata-rata yang melihat anak mereka, memuji rupa Iz Hayath yang terlalu seiras dengan Yasmin.
"Alah, biasalah... Anak lelaki mesti ikut rupa mak. Anak perempuan ikut ayah. Lepasni, abang nak anak perempuan. Biar ada geng." Kali ini Yasmin pula menarik muncungnya. Rasa ngeri dan ngilu saat meneran masih terasa hingga sekarang.
Seram sejuk bila memikirkan pengalaman melahirkan anak lagi. Benarlah kata orang, melahirkan anak ini, umpama mati hidup semula. Terkoyak sana sini, terpaksa melalui pelbagai kesakitan pada masa yang sama.
"Abang gurau je... Abang takkan paksa sayang buat benda yang sayang taknak. Yas ambil masa. Kalau Yas nak anak lagi, abang dan adik abang always ready untuk misi itu." Hans mempamerkan senyuman nakalnya. Lelaki, mana tahu nak berhenti. Lagi-lagi dalam bab seperti itu. Makin menjadi-jadilah jawabnya.
Dasar miang! Yasmin memutarkan bola mata lalu menjeling tajam ke arah Hans yang sedang menghamburkan tawa. Kurang asam!
"Jangan sampai Yas kerat adik abang tu ek..." Ugutnya sambil menjegilkan biji mata.
"Ish...sayang ni. Apa cakap benda-benda tak senonoh macam tu depan anak." Lahhh...siapa yang mula dulu coba?
"Abang..." Panggil Yasmin dengan manja. Hans menjongketkan keningnya sambil menatap tajam wajah Yasmin yang sedang tersengih. Mesti nak sesuatu ni...
"Ya, kenapa?" Soal Hans dengan lembut. Perlahan dia menghampiri kedudukan isterinya lalu melabuhkan punggung di atas kerusi pelawat.
"Yas lapar..." Rengek Yasmin sambil menarik lengan Hans.
"Lah...bukan Yas dah makan ke tadi? Tak silap abang ada nurse hantarkan makanan kan?" Berlapis-lapis kerutan pada dahi Hans. Tak silap Hans, baru sekitar 1 jam yang lepas, ada jururawat yang menghantar makanan untuk Yasmin.
"Yas tak sempat makan. Masa tu, Yas tengah susukan Iz...lepastu bila Yas tengok balik, makanan tu dah sejuk. Lagipun, mak tak bagi Yas makan makanan yang dah sejuk. Katanya tak baik untuk badan, lagi-lagi masa berpantang macam ni." Jelas Yasmin sambil berpaut pada lengan Hans. Bibirnya melengkung ke bawah. Sengaja mempamerkan wajah sedihnya bagi meraih simpati daripada Hans Ilham. Jangan kata tak boleh sudahlah, aku lapar sangat ni...
"Oh...okay jap. Abang pergi tapaukan. Yas nak apa?" Hans mengusap kepala Yasmin yang sudah melakarkan senyuman manis.
"Err, abang beli nasi, sup sayur, dengan ayam goreng. Kalau ada ikan goreng pun, kira okay. Cepat tau abang...Yas lapar sangat ni..." Berkaca-kaca mata memandang wajah Hans. Hans mengangguk.
"Okay, sayang." Hans lantas mencapai dompetnya, lalu melangkah keluar dari bilik Yasmin.
Keadaan di kafe pada petang itu agak lenggang tanpa suara pelanggan. Mungkin kerana kebanyakan pelawat, sudah pulang kerana masa melawat pesakit sudah tamat.
Yang tinggal hanya beberapa orang pegawai kesihatan dan waris yang diberikan kebenaran untuk menjaga ahli keluarga mereka yang masih mendapatkan rawatan di sini.
Hans melangkah ke arah kaunter makanan. Masih tersisa sedikit lauk pauk di dalam beberapa buah dulang yang terletak di atas meja berhadapan kaunter.
Matanya melilau mencari makanan yang dipesan oleh Yasmin tadi. Namun, nampaknya ayam goreng dan ikan goreng sudah habis. Ketika Hans tekun memerhatikan makanan di atas meja, seorang lelaki muda menghampirinya.
"Ya, nak apa bang?" Soal pemuda itu lalu mencapai sebuah bekas polisterin sambil menunggu pesanan Hans.
"Err, ayam goreng, ikan goreng habis ye bang?"
"A'ah. Habis. Tengah goreng yang baru kat belakang. Kejap lagi baru ada." Jawab lelaki itu sambil tersenyum tipis.
"Lama lagi ke?"
"Dalam 15 minit macam tu..." Hans lantas mengangguk dan berlalu dari situ.
Lagi 15 minit? Patut ke aku naik dulu, atau tunggu je kat sini? Hans berfikir. Eh, tunggu jelah kat sini. Tak lama mana pun. Nanti kalau naik, kena turun balik.
Dia kemudiannya, mengambil tempat di salah sebuah meja kosong sambil menyeluk saku seluarnya. Eh! Takkanlah! Hans meraba poket seluar yang disebelah kirinya pula. Lah...tinggal kat atas. Hans menepuk dahinya kerana cuai sehingga tidak perasan bahawa telefon bimbitnya tertinggal di dalam bilik Yasmin.
Macam mana boleh terlupa ni? Dahlah takde bateri tadi, tak cas pulak tu. Bebel Hans kepada dirinya sendiri. Selang beberapa minit, seorang wanita yang sedikit berusia muncul sambil menatang sebuah dulang yang berisi ikan goreng lalu menghidangkannya di atas meja. Tanpa melengahkan waktu, Hans terus membeli makanan yang dipesan Yasmin lalu meninggalkan premis berkenaan.
Butang lif ditekan kuat berkali-kali dengan sebal. Panas hati kerana terpaksa menanti ketibaan lif yang masih tersekat di aras kelima, lebih daripada 10 minit.
Hans Ilham melirik sekilas jam tangan yang melilit pada pergelangannya. Dia sudah terlewat hampir satu jam. Pasti Yasmin sedang menunggunya dalam kelaparan.
Naik tangga jelah! Kaki terus dibawa ke arah tangga kecemasan lalu anak-anak tangga itu didaki dengan pantas agar cepat sampai ke tingkat 3.
Peluh dingin yang menitik ke dahi tidak dihiraukan oleh Hans. Seluruh badannya juga sudah basah dengan keringat. Keutamaan Hans pada ketika itu, lebih tertumpu kepada Yasmin yang memerlukan makanan.
Wanita itu baru melahirkan, dan sudah pasti kehilangan banyak darah dan tenaga. Ditambah pula, Yasmin juga menyusukan anak mereka. Oleh itu, dia perlu segera mengisi perut kosongnya, sebelum tubuhnya menjadi lemah.
Selepas beberapa minit berhempas pulas mendaki anak-anak tangga, akhirnya, Hans sampai ke tingkat ketiga, bangunan hospital itu. Pintu yang memisahkan koridor yang menempatkan bilik pesakit dan ruang tangga kecemasan dibuka.
Perlahan Hans melangkah menyelusuri ruang koridor yang sunyi sepi itu sebelum namanya diseru oleh seseorang dari arah belakang. Lantas tubuh Hans berpusing mencari sumber suara tersebut. Serta merta tubuhnya kaku dan tatapannya melekat pada figura di hadapannya.
"Hans? Hans Ilham is it?" Gerangan itu menghampiri Hans bersama senyuman manis. Jika dahulu, senyuman itu sering menjadi dambaan hati Hans, namun kini, ianya tidak memberikan apa-apa nilai lagi dalam hidupnya. Malah, Hans merasa kosong. Seluruh ruangan hatinya kini sudah terisi dengan nama Yasmin Zahirah.
"Lisa...you buat apa kat sini?" Mata Hans mengimbas penampilan wanita itu atas bawah. Sehelai kot putih tersarung kemas pada tubuh langsingnya.
"I, baru dipindahkan ke sini. I'm a heart specialist. How are you? I...i betul-betul tak sangka akan terserempak dengan you kat sini. What a small world!" Aku pun tak sangka akan bertembung dengan kau dekat sini. Heart specialist? Tsk...pandai ke kau rawat hati orang. Sindir Hans. Air mukanya dijernihkan walaupun pada dasarnya, Hans sedang menahan rasa marah yang teramat terhadap wanita berkenaan.
"I'm good. Okaylah, i tak boleh lama-lama. I had to go. Its nice to meet you again" And hopefully, i wont see you ever again. Kata-kata itu hanya terucap dalam hati sahaja. Hans memulakan kembali langkahnya, menuju ke arah koridor kedua. Alisa Maisara hanyalah masa lalu aku. Masa lalu yang aku dah buang bersama kenangannya.
"Err, you buat apa kat sini? Siapa yang sakit?" Alisa mendekati Hans. Kalau boleh, kali ini dia tidak akan melepaskan Hans pergi jauh dari hidupnya. Peristiwa lalu, merupakan satu kesilapan yang cukup disesali oleh Alisa sehingga ke hari ini. Kalau saja, masa itu boleh diputar kembali.
"I just became a father. Today." Sengaja Hans menekan nada suaranya. Langsung air muka Alisa berubah keruh. Matanya sudah berkaca-kaca seperti hendak menangis.
"Aahh...i see." Masih cuba memaniskan ekspresi wajah dengan senyuman walaupun dia agak terkejut dengan berita itu. Alisa benci menerima kenyataan bahawa Hans Ilham kini sudah menjadi milik perempuan lain. Seharusnya, aku yang jadi isteri Hans. Aku yang layak mendampingi Hans!
"Hans...can't we talk for a while? Dah lama kita tak jumpa." Alisa menjadi tidak keruan saat Hans menghalakan pandangannya ke hadapan. Langsung tidak menatap wajahnya. Sebegitu bencikah kau pada aku?
Hans masih senyap tanpa bicara. Tidak memberikan jawapan kepada pertanyaannya.
"I nak kita kembali macam dulu balik." Hans mengherot bibir. Tersenyum sinis dengan permintaan yang lucu itu. "I ni suami orang Lisa. And now, please excuse me." Hans mula berasa sebal dengan perangai Alisa yang masih tidak berubah sejak dulu. Suka memaksa orang!
"Hans please! I rindukan you." Tak faham bahasa ke apa perempuan ni! Hans merenung tajam wajah Alisa.
"Lisa...Between us, its already over..." Naik seoktaf nadanya. Sempat memerhatikan keadaan di sekeliling mereka. Bimbang jika ada yang terdengar pengakuan itu. Boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.
"Please Hans, i tahu yang you masih sayangkan i. I sedar, semua tu salah i. Please give me an another chance Hans." Alisa merayu. Harga diri diletak tepi. Yang penting, Hans kembali ke sisinya semula. Dia terlalu merindui lelaki itu. Dia mahu meluangkan masa bersama Hans Ilham. Sebolehnya, lebih lama. Kalau boleh, dia mahu mengahwininya.
"Hans, please..." Kali ini, Alisa bertindak pantas dengan menghalang langkah Hans dengan berdiri di hadapannya. Ish, perempuan ni! Gerutu Hans dengan geram.
"Kejap lagi i datang balik. I kena bagi makanan kat isteri i." Terpaksa berbohong demi menyelamatkan diri. Belum sempat Hans menapak, lengannya malah disambar oleh Alisa.
"Please Hans... We need to talk. We really need to talk." Alisa menggenggam erat lengan Hans.
Hans kaku seketika. Mencari akal untuk melepaskan diri daripada cengkaman perempuan itu. Bertambah sakit hatinya apabila lengannya disentuh sesuka hati oleh Alisa. Jijik! Lantas tangan itu ditepis kasar oleh Hans. Tiada lagi simpati terhadap Alisa Maisara.
"Lepaskan i, Lisa. I akan datang balik nanti."
"Hans...i masih sayangkan you. Do you still love me?" I tahu you masih sayangkan i Hans. I know that you are still in love with me."
"I sayangkan isteri i, Yasmin Zahirah more than anything. And now, can you let me go? My wife and my baby needs me. Lagipun, dulu, you sendiri yang buang i kan? You tahu punca hubungan kita putus kat tengah jalan." Lisa terdiam. Lidahnya kelu kerana dia tidak mempunyai jawapan mahupun penjelasan untuk membela dirinya.
"Kalau bukan sebab you tipu i, semua benda tu takkan terjadi!" Melengking suara Hans sehingga bahu Alisa terhenjut ketakutan. Air matanya mengalir dengan deras.
Merasa malu kerana Hans sanggup meninggikan suara terhadapnya. How could you Hans...you dah banyak berubah. Terkepal erat jemarinya. Alisa hanya mampu mengiringi pemergian Hans dengan ekor matanya tanpa berbuat apa-apa.
Share this novel